Mengapa Bangsa-Bangsa Dan Sistem-Sistem Ilmu Dijajah Tidak Berupaya Merdeka Dari Eurosentrisme Ilmu Eropah Sejak 500 Tahun Yang Lalu Dan Hanya Umat Islam Yang Masih Berpeluang Memerdekakan Sistem Ilmu Mereka?

BANGSAR, 17 Ogos - Kekuatan sesuatu bangsa terletak pada sistem ilmu yang mereka miliki. Sistem ilmu mengatur bagaimana mereka berfikir, bertindak, berkeyakinan diri dan menciptakan sesuatu. Sistem ilmu tumbuh dan berkembang dari sistem agama, budaya, nilai, pandangan dan pengalaman hidup sesuatu bangsa tersebut. Sejak 500 tahun yang lalu hanya dua sistem ilmu yang berupaya bersaing dipersada antarabangsa sehingga kini iaitu sistem ilmu Islam dan sistem ilmu Eurosentrik Barat Moden. Tidak ada sistem ilmu Amerika Selatan, Amerika Tengah, Afrika, China, India dan Jepun hatta sistem ilmu Kristian, Yahudi, Hindu dan Buddha yang boleh bersaing sepertimana sistem ilmu Eurosentrik Barat Moden dan sistem ilmu Islam bersaing sejak sekian lama. Mengapa sistem ilmu Islam masih boleh bersaing malah mencabar sistem ilmu Eurosentrik Barat Moden sehingga hari ini manakala sistem-sistem ilmu lain gagal berbuat demikian?

Tahun 1492 adalah titik permulaan penting bersejarah lagi berdarah Era Penjajahan Eropah ke atas negara-negara bukan Eropah di Andalusia, Amerika, Afrika dan Asia. Ia merupakan titik permulaan bukan sahaja genosid atau pembunuhan beramai-ramai manusia yang dianggarkan hampir 100 juta orang malah lebih menyayat ialah penghapusan sistem ilmu bangsa-bangsa lain dunia atau EPISTEMOSID untuk digantikan dengan sistem ilmu Eurosentrik Barat Moden. Ratusan tahun genosid dan EPISTEMOSID (penghapusan sistem ilmu bukan Eropah) ini adalah peristiwa yang tidak begitu dibicarakan dalam mana-mana penulisan dan dunia akademik semasa yang rata-ratanya dimonopolikan oleh citra dan kuasa akademik Eurosentrisme. Tahun 1492 ini wajar menjadi sebahagian dari kandungan pengajaran dan pembelajaran dunia bukan Eropah di Amerika, Afrika dan Asia untuk mengetahui impak dahsat Penjajahan dalam melenyapkan sistem-sistem ilmu bukan Eropah.

Kita sepatutnya bertanya mengapa genosid dan EPISTEMOSID yang dilakukan oleh Penjajah Eropah terhadap bangsa-bangsa di Andalusia (peradaban dan sistem ilmu Islam Andalusia juga peradaban dan sistem ilmu Yahudi), Amerika Utara (peradaban dan sistem ilmu Orang Asal Amerika), Amerika Tengah (peradaban dan sistem ilmu Aztech), Amerika Selatan (peradaban dan sistem ilmu Incas) dan Afrika (peradaban dan sistem ilmu bangsa-bangsa Afrika) menyebabkan bangsa-bangsa yang disebutkan ini tidak berupaya bangkit sehingga ke hari ini? Bangsa-bangsa ini mengalami bukan sahaja genosid kejam lagi zalim oleh Penjajah Eropah malah sistem ilmu mereka tidak lagi diketahui dan diwarisi kepada generasi kemudian bangsa-bangsa tersebut. Akibatnya bangsa-bangsa tersebut terus menerus tidak berupaya menyaingi dan mengalahkan Eropah Barat Moden sebaliknya berkekalan menjadi negara-bangsa satelit bagi kuasa-kuasa Eropah termasuk Amerika Syarikat sehingga kini. Hal yang sama juga berlaku kepada negara-bangsa lain seperti India, China, Jepun, penduduk asal Australia dan New Zealand bilamana sistem ilmu asal mereka telah digantikan kepada sistem ilmu Eurosentrisme.

