A Karim Sudah Tiada - Harian Metro

KUALA LUMPUR, 28 Jun - NAIB Presiden Pertubuhan Muafakat Malaysia (MUAFAKAT), A Karim Omar, 60, meninggal dunia di Hospital Ampang (HA), Ampang, 8 pagi hari ini. (27 Jun)

Allahyarham yang juga aktivis Islam itu meninggal dunia akibat tekanan darah rendah selepas dua hari dirawat di hospital berkenaan.

Anak bongsunya, Ahmad Ali Karim, 15, berkata ayahnya kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HA berikutan beberapa organnya tidak berfungsi dengan baik.

“€œSemalam, tekanan darah ayah semakin menurun dan doktor tidak mampu melakukan apa-apa kerana sudah memberi ubat secara maksimum kepada ayah.

“Secara fizikalnya, ayah memang sihat, tetapi ayah amat runsing akan masalah kedaulatan Islam pada masa ini dan kesannya pada masa depan.

“€œDua hari dirawat di HA dan pagi tadi doktor memanggil kami semua dan pada 8 pagi, ayah disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Asmahan Ahmad, 54 dan lapan cahaya mata.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid As-Sobirin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan AU4, Lembah Keramat selepas Zuhur.

Ahmad Ali berkata, pemergian ayahnya dianggap sebagai drastik berikutan ayahnya tidak menghidap sebarang penyakit, malah mampu memandu kereta ke mana-mana.

Allahyarham giat menulis artikel, antaranya berkaitan ancaman Evangelis, perjuangan musuh Islam, termasuk mendedahkan buku menggerakkan agen Kristianisasi.

Selain itu, Allahyarham adalah Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan Felo Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Sementara itu, YADIM dalam kenyataannya menerusi laman Facebook, menyifatkan pemergian Allahyarham seperti satu kehilangan permata dalam perjuangan Islam.

“€œAllahyarham dikenali sebagai seorang yang teguh dalam memperjuangkan Islam daripada awal hidupnya hingga ke akhir hayatnya.

“€œAllahyarham amat aktif bergerak bersama NGO Islam dan lantang dalam menyuarakan hak Islam,” kata kenyataan itu.

Pemergian Allahyarham turut mendapat reaksi beremosi daripada pengarah muda, Adam Hamid.

Melalui akaun Instagramnya, Adam menyifatkan Allahyarham sebagai seorang penceramah yang lantang menyanggah mungkar serta anti Kristianisasi dan anti gerakan Islam liberal.

Adam berdarah kacukan Kelantan/Pakistan yang sudah mengarah lebih 50 drama televisyen sejak 2001 meminta pengikut di laman sosialnya mengaminkan doa buat Allahyarham.

“Mohon aminkan doa ke atas saudaraku. Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya serta tempatkanlah roh Allahyarham bersama saf ulama di syurgaMu,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/06/352759/karim-sudah-tiada

Top