Muafakat: Dua Perkara Sahaja Jalan Penyelesaiannya

KUALA LUMPUR, 13 JUN 2019 - Berbagai reaksi timbul ekoran dari sebaran video yang menggambarkan perbuatan luar tabie antara dua lelaki, sama seperti kes yang dahulunya membabitkan seorang tokoh yang diwar-warkan juga bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Dari awal lagi MUAFAKAT tidak berminat untuk terbabit dalam drama luar tabie ini. Tetapi terpanggil apabila Mufti Wilayah memberi empat cadangan sebagai jalan penyelesaian kemelut ini yang bagi MUAFAKAT memadai dua sahaja, baik kaedah Islam mahupun melalui perundangan negara yang memang telah sedia ada.

Pandangan Mufti ini timbul apabila beberapa hari yang lalu, drama ini jadi semakin panas bila pelaku iaitu Haziq yang juga merupakan Ketua Pemuda PKR Santubong mengaku bahawa dialah yang sebenarnya individu yang terlibat dalam adegan video seks bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkenaan.

Namun, Menteri berkenaan menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkan bahawa ia merupakan taktik jahat untuk menamatkan kerjaya politiknya. Dan kemudian muncul pula pengakuan kenalan Haziq yang mengatakan Haziq adalah mangsa pencaturan politik dalam PKR.

Bagi MUAFAKAT, jalan penyelesaiannya adalah mudah sahaja dengan menyandarkan kepada pengalaman siri drama panjang yang membabitkan tokoh yang bukan hanya hebat di pentas politik tetapi juga dalam dakwah Islam di mata ikhwan seluruh dunia sebagai ikon pejuang Islam Moderat.

Kini dilihat terkial-kial cuba naik semula melalui agenda pluralisme agama yang didokong bersama oleh pentaksubnya majoriti dari kumpulan Islam Liberal.

Pertama: Mengikut kaedah Islam, Menteri berkenaan yang dikatakan dirinya difitnah dalam video tersebut hendaklah mengangkat SUMPAH menafikan di hadapan para jamaah di mana-mana masjid jamek (Juma’at) atas mimbar sebaik selesai solat bahawa yang di dalam video tersebut bukannya beliau.

Kedua: Ikut prosedur perundangan yang ada iaitu menyaman Haziq kerana menyebar fitnah melalui pengakuan secara terbuka dalam rakaman video bahawa dia melakukannya dengan Menteri tersebut.

Dan biar mahkamah membicarakan keduanya, Haziq dan menteri berkenaan, sama ada ia fitnah atau tidak, dan menghukum siapa yang bersalah. SOP sudah ada maka ikutlah rule of law, sebagaimana yang sering dilaungkan oleh Perdana Menteri kita.

Cukup dua perkara ini bagi menyelesaikan drama ini daripada berpanjangan, tidak perlu sehingga empat perkara sebagaimana yang dicadangkan oleh Mufti Wilayah. Kita ada peguam dan kita ada hakim, biar mereka menentukan kes luar tabie ini.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Rujukan Kitab Kanun Undang-undang Negeri Melaka Bab Liwat;

Kitab Kanun Undang-undang Negeri Melaka Bab Liwat

JENAYAH LIWAT DAN PROSEDUR PERBICARAANNYA ZAMAN KESULTANAN MELAKA

Jenayah liwat dan prosedur perbicaraannya berdasarkan Hukum Kanun Melaka. Dalam Hukum Kanun Melaka jelas sekali Kesultanan Melaka mengamalkan hukum hudud, qisas dan takzir dalam jenayah. Riba jelas sekali diharamkan dalam seluruh urusan perniagaan. Perbicaraan juga mengamalkan sistem perbicaraan Islam dengan sedikit campuran unsur adat.

1. Adakah liwat satu jenayah dalam Kesultanan Melaka?

Iya. Pada fasal 45 menyatakan; “Bermula hukum liwat dan menyertai (menyetubuhi) binatang (hukumnya) seperti dalam zina juga.”

2. Di manakah perbicaraan dijalankan?

Perbicaraan dijalankan di Masjid Jumaat (jamek). Fasal 43 menyatakan “Peri sumpah yang diperbesar sekehendak hati yang menyumpahi masjid jumaat atas mimbar.”

3. Siapakah hakim yang mengadili perbicaraan?

Hakim yang mengadili perbicaraan dipanggil Kadi. Fasal 43 menyatakan “Saksi pada orang yang menuntut, sumpah atas yang mungkir, tidak dapat tiada beracara (mesti dibicarakan) kepada kadi.”

4. Bagaimana prosedur perbicaraan?

Prosedur perbicaraan mengikut kaedah Islam. Fasal 43 menyatakan “Peri yang menuntut (mendakwa) dan yang dituntut (tertuduh). Dan daripada Rasulullah SAW “البينة على المدعي واليمين على من أنكر , Saksi pada orang yang menuntut, sumpah atas yang mungkir.”

5. Bagaimana sekiranya terdapat pengakuan meliwat?

Pengakuan atau ikrar orang yang meliwat diterima sekiranya diikrarkan di hadapan hakim (kadi). Fasal 40 menyatakan “Peri ikrar dua perkara. Seperkara pada hak Allah seperti minum (arak) dan zina (termasuk liwat) dan kedua pada hak manusia.”

6. Adakah wujudnya garis panduan etika hakim (kadi) zaman Kesultanan Melaka?

Iya sudah tentu. Fasal 43 menyatakan “Tiada bagi hakim (kadi) menghukumkan pada ketika amat panas dan pada ketika amat dingin dan pada ketika amat lapar dan pada ketika amat kenyang dan pada ketika hendak tidur (mengantuk). Dan haram pada hakim menerima hadiah orang yang membawa hadiah kepadanya……”

Sesungguhnya Hukum Kanun Melaka ini sangat istimewa kerana ianya antara bukti ketinggian tamadun Kesultanan Melaka.

Top