Memperkenalkan Kaedah Berfikir, Ilmu Logik, Pendekatan Analitik Dan Sistematik Dalam Memahami Dan Menghayati Agama Bagi Umat Melayu Islam Dalam Mendepani Cabaran Iman, Ideologi Dan Ilmu Global Semasa

BANGSAR, 13 November - Hujattul Islam Imam Al-Ghazali menulis banyak buku-buku tentang kaedah berfikir, logik dan analitik dalam pengkaryaan beliau termasuklah Qistas al-Mustaqim, Mihak al-Nazar, Mi’yar al-Ilm, Mantiq dalam Maqasid al-Falasifah dan Muqaddimah Mustasyfa fi Usul-Fiqh. Imam Al-Ghazali yang lebih dikenali di rantau Nusantara ini sebagai tokoh ulama Tasawwuf/Sufi jelas memiliki daya rasional, logikal, analitik dan sistematik yang luar biasa dalam pengungkapan ketiga-tiga cabang pokok agama Islam iaitu akidah, syari’ah dan akhlak atau secara disiplin ilmunya disebut Kalam, Usul-Fiqh/Fiqh dan Tasawwuf. Kefahaman dan penghayatan baru dikalangan Umat Melayu Islam bahawa Imam Al-Ghazali bukan sekadar ulama Tasawwuf/Sufi semata-mata malah merupakan ulama yang telah berjaya merekayasa acauan dan adunan seimbang antara Kalam, Usul-Fiqh/Fiqh dan Tasawwuf sangat perlu kita teladani dan hadamkan pada saat ini. Ini kerana cabaran Iman, Ideologi dan Ilmu semasa yang kita hadapi berkehendakkan ketiga-tiga ramuan keagamaan Islam ini sekaligus terutamanya Ilmu Kalam yang bertindak sebagai asas-teras-paksi keimanan dan ketawhidan kepada Allah SWT yang menjadi sumber dan rujukan bagi disiplin-disiplin ilmu yang lain termasuk Usul-Fiqh/Fiqh dan Tasawwuf.

Perihal memahami dan menghayati Islam berdasarkan pendekatan logik, rasional, analitik dan sistematik ini bukan sahaja terbatas kepada Imam Al-Ghazali tetapi ia sebenarnya telah menjadi identiti dan tradisi bagi sekian ramai para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak zaman berzaman selepas kewafatan Baginda Rasul SAW. Jika kita telusuri perkembangan tradisi Kalam Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Asha’irah dan Maturidiyyah sangat jelas para ulama utama mereka bermula dari Imam Al-Ash’ari dan Imam Al-Maturidi menggunakan pendekatan logik, rasional, analitik dan sistematik dalam menghuraikan ajaran-ajaran pokok Iman dan Tawhid. Selepas kedua-dua Imam Al-Ash’ari dan Imam Al-Maturidi; Imam Al-Baqillani, Imam Al-Baghdadi, Imam Al-Juwayni, Imam Al-Ghazali, Imam Al-Shahrastani, Imam Fakhr Al-Din Al-Razi, Imam Al-Baydawi, Imam Al-Taftazani, Imam Al-Iji, Imam Al-Sanusi, Imam Al-Jurjani, Imam Al-Laqqani sehinggalah Imam Al-Bajuri kesemuanya menghuraikan persoalan keimanan dan ketawhidan menggunakan pendekatan logik, rasional, analitik dan sistematik. Pekara ini sangat mustahak diketahui oleh Umat Melayu Islam bahawa para Imam-Imam besar akidah kita sangat mementingkan pendekatan kefahaman dan penghayatan Islam yang logik, rasional, analitik dan sistematik!

Tentang meluas dan mendalamnya pengunaan pendekatan logik, rasional, analitik dan sistematik dalam hal-hal pokok agama iaitu akidah, iman dan tawhid juga kemudiannya dikembangkan oleh mereka dalam hal-hal amaliyyah, syari’ah meliputi ibadah dan muamalah yang lebih dikenali sebagai Usul-Fiqh (Prinsip-Prinsip Fekah) dan juga Fekah (Ilmu furuk/cabang) itu sendiri. Sebab itu juga para tokoh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah disebutkan tadi memiliki tahap keilmuan yang hebat kerana berjaya menghasilkan kitab-kitab utama dalam tiga-tiga disiplin ini sekaligus iaitu Mantik/Logik, Kalam/Akidah dan Usul-Fiqh/Syariah. Jika kita teliti Imam Al-Ghazali, Imam Al-Razi, Imam Al-Baydawi, Imam Al-Taftazani mempunyai kitab masing-masing dalam bidang-bidang Mantiq, Kalam dan Usul-Fiqh. Tanpa mengetahui hakikat para ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah ini berusaha menggarap kefahaman dan penghayatan Islam melalui pendekatan logik, rasional, analitik dan sistematik, Umat Melayu Islam akan terus menyangka atau diperdaya bahawa akal, rasionaliti dan mantik/logik tiada tempat dalam usaha kita untuk mempelajari agama apatah lagi untuk menjadi orang Islam yang sempurna!

