Jika Profesor Universiti Ternama Amerika Syarikat Mempersoalkan Tentang Ruh Universiti Mengapa Profesor Universiti Malaysia Tidak?

BANGSAR, 8 November - Bermula dari Allan Bloom, Profesor dan Ahli Falsafah Terkemuka di Universiti Cornell, Yale dan Chicago menulis The Closing of the American Mind: How Higher Education Has Failed Democracy and Impoverished the Souls of Today's Students (1987) Tertutupnya Minda Orang Amerika: Bagaimana Pendidikan Tinggi Telah Menggagalkan Demokrasi dan Mempapakedanakan Ruh Para Mahasiswa Hari Ini) kita mendapati persoalan tentang Ruh Universiti dibicarakan oleh para profesor Amerika Syarikat dari masa ke semasa. Derek Bok ketika menjadi Presiden Universiti Paling Terkemuka di dunia Harvard Universiti menulis Beyond the Ivory Tower: Social Responsibilities of the Modern University (1982) (Melangkaui Menara Gading: Tanggungjawab Sosial Universiti Moden); Universities in the Marketplace: Commercialization of Higher Education (2004) (Universiti Dalam Pasaran: Pemerdagangan Pendidikan Tinggi) dan juga Our Underachieving Colleges: A Candid Look at How Much Students Learn and Why They Should Be Learning More (2006) (Kolej-Kolej (merujuk kepada Kolej-Kolej di Harvard) Yang Di Bawah Tahap Pencapaian: Satu Pandangan Jujur Tentang Sejauhmana Mahasiswa Belajar dan Mengapa Mereka Perlu Belajar Lagi).

Kemudiannya seorang lagi Dekan dan Profesor Universiti Harvard, Harry Lewis menulis Excellence Without A Soul: How a Great University Forgot Education (2006) (Kecemerlangan Tanpa Ruh: Bagaimana Universiti Ternama Melupakan Pendidikan. Terbaru ialah buku Restoring the Soul of the University: Unifying Christian Higher Education in a Fragmented Age (2017) (Mengembalikan Ruh Universiti: Menyatukan Pendidikan Tinggi Kristian Dalam Dunia Terpecah-Pecah) karangan Nathan F. Alleman, Perry L. Glanzer, and Todd C. Ream. Hampir 30 tahun selepas karya penting Allan Bloom, para profesor di Amerika Syarikat selain dari buku-buku “best-seller” di atas membicara dan mempersoalkan tentang Ruh Universiti iaitu sifat dan tabi’at, arah dan halatuju serta matlamat akhir yang ingin dicapai oleh universiti-universiti di Amerika Syarikat. Paling tidak terdapat sekelompok penting para profesor di Amerika yang bersikap kritis, refleksif, introspektif serta bermuhasabah terhadap institusi batang-tubuh mereka sendiri iaitu universiti. Sikap-sikap kritis, refleksif, introspektif dan bermuhasabah tentang batang-tubuh diri sendiri jarang wujud dikalangan para profesor universiti tempatan!

Kritik batang-tubuh universiti tentang Ruh Universiti oleh para profesor di universiti Amerika Syarikat sepatut menyedarkan kita bahawa universiti bukanlah sakral atau lembu suci yang tiada cacat-celanya dan memerlukan pembaikan sekiranya kita ingin menjadikannya sebagai agen penting perubahan negara dan masyarakat. Apatah lagi dengan pembiayaan dana awam, maka lebih wajar universiti dikritik sekiranya ia tidak memenuhi kehendak-kehendak negara dan masyarakat dalam tindak-tanduk dan hasil-kerjanya. Jika para profesor di Amerika Syarikat yang dikatakan 17 dari 25 universiti terkemuka dunia berada disana; 90% dari universiti terkaya dunia berada disana; dan 62 dari 100 universiti paling ramai menghasilkan jutawan juga berada disana masih mengambil kisah tentang kepentingan Ruh Universiti, walhal universiti-universiti mereka telah memiliki segalanya, mengapa para profesor di Malaysia yang universiti-universitinya masih muda tidak mengambil berat tentang perihal Ruh Universiti. Jika para profesor di Amerika Syarikat berbicara tentang krisis, kemerosotan dan keruntuhan nilai-nilai universiti atau ada yang tidak kena dengan Ruh Universiti ketika ini, mengapa para profesor di Malaysia tidak menganggap perkara ini sesuatu yang penting untuk diketengahkan.

