Pembaharuan Pemikiran Dan Peradaban Sebagai Sumber Kekuatan Umat Melayu Islam Menghadapi Cabaran Kehidupan Global Semasa: Peranan Tajdid Kalam

BANGSAR, 9 November - Umat Melayu Islam mestilah memperbaharui cara mereka berfikir dan mengatur kehidupan dalam menghadapi realiti era globalisasi dengan pelbagai cabaran Iman, Ideologi dan Ilmu. Memperbaharui pemikiran dan peradaban bermakna kita memberi nafas, pengolahan, ruh dan pengungkapan baru kepada identiti dan tradisi yang kita pegang selama ini. Sudah tentu kita tidak akan sekali-kali membuang identiti dan tradisi yang menjadi penyebab kestabilan dan kesinambungan Umat Melayu Islam di rantau Nusantara ini sejak berabad-abad lamanya terutama sejak bermulanya Era Penjajahan Eropah pada tahun 1491 itu. Yang pasti Umat Melayu Islam nasibnya lebih baik dari Umat Moor Andalusia yang telah dipupuskan dan Umat Moro Filipina yang sebahagian besarnya telah lupus akibat Penjajahan Kristian Sepanyol lebih 500 tahun yang lalu. Pun begitu keberadaan Umat Melayu Islam hari ini tidaklah boleh kita jamin kelangsungannya jika mereka sendiri tidak membuat persediaan yang perlu ke arah memastikan identiti dan tradisi mereka terus dinamik dan relevan dalam menghadapi cabaran Iman, Ideologi dan Ilmu global semasa.

Umat Melayu Islam mestilah memahami dan menghayati Islam sebagai Agama Peradaban (Dari Din Menjadi Tamadun). Justeru Islam sebagai sebuah Peradaban ia dilatarbelakangkan dengan sistem pemikiran dan pelbagai disiplin ilmu yang luas lagi mendalam. Sudah tentu Pemikiran yang tumbuh dan Peradaban yang terbit dari Islam tidak akan terlepas dari rujukan dan kerangka Wahyu Al-Qur’an dan Sunnah Al-Rasul SAW tanpa menafikan pula hasil kreativiti dan inovasi para ilmuwan Islam dalam mengaplikasikan Al-Qur’an dan Al-Sunnah dalam konteks zaman dan lingkungan mereka. Oleh kerana daya-usaha gigih (Ijtihad) serta kebijaksanaan (Hikmah) para ilmuwan Islam menggabungjalinkan Wahyu Al-Qur’an, Sunnah Al-Rasul SAW dan Akal-Budi Insan inilah, maka Pemikiran dan Peradaban Islam muncul sebagai satu kuasa dan pengaruh dunia sejak kewafatan Al-Rasul SAW untuk lebih 1000 tahun selepas itu. Umat Melayu Islam harus memiliki set-minda Islam sebagai Sistem Pemikiran dan Peradaban yang kompleks lagi canggih untuk mara kehadapan.

Umat Melayu Islam sewajarnya menginsafi bahawa Islam dari permulaan penurunan Wahyu adalah Agama yang berasas-teras-paksikan Ilmu Pengetahuan, Budaya Membaca dan Sistem Epistemologi. Ini bermakna jika Umat Melayu Islam ingin kuat, dinamik dan relevan, mereka wajib menguasai Ilmu Pengetahuan, Budaya Membaca dan Sistem Epistemologi ilmu-ilmu dunia dan agama. Umat Melayu Islam tidak akan boleh survive dalam menghadapi cabaran Iman, Ideologi dan Ilmu global semasa jika mereka terus-terusan dengan beretorik, beremosi dan bersantai dalam memahami ajaran-ajaran pokok agama – akidah, syari’ah dan akhlak. Semua Peradaban Besar yang berkuasa dan berpengaruh seperti Peradaban Greek, Peradaban Kristian Abad Pertengahan, Peradaban Barat Moden dan sudah semestinya Peradaban Islam sebelum ini kuat, kukuh lagi mantap penguasaan Ilmu Pengetahuan, Budaya Membaca dan Sistem Epistemologinya. Keperluan ini ialah satu kewajiban dan tiada pengecualian untuk Umat Melayu Islam sekiranya mereka membina satu bentuk Pemikiran Peradaban khusus bagi mereka juga umat manusia di dunia ini umumnya.

