COKMAR PRESIDEN

_________________________________________________________❄_________________________________________________________
Dr. Wan Adli Wan Ramli
Presiden MUAFAKAT Yang Ke-III 
(2018 - 2020) 
______________________________________________________________________________________

 

Dr. Wan Adli Wan Ramli adalah seorang ilmuan yang dikenali amat mahir dan tegas dalam bidang kepakaran beliau iaitu akidah. Anak jati negeri jelapang padi ini merupakan anak pertama dari lima orang beradik dilahirkan pada 3 April 1979 di Pendang, Kedah Darul Aman.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kubur Panjang, Pendang (1986-1991) kemudian ke Maktab Mahmud, Alor Setar (1992-1995), Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang (1996-1997) dan Pra Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri (1998-1999).

Dr. Wan Adli Wan Ramli adalah antara tokoh akademik muda yang berusaha ke arah perkembangan ilmu Kalam di negara ini. Keterlibatan beliau dalam dunia ilmu bermula pada tahun 2003, beliau memulakan pengajian dalam Sarjana Muda Usuluddin, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya kemudian Sarjana Usuluddin, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam (2006), menamatkan Doktor Falsafah di Department of Theology, Religion, and Islamic Studies, University of Wales, Lampeter (2011) dengan tajuk tesis beliau: A Traditionalist Theological Evaluation of Muslim Liberal Interpretation of the Qur’an on the Subject of ‘Religious Pluralism’.

Di peringkat nasional Dr. Wan Adli Wan Ramli pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal Penggubalan Modul Akidah & Pemikiran Islam dan modul Sijil Tinggi Akidah dan Pemikiran Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 2015.

Di antara jawatan yang pernah disandang Dr. Wan Adli Wan Ramli adalah Felo Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI), Jabatan Akidah dan Pemikiran (1 Oktober 2007 – 2 Januari 2012), Penyelaras Program Sarjana Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, 2014, Penyelaras Unit Pengajian Awam, Akademi Pengajian Islam, 2015, dan kini Dr. Wan Adli Wan Ramli adalah seorang Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Berikut adalah sumbangan ilmu Dr. Wan Adli Wan Ramli dalam dunia akademik:

  1. Pengurus, Jurnal Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, 2012.
  2. Ahli Jawatankuasa Teknikal Penggubalan Modul Akidah dan Pemikiran Islam, Modul Sijil Tinggi Akidah dan Pemikiran Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 2015.
  3. Ahli Pasukan Pembangunan Program Diploma Pengajian Usuluddin, Kluster Pengajian Islam, UMCCed, 2013-2015.
  4. Seminar, “Islam Liberal dan Pluralisme Agama: Pertentangan dengan Akidah dan Syariat Islam” (Wacana Intelektual Akidah Menurut Pendekatan Wasatiyyah, Politeknik Nilai, Negeri Sembilan, 28 Ogos 2017), 1-82.
  5. Seminar, “Kesatuan Akidah Menjamin Masa Depan Ummah” (Hari Terbuka NGO Islam Negeri Terengganu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Timur, Kuala Terengganu, Terengganu, 24 Julai 2017).
  6. Seminar, “Kesesatan Doktrin Liberalisme dan Respons Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah” (Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-9, Tema: Liberalisme: Agenda Jahat Illuminati, Putrajaya, 17 Januari 2017).
  7. Seminar “Liberalisme dan Pluralisme Agama Sebagai Satu Keraguan Terhadap Agama” (Wacana Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama, Jabatan Agama Islam Selangor, Inpens International College, Kuala Selangor, 15 April 2015 dan Universiti Multimedia, Cyberjaya, 12 Mei 2015).
  8. Seminar, “Pendekatan Epistemologi dalam Menangani Liberalisme dan Pluralisme Agama” (Seminar Pemurnian Aqidah Islam, Siri 2, Liberalisme dan Pluralisme Agama dari Perspektif Aqidah Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 28 Mac 2015).
  9. Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke-10 Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) 2018 di Masjid Putra, Putrajaya.

