Malaysia Baru, Budaya Baru

KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2019 - Persoalannya adakah budaya tidak bertamadun ini yang hendak diterapkan oleh Kementerian Pendidikan ke dalam minda anak-anak muda Malaysia, dan inikah harapan para ibu bapa dalam pendidikan terhadap anak-anak mereka supaya membesar dengan pengaruh budaya taboo yang keterlaluan ini?

Inikah juga yang dikatakan kebebasan berfikir yang membuka minda rakyat dengan penerapan nilai-nilai moral peruntuh tamadun yang harus dipelajari oleh masyarakat terutamanya umat Islam?

Mungkin tidak keterlaluan mengatakan agama lain juga tidak bersetuju dan tidak menggalakkan budaya seperti ini diterapkan sebagai langkah-langkah awal bagi mendidik anak bangsa generasi Malaysia Baru. Kerajaan Pakatan Harapan beranggapan bahawa ini bukanlah budaya yang menjolok mata tetapi budaya yang memajukan minda anak-anak muda menjadi lebih bijak, cerdik dan cepat matang supaya layak mengundi di usia 18 tahun.

Jika demikian hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia, maka MUAFAKAT menggesa Menteri Pendidikan dan Timbalannya meletak jawatan dengan segera kerana terang-terangan mempromosi nilai hidup bernafsu kebinatangan di peringkat sekolah. Langkah ini perlu sebelum budaya ini menjadi modul pendidikan untuk anak-anak muda di peringkat sekolah.

Program Malaysia Medalist Dancesport Championship 2018 yang telah berlangsung pada 17 Mac yang lalu di SJK (C) Yuk Chai, Taman Megah, Petaling Jaya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, ternyata suatu yang memalukan dan tidak sepatutnya kementerian terlibat sama dalam perkara mungkar seperti ini.

Atas alasan apa sekalipun, malangnya program itu telahpun berlangsung dan pencemaran minda terhadap anak-anak muda sudahpun berlaku, MUAFAKAT berasa sangat dukacita akan perkara ini. Ia sesuatu yang amat sukar diterima, seolah-olah menggambarkan inilah dasar pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia yang baru.

Memaafkan pihak penganjur atas keterlanjuran itu satu perkara, namun hukuman atau denda perlu dijalankan dengan mengikut piawaian dan syarat-syarat yang diperuntukkan apabila penganjur melanggar dasar Rukun Negara iaitu KESOPANAN DAN KESUSILAAN,jika tidak kejadian ini akan terus-menerus berulang dan permohonan maaf akan dijadikan sebagai alasan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan tatatertib dan ianya perlu dilaksanakan kerana negara kita adalah sebuah negara yang kerajaannya bermoral dan punya integriti yang tinggi.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top