Umat Melayu Islam hari ini tidak mempunyai pilihan yang banyak dalam mendepani cabaran-cabaran utama yang melibatkan hal-hal Iman, Ideologi dan Ilmu melainkan mereka mengambil pendekatan logik, rasional, analitik dan sistematik terhadap agama mereka. Hal ini hanya boleh berlaku jika mereka benar-benar dapat mengerti dan menghayati pendekatan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mereka dakwa sebagai ikutan rasmi dan sejati mereka. Tidak mencukupi bagi mereka dengan berpendapat bahawa sekadar merujuk kepada Al-Qur’an dan Al-Hadith Sahih kita boleh mendepani cabaran-cabaran Iman, Ideologi dan Ilmu-Ilmu global semasa yang tumbuh dan terbit dari olahan-olahan khusus kaedah logik, rasional, analitik dan sistematik para pendokong anti-Iman, propagandis ideologi dan pengamal ilmu-ilmu kontemporari yang wujud unsur-unsur anti-agama, anti-tuhan dan anti-ruhani dalamnya. Inilah cabaran-cabaran yang lebih hakiki/real bagi Umat Melayu Islam yang simptom-simptom/manifestasinya terjelma dalam krisis dan kemelut politik, ekonomi, sosial dan budaya yang kita hadapi sekarang ini. Hal-hal yang tampak zahir dimata itu pada asalnya bermula pada benak hati dan fikiran seseorang terlebih dahulu terpendam sebelum meletus dipermukaan!

Inilah cabaran utama bagai Umat Melayu Islam pada peringkat orang awam dan lebih khususnya dikalangan ahli agamawan mereka iaitu menangani cabaran-cabaran Iman, Ideologi dan Ilmu-Ilmu secara logik, rasional, analitik dan sistematik sesuai dengan tabiat Iman, Ideologi dan Ilmu-Ilmu itu sendiri. Iman, Ideologi dan Ilmu-Ilmu memiliki satu persamaan iaitu kesemuanya terbentuk dari juzuk-juzuk formulasi konsep (tasawwur) dan pernyataan (tasdiq) yang menuju kepada definisi (takrif) dan pembuktian (hujah). Dalam Bahasa Metodologi Saintifik dan Epistemologi; Iman, Ideologi dan Ilmu-Ilmu kesemuanya bersifat Propositional atau berorientasikan premis-premis keyakinan yang mungkin benar atau palsu. Dari keyakinan benar atau palsu inilah struktur Iman, Ideologi dan Ilmu-Ilmu tertanam dijiwa manusia yang kemudiannya mempengaruhi tingkah-laku sehingga terbina pula institusi dan komuniti berdasarkan keyakinan-keyakinan terhadap konsep-definisi dan pernyataan-pembuktian hasil cernaan pendekatan logik, rasional, analitik dan sistematik yang digunakan.

Dalam konteks negara Malaysia yang dikatakan lebih terbuka hari ini, sudah tentu cabaran-cabaran bagi memelihara dan mempertahankan Iman bagi Umat Melayu Islam akan lebih sengit berdepan dengan kemunculan persaingan pelbagai ideologi yang sedang diperjuangkan oleh pelbagai pihak. Dunia pendidikan pula dengan sifat dan tabiat universiti-universiti Tanahair yang sangat berkiblatkan kepada ilmu-ilmu ciptaan Barat dan lebih selesa menjadi pengguna ilmu yang naïve dari menghasilkan ilmu acuan sendiri, maka unsur-unsur atheisme, agnostikisme, relativisme meresapi dalam isi-kandungan ilmu-ilmu yang diajarkan kepada anak-anak Umat Melayu Islam. Atas kesedaran dan keinsafan terhadap cabaran Iman, Ideologi dan Ilmu semasa ini yang datang secara global dalam dunia teknologi maklumat dan langit terbuka, maka sewajarnya Umat Melayu Islam memulakan langkah-langkah perlu bagi mencetuskan pendekatan yang menekankan dimensi-dimensi logik, rasional, analitik dan sistematik dalam kaedah pengajian dan pembelajaran Islam mereka. Itu sahajalah jalan yang lebih praktikal dan realistik untuk diambil oleh Umat Melayu Islam sekiranya mereka benar-benar ingin bukan sahaja mendepani malah menewaskan cabaran-cabaran Iman, ideologi dan ilmu-Ilmu global semasa.

Tulisan Naratif Nusantara Ke-59

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

 

Top