Antara kajian yang pernah dilakukan adalah seperti berikut:

  1. Applied Science With Islamic Studies Programme: A Research On Its Curriculum Design (UMRG2017) – ahli;
  2. Kelestarian Agama Dan Budaya Dalam Dialog Kehidupan Saudara Baru Model Agen Pembangunan Modal Insan Masyarakat Majmuk Malaysia (UMRG-RP035-17HNE) – ahli;
  3. Kajian Ancaman Liberalisme Terhadap Institusi Islam di Malaysia (MAIS/SPP/BPY/02/002/23(10) Jun-Disember 2016) – ahli;
  4. Kajian Sukatan Pelajaran Akidah Universiti Al-Madinah Antarabangsa (Mediu) dari Perspektif Ahli Sunnah wal Jamaah (MAIS/SPP/BPY/02/002/26(21) Jun-Disember 2016) – ahli.

Dr. Wan Adli Wan Ramli adalah seorang akademik yang aktif menulis jurnal penerbitan dengan karya yang kritis dan membina dalam isu semasa seperti:

  1. Mohd Fauzi Hamat dan Wan Adli Wan Ramli, “Metode Dekonstruktif Arkoun dan Ijtihad Intiqa’i wa Insha’a al-Qaradawi: Analisis dari Sudut Konsep dan Implikasi Aplikasinya dalam Penentuan Hukum Islam Semasa”, dalam Ridzwan Ahmad, Raihanah Azahari dan Noor Naemah Abdul Rahman, Pemikiran Hukum Islam Semasa: Aliran, Kritikan dan Aplikasi (Kuala Lumpur: Jabatan Fiqh Dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2016), 37-95;
  2. Wan Adli Wan Ramli, “Menangani Cabaran Liberalisme dalam Kalangan Muslim Berdasarkan Konsep Ijmak”, Jurnal Usuluddin 40 (Julai – Disember 2014), 27-48;
  3. Wan Adli Wan Ramli dan Mohamad Kamil Hj Ab Majid, “Pedoman Proses Tajdid dalam Pengutusan Rasul”, Jurnal Usuluddin 38 (Julai – Disember 2013), 83-11;
  4. Wan Adli Wan Ramli, Bahaya Liberalisme dan Pluralisme Agama terhadap Akidah Belia Muslim, Siri Al-Bayan no. 21 (Johor Bahru: Sekretariat Menangani Isu-isu Akidah dan Syariah, Majlis Agama Islam Negeri Johor, 2012). Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Johor, http://mufti.johor.gov.my/images/uploads/dokumen/terbitan/albayan_21_bahaya_Islam_libral_adli_712.pdf;
  5. Mohd Fauzi Hamat, Wan Adli Wan Ramli dan Azmil Zainal Abidin, "Cabaran Tafsiran Pluralisme Agama Terhadap Akidah Asha'irah", dalam Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali et al., Akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah di Malaysia: Cabaran dan Isu Kontemporari (Bandar Baru Nilai: Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, 2012), 77-91.
_________________________________________________________❄_________________________________________________________
Al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina Bin Haji Ahmad
Presiden MUAFAKAT Yang Ke-II 
(2011 - 2018) 
______________________________________________________________________________________

 

Al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad, lahir di Mina, Hijaz, Arab Saudi pada 25 November 1948. Beliau dibesarkan di Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad menyempurnakan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Alam Shah, Kuala Lumpur dan menamatkan pengajian tertiarinya di Universiti Malaya. 

Ketika beliau di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad bergiat cergas dalam kegiatan mahasiswa dan pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), sebuah pertubuhan yang banyak melahirkan para pemikir dan tokoh negarawan.

Al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad adalah antara tokoh gerakan Islam negara yang mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1971 dan merupakan ahli penggerak dalam penubuhan Yayasan Anda Akademik pada tahun 1972. 

