Liberalis Lacurkan Masjid Kepada Golongan Kafirun

KUALA LUMPUR, 25 JULAI 2019 - Saya tertarik dan menyokong artikel tulisan saudara Arman Husein dari Universiti Columbia, New York yang terbit dalam akhbar Utusan bertarikh 22hb, Julai 2019 dengan judul “Jangan Ikut Standard Barat” membidas tulisan Prof Dr. Mohd Tajuddin Mohd Rasdi yang telah disiarkan oleh akhbar yang sama pada Rabu, 17 Julai dengan tajuk; “Seni Bina Masjid Liberal”.

Dalam tulisan saudara Arman, beliau membidas kekalutan pemikiran Dr. Mohd Tajuddin apabila beliau menyamakan senibina masjid yang dikatakannya bersifat liberal, dan sifat itu dikatakan pemangkin kepada pemikiran liberalisme, lalu diusungnya pandangan ini dan dilontarkannya kepada umat Islam dengan harapan agar umat Islam menerima fahaman liberalisme ini tidak bercanggah dengan akidah Islam.

Ternyata pemahaman yang sebegini amat meleset sekali dalam memahami epistemologi Ahlul Sunnah wal-Jamaah, khususnya dalam bab Usuluddin. Beliau kalut kerana membicarakan perkara usul dalam agama dengan perkara keterbukaan dalam bidang senibina, sedangkan dua subjek ini saling jauh berbeza.

Dalam artikel Dr. Mohd Tajuddin berjudul “Seni Bina Masjid Liberal”, ternyata pemahaman beliau dalam perkara usul sangat tersasar jauh. Jika diteliti, pada para awal lagi beliau menyebut; “Tujuan utama saya adalah untuk menulis tentang betapa Islam itu agama yang ‘liberal’ dan ‘progresif’.

Kenyataan ini terang-terangan menunjukkan beliau punya niat mahu mempromosi fahaman liberalisme kepada umat Islam, tetapi berselindung di sebalik konsep pendekatan seni bina yang dikatakannya liberal.

Pada asasnya Islam memang tidak menghalang sikap liberal dalam seni bina, dalam erti kata keterbukaan dalam reka cipta rupa bentuk bangunan, khususnya masjid, asalkan memenuhi fungsi dan kehendak asasi binaan masjid sebagai ‘rumah Allah’ dan menjauhkan sebarang elemen yang mensyirikkan Allah.

Dengan merujuk kembali kepada asal pembinaan sebuah masjid yang pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat, bangunannya hanyalah beberapa batang tiang daripada batang pokok tamar dan ditutupi dengan pelepah pokok tamar, dan hanya berlantaikan tanah.

Maka adakah kita akan dikatakan Islam apabila kembali membina masjid ikut betul-betul cara yang Rasulullah SAW dan para Sahabat bina ketika itu? Tentulah jawapannya ‘tidak’, kerana kita harus mengikut perkembangan pembinaan semasa mengikut zaman, namun tidak boleh lari daripada perkara asasnya.

Di sini saya suka merujuk kepada tulisan Allahyarham Dr. Mohd Uthman el-Muhammady dalam bukunya berjudul; Memahami Islam, Insan, Ilmu Dan Kebudayaan’, terbitan Pustaka Aman Press Sdn Bhd, cetakan 1977, di mana beliau menyebut;

“Pada asasnya, sebuah masjid terdiri daripada tiga bahagian atau empat bahagian yang asasi. Bahagian puncaknya, dengan buah butungnya, dengan kubahnya, yang selalunya dibina dalam bentuk bulatan, adalah merupakan bahagian yang pertama. Di bawah dari struktur yang bulat ini – atau kadang-kadang di nusantara dibuat dengan bentuk yang agak berbeza, sebagai variasi daripadanya – ada satu struktur yang menanggung kubah itu, yang kadang-kadang diberikan bersegi lapan, atau diberikan lapan tiang untuknya…. “ dan seterusnya Allahyarham membicarakan mengenai pembinaan bangunan masjid di nusantara secara umumnya.

Menariknya pada para terakhir muka surat 109, beliau menyebut: “Selain itu arah kiblat masjid itu adalah bahagian yang dipanggil mihrab, satu cerok yang tersendiri, dibina di dinding ke arah kiblatnya.”

Kaitannya di sini ialah masjid yang dikatakan menyerupai rumah ibadat agama lain itu tetap mengadap ke arah satu kiblat, dalam erti kata lain ia bertauhidkan kepada Tuhan yang Esa? Manakala kita ketahui bahawa berbagai agama rumah ibadatnya menghadap ke berbagai arah yang berbagai, tidak ada keseragaman dalam matlamat pembinaan rumah ibadat mereka, manakala masjid atau sesiapapun apabila hendak solat wajib mengadap ke arah kiblat.

Ini adalah syarat dan rukun, dalam pembinaan sesebuah masjid, bukan soal tentang ada rupa seperti kepala naga atau berhala maka itu membuktikan pembinaan masjid itu menerima liberalisme.

Allahyarham menyebut lagi; “mimbar tempat khatib membaca khutbah pula dibinakan sedikit ke kanan; kalau dilihat dari pemandangan khatib pula, maka mimbar itu adalah terkiri sedikit” (rujuk muka surat 110).

