Malaysia Baru Mendepani Cabaran Iman, Ideologi Dan Ilmu: Tiga Peranan Tajdid Kalam Asha'irah-Maturidiyyah

PETALING JAYA, 30 Mei - Pilihan Raya Umum ke 14 yang baru berlalu merupakan perubahan bersejarah bagi lanskap dan senario politik Malaysia sejak lebih 60 tahun mencapai Kemerdekaan. Kepada para pengkaji Peradaban Kemanusiaan, perubahan ini menepati Teori Kitaran Tamadun Bapa/Pengasas Disiplin Ilmu-Ilmu Sejarah, Sosiologi, Politik dan Ekonomi yang diiktiraf Dunia, Ibnu Khaldun yang lebih 600 tahun dahulu menyebut setiap regim/dinasti politik hanya boleh bertahan selama tidak lebih dari tiga generasi sahaja. Hal ini berlaku kerana lazimnya generasi selepas generasi pertama akan berasa selesa hasil dari susah-payah pencapaian generasi awal serta sering terjebak dengan perkara-perkara yang melemahkan regim/dinasti tersebut sama ada dari akibat tindakan dalaman mahu pun dari ancaman luaran. Malangnya tidak ramai dari umat Islam yang meneliti pelbagai khazanah dan hikmah keilmuan Ibnu Khaldun yang masih berguna sehingga ke hari ini.

Perubahan politik bagaimana hebat dan drastik sekalipun masih tetap merupakan perubahan luaran bagi sesebuah negara selagi mana ia tidak boleh merubah akal-budi dan jiwa-nurani masyarakat negara tersebut. Perubahan yang hakiki ialah perubahan yang merubah kerangka dan kaedah berfikir serta bertindak masyarakat ke arah yang lebih baik dalam kehidupan mereka sesuai dengan tuntutan agama, budaya dan nilai-nilai mulia kehidupan insan dalam hubungan mereka dengan Tuhan sebagai Khaliq/Pencipta dan Alam sebagai Makhluk/Penciptaan. Berapa banyak negara yang telah kita saksikan berubah dari sudut politik tetapi masih tidak berubah akal-budi dan jiwa-nurani masyarakat kerana kerangka dan kaedah berfikir dan bertindak mereka masih kekal ditakuk lama! Sama ada perubahan politik terhebat di Tanahair ini akan merubah budaya masyarakat Malaysia ke arah yang lebih baik boleh kita saksikan dalam tahun-tahun mendatang.

Sebagai warganegara majoriti, kita umat Islam tidak boleh sekadar menjadi penonton dalam menentukan agenda perubahan ini malah kita wajib untuk melibatkan diri secara kolektif dan proaktif demi memastikan ketahanan dan kesinambungan Islam dan umatnya terus dipelihara dan dikembangkan dalam konteks kehidupan negara Malaysia Moden lagi Merdeka ini. Pada peringkat ini terdapat sekurang-kurangnya tiga cabaran besar bagi umat Islam di Malaysia yang berkait-rapat dengan ketahanan dan kesinambungan jati-diri keislaman mereka khususnya dalam konteks mengekalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah sedia sebati di Wilayah Kepulauan Melayu Nusantara sejak lebih 500 tahun yang lalu. Jati-diri ini yang terbentuk dari gabungan tiga kekuatan Tradisi akidah Asha’irah, fekah Syafi’iyyah dan tasawwuf Imam Al-Ghazali, yang wajar juga dimasukkan hari ini kekuatan keempat iaitu Tradisi Peradaban Ibnu Khaldun, masih jelas berpotensi untuk digemblengkan sebagai sumber dan naratif kekuatan umat Islam bagi menghadapi cabaran perubahan politik negara ketika ini.

Tiga cabaran akidah dan pemikiran yang perlu dihadapi oleh umat Islam di Malaysia ialah 1) cabaran pengukuhan IMAN, 2) cabaran penjelasan IDEOLOGI dan 3) cabaran penghasilan ILMU. Tiga cabaran IMAN, IDEOLOGI dan ILMU ini jika dilihat dari pengalaman dan keupayaan tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya tradisi Kalam Asha’irah-Maturidiyyah terbukti berjaya ditangani dengan berkesan disepanjang sejarah peradaban Islam terutamanya dalam memastikan kemantapan, kestabilan dan kesinambungan akidah dan pemikiran umat Islam. Malah pendekatan tradisi Kalam Asha’irah-Maturidiyyah yang bersifat logikal, rasional dan sistematik bukan hanya bersesuaian untuk Wilayah Nusantara dan Tanahair Tercinta tetapi juga dalam mendepani cabaran globalisasi abad ke 21 ini atas ciri-ciri keterbukaan pemikiran, penyerapan tempatan, pendekatan saintifik dan kreatif serta wasatiyyahnya. Disinilah kepentingan dan keutamaan TAJDID KALAM sebagai inisiatif kontemporari pembaharuan dinamika dan kreativiti akidah dan pemikiran umat Islam abad ke 21 yang bersifat lokal, nasional dan global.