Negara dan umat Islam secara khususnya seharusnya menjadikan iktibar dari Peristiwa Hitam 1492 untuk terus berusaha memerdekakan sistem ilmu mereka dari Penjajahan atau Pengkolonian sistem ilmu Eropah Barat Moden. Keupayaan sistem ilmu Islam secara berasingan yang selama ini berupaya menyaingi dan mencabar sistem ilmu Eropah Barat Moden sepatutnya terus diperkasakan oleh umat Islam dan institusi-instusi ilmu dan pendidikan mereka demi memelihara kemandirian dan kemerdekaan ilmu dan pendidikan umat Islam. Malah lebih dari itu sistem ilmu Islam boleh dijadikan model dan inspirasi bagi negara-bangsa Amerika Selatan/Tengah, Afrika dan Asia yang lain bagi membebaskan mereka dari belenggu hegemoni dan dominasi sistem ilmu Eropah Barat Moden yang telah berleluasa sejak 500 tahun yang lalu. Kemandirian dan kemerdekaan sistem ilmu merupa syarat paling penting bagi membebaskan negara-bangsa dunia dari Penjajahan politik, ekonomi, sosial dan budaya yang kesemuanya terbit dari satu sistem ilmu Eurosentrik Barat Moden.

Hari ini bila kita menyebut pengaruh dan kesan ekonomi Kapitalisme, sosial Anarkisme, politik Liberalisme, budaya Hedonisme dan agama Pluralisme yang sedang menular dalam masyarakat, kita tidak boleh memisahkan dari sistem ilmu yang melahirkan isme-isme tersebut. Sistem ilmu Eropah Barat Moden terhasil dari gabungan faham agama, nilai, budaya, pandangan dan pengalaman kehidupan mereka selama ini yang dalam banyak hal tidak secocok dengan kefahaman dan penghayatan hidup umat Islam. Tetapi bagaimanakah perkara ini boleh dielakkan sekiranya umat Islam terus-menerus mengambil sistem ilmu Eropah Barat Moden sebagai sebahagian dari sistem ilmu mereka sendiri? Masih ramai umat Islam yang tidak dapat memahami bahawa semua ilmu itu sangat sarat-nilai iaitu bergantung kepada nilai-nilai agama, budaya, pandangan dan pengalaman hidup para pencipta ilmu itu sendiri.

Pengaruh sistem ilmu Eurosentrik ini bukan sahaja meresapi ilmu-ilmu sains sosial, kemasyarakatan dan kemanusiaan malah juga mempengaruhi ilmu-ilmu sains tabi’i seperti fizik dan biologi. Sebagai contoh, faham Naturalisme yang tidak mengakui kewujudan perkara-perkara keagamaan dan kerohanian seperti Tuhan, Malaikat dan Akhirat merupakan aksiom dan prinsip utama bagi sains-sains fizik dan biologi moden. Naturalisme ini ialah satu bentuk Atheisme dan Agnostikisme yang dianuti oleh majoriti ahli-ahli sains fizik dan biologi dunia hari ini termasuk ahli-ahli sains Islam. Ini kerana dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti saintifik mereka ahli-ahli sains Islam tidak dibenarkan memasukkan perbincangan tentang keagamaan, ketuhanan dan kerohanian dalam aktiviti-aktiviti saintifik mereka. Dalam ertikata yang lain seolah-olahnya ahli-ahli sains Islam menjadi Islam hanya diluar makmal dan dimasjid misalnya. Manakala ketika menjadi ahli-ahli sains didewan kuliah dan makmal, mereka berfahaman Atheisme atau Agnostikisme. Ini adalah antara dikotomi, dilema dan konflik dalaman yang mungkin tidak disedari memberikan kesan akidah dan pemikiran kepada ahli-ahli sains Islam dalam pegangan kehidupan mereka.

Ahli-ahli sains Islam sepatutnya mula menyedari betapa teori-teori tentang Pencipta, penciptaan alam, hakikat kehidupan, alam fizikal dan biologi dalam Sains Barat Moden memberi impak dan mencabar pegangan asas keimanan, ketuhanan dan kerohanian mereka. Begitu juga teori-teori politik, ekonomi dan sosiologi Barat Moden tentang tingkahlaku masyarakat ada yang bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam ilmu kejiwaan atau psikologi terdapat banyak teori-teori psikologi Barat Moden yang menyanggah peranan Agama dan Tuhan dalam kehidupan manusia. Kesemuanya ini sudah mencukupi untuk menyedarkan ahli-ahli sains tabi’i, sosial dan psikologi Muslim betapa mereka perlu mengusahakan sistem ilmu mereka sendiri bagi menjawab cabaran teori-teori ilmu Eropah Barat Moden ini. Hanya dengan sistem ilmu acuan dan milik kita sendiri, kita boleh benar-benar memperolehi Kemandirian dan Kemerdekaan ilmu pengetahuan yang tidak dipunyai oleh majoriti umat manusia di Amerika, Afrika dan Asia ketika ini akibat kongkongan ilmu Eurosentrik Eropah Barat Moden sejak 500 tahun yang lalu.

Tulisan Naratif Nusantara Ke-53

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

 

Top