Tajdid Kalam: Keperluan Mengembalikan Tradisi Kaedah Berfikir, Logik Atau Mantik Dalam Akidah Islam

PETALING JAYA, 29 Mei - Tokoh-tokoh utama ulama Akidah atau Usuluddin atau Ilmu Kalam seperti Imam Al-Ghazali, Imam Fakhruddin Al-Razi, Imam Al-Taftazani dan Imam Al-Sanusi semua mereka menulis kitab-kitab Ilmu Logik atau Ilmu Mantik atau Ilmu Berfikir sebagai sebahagian kurikulum atau silibus atau subjek permulaan atau persiapan yang kemudiannya menjelaskan persoalan keimanan, tauhid, akidah dan keyakinan terhadap Rukun Iman. Pendekatan ini sangat konsisten dengan kaedah berakidah para mutakallimun dalam tradisi Kalam Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa keimanan yang berdasarkan Tahqiq (Pembuktian/Pendalilan) adalah lebih mantap dan berkesan berbanding dengan keimanan yang semata-mata berasaskan Taqlid (Ikutan).

Tetapi hari ini Ilmu Logik/Mantik/Berfikir tidak lagi menjadi kurikulum, silibus dan subjek bagi pendekatan, pendidikan dan pengajaran akidah bagi umat Islam. Akibatnya majoriti umat Islam tidak lagi boleh berfikir dengan betul dalam kaedah mereka beragama. Emosi, sentimen, ideologi, manipulasi, retorik dan propaganda lebih berleluasa dalam agama berbanding dengan disiplin, fakta, ilmu, rasionaliti, kesahihan, kebenaran dan keadilan.

Dalam dunia teknologi maklumat, komunikasi sosial dan globalisasi hari ini, tidak seorang mursyid, murabbi, shaykh, ustaz/usatazah, pendidik atau guru pun boleh mendakwa cukuplah bagi anak-murid dan pengikut mereka dengan sekadar bertaqlid dalam hal-hal keimanan dan tidak memerlukan logik/mantik/kaedah berfikir sama sekali. Ini adalah satu dakwaan kosong yang akan bakal menjerumuskan umat kepada keraguan dan kekeliruan yang berpanjangan dalam kehidupan mereka kerana mereka tidak memiliki kayu-ukur, penimbang atau penanda aras tentang kebenaran dan kepalsuan yang berada disekeliling mereka.

Umat Islam dalam dunia langit terbuka hari ini setiap masa 24-7 akan menerima dan melayari segala macam maklumat dan idea yang tentu sahaja berkaitan dengan iman, ideologi dan ilmu yang memerlukan mereka memiliki pendedahan dan kemahiran mengenai logik/mantik/ kaedah berfikir untuk mereka membuat penilaian dan keputusan. Zaman umat Islam untuk hidup terasing dari dunia luar yang boleh menyelamatkan mereka dari sebarang pengaruh luar telah berakhir.

Para mursyid, murabbi, shaykh, ustaz/usatazah, pendidik atau guru wajib bertanya mengapa dalam tradisi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, ilmu logik, mantik, kaedah berfikir ini begitu dipentingkan oleh Imam-Imam utama seperti Imam Al-Ghazali, Imam Fakhruddin Al-Razi, Imam Al-Taftazani dan Imam Al-Sanusi. Mengapa semua kitab akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dimulakan dengan tajuk Hukum Akal, wajib pada akal, mustahil pada akal dan harus pada akal. Begitu juga dibincangkan tentang hukum Syarak, hukum Akal dan hukum Sains (Induksi misalnya).

Menjadi satu standard dalam akidah Islam dibincangkan tentang pembuktian kewujudan Maha Pencipta melalui penciptaanNya di alam semesta ini. Dibincangkan juga kekeliruan berfikir golongan sufastaiyyah, juga mulhid, indiyyah, inadiyyah yang hari ini sama sahaja dengan golongan Relativis, Atheis, Agnostik dan seumpamanya. Jelas sekali perbicaraan perkara-perkara ini berkehendakkan kefahaman akidah yang sebegini dipandukan dengan ilmu logik, mantiq atau kaedah berfikir.

Justeru agak menghairankan jika niat dan keinginan kita untuk memastikan umat Islam benar-benar menghayati keimanan yang mantap, akidah yang kukuh, dan tauhid yang jelas tetapi Ilmu logik, Mantiq dan Kaedah Berfikir tidak diterapkan atau diajar kepada umat Islam hari ini. Ia umpama pada zaman ini, jika kita berkehendakkan generasi muda memahami sains, teknologi dan inovasi tetapi subjek matematik tidak diajarkan disekolah-sekolah!.