PERTAMA - CABARAN IMAN: Iman ialah tasdiq, pegangan dan keyakinan umat Islam terhadap Rukun Iman yang 6. Iman termasuk juga kefahaman dan penghayatan Tauhid kepada Allah SWT (Ilahiyat), hakikat kenabian Rasulullah SAW (Nubuwwat) dan kebenaran perkara-perkara Hari Akhirat (Sam’iyyat). Iman juga meliputi faham tentang hakikat dan tujuan kewujudan dan penciptaan, qadha dan qadar, baik dan buruk, perbuatan Allah SWT dan usaha manusia dan hal-hal lain yang berkaitan dengan pembentukan pandangan dan pengalaman hubungan Tuhan, Manusia dan Alam. Seperti juga umat Islam terdahulu, Cabaran Iman kekal sepanjang zaman sehingga ke hari ini. Faham aliran pemikiran seperti Atheisme, Skeptisme, Agnostikisme, Pluralisme kesemua faham anti-Tuhan dan anti-Agama ini sedang mengerumuni umat Islam sama sahaja seperti dahulunya faham Ilhadiyyah, Dahriyyah dan Sufastaiyyah yang menyerang akidah dan keimanan umat Islam. TAJDID KALAM bertujuan menjawab dan menjelaskan serangan dan ancaman faham-faham ini yang bakal merosakkan pegangan dan keyakinan Iman umat sekiranya dibiarkan begitu sahaja.

KEDUA – CABARAN IDEOLOGI: Ideologi ialah retorik dan propaganda politik dan sosial bertujuan mengarahkan masyarakat dan negara kepada agenda dan kepentingan tertentu. Meskipun ideologi tidak semestinya secara langsung berhubung dengan hal-hal keimanan tetapi lama-lama kelamaan ia mengikis pegangan dan keyakinan iman umat Islam. Umat Islam boleh sahaja menjalani kehidupan keislaman tetapi menganut ideologi yang bertentangan dengan intipati ajaran Islam seperti Sekularisme, Materialisme, Hedonisme, Sosialisme, Marxisme, Komunisme, Liberalisme, Kapitalisme, Anarkisme dan seumpamanya. Ideologi cenderung kepada melahirkan diktator atau tiran yang akhirnya membawa kepada totalitarianisme seperti Nazisme dan Fasisme. TAJDID KALAM bertujan menghuraikan kekeliruan dan kepalsuan Ideologi sepertimana dahulu telah dilakukan oleh para Mutakallimun dalam tradisi Milal wal Nihal dan Farq bayna Firaq.

KETIGA – CABARAN ILMU: Ilmu, sains dan disiplin pengetahuan membina Peradaban dan Ketamadunan. Ini juga khazanah dan hikmah yang ditunjukkan dalam Sains Peradaban Ilm al-‘Umran Kitab Muqaddimah Ibnu Khaldun. Peradaban yang mencipta dan menguasai ilmu akan menguasai dan mempengaruhi kehidupan. Ilmu sangat sarat nilai yang mana lama kelamaan meracuni pemikiran dan pandangan alam manusia. Hari ini umat Islam diracuni dan dipengaruhi malah disarati dengan nilai keilmuan Peradaban Barat yang secara ortodoksnya disebut Naturalisme iaitu faham bahawa Alam ini Fizikal Semata-Mata dan keseluruhan penjelasan ilmu mesti dibuat atas keyakinan Alam ini Fizikal Semata-Mata. Faham Naturalisme ini berkembang menjadi Positivisme dalam hampir kesemua ilmu, sains dan disiplin pengetahuan yang menafikan dan tidak mengiktiraf segala bentuk ilmu yang tidak berorientasikan Naturalisme dan Positivisme. Malah ilmu-ilmu agama juga tidak terlepas dari dominasi dan manipulasi Naturalisme dan Positivisme yang lama kelamaan menjadi sarjana dan pelajar Islam berkeperibadian terpecah. Muslim di Masjid tetapi Naturalis dan Positivis di Universiti dan Makmal!. Naturalisme dan Positivisme ini juga akan bergraduasi menjadi Atheisme dan Agnostkisme. Justeru TAJDID KALAM bertujuan membina dan mencetus ilmu, sains, disiplin pengetahuan baru yang selari dengan asas-asas dan aksiom-aksiom utama akidah, iman dan tauhid. Tidak ramai yang memahami pendekatan Empirisme ilmu oleh Ibnu Haytham, Ibnu Sina, Al-Ghazali, Al-Biruni dan Ibnu Khaldun tidak sama sekali menjadikan mereka Naturalis dan Positivis!

Inilah bahagian-bahagian utama dari CABARAN IMAN, IDEOLOGI dan ILMU yang sewajarnya menjadi keprihatinan umat Islam khususnya dalam kesungguhan mereka mempertahankan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya Tradisi Akidah Asha’irah-Maturidiyyah yang telah wujud sepanjang kewujudan Islam itu sendiri meskipun namanya sedikit terkemudian tetapi ruhnya masih sama berdasarkan kepada ruh Al-Qur’an, Al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Malah sebarang usaha pembentukan Malaysia Baru yang tidak memiliki satu bentuk pengisian keislaman yang jelas tentang tradisi, asal-usul kandungannya serta sifat dan tahap ilmiyyahnya Islam dari tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunannya yang panjang itu hanya akan melahirkan keislaman Malaysia Baru cetek yang dangkal yang caca-merba jika tidak huru-hara. TAJDID KALAM tidak lain merupakan satu penerusan atau kesinambungan tradisi pendekatan pembaharuan akidah dan pemikiran Islam berdasarkan tradisi peradaban panjang ini. Justeru umat Islam yang mencintai Malaysia Baru sewajarnya mengorak-langkah dengan penuh yakin akan keupayaan dan kemandirian TAJDID KALAM ini sebagai Projek Pengisian Keilmuan, Keruhanian dan Ketamadunan Islam Malaysia yang Moden.

Tulisan Naratif Nusantara Ke-44

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

Top