Apakah Prinsip Kebenaran Masih Relevan Dalam Kehidupan Rakyat Era Pasca-Kebenaran Malaysia Baru?

Print

BANGSAR, 28 Disember - Dalam dunia politik, era dimana kita berada ketika ini, disebut era pasca-kebenaran atau pasca-fakta yang mana kebenaran dan kepalsuan boleh sahaja disimulasi dan dimanipulasi bagi memenuhi matlamat tertentu. Dalam dunia sains, sekarang ini disebut era pasca-positivisme yang mana kebenaran sains yang selama ini hanya diukur berdasarkan pengalaman empirikal telah dipertikaikan malah dinafikan kebenarannya. Dalam dunia falsafah pula, pemikiran pasca-modenisme diterima paling berpengaruh dalam menentukan corak kehidupan manusia global dengan tersebarluasnya idea-idea relativisme, pluralisme dan anarkisme. Bagi pasca-kebenaran, pasca-positivisme dan pasca-modenisme, KEBENARAN TIDAK LAGI HAKIKI (REAL) TETAPI NISBI (RELATIVE). Persoalannya adakah KEBENARAN YANG HAKIKI DAN TETAP itu masih relevan dan diperlukan oleh rakyat di negara ini dalam konteks Malaysia Baru Era Pasca-Kebenaran yang serba-serbi nisbi/relatif ini?

Hari demi hari semakin sukar untuk rakyat Malaysia mengenalpasti dan mengetahui apakah berita yang mereka perolehi benar atau palsu. Pelbagai berita dan fakta yang keluar dimedia dalam waktu yang singkat bertukar taraf menjadi “berita palsu” atau “fake news”. Peristiwa-peristiwa penting di Tanah Air yang berlaku ditanggap, ditafsir dan dihebahkan dalam pelbagai versi dan edisi mengikut kepentingan kelompok dan ideologi masing-masing. Percanggahan dan sanggahan berita dan fakta dikemukakan oleh satu pihak terhadap pihak yang lain tanpa rakyat memahami siapa yang benar siapa yang silap. Masing-masing menggerakkan gerombolan cybertrooper untuk menyerang, mematahkan dan mempropagandakan naratif masing-masing tanpa mengambil-kira prinsip-prinsip kebenaran tetapi semata-mata untuk kemenangan persepsi dan pengaruh. Media sosial yang kebetulan menjadi gelanggang utama bagi menjayakan konsep-konsep utama pasca-modenisme seperti realiti buatan dan simulasi realiti mempermudahkan lagi kebenaran ditukarkan menjadi “kepalsuan” dan begitu juga kepalsuan menjadi “kebenaran” untuk disumbatkan dalam benak pemikiran rakyat Malaysia.

Isu sama ada kebenaran ini masih relevan atau diperlukan bagi kehidupan rakyat Malaysia Baru dalam era pasca-kebenaran menjadi lebih meruncing apabila kita menyaksikan tokoh-tokoh pemimpin dan politik nasional yang sering melakukan pusingan U dalam kenyataan-kenyataan mereka. Kebenaran pada hari ini akan bertukar menjadi kepalsuan pada hari esok bergantung kepada konteks, kepentingan dan ideologi tokoh pemimpin dan politik tersebut. Tokoh-tokoh agama dan aktivis nasional juga tidak ketinggalan tumpang sekaki dengan menjustifikasikan kebenaran dan kepalsuan yang telah bertukar-tukar dilakukan oleh tokoh-tokoh pemimpin dan politik nasional itu tadi. Akhirnya rakyat dikelirukan dengan tingkah-laku menisbikan kebenaran dan kepalsuan gandingan antara tokoh-tokoh pemimpin, politik, agama dan aktivis ini sehingga jelas kelihatan kuasa, pengaruh dan kedudukan melenyapkan kebenaran, keadilan dan kebijaksanaan.

Tokoh tersohor Atheis global, Daniel Dennett – seorang profesor falsafah dan ahli sains kognitif terkemuka menyebut bahawa pemikiran dan falsafah pasca-modenisme bertanggungjawab terhadap penularan gejala pasca-kebenaran yang sedang berleluasa dalam kehidupan masyarakat dunia hari ini. Bagi Dennett yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan itu, pasca-modenisme merupakan kemungkaran dan kejahatan semasa yang telah mencabut prinsip, makna dan hakikat kebenaran. Jika Daniel Dennett, seorang Atheis yang sangat berpengaruh dalam menyebarkan penafian tentang wujudnya Tuhan khususnya dalam bidang penyelidikan falsafah, psikologi dan biologi itupun menyebutkan tentang bahaya dan bencana kemungkaran dan kejahatan pasca-modenisme keatas kehidupan manusia, bagaimana pula sikap dan pandangan orang-orang yang beragama dan menerima wujudnya Tuhan khususnya kita umat Islam di Malaysia ini?