Ruh Universiti ini semakin wajar untuk kita bicarakan terutamanya dalam konteks perubahan lanskap politik negara ketika ini. Dalam konteks suntikan dan tekanan dana yang semakin berkurang kepada universiti-universiti awam, dengan mahasiswa dan graduan lepasan universiti yang tiada jaminan pekerjaan, dengan orang-orang politik masih menjadi “mastermind” atau “power-broker” keputusan-keputusan penting universiti, dengan kegagalan universiti menjadi pemangkin perpaduan nasional apatah lagi pencetak jadidiri watan; kita mendapati universiti telah menjadi seperti institusi-institusi pengekal status-quo masyarakat dan negara. Universiti-universiti Tanah Air tidak seperti dahulu di era 70an yang merupakan tempat melahirkan mahasiswa dan graduan yang menjadi jurubicara umat atau cendekiawan awam, universiti hari ini sekadar menjadi kilang-kilang pemprosesan mahasiswa dan graduan tanpa identiti watan dan tradisi ilmu apatah lagi semangat perjuangan.

Ruh Universiti sangat sukar untuk diformulasi atau dijelmakan bila kini UNI-VARSITI yang sepatutnya memiliki kesatuan visi dan misi ilmu ke arah transformasi diri dan masyarakat menjadi MULTI-VARSITI bilamana fragmentasi ilmu dan fakulti, persaingan antara pengajaran dan penyelidikan, keperluan pasaran dan kehendak ahli-ahli politik mendominasikan perjalanan dan hala-tuju Universiti. Ditambah pula dengan penjajahan atau perhambaan akademik terhadap ilmu dan disiplin Eurosentrik (Rasionalisme Hampa Tuhan) dan Egosentrik (Dualisme Cartesian) yang masih menebal dikalangan elit akademik dan universiti pasca-pengkolonian yang obsess untuk berkiblat ke Barat, maka neo-kolonial universiti bertindak sebagai orang-tengah atau tali-pusat yang mengekalkan hegemoni ilmu-ilmu Eurosentrik dan Egosentrik Barat Moden.

Selagi faham universiti hanya sebagai batang-tubuh korporat yang menganggap dunia ilmu seperti para kapitalis dengan ideologi liberalis tanpa nilai-nilai tinggi untuk mengenal Tuhan, Agama dan Peranan Insan dalam skima kehidupan yang lebih besar selagi itulah cetusan idea dan faham Ruh Universiti ini tidak akan menjelma di Universiti-Universiti Tanah Air. Dalam tradisi silam dan Islam yang juga turut dikongsi oleh tradisi-tradisi besar masyarakat beragama, UNIVERSITI adalah replika atau prototaip INSAN/MANUSIA sebagai Mikroskosmos. MASYARAKAT/NEGARA pula ialah Makrokosmos. UNIVERSITI bertindak sebagai Mesokosmos menjadi penyambung/pengukuh kesatuan potensi-potensi insan dalam kesatuan potensi-potensi masyarakat/negara. Hubungan simbiosis dan harmoni antara INSAN/Mikrokosmos, UNIVERSITI/Mesokosmos dan MASYARAKAT/Makrokosmos sangat penting bagi menjadi kebolehmenjadian, daya saing, daya tahan dan kesinambungan negara dalam pelbagai dimensi kehidupan sehingga terbentuk sebuah PERADABAN.

Melihat kepada krisis kemanusiaan, alam-sekitar, nilai-akhlak yang terbit dan tumbuh dari Universiti-Universiti yang berdasarkan sistem ilmu Eurosentrik dan Egosentrik Barat Moden Tanpa Ruh dan Tanpa Tuhan, sudah tiba masanya Universiti-Universiti wilayah dan daerah pasca-pengkolonian untuk memformulasi sistem ilmu mereka sendiri demi menyelamatkan manusia dan alam dari krisis dan malapetaka buatan tangan manusia sendiri ini. Apakah sistem ilmu Andalusia, Aztech, Incas, Amerika, Afrika, Hindu, Buddha, Kristian dan Islam yang memiliki ciri-ciri Keagamaan, Ketuhanan dan Kerohanian ini tidak boleh menggantikan sistem ilmu sekularisme, liberalisme, atheism, agnostikisme dan naturalisme Eropah yang selama lebih 500 tahun melakukan segala bentuk genosid, epistemosid, pembunuhan beramai-ramai, peperangan, penjarahan hasil mahsul bumi orang lain, penaklukan dan penjajahan fizikal dan mental? Inilah cabaran baru dan mendesak bagi Universiti di Malaysia dalam perubahan lanskap politik negara ketika ini atau mereka akan terus kekal dlam status quo atau “business as usual”.

Tulisan Naratif Nusantara Ke-57

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

 

Top