Apabila Bercakap Seperti Penjual Ubat Dan Melanggar Etika Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 13 OGOS 2019 - Kebiadaban MP Kluang YB Wong Shu Qi memberi ucapan mempersendakan tulisan Jawi dengan mengaitkannya dengan majalah porno amat mendukacitakan dan jelas beliau sudah melampau had melepasi batasan kurang ajar.

2. Sindirannya yang menghina dengan mengatakan yang umat Islam pasti akan menolak tulisan Jawi yang rendah martabatnya kerana dijadikan bahan melukis lukisan lucah sangat keterlaluan.

3. Kita tertanya-tanya apakah tulisan Cina itu martabatnya tinggi hingga tiada langsung terlibat dalam lukisan yang berunsur lucah? Kita juga tertanya-tanya apa masalah beliau dengan tulisan Jawi itu dalam kehidupan seharian YB sehingga membenci tulisan tersebut lalu menghina dan mencerca tulisan tersebut? Luahan kebenciannya sampai tahap sanggup bersungguh-sungguh selongkar keratan majalah lama untuk dijadikan bahan cemuhan.

4. Padahal suatu ketika dahulu sebelum muncul tulisan Rumi, tulisan Jawi merupakan tulisan komunikasi antara semua kaum termasuk orang Cina, India, pedagang dari rantau sekitar Semenanjung yang dahulunya digunakan secara meluas malahan seluruh Nusantara ketika itu menjadikan tulisan Jawi sebagai tulisan komunikasi rasmi bagi Tanah Melayu. Buktinya boleh dilihat pada taburan kitab-kitab Jawi atau lebih terkenal dengan panggilan “kitab kuning”.

5. Kita dapat lihat bagaimana pada waktu itu baik orang Jawa, orang Riau, Banjar, Minang, Kampar, Bugis, Patani hatta orang Melayu Champa pun menulis dan membaca dalam tulisan Jawi. Lebih mengkagumkan persuratan antara Raja-raja Melayu dengan Queen England juga berkomunikasi dalam tulisan Jawi. Apa yang hina sangat tulisan Jawi ini di mata YB Wong Shu Qi sehingga beliau menghasut masyarakat Cina supaya membenci tulisan Jawi.

6. Tidakkah beliau sedar perbuatannya itu telah melanggar etika dalam Perlembagaan Persekutuan pada Seksyen 4(1)(b) dan/atau (c) Akta Hasutan 1948 iaitu kesalahan mengeluarkan kata-kata yang menghasut dan/atau menerbitkan atau mengeluarkan semula bahan-bahan/penerbitan yang bersifat menghasut. Menurut peruntukan seksyen ini, hukuman yang boleh dijatuhkan adalah denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

7. MUAFAKAT melihat adalah sangat memalukan bagi seorang Ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah jawatan akan memberi taat setia seperti di jadual enam Perlembagaan Persekutuan dilihat telah melanggar ikrar ini yang disebut dengan jelas memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Di mana kewibawaan diri beliau sebagai seorang Ahli Parlimen jika tingkah lakunya tidak ubah seperti kaki jual ubat di kaki lima?

8. Justeru, MUAFAKAT merasakan jika beliau lebih selesa dan suka bercakap seperti penjual ubat jalanan yang bersikap rasis chauvinis anti Islam dan anti Melayu, sila letak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana terang-terangan telah mengkhianati Perlembagaan yang menjunjung kedaulatan perpaduan sesama kaum.

9. Beliau jelas dilihat tidak amanah dan tidak peka pada sensitiviti masyarakat majmuk yang wujud di dalam negara yang juga telah mengundi beliau kerana yakin dengan keperibadiannya dalam menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Bukannya amanah yang rakyat berikan kepada beliau itu hanya untuk menjaga kepentingan kaum Cina sahaja… itu rasis chauvinis anti Melayu Islam namanya!

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top