Dan tentunya menjadi lebih pelik jika kita beriya-iya ingin menghayati, memantap, mengukuh dan menjelaskan persoalan keimanan, akidah dan tauhid, kita tidak menggunakan pendekatan yang sama yang dilakukan oleh Imam Al-Ghazali, Imam Fakhruddin Al-Razi, Imam Al-Taftazani dan Imam Al-Sanusi dalam menekankan kepentingan Ilmu Logik/Mantik/Kaedah Berfikir! Jika para ulama besar ilmu akidah ini faham benar peranan dan kepentingan ilmu ini, mengapa kita tidak?

Sebenarnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan atau difobiakan tentang Ilmu Logik/Mantiq/Kaedah Berfikir itu. Malah terdapat segolongan agamawan yang malah mengharam dan menyesatkan Ilmu Logik/Mantik/Kaedah Berfikir kepada umat Islam dengan anggapan ilmu ini menjadi punca kesesatan dan penyelewengan dalam agama. Sedangkan kita menyaksikan betapa ramai umat Islam telah keliru, sesat, terseleweng, tertipu dan terpedaya akibat tidak menggunakan kaedah berfikir yang betul dalam kehidupan beragama mereka.

Malah kadang-kadang terdapat kes-kes tertentu bagaimana “mursyid, murabbi, shaykh, ustaz/usatazah, pendidik atau guru” yang telah mengakibatkan para murid dan pengikutnya keliru, sesat, terseleweng, tertipu dan terpedaya. Ini mungkin kesan paling parah bila keimanan, akidah dan tauhid diambil secara bertaqlid berdasarkan ikutan atau “otoriti” dan tidak dengan bertahqiq (pembuktian dan pendalilan).

Umat Islam sepatutnya menerima kenyataan bahawa ketika ini mereka sedang berhadapan dengan cabaran akidah dan pemikiran yang hebat yang memerlukan kepada kekuatan logik/mantik/kaedah berfikir untuk menghadapinya. Para agamawan yang meliputi mursyid, murabbi, shaykh, ustaz/usatazah, pendidik atau guru sewajarnya menggalakkan dan melorongkan umat untuk berdiri atas kaki sendiri dalam memperkukuh dan memantapkan keimanan dan keyakinan mereka kerana mereka sendiri sedang bergelut dengan cabaran-cabaran tersebut.

Berapa ramaikah para agamawan, mursyid, murabbi, shaykh, ustaz/usatazah, pendidik atau guru yang memahami cabaran akidah dan pemikiran umat ketika ini. Kita tidak cukup sekadar menghukum dan menyesatkan segala bentuk isme, ideologi dan ilmu-ilmu yang ada tanpa kita sendiri mengetahui secara lengkap jika tidak mendalam hal-hal yang kita hukum tersebut. Pengetahuan terhadap cabaran isme, ideologi dan ilmu-ilmu memerlukan pengetahuan dan kemahiran ilmu logik/mantik/kaedah berfikir untuk memahami dan mengatasinya.

Memang kita maklum tidak semua orang, tidak semua umat Islam wajib belajar logik,mantiq, kaedah berfikir terutama kepada mereka yang selesa dengan pendekatan keimanan bertaqlid, tetapi barangsiapa yang cuba berhujah atau mengemukakan pendapat mengenai akidah, keimanan dan tauhid dalam konteks semasa dalam menjawab persoalan-persoalan semasa tanpa ilmu logik, mantik atau kaedah berfikir mereka akan mudah tersilap. Apatah pula jika mereka mencuba-cuba untuk berbicara tentang keimanan dan hubungannya dengan idea, pemikiran, ideologi dan ilmu-ilmu moden yang rencam tersebut.

Begitu jugalah hal ini kepada mereka yang ingin mengungkapkan keimanan dan keislaman dalam menghadapi cabaran Peradaban kemanusiaan Barat dan Timur, tanpa menggunakan logik/mantiq/kaedah berfikir mereka tidak mungkin boleh menghuraikannya secara tepat lagi teratur. Sekirannya kita benar-benar serius dalam memantap, mengukuh dan menjelaskan keimanan, akidah dan tauhid umat mengapa tidak kita mengembalikan tradisi ilmu logik, mantik dan kaedah berfikir ini dalam pendidikan dan pengajaran akidah kita? Atau kita hanya berangan-angan memiliki akidah yang kukuh, mantap dan jelas tapi malas mengikuti jalan para ulama akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kita?

Tulisan Naratif Nusantara Ke-43

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

Top