Antara tokoh utama yang telah mempelopori pemikiran dan falsafah pasca-modenisme ialah Jean-Francois Lyotard, ahli falsafah, sosiologi dan sastera dari Perancis. Dalam karya klasik pasca-modenisme karangan Lyotard, “The Postmodern Condition: A Report on Knowledge”(1979), beliau mengemukakan definisi paling mudah bagi pasca-modenisme iaitu “incredulity towards metanarrative” atau “ketidakpercayaan atau penolakan kepada naratif-naratif besar/lebih tinggi/induk”. Antara peranan utama naratif-naratif besar/lebih tinggi/induk dalam sesebuah masyarakat seperti agama, sosio-budaya dan tradisi ialah menyediakan prinsip dan kerangka kebenaran dalam kehidupan mereka secara individu dan kolektif. Sikap dan sifat ketidakpercayaan juga penolakan terhadap naratif-naratif agama, sosio-budaya dan tradisi dikalangan kelompok-kelompok minoriti vokal berpengaruh masyarakat Malaysia akibat pengaruh pasca-modenisme telah sedikit demi sedikit menghilangkan pegangan prinsip dan kerangka kebenaran dikalangan rakyat Malaysia ketika ini.

Sikap dan sifat pasca-modenisme sepertimana yang dikemukakan oleh Lyotard, “ketidakpercayaan atau penolakan kepada naratif-naratif besar/lebih tinggi/induk” ini akan meminggirkan kepentingan dan penghayatan prinsip dan kerangka kebenaran yang hakiki lagi tetap dan sebaliknya akan memunculkan “kebenaran-kebenaran yang disimulasi atau dimanipulasi “ bagi memenuhi kehendak dan kepentingan kelompok dan ideologi masing-masing. Justeru kita menyaksikan kemunculan pelbagai sub-naratif kelompok yang lebih berteraskan ideologi, strategi dan survival politik bagi mendapatkan atau mengekalkan kuasa, pengaruh dan kedudukan masing-masing. “Prinsip dan kerangka kebenaran baru” hasil simulasi dan manipulasi yang dikemukakan oleh kelompok-kelompok yang saling bertentangan ini tidak lagi merujuk kepada metanaratif atau naratif-naratif besar/lebih tinggi/induk agama, budaya dan tradisi tetapi atas “permainan” politik, ideologi dan strategi kuasa, pengaruh dan kedudukan. Dalam ertikata yang lain tiada lagi persamaaan rujukan atau panduan lebih besar dan tinggi bagi prinsip dan kerangka kebenaran dikalangan kelompok rakyat Malaysia yang saling mempromosikan agenda dan naratif yang saling bertentangan ini.

Sebagai rakyat Malaysia yang sedar dan insaf tentang bahaya dan bencana pemikiran pasca-kebenaran, pasca-positivisme dan pasca-modenisme ini khususnya dalam gejala penisbian atau relativisme prinsip dan kerangka kebenaran, hal ini jika berterusan akan membawa kehancuran nilai bagi rakyat dalam negara ini khususnya bagi generasi masadepan. Sekiranya prinsip dan kerangka kebenaran tidak lagi menjadi keutamaan dan tumpuan para pemimpin, ahli politik, agamawan dan aktivis Tanah Air, maka kekeliruan dan kecelaruan nilai akan tersebar-luas dalam kehidupan rakyat. Ini akhirnya akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan rakyat Malaysia sendiri terutamanya bila gejala dan fenomena relativisme, pluralisme dan anarkisme kebenaran menjadi amalan dan penghayatan hidup sama ada secara sedar mahupun tidak sedar.

Sebagai sebuah masyarakat dan negara yang masih meyakini tentang peranan agama, budaya dan tradisi, Malaysia Baru mestilah mengembalikan peranan dan panduan prinsip dan kerangka kebenaran dalam kehidupan politik, agama, sosial dan ekonomi. Simulasi dan manipulasi berita, fakta dan data politik, ekonomi, sosial malah agama yang memang menjadi ciri-ciri utama pasca-kebenaran, pasca-positivisme dan pasca-modenisme mestilah dibendung oleh tokoh-tokoh politik, agama dan aktivis Tanah Air. Janganlah kita terjebak kembali ke zaman Greek kuno lebih 2500 tahun yang lalu menjadi penggiat dan pemangkin kenisbian/relativisme kebenaran yang dikenali sebagai SOPHIST atau SUFASTAIYYAH dalam tradisi keilmuan Islam yang menggunakan ketrampilan retorik dan politik untuk mengaburi pemikiran masyarakat Greek demi memperoleh kuasa, pengaruh dan kedudukan. Jika para sarjana keilmuan Islam dalam tradisi Kalam pernah dahulu berusaha menjelaskan bahaya dan bencana SUFASTAIYYAH Greek ini, maka ketika ini perlu pula kita mengingatkan rakyat, masyarakat dan umat tentang bahaya dan bencana SOPHIST/SUFASTAIYYAH MODEN ketika ini atas nama pasca-kebenaran, pasca-positivisme dan pasca-modenisme.

Tulisan Naratif Nusantara Ke-61

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.