Kemerdekaan Psikologilah Yang Membebaskan Jiwa-Raga Bukannya Kemerdekaan Politik

BANGSAR, 30 Ogos - Sekiranya sesiapa menyangka Kemerdekaan Politik negara yang kita kecapi selama 61 tahun ini benar-benar menjadikan kita rakyat Malaysia merdeka lagi bebas ternyata mereka telah terpedaya. Perkara ini bukan sahaja unik bagi Malaysia tetapi bagi kebanyakkan negara pasca-Kemerdekaan seperti kita. Penjajah telah lama tiada tetapi kesan-kesan penjajahan masih terus membara dalam negara-negara ini dengan pengekalan bahasa, sistem ilmu dan pendidikan dan undang-undang penjajah misalnya. Memang kita boleh memberi seribu satu alasan untuk mempertahankan perkara-perkara tersebut tetapi pada hakikatnya ruh, jiwa dan semangat kita telah dirasuk hanturaya sang penjajah sehingga kita tidak berupaya untuk keluar dari kerangka penjajah. Terbukti Kemerdekaan Politik tidak menjamin kita merdeka dan bebas dari belenggu saka sang penjajah malah kadang-kala menjadi lebih taksub dan takjub dengan tinggalan-tinggalan penjajah.

Malah Kemerdekaan Politik bagi negara-negara Pasca-Kemerdekaan di Asia, Afrika dan Amerika Selatan jika kita perhatikan sepanjang 50 tahun yang lalu menyaksikan bagaimana cengkaman penjajahan yang semakin kuat telah dilakukan dalam dimensi ekonomi, sosial dan budaya negara-negara berkenaan. Penjajahan baru Era Pasca-Kemerdekaan ini berjaya bilamana para penjajah sempat melatih dan menyediakan kelompok elit politik anak jajah yang ditanam dalam jiwa-raga mereka ketaksuban dan ketakjuban mereka kepada penjajah melalui sistem ilmu dan pendidikan yang mereka lalui di negara-negara penjajah itu sendiri. Kelompok elit anak jajah yang kemudiaannya menggantikan para penjajah sebagai pemerintah dan kerajaan menjajah pula anak-bangsa mereka sendiri seperti yang kita saksikan dalam negara-negara Pasca-Kemerdekaan.

Kemerdekaan Politik bersifat luaran semata-mata kerana ia sekadar menukar pemerintah dan kerajaan orang-orang kulit putih kepada orang-orang kulit sawo matang dan kulit hitam sedangkan orang-orang kulit sawo matang dan kulit hitam ini dalam jiwa-sanubari dan jiwa-raganya mereka telah dilatih berfikir sepertimana orang kulit putih menjajah. Malah dalam banyak hal, penjajah baru berkulit sawo matang dan berkulit hitam ini lebih teruk, kejam dan zalim terhadap anak bangsa mereka sendiri berbanding penjajah asal berkulit putih. Fenomema Penjajahan Pemikiran atau Ghazwah al-Fikri dikalangan kelompok elit didikan penjajah inilah yang kita saksikan menjadi talibarut penerus Era Penjajah dalam Era Pasca-Kemerdekaan yang menjadikan negara-negara ini terus berada ditakuk lama dengan kemiskinan, kemunduran, rasuah, salahguna kuasa, pembaziran, pembolotan harta negara serta pengabaian terhadap kemajuan anak-bangsa sendiri.

Kemerdekaan yang hakiki ialah kebebasan untuk memilih jalan dan acuan kita sendiri sesuai dengan keyakinan dan pegangan agama, budaya dan tradisi kita sebelum Zaman Penjajah. Ini bukan bermakna kita ingin kembali hidup di zaman silam tetapi identiti dan tradisi inilah yang menjadi sumber kekuatan kita melangkah ke masa depan. Negara, bangsa dan masyarakat yang tercabut akar identiti dan tradisinya tidak akan berupaya membina kekuatan baru melainkan sekadar menurut-jejak langkah dan meniru cara-hidup para penjajah mereka. Kemerdekaan yang hakiki bermaksud kita bebas memilih misalnya Bahasa, sistem ilmu dan pendidikan serta undang-undang acuan dan milik kita sendiri. Kemerdekaan yang hakiki bermakna kita tidak sekali lagi dipaksakan untuk terus kekal dengan Bahasa, sistem ilmu dan pendidikan dan undang-undang penjajah dengan seribu segala macam alasan!

Di sinilah letaknya maksud dan tujuan KEMERDEKAAN PSIKOLOGI yang akan merubah negara, bangsa dan masyarakat dari KEMERDEKAAN POLITIK yang sekadar meneruskan legasi penjajah dalam bentuk baru. KEMERDEKAAN PSIKOLOGI ternyata lebih sukar untuk dicapai sepertimana yang dibicarakan oleh ramai tokoh-tokoh pemikir Islam, Timur dan Barat. Ibnu Khaldun, Bapa Disiplin Sejarah, Ekonomi, Sosiologi, Peradaban Moden menyebut dalam sejarah negara bangsa telah banyak negara yang tewas dari sudut fizikal mereka tetapi itu tidak bermakna negara bangsa tersebut telah berakhir. Bagimanapun bila sesebuah negara bangsa mengalami ketewasan atau kekalahan PSIKOLOGI itu bermakna berakhirnya negara bangsa tersebut. Malik Bennabi tokoh pemikir Algeria yang pemikirannya banyak dipengaruhi oleh Ibn Khaldun mengungkap fenomena ini sebagai “colonialisability” iaitu sifat dan tabi’at PSIKOLOGI KETERJAJAHAN atau kecenderungan dalaman yang telah lama dibina untuk sentiasa dijajah.