Beliau dan rakan-rakan, bersama menubuhkan institusi dan NGO Islam seperti Dar al-Qur'an wa al-Hadith, Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

Al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad juga seorang yang aktif menulis dan menerbitkan buku dan makalah berkaitan falsafah Islam, Aqidah, Pemikiran Tradisional Islam dan Ketamadunan Islam. Antara buku terbitan atas hasil usaha beliau yang terkenal ialah Pluralisme Agama: Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah yang diterbitkan pada tahun 2012 dan Muhammad Uthman El-Muhammady: Inteligensia Muslim Kontemporari yang diterbitkan pada tahun 2014. Beliau juga turut terlibat dalam membantu penerbitan penulisan guru beliau iaitu Almarhum Ustaz Uthman El-Muhammady rahimahullah antaranya Akhlaq Dalam Islam, Al-Firqah Al-Najiyah: Epistemologi Aqidah Golongan Yang Berjaya, dan Falsafah Agama John Hick: Pengamatan Dari Perspektif Ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Dikenali rakan-rakan beliau mempunyai hubungan akrab dengan beberapa tokoh penting negara sejak di zaman aktivis mahasiswa bersama memimpin pelbagai platform da’wah antaranya al-Fadhil Almarhum Dato' Ustaz Haji Fadzil bin Muhammad Noor seorang tokoh politik negara (meninggal dunia pada tahun 2002). Dan Dato' Seri Anwar Ibrahim, penasihat sebuah lagi parti politik yang pada ketika itu bersama al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad memimpin Yayasan Anda Akademik.

Sungguhpun sibuk dengan penerbitan dan makalah ilmiah al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad dilihat antara tokoh rujukan dan tumpuan media massa isu-isu yang membabitkan kepentingan umat Islam di negara ini. Beliau amat dikenali dengan sikap tegas terutama sekali terhadap ancaman yang melibatkan kepentingan umat Islam seperti pemikiran asing Pluralisme/Liberalisme Agama berdasarkan perspektif pemikiran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Antara program yang berjaya dilaksanakan di bawah pimpinan beliau:

  1. Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-1: Gerakan Tajdid Dan Pemikiran Najdiyyin
  2. Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-2: Fahaman Pluralisme Agama Dan Implikasinya Terhadap Masyarakat Islam
  3. Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-3: Siyasah Syar'iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia
  4. Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-4: Seminar Dakwah Nasional
  5. Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-5: Seminar Mendepani Virus Syi'ah
  6. Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-6: Pencerahan Tasawwur Ahli as-Sunnah Wa al-Jama'ah
  7. Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-7: Pemerkasaan Mazhab al-Syafi'i
  8. Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-8: Liberalisme: Agenda Jahat Illuminati

 

_________________________________________________________❄_________________________________________________________
Professor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar
Presiden Muafakat Yang Ke- I 

(2005 - 2010) 
______________________________________________________________________________________
 

Professor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar merupakan tokoh akademik tersohor dalam bidang falsafah sains. Bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Malaya (UM) ini dilahirkan pada 18 Disember 1946 di Kampung Bukit Lada, Awah Temerloh, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh dan kemudian menyambung pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak.

Pada tahun 1970, beliau memperoleh Ijazah Sarjanamuda Sains (Matematik) dari Politeknik Woolwich, Universiti London. Pada tahun 1971 pula, beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik (Mathematics & Algebraic group theory) dari Bedford College, Universiti London. Seterusnya beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Falsafah Islam) dari Jabatan Agama, Universiti Temple, Philadelphia, Amerika Syarikat pada tahun 1987.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Jabatan Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 hingga 1977 dan kemudian berpindah ke UM pada tahun 1977 hingga 2000. Di UM juga beliau dianugerahkan gelaran professor pada tahun 1992 dan dilantik sebagai Pengerusi Jabatan Sains Falsafah, Fakulti Sains, UM. Beliau banyak memberikan kuliah dalam kursus Sejarah dan Falsafah Sains, subjek yang telah diperkenalkan oleh Prof. Diraja Ungku Aziz di UM pada tahun 1975.

