Usaha Dakwah Selaras Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 24 JUN 2019 - MUAFAKAT ingin memberi amaran kepada mana-mana ahli politik agar tidak memberikan tafsiran yang salah berkenaan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan.

2. Ini merujuk kepada tindak balas Ahli Parlimen Batu Kawan, YB Kasthuriraani Patto berkenaan sasaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk mengIslamkan semua Orang Asli di negeri itu dalam tempoh 30 tahun lagi.

Rujuk: https://www.malaysiakini.com/news/480726?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

3. Melalui artikel ‘Let Orang Asli practice their faith freely’ yang disiarkan di dalam Malaysiakini pada 22 Jun 2019, Ahli Parlimen tersebut menyatakan bahawa Orang Asli berhak menganuti dan mengamalkan agama mereka yang berbentuk animisme selaras dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

4. Beliau menambah sebarang usaha untuk mempengaruhi atau menghalang Orang Asli daripada mengamalkan kepercayaan mereka secara bebas boleh dianggap dan disifatkan sebagai melanggar kebebasan beragama sebagai perkara asas dalam Perlembagaan.

5. Beliau turut menyatakan bahawa sebarang usaha untuk mengIslamkan Orang Asli akan menjadi batu penghalang kepada perpaduan nasional.

6. MUAFAKAT berasa amat kesal apabila terdapat Ahli Parlimen yang masih tidak jelas kedudukan Islam di dalam Perlembagaan sehingga mahu mempertikaikan usaha dakwah yang dilakukan oleh institusi-institusi agama Islam sejak sekian lama.

7. Perkara 11 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa: “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.” [Rujuk perenggan ke 8 keterangan Perkara 11 (4)].

8. Sebagai suatu keterangan, Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan Negeri atau kerajaaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

9. Kedua-dua peruntukan Perkara 11 (1) dan 11 (4) bukan sahaja secara jelas menunjukkan bahawa usaha dakwah Islam adalah selaras dengan Perlembagaan, malah hak dan keistimewaan agama Islam jelas diletakkan di tempat tertinggi apabila usaha pengembangan agama-agama lain terhadap umat Islam di Malaysia adalah tidak dibenarkan.

10. Oleh itu tidak timbul bahawa isu berdakwah dan mengIslamkan penduduk Orang Asli sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

USAHA DAKWAH DIJALANKAN SECARA HIKMAH

11. MUAFAKAT menyambut baik kerjasama MAIK dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan pelan dakwah berasaskan tiga modul yang merangkumi penyediaan profil Orang Asli, kurikulum dakwah yang seragam dan latihan kepada pendakwah (TOT).

12. Ini jelas menunjukkan bahawa usaha dakwah tersebut bebas dari unsur-unsur pemaksaan dan penipuan seperti yang digembar-gemburkan malah meraikan kebebasan beragama Orang Asli memilih agama Islam tanpa sebarang pemerasan.

13. Dakwaan bahawa proses pengIslaman membawa perpecahan kepada perpaduan nasional juga tidak berasas. Ini kerana Islam mengajar orang yang baru menganut Islam untuk mengekalkan hubungan baik sesama keluarga terutamanya ibu dan bapa mereka. Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr. Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, setakat ini kira-kira 5,000 dari 16,000 Orang Asli di pedalaman negeri ini sudahpun menganut agama Islam.

14. Dengan jumlah penganut baru yang signifikan tersebut belum pernah kedengaran ketegangan kaum berlaku akibat pertukaran agama.

15. MUAFAKAT percaya antara faktor-faktor yang menyebabkan perpecahan perpaduan nasional adalah sekiranya apabila ada pihak-pihak tidak berkaitan cuba mencampuri urusan agama Islam seperti mempelawa pihak termasuk non muslim untuk meniai isu-isu pendidikan Islam atau menghalang penambahbaikan undang-undang Syariah yang hanya mempengaruhi orang-orang Islam melalui pindaan Akta mahkamah Syariah atau RUU 355.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top