Pasca Himpunan Aman Anti ICERD - Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 14 Disember - HIMPUNAN aman anti ICERD telah berjalan dengan penuh tertib berdisiplin dan aman pada 8 Disember lalu. Walaupun saya sendiri tidak berkesempatan menyertainya kerana berada di luar negara yang mana telah lebih lapan bulan dijadualkan dahulu tetapi saya mengikuti perjalanan himpunan aman ini dengan penuh keterujaan.

Alhamdulillah himpunan aman ini berjaya menzahirkan ajaran agama Islam dan akhlak umatnya. Berbeza dengan himpunan sebelum ini di mana terdapat kekacauan, herdikan terhadap pemimpin tertentu, memijak gambar orang tertentu dan banyak lagi yang merupakan manifestasi kebejatan akhlak sebahagian peserta himpunan tersebut, kali ini semua pujian diberikan kepada penganjur termasuklah kebersihan yang dijaga rapi.

Tidak lupa juga tahniah diucapkan kepada pihak kerajaan khususnya pasukan polis yang memastikan kelicinan himpunan aman tersebut tanpa sebarang gangguan. Malah perhimpunan kali ini mencipta pelbagai rekod seperti paling berdisiplin, paling aman, paling bersih (walaupun bukan himpunan Bersih) dan banyak lagi.

Nampak gayanya, selain dari sukan khususnya bola sepak, perjuangan membantah ICERD dengan jelas dapat menyatukan orang Melayu Islam tanpa mengira pegangan politik.

Ramai juga yang memperlekehkan perhimpunan aman ini dengan pelbagai alasan yang remeh termasuklah lebih baik membeli persiapan anak-anak bersekolah daripada menggunakan wang untuk menghadiri himpunan aman ini. Walhal orang yang menyatakan sedemikian merupakan mantan ‘jagoan’ dalam demonstrasi suatu ketika dahulu.

Yang menjadi musykil dan menyebabkan himpunan ini diteruskan ialah walaupun keputusan jemaah menteri itu jelas tetapi tidak disambut sekata oleh menteri secara individu. Pelbagai komen menongkah arus dibuat beberapa menteri seolah-olah mereka sendiri tidak berpuashati dengan keputusan jemaah menteri. Oleh yang demikian umat Islam arus perdana tidak mempunyai jaminan yang tuntas berhubung perkara tersebut.

Diperingkat bawahan pula penyokong kerajaan secara berleluasa memperlekeh dan memberi pelbagai label kepada penyokong anti-ICERD. Hal yang demikian tidak memberi sebarang pilihan lain kepada penyokong anti ICERD selain meneruskan bantahan.

Namun ia sudah berlalu, kini timbul persoalan lain pula. Persoalan kini ialah apa yang akan berlaku pasca himpunan aman 812 ini? Bagi saya umat Islam perlu jadikan himpunan aman ini sebagai pemangkin kesatuan umat, bersatu dalam erti kata sebenar dalam isu yang berkaitan dengan agama Islam, Melayu dan raja-raja Melayu. Bagi pihak kerajaan pula mereka mestilah lebih peka kepada kehendak umat Islam arus perdana yang merupakan majoriti rakyat Malaysia. Norma lazim yang sudah digarap ramuannya menjadi kejayaan kesatuan rakyat Malaysia janganlah dibolosi sehingga menjadikan ia tidak lagi lunak untuk dirasai.

Mungkin sebahagian kalangan yang sudah duduk di tampuk kuasa alpa perhitungan sebenar mereka sebelum berkuasa tetapi jadikanlah kritikan dari rakyat sebagai suatu panduan kepada mereka dalam melaksana sebarang dasar yang melibatkan orang Melayu agama Islam dan raja-raja.

Mereka kini adalah kerajaan bagi seluruh rakyat Malaysia bukan hanya bagi yang mengundi mereka sahaja. Kerajaan sepatutnya lebih mesra kepada pengkritik mereka bukan menyenaraihitamkan mereka dan memukul rata semua yang mengkritik itu mempunyai motif politik. Terdapat begitu ramai cendiakawan, NGO dan badan-badan yang memuji dan mengkritik kerajaan tanpa motif politik namun suara ini dinyahkan dari sebarang pertimbangan pihak kerajaan.

Natijahnya kalangan tersebut akan menjadi lebih lantang bersuara kerana pihak kerajaan tidak menghiraukan mereka. Dalam banyak keadaan bukan sahaja tidak dihiraukan tetapi diperlekeh dan diklasifikasi sebagai ‘orang politik’ pula.

Himpunan aman ini juga merupakan manifestasi kepada dunia luar betapa kentalnya jiwa umat Islam mahu mempertahankan agama Islam. Norma asing yang tidak sesuai diamalkan di negara ini mesti ditolak di samping memastikan keluhuran Perlembagaan dijaga rapi. Saya bersyukur apabila membaca banyak komentar positif yang ditulis oleh rakyat Malaysia dan masyarakat luar selepas himpunan aman tersebut. Komentar tersebut pula ditulis orang orang Melayu dan bukan Melayu yang berfikiran terbuka dalam sesuatu perkara. Tinggallah mereka yang menutup minda, memejam mata, memekak telinga daripada mengambil sebarang pengajaran daripada himpunan aman tersebut.

Himpunan aman itu menyulam pelbagai pengajaran. Semua pihak harus mengambil inisiatif sendiri bagi melihat Malaysia lebih maju, aman dan berjaya, ulas Zainul Rijal Abu Bakar (Gambar).

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/pasca-himpunan-aman-anti-icerd-1.915261

 
Top