Isu Pencemaran Toksik Di Johor Bharu

KUALA LUMPUR, 20 Mac - Dari 7hb Mac sehingga ke hari ini, tragedi pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Johor, ternyata tidak berkurangan malah semakin membimbangkan. Sehingga kenyataan ini ditulis, media melaporkan mangsa terkena pencemaran kini meningkat sekitar 1000 orang dan sekitar 500 orang pula telah dimasukkan ke hospital yang melibatkan kebanyakannya murid-murid sekolah, sementara 111 sekolah pula telah ditutup.

Sebelum tragedi berlaku ada pihak mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menguruskan kawasan yang berpontensi menjadi malapetaka; ironisnya diberitakan kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta sebagai bantuan segera. Namun laporan pencemarannya tidak menunjukkan bencana ini ditangani dengan segera dan berkesan.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak sensitif mengenai isu ini, dan gagal menunaikan tanggungjawab serta mengabaikan kewajipan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan orang ramai. Oleh yang demikian Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia atau MUAFAKAT melihat tragedi ini sebagai satu malapetaka terhadap rakyat terutamanya orang Melayu yang menjadi mangsa atas angkara ini yang sehingga hari ini masih disembunyikan identiti yang terbabit.

Amat mendukacitakan membaca laporan media mengenai kenyataan Menteri Besar yang mengatakan: “Pencemaran ini bukannya perkara besar.” Sikap ketidakpedulian mendalam kepada mangsa-mangsa tragedi ini terbukti apabila beliau meninggalkan tanggungjawabnya terhadap mangsa pencemaran di Sungai Kim Kim Johor, dan keluar negeri di saat-saat genting ini, sehingga mendapat kritikan hebat dari warganegara prihatin.

Justeru, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia atau MUAFAKAT menuntut supaya kerajaan negeri membayar pampasan kepada mangsa pencemaran tersebut, atas kegagalan kerajaan negeri menguruskan tragedi ini dengan baik. MUAFAKAT juga mengesa Dewan Undangan Negeri Johor Darul Takzim perlu dibubarkan dan mandat diberi kepada rakyat untuk memilih kerajaan baru yang lebih prihatin kepada mereka, dan mendesak ditubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyelidik dan mendapatkan maklumat terperinci, untuk kemudiannya mencadangkan langkah-langkah pemulihan, memandangkan ia melibatkan nyawa orang ramai.

Haji Rashidi Haris
Ketua Media MUAFAKAT

Top