Kecenderungannya bukan sahaja mencakupi bidang Sejarah dan Falsafah Sains juga meliputi pelbagai bidang rekabentuk kosmik, psikologi kognitif, kuantum fizik, bioetik, genetik dan silang budaya. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) di Universiti Malaya pada tahun 1995 hingga 2000. Selepas menjadi salah seorang peneraju bagi universiti terulung tersebut, beliau dilantik bagi mengetuai Kerusi Malaysia bagi Islam di Asia Tenggara di Universiti Georgetown bagi tahun 2000 hingga 2005.

Pada tahun 2005 beliau dilantik sebagai profesor di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC)—International Islamic University of Malaysia hingga tahun 2008. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Sarjana Tamu di Universiti Harvard pada tahun 1992. Selain itu, beliau juga adalah pengasas Pusat Dialog Tamadun di Universiti Malaya pada tahun 1996.

Beliau juga terlibat aktif dalam organisasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pada tahun 1994, beliau telah ditugaskan untuk menubuhkan Malaysian Chair of Islam in Southeast Asia di Universiti Georgetown. Beliau telah menganggotai Kumpulan Pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan draf Pengisytiharan Sidang Kemuncak Dunia mengenai Pembangunan Sosial yang telah diadakan pada tahun 1995 di Copenhegen, Denmark.

Selain itu, beliau juga merupakan penasihat dan konsultan kepada pelbagai badan professional peringkat antarabangsa. Beliau adalah ahli dalam Council of 100 Leaders (C-100), The West-Islamic World Initiative for Dialogue, Forum Ekonomi dunia bertempat di Davos, Switzerland. Beliau juga ahli Kumpulan Kerjasama Agama dalam Ubahsuai Genetik Makanan (Religion Working Group on Genetically Modified Food) di Pusat Bioetik, Universiti Pennsylvania pada tahun 2001.

Pada tahun 1977, Prof. Dr. Osman Bakar telah mengasaskan Akademi Sains Islam Malaysia dan menyandang jawatan Setiausaha pada tahun 1977 hingga 1981 dan menjadi Presiden akademi ini bagi tahun 1987 hingga 1992.

Prof. Dr. Osman Bakar juga seorang yang aktif menulis dan menerbitkan buku dan makalah berkaitan falsafah Islam dan falsafah sains, Islam kontemporari, dialog antara-agama dan antara-tamadun. Buku hasil tulisannya yang terkenal ialah Tawhid and Science (1991). Sebelum itu, buku Tawhid and Science ini telah diterbitkan di United Kingdom pada tahun 1989 dengan tajuk The History and Philosopy of Islamic Science.

Buku ini juga telah diterbitkan di negara lain dan dialihbahasa ke bahasa Parsi, Turki, Indonesia, Albania, Sepanyol, China, Urdu, Arab dan Bosnia. Seterusnya beliau meneruskan penulisan buku bertajuk Classification of Knowledge in Islam (1992), Critique of Evolutionary Theory (1987), dan Islam and Civilizational Dialogue (1997). Sehingga kini dicatatkan beliau telah menghasilkan sebanyak 15 buah buku dan lebih daripada 250 artikel.

Kini Prof. Dr Osman adalah Profesor Emeritus Falsafah di UM dan merupakan Felo Penyelidik Kanan di Pusat Dialog Peradaban, UM. Beliau juga adalah timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS). Beliau juga merupakan Felo Kanan Pusat Pemahaman Islam-Kristian Putera al-Waleed, Universiti Georgetown, Washington D.C dan Felo Penyelidik Tamu di Universiti Doshisha, Kyoto, Jepun.

Di atas kecemerlangannya dalam lapangan akademik dan keanggotaan dalam institusi profesional khususnya peringkat antarabangsa membolehkan beliau disenaraikan dalam 20 tokoh ilmuan Malaysia oleh Medium Publications pada tahun 2009. Beliau juga tersenarai dalam 500 orang muslim paling berpengaruh di dunia pada tahun yang sama.

_________________________________________________________❄_________________________________________________________
Top