Manakala jika hendak disamakan dengan keadaan paderi Kristian yang memberi khutbah ketika di dalam gereja, kita akan dapati kedudukan paderi itu ada antaranya berucap di tepi sebelah kanan dan ada juga kedudukannya berada di sebelah kiri. Ikut keselesaan paderi, bukannya ikut sunnah sebagaimana kita umat Islam akan meletakkan kedudukan mimbar itu di sudut yang telah ditetapkan mengikut sunnah.

Kemudian Allahyarham membicarakan pula mengenai kerohanian dalam pembinaan masjid dengan menulis:

“…seluruh masjid dalam pembinaan tradisionalnya adalah menggambarkan kosmologi, atau gambaran alam semesta dengan taraf-tarafnya, sebagaimana yang diisyaratkan oleh Al-Qur’an al-Karim sendiri.

Kalau mengikut gambaran Al-Qur’an, sesuatu perintah itu sebelum sampai timbul dalam alam maya ini kenalah melalui ‘tingkatan-tingkatannya’ seperti bermula dari Tuhan, kemudian turun kepada ‘Arsh, kemudian kepada Kursi, kemudian kepada alam malaikat, dan selepas mengalami peringkat-peringkat yang dikehendaki, barulah sesuatu itu timbul dalam alam zahir dan berupa makhluk.

Seperti pokok-pokok, haiwan atau benda-benda yang tidak bernyawa; maka tingkatan-tingkatan alam ini diisyaratkan oleh binaan sebuah masjid dalam Islam. Atau kalau mengikut pembahagian alam yang paling sederhana dalam pemikiran Islam, alam ini adalah terbahagi kepada peringkat Alam Lahut, yang paling hampir kepada kehadiran Tuhan, Alam Malakut dengan dzat-dzat kemalaikatan di dalamnya, dan akhir sekali Alam Nasut dengan kehidupan yang bermain di sekitar kehidupan bani Adam; maka ketiga-tiganya ini dilambangkan oleh binaan sebuah masjid, dengan maksud-maksud yang tertentu.”

Perbandingan pendekatan memahami seni bina masjid yang dibawa oleh Allahyarham Dr. Muhd Uthman el-Muhammady dengan apa yang di ketengahkan oleh Dr. Mohd Tajuddin sangat jauh berbeza.

Contohnya dalam bab bumbung masjid Dr. Mohd Tajuddin kaitkan dengan pembinaan kuil Cina, dan ini beliau sebut pada para empat artikelnya di Utusan. Dan agak melampau apabila beliau menyebut: “Saya amat gemar menunjukkan seni bina masjid yang tidak berkubah ini dalam ceramah saya untuk membuktikan bahawa bahasa seni bina Eropah yang digunakan membina istana, villa, gereja dan bangunan institusi digunakan juga untuk senibina masjid”.

Kenyataan ini seolah-oleh beliau maksudkan; jika kita boleh tiru seni bina istana orang Eropah yang beragama Kristian untuk membina masjid, maka tidak salah juga sekiranya kita hendak ambil atau meniru cara ibadat mereka?

Dan jika dikatakan boleh dan tidak salah maka tentulah tidak salah jika kita hendak mengambil pendekatan pluralisme yang dipelopori oleh golongan liberalisme dalam konsep pemikiran dan menjadikannya sebagai budaya dalam kehidupan seorang muslim. Tujuannya hendak membina kesamarataan dalam ibadah dan kehidupan.

Seterusnya Allahyarham Dr. Muhd Uthman el-Muhammady memberi jawapan kepada kecelaruan mereka yang merapu dalam memberi interpretasi yang menyeleweng mengenai pembinaan masjid jauh melencong daripada menuruti prespekti Islam, Allahyarham menyebutnya 40 tahun yang lalu dalam tajuk: “Beberapa Simbol Dan Maksudnya Dalam Islam”, pada muka surat 113 di para pertama;

“Di sini perlu dijelaskan untuk kepentingan mereka yang mungkin TERKELIRU dan memberi interpretasi yang MENYELEWENG dari apa yang dimaksudkan. Maksudnya bukanlah Islam sebagai satu tamadun tidak menghargai ketepatan yang berbentuk faktual atau maklumat secara zahir.

Itu Islam hormatkan juga oleh sebab itu adalah percikan daripada Kebenaran, bila sampai ketikanya dan bidangnya Islam hormatkan ini dalam ajarannya. Tetapi Al-Qur’an dalam menyatakan alam tabii sebagai yang dijelaskan di atas – antara lain-lainnya – ada mempunyai tujuan yang berbeza.

Dengan itu sia-sia sekalilah kalau dijadikan Al-Qur’an itu sebagai buku astronomi, atau ilmu hayat dan lain-lain, walaupun kadang-kadang ada ketepatan faktual diletakkan di bawah ketepatan simbolisme untuk keselamatan manusia.”

Kesimpulannya, saya tidaklah terkejut sangat atau teruja untuk mengikuti tulisan Dr. Mohd Tajuddin, yang juga ahli DAP dan diketahui sangat menebal dalam memperjuangkan fahaman liberalisme sama seperti Anwar Ibrahim dengan pluralisme, tetapi saya lebih kepada hendak menyelamatkan umat Islam daripada terpengaruh dengan idea-idea akalnya yang tidak ada sandaran langsung kepada mana-mana kitab muktabar ulama yang ada hubung kait dengan kerohanian dalam pembinaan sebuah bangunan masjid.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top