Menteri Tidak Sepatutnya Jahil Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 19 OGOS 2019 - Merujuk kepada tajuk muka depan akhbar Utusan Malaysia hari Isnin, 19 Ogos 2019 “MENTERI TAK FAHAM PERLEMBAGAAN”, antara kandungannya menyebut; “Menteri, timbalan menteri dan pemimpin politik perlu ‘disekolahkan’ supaya lebih faham Perlembagaan Persekutuan, sejarah Malaysia dan bagaimana negara ini diwujudkan.”

2. Bagi MUAFAKAT kenyataan ini tidak pantas dikeluarkan kerana mustahil seseorang yang bakal dipilih menjadi “pemimpin” jahil dalam kenegaraan, paling tidak, harus mempunyai asas dalam bab perundangan, khususnya mengetahui perkara penting dalam Perlembagaan Negara, atau Perlembagaan Persekutuan.

Juga mustahil seorang pemimpin negara/negeri itu jahil mengenai negara/negeri yang diwakilinya, mustahil ia dangkal dan bodoh tidak mengetahui sejarah tanahairnya sendiri. Kejahilan dalam perkara ini adalah suatu yang tidak dapat dimaafkan. Ini merupakan kebodohan yang melampau.

3. Sepatutnya perkara asas mengenai kenegaraan, seperti sejarah tanahair, dan kalau di Malaysia bermula dari sejarah pembukaan kota Melaka hingga tercapai kemerdekaan.

Adalah suatu kemestian bagi seorang Wakil Rakyat itu sekurang-kurangnya berpengetahuan dalam perkara paling asas mengenai sejarah kemerdekaan dan penglibatan Raja-Raja Melayu dan juga bagaimana kesepakatan para pemimpin Melayu, dan bukan Melayu memeterai perjanjian bersama bagi menolak campur tangan Barat dalam urusan pentadbiran negara. Ini perkara wajib.

4. MUAFAKAT, pada Februari tahun 2011 (12 Rabi’ul Awwal 1432H), pernah membentangkan satu kertas kerja ringkas untuk usrah bulanan MUAFAKAT, yang berjudul; “Konsep Kepimpinan Dalam Islam” rujukan: https://muafakatmalaysia.wordpress.com/2011/02/13/konsep-kepimpinan-dalam-islam/

Pembentang mengupas secara ringkas ciri-ciri bagaimana memilih seorang pemimpin, kriteria dan kelayakan bagi seseorang itu untuk dilantik menjadi pemimpin.

5. Dan tidak kurang penting juga yang harus disebut di sini ialah mengenai mereka yang mahu memilih pemimpin itu, ia juga harus berilmu sebelum memilih orang yang lebih berilmu untuk diangkatnya atau dipilihnya menjadi pemimpin.

Ini wajib, bukan remeh-temeh, kerana orang yang jahil pastinya akan memilih si jahil menjadi pemimpinnya kelak. Akibatnya pentadbiran negara akan menjadi kucar-kacir dan tidak tentu arah tanpa matlamat dan arah tuju yang benar dan betul.

Pemilih dan yang dipilih harus sama-sama berilmu, dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memberi pengetahuan kepada rakyatnya.

6. Yang menjadi masalah hari ini ialah kejahilan sebilangan pengundi, walaupun bilangan ini dikatakan sedikit, dengan alasan kemajuan teknologi dan pencapaian kemajuan pembangunan, tetapi adakalanya ia boleh mengubah landskap negara apabila yang jahil itu naik menjadi pemimpin, lalu dilantik menjadi menteri kepada suatu kementerian penting hingga mengakibatkan negara mendapat malu dan jatuh ke paras terbawah hanya kerana kenyataan-kenyataan dangkal yang dikeluarkan oleh pemimpin bodoh yang dipilih oleh rakyat yang bodoh.

7. Justeru sejak dahulu lagi, MUAFAKAT sering kali mengenengahkan isu pemilihan pemimpin ini setiap kali akan diadakan Pilihan Raya Umum dalam negara, dengan mengambil kira isu pemilihan pemimpin ini adalah suatu yang amat penting, yang akan mencorakkan negara dan maruah negara.

Kedangkalan rakyat akan menyebabkan mereka mudah tertipu dan terpedaya dengan tipu daya tokoh-tokoh yang tamakkan pangkat dan kedudukan, melalui janji-janji palsu yang mereka taburkan kepada rakyat, sekalipun perbuatan memperdaya rakyat ini hanya akan memperlihatkan sifat kemunafikan mereka, dan tokoh-tokoh korupsi ini tidak mempedulikan itu semua.

8. Bagi tokoh-tokoh korupsi, mereka akan melanggar segalanya, “matlamat menghalalkan cara” dan dalam masa yang sama mereka sendiri melaung-laungkan slogan ini ke sana ke mari. Begitulah akhlak dan peribadi mereka ini.

Rasuah, liwat, seks rambang, arak, perempuan, dan berkelakuan seperti orang keterancatan akal (tidak waras) kononnya tidak akan mencacatkan penampilan mereka di khalayak ramai, tanpa segan silu mereka pula menuding jari kepada pihak yang membongkarkan keaiban diri mereka.

Kita ingin bertanya jika perbuatan sekeji ini tidak diambil kira, ke arah mana mereka hendak membawa kita dan apakah kita hendak mengikut arah yang mereka bawa itu?

9. Tidak dapat tidak, semua yang dibicarakan di sini ternyata amat merunsingkan minda rakyat yang prihatin dengan keadaan negara tercinta ini, yang kini tidak dapat dinafikan semakin hari semakin tenat dibuat oleh mereka yang tidak layak menjadi pemimpin.

Kerana itulah pemilihan pemimpin itu amat penting dan MUAFAKAT sangat tegas mengutarakan masalah ini.

Negara sudah melalui suatu fasa pemimpin korupsi, jangan pula nanti kita terpaksa melalui fasa pemimpin yang berakhlak buruk, berkelakuan keji, dan seperti tidak waras mentadbir negara pula nanti.

10. Kesimpulannya; kenyataan muka depan akhbar Utusan hari ini tidak sepatutnya tersiar seperti yang tertera jika rakyat yang cerdik, pandai memilih pemimpin yang bijak.

Mendidik rakyat itu penting terutama yang bakal menjadi pemimpin negara. Sejarah negara itu suatu keutamaan khususnya kepada mereka yang mahu menjadi pemimpin.

Negara akan disanjung sekalipun miskin apabila akhlak pemimpin itu mulia dan bijaksana.

Haji Rashidi Bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT

Top