Kenyataan MUAFAKAT - Mengapa Perlu Iktiraf Mungkar

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - MUAFAKAT memandang serius terhadap kenyataan dan komen yang dibuat hasil pertemuan YB Menteri Agama dan Nisha Ayub di JAKIM Putrajaya baru-baru ini kerana ia boleh dianggap precedent untuk mengiktiraf perkara yang jelas mungkar di sisi Islam.

2. Kami difahamkan JAKIM sedang berusaha memulihkan golongan LGBT dengan hasrat murni ingin membawa golongan ini kepada fitrah asal mereka. Usaha seperti ini harus diteruskan. Tetapi untuk mengiktirafkan golongan LGBT mempunyai implikasi yang amat negatif di semua sudut, lebih-lebih lagi ianya bercanggah dengan Islam yang mempunyai kedudukan kukuh di dalam Perlembagaan Negara.

3. MUAFAKAT ingin melontarkan beberapa persoalan untuk kita fikirkan bersama akibat dari pengiktirafan ini. Apakah selepas ini kita juga perlu mengiktiraf perbuatan Lesbian, Gay, Bisexual dan lain-lain perbuatan luar tabii? Apakah laknat ALLAH dan Sidna Rasulullah dalam isu ini tidak dikira sebagai Rahmatan Lil Alamin?

4. MUAFAKAT bimbang kefahaman dan persepsi masyarakat umum, terutama generasi muda bahwasanya amalan LGBT ini boleh diterima dalam Islam. Apakah nanti usaha nahi mungkar dalam hal ini dianggap sebagai satu diskriminasi terhadap golongan LGBT?

5. MUAFAKAT ingin menyarankan agar sebarang bentuk kenyataan oleh pihak berwajib Agama harus mengambilkira pandangan ulamak dan pakar ilmuan yang berpegang kepada epistemologi Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan bukan sekadar bersandar kepada kedudukan seseorang itu hatta seorang Menteri sekalipun.

6. Sehingga kini beberapa Mufti Negeri telah menyatakan ketidaksetujuan untuk mengiktiraf golongan LGBT. Apakah kenyataan Menteri baru-baru ini mengenepikan aspek bidangkuasa negeri-negeri dalam hal Agama? MUAFAKAT bersedia untuk dipanggil berbincang dalam membetulkan “korupsi pemikiran” yang berleluasa mutakhir ini.

7. Pada masa yang sama MUAFAKAT ingin menyatakan solidariti dan sokongan kepada content surat terbuka Dr. Nur Ilyani kepada Marina Mahathir dengan menyatakan ketegasannya dalam isu LGBT sebagai seorang doktor perubatan Muslim. MUAFAKAT juga merasa pelik dan hairan, mereka yang kerap memperkatakan tentang hak kebebasan bersuara bertindak sebaliknya apabila agenda mereka dibahas secara ilmiah dan rasional.

Dr. Wan Adli Wan Ramli
Presiden MUAFAKAT

Top