Manhaj Arus Perdana Majoriti Umat Islam Di Malaysia

Oleh: Abu Akif

MANHAJ ARUS PERDANA MAJORITI UMAT ISLAM DI MALAYSIA

Malaysia merupakan sebuah Negara yang mempunyai majoriti umat Islam yang menganut fahaman Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. Sejak Islam mula tersebar di Alam Melayu pada abad ke-7 Masihi fahaman Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah adalah fahaman yang telah berjaya diterapkan dengan baik dan sempurna. Kejayaan ini dapat dilihat dengan kemunculan penulisan-penulisan mengenai Aqidah Islam dalam masyarakat Melayu Nusantara seperti kitab Bahr al-Lahut oleh Syaykh ‘Abdullāh ‘Ārif, Sharab al-Ashiqin oleh Syaykh Hamzah Fansuri, Mita’at al-Mu’min oleh Syaykh Shams al-Din al-Sumaterani, Ward al-Zawahir (1332H) dan al-Durr al-Thamīn (t.th.) oleh Syaykh Dawud al-Fatani, Bidāyat al-Hidāyah (t.th.) oleh Syaykh Jalaluddin Acheh dan lain-lain.

(Gambar Hiasan) Pada abad ke-7 Masihi, Islam masuk dengan penerapan Aqidah Ahlu al-Sunnah
wa al-Jamā‘ah dilihat sebagai fahaman yang telah berjaya membina sahsiah dan tamadun umat
melalui sistem kesultanan Raja-raja Melayu tinggi di puncak kejayaan

Namun pada zaman pasca kemerdekaan masyarakat Islam di Malaysia telah terdedah kepada perubahan pemikiran ekoran perkembangan pendidikan dan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Situasi ini turut membawa perubahan kepada sistem pemikiran masyarakat Islam dalam persoalan agama. Tambahan pula kepelbagaian latar belakang keilmuan dalam kalangan intelektual dan sarjana Muslim telah menimbulkan kecelaruan kepada umat Islam mengenai Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. Ini disebabkan oleh kebanyakan sarjana Muslim menyebarkan ilmu pengetahuan berdasarkan latar belakang pengajian masing-masing. Perbezaan pandangan ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada masyarakat awam mengenai kedudukan sebenar Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah.

Situasi semasa negara sejak kebelakangan ini menyaksikan bahawa aliran-aliran selain Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah, seperti fahaman Syiah, aliran Wahabi dan Islam Liberal, mulai menyerang negara menyebabkan sebahagian masyarakat terpengaruh (terperangkap dalam isu cabang atau furu'iyah yang remeh ditimbulkan golongan ini). Keadaan ini agak membimbangkan kerana masyarakat dan negara akan berdepan dengan pelbagai masalah kecelaruan fahaman dan pegangan jika perkara itu tidak dibendung, Ulama yang menggunakan kitab-kitab lama atau klasik mulai dipertikaikan dengan andaian kononnya tidak moden dan tidak mengambil kira perkembangan semasa. Pemikiran begini lebih menggerakkan masyarakat kepada penerimaan fahaman Islam Liberal dan penolakan sedikit demi sedikit tehadap Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. Masyarakat dibimbangi tidak mendapat penjelasan dan kefahaman yang betul mengenai Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah dan boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk boleh mengancam keselamatan negara.

Adalah amat sukar untuk menentukan sejauh mana fahaman Syiah, aliran Wahabi dan Islam Liberal mempengaruhi pemikiran umat Islam. Namun, tidak dinafikan bahawa wujud segelintir umat Islam negara ini yang telah dipengaruhi unsur-unsur bertentangan Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah dan amalan Mazhab Syafi‘ī. Walaupun pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta pihak keselamatan telah berjaya membendung penularan fahaman-fahaman berkenaan, namun, fahaman Syiah, aliran Wahabi dan Islam Liberal tetap merbahaya terhadap umat Islam kerana alasan yang berbeza.

Fahaman Syiah diharamkan di negara ini melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 berdasarkan percanggahan dengan Aqidah, Syariah dan Akhlak Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 3 Mei 1996 membuat keputusan menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak. Memperakukan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah adalah bercanggah dengan hukum Syara' dan undang-undang Islam dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah adalah dilarang. Antara penyelewengan yang dikenal pasti dalam fahaman Syiah ialah imam adalah maksum, khalifah diwasiatkan secara nas, menolak Ijmā‘ ulama, menolak Qiyās dan mengamalkan Nikah Mut'ah.

Sementara fahaman wahabiyyah pula tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat Islam. Ini merupakan hasil daripada perbincangan beberapa kali Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Semua keputusan adalah bertujuan menyekat penularan fahaman Wahabiyyah atas alasan isu khilafiyyah fiqhiyyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Antara ajaran aliran Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa Qunut dan Talqin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. Begitu juga golongan ini banyak mengeluarkan pendapat-pendapat yang menentang amalan-amalan sunat yang sinonim dengan amalan masyarakat di Malaysia yang boleh membawa perpecahan di kalangan masyarakat. Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru mengenai Aqidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang dikemukakan Ibnu Taymiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan Ibnu Taymiyyah sendiri.

Manakala mengenai fahaman Islam Liberal pula, walaupun setakat ini tidak wujud mana-mana individu atau organisasi di Malaysia yang menubuhkan apa-apa kumpulan atas nama Islam Liberal seperti berlaku di Indonesia, namun realitinya gagasan yang dibawa oleh Islam Liberal boleh menggugat kepercayaan dan pegangan umat Islam kepada autoriti ulama, tafsiran ulama terhadap al-Quran dan pegangan kepada Hadith Nabi.

Perkembangan tiga aliran yang utama iaitu Syiah, Wahabi dan Islam Liberal disusuli pula dengan bercambahnya ajaran sesat dan sebarang ajaran baru yang menyalahi tradisi Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah di negara ini yang berpegang kepada Aqidah Asyā‘irah-Māturīdiyyah dan Fiqh Mazhab Syafi‘ī sudah tentu akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam. Penyebaran ajaran-ajaran sesat akan mengugat Aqidah dan Syariah Islam sementara aliran seperti Wahhābiyyah dan lain-lain boleh menimbulkan kekeliruan dan ketegangan serta kemungkinan akan berakhir dengan krisis perpaduan jika tidak dibendung dan ditangani dengan serius.

Perkembangan aliran Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakkan kerana kesan globalisasi ilmu di dunia hari ini. Walaubagaimanapun, perkembangan aliran-aliran ini tetap memberi tamparan hebat kepada perkembangan dan kesinambungan aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah yang menjadi pegangan arus perdana dan kefahaman sebenar mengenainya.

Oleh itu sebuah penyelidikan mengenai sejarah al-Asyā‘irah dan perkembangannya di Nusantara serta penterjemahan dari Bahasa Arab ke Bahasa Malaysia terhadap karya-karya al-Asyā‘irah iaitu Kitab al-Luma' dan Risālat fi Istiḥsān al-Khawḍ fī ‘Ilm al-Kalām yang merupakan sumber primer kepada Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah, dilihat amat relevan dari sudut masa dan ketikanya kerana dapat memberi pendedahan mengenai Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah yang hakiki yang perlu diketengahkan bagi menjamin kesatuan dan perpaduan masyarakat Islam di Malaysia.

_______________________________________________________________________
Rujukan: Sejarah al-Ash'ari dan al-Asha'irah di Nusantara, Terbitan JAKIM cetakan Pertama 2017
Karya: Zakaria Stapa, Indriaty Ismail, Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Abdul Rahman Mahmood, Mohd Haidhar Kamarzaman & Mohd Faizul Azmi

Top