Satu kecenderungan Umat Melayu Islam ketika ini yang turut melibatkan golongan agamawan ialah terdapatnya sikap menidakkan peranan akal pemikiran dalam memahami dan menghayati agama Islam. Kecenderungan meremehkan malah menafikan keperluan dan peranan akal-pemikiran dalam memahami agama Islam telah menjadikan umat Islam semasa bersikap literal atau harfiyyah atau bergantung semata-mata kepada teks/nass atau nukilan-nukilan pandangan dan fatwa ulama tanpa mereka berupaya melihat konteks atau persekitaran malah sebab-musabab penurunan teks/nass atau penukilan pandangan dan fatwa tersebut. Di satu sudut lain, gejala memperlekehkan dan meremehkan peranan akal-pemikiran dalam agama juga telah menimbulkan perasaan malas dan tidak suka membaca dikalangan Umat Melayu Islam atas dakwa-dakwi membaca tanpa guru - bergurukan syaitan, belajar agama sendiri akan menjadi sesat. Kesemua cakap-cakap ini lama kelamaan terus menjumud atau membekukan daya fikir Umat Melayu Islam seperti yang kita perhatikan ketika ini.

Hal keadaan Umat Melayu Islam ketika ini berkaitan dengan cara mereka memahami dan menghayati melalui peranan akal-pemikiran ternyata jauh berbeda dengan apa yang telah menjadi kelaziman dalam tradisi pengajian dan pengajaran ilmu akidah Islam sebelum ini khususnya bermula pada Abad ke 20. Dalam tradisi pengajian dan pengajaran akidah Islam atau Ilmu Tawhid yang secara displin ilmunya disebut ILMU KALAM, para pelajar wajib mempelajari ILMU LOGIK atau MANTIQ melalui kitab-kitab seperti Sullam Al-Munawraq karangan Imam Al-Akhdari untuk peringkat awal; Isaguji karangan Imam Al-Abhari untuk peringkat pertengahan dan Tahzib al-Mantiq karangan Imam Al-Taftazani atau Risalah Al-Syamsiyyah karangan Imam Al-Qazwini untuk peringkat tinggi. Justeru berpandukan kepada tradisi kitab-kitab logik/mantiq ini, maka umat Islam diajarkan kaedah berfikir yang betul, mengenalpasti konsep dan definisi yang benar, mengetahui hujah-hujah yang benar dan salah yang kesemuanya merupakan asas-teras-paksi kepada penguasaan Ilmu Pengetahuan, Budaya Membaca dan Sistem Epistemologi.

Setelah para pelajar mendapat pendedahan dalam Ilmu Logik/Mantiq barulah mereka mendalami ILMU KALAM mengikut peringkat dan tahap pengajian atau pembelajaran mereka. Misalnya diperkenalkan kitab-kitab akidah yang mudah-mudah dahulu seperti kitab-kitab aqidah awam, Qawaid al-Aqai’id karya Imam Al-Ghazali, Umm al-Barahin karya Imam Al-Sanusi juga Jawharah al-Tawhid karya Imam Al-Laqqani; ditahap kedua seperti kitab-kitab Aqaid al-Nasafiiyah karya Imam Al-Nasafi, Al-Iqtisad fil I’tiqad karya Imam Al-Ghazali, Sanusi Al-Kubra karya Imam Sanusi; dan seterusnya ketahap yang lebih tinggi seperti Muhassal Imam Al-Razi, Maqasid Imam Al-Taftazani, Mawaqif Imam Al-Iji dan seumpamanya. Berdasarkan pendekatan pembelajaran dan pengajian sebegini dalam ilmu akidah, para pelajar memiliki kefahaman yang bersifat logikal, rasional, analitik serta sistematik dalam memahami ajaran-ajaran pokok Keimanan dan Rukun Iman itu sendiri yang menjadi asas bagi pembinaan pandangan hidup dan cara berfikir mereka. Inilah sifat yang telah hilang dalam pembelajaran dan pengajian akidah Islam hari ini dan Umat Melayu Islam juga tidak terkecuali dalam kehilangan sifat ini.

Hakikatnya bangsa dan negara yang menguasai Ilmu Pengetahuan, Budaya Membaca dan Sistem Epistemologi berupaya menguasai dan mempengaruhi dunia dan umat manusia. Umat Islam pernah dahulu melakukannya ketika mereka memiliki kemahiran-kemahiran logikal, rasional, analitik dan sistematik dalam memahami alam, Tuhan dan manusia yang diajarkan dalam pembelajaran dan pengajian akidah mereka. Bilamana pendekatan tradisi KALAM yang bersifat logikal, rasional, analitik dan sistematik ini ditolak, diketepikan malah dianggap sesat, bidaah lagi haram maka bermulalah kemerosotan daya fikir, kreativiti dan inovasi umat Islam terutamanya pada abad ke 20. Justeru pembaharuan pemikiran dan peradaban yang sekiranya benar-benar ingin menjadi kekuatan Umat Melayu Islam tidak dapat tidak mesti mengambilkira potensi, peranan dan sumbangan tradisi Ilmu Kalam, salah satu tungak penting Sistem Keilmuan Islam.

Tulisan Naratif Nusantara Ke-58

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

 

Top