KEMERDEKAAN dari PSIKOLOGI KETERJAJAHAN inilah yang sepatutnya diusahakan oleh setiap rakyat Malaysia. PSIKOLOGI KETERJAJAHAN ini boleh berlaku dalam beberapa peringkat bagi setiap rakyat Malaysia. PSIKOLOGI KETERJAJAHAN yang paling asas dan awam ialah sikap, pandangan dan pegangan bahawa kita perlu mengikuti dan meniru perjalanan kehidupan penjajah untuk berkembang dan maju. Misalnya bila dikatakan penjajah “berjaya” kerana mereka telah memisahkan agama dari kehidupan maka kita pun perlu berbuat yang sama. Kita mesti menjadi Muslim Moden, Progresif, dan Liberal untuk membina kehidupan semasa. PSIKOLOGI KETERJAJAHAN peringkat awam ini disebarluaskan oleh media dan selebriti tertentu bagi memomokkan bahawa agama, budaya dan tradisi kita sebagai tidak lagi relevan malah membebankan. PSIKOLOGI KETERJAJAHAN AWAM ini berusaha merubah pandangan hidup, tasawwur, “worldview”, “weltanschuung”, paradigma tempatan tentang alam dan kehidupan kepada pandangan hidup penjajah.

PSIKOLOGI KETERJAJAHAN POLITIK DAN STRATEGIK pula memaksakan negara dan masyarakat supaya menerimapakai sistem, mekanisme dan polisi yang jelas bersumberkan kepada ideologi kehidupan penjajah. PSIKOLOGI KETERJAJAHAN POLITIK DAN STRATEGIK ini meresap masuk masuk melalui dasar-dasar politik, ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan. Sebagai contoh pengambilan sistem demokrasi liberal, amalan ekonomi kapitalis, kehidupan sosial yang hedonistik, gejala-gejala budaya konsumeris dan permisif dan sistem pendidikan dan pembangunan insan tanpa ruh. PSIKOLOGI KETERJAJAHAN POLITIK DAN STRATEGIK ini lebih sukar untuk dihapuskan kerana ia melibatkan peranan institusi-institusi birokrasi dan teknokrasi negara yang menyerap dan menyebarluaskan ideologi-ideologi penjajah ini dalam sistem, mekanisme dan polisi negara.

KEMERDEKAAN yang hakiki semakin sukar tercapai sekiranya PSIKOLOGI KETERJAJAHAN AKADEMIK DAN ANALITIK atau PERHAMBAAN ILMIAH masih kekal wujud dan terus dipertahan dalam sesebuah negara dan masyarakat. PSIKOLOGI KETERJAJAHAN AKADEMIK DAN ANALITIK atau PERHAMBAAN ILMIAH ini sangat rumit untuk difahami bukan sahaja oleh orang-orang awam dan ahli-ahli politik malah dikalangan para ahli akademik dan cendekiawan itu sendiri. PERHAMBAAN ILMIAH pada tahap tinggi berlaku bilamana para ahli akademik dan cendekiawan tempatan sama ada mereka sedar atau tidak bahawa epistemologi (teori ilmu), ontologi (teori kewujudan) dan aksiologi (teori nilai) bidang dan disiplin ilmu pengetahuan yang mereka ceburi masih kekal menggunakan epistemologi, ontologi dan aksiologi penjajah. PERHAMBAAN ILMIAH ini berlaku bilamana para ahli akademik dan cendekiawan tempatan masih berpegang kepada aksiom-aksiom dan prinsip-prinsip ilmu yang jelas bertentangan dengan agama, budaya dan tradisi mereka dalam mereka kerjaya ilmiah mereka.

Justeru usaha-usaha bagi memperoleh KEMERDEKAAN PSIKOLOGI dari KETERJAJAHAN AWAM/PUBLIK, KETERJAJAHAN STRATEGIK/POLITIK/IDEOLOGI dan KETERJAJAHAN AKADEMIK/ANALITIK atau PERHAMBAAN ILMIAH merupakan cabaran sebenar bagi segenap lapisan rakyat Malaysia menjelang Sambutan 61 tahun kita mencapai KEMERDEKAAN POLITIK tersebut. Semoga kita semua ditunjukkan jalan dan dipermudahkan dalam perjuangan KEMERDEKAAN DAN KEBEBASAN yang hakiki ini iaitu KEMERDEKAAN PSIKOLOGI.

Tulisan Naratif Nusantara Ke-56

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

 

Top