Memasyarakatkan Kesedaran Tauhid Dengan Merakyatkan Akidah Awam Siri II - Dr Amran Muhammad

PETALING JAYA, 26 Januari - Ilmu akidah bersumber karya ulama silam Melayu (Bahagian Kedua – Akhir)

SEPERTI YANG DIKARANG OLEH ALLAHYARHAM TUAN GURU WAN MOHD. SAGHIR WAN ABDULLAH RAHIMALLAHU’ANHU

SUKATAN PELAJARAN ILMU TAUHID TRADISIONAL DI DUNIA MELAYU

Dalam dunia pendidikan moden, kita mengenal istilah sukatan pelajaran atau kurikulum. Walaupun istilah tersebut dalam pendidikan tradisional tidak diperkenalkan secara meluas, namun dari karya-karya peninggalan mereka dapat kita mengerti bahawa hal itu telah berlaku sejak lama di Dunia Melayu.

Kurikulum pelajaran tauhid secara tradisional dapat dibahagi kepada berikut, iaitu: Peringkat Awal/Permulaan, Peringkat Menengah dan Atas dan Peringkat Pembahasan dan Penyelidikan. Peringkat-peringkat tersebut dapat dibicarakan satu persatu bahagiannya sebagai berikut:

I. Peringkat Awal/Permulaan

Dimaksudkan dengan Peringkat Awal / Permulaan ialah orang-orang yang baru memasuki pelajaran Ilmu Tauhid dan tidak terikat dengan umur.
Adakalanya seorang kanak-kanak yang berumur tujuh tahun atau seorang yang telah tua hingga melebihi 40 tahun mereka wajib diberi pengertian asas tauhid dengan cara menghafal.

Bezanya hanyalah cara menyampaikannya sahaja, tentu saja tidak sama menerapkannya antara seorang kanak-kanak dengan seorang yang telah berumur.

Untuk peringkat ini Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani sekurang-kurangnya telah menyusun dua kitab Ilmu Tauhid iaitu Irsyadul Ithfal dan ‘Iqdatul Jawahir.
‘Iqdatul Jawahir tersebut selain merupakan asas akidah, dapat juga digunakan sebagai penolong ke arah sastera klasik kerana ia ditulis dalam bentuk syair dua bait, dua bait tak ubahnya seperti Gurindam Dua Belas gubahan Raja Ali Haji dari Riau.

Barangkali gaya bahasa sastera Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti tersebut telah mempengaruhi sasterawan yang berasal dari Riau itu. Ini kerana tidak dapat dinafikan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah termasuk salah seorang guru kepada Raja Ali Haji sewaktu dia ke Mekah dalam tahun 1245 H (kira-kira 1831 M), iaitu tahun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan karya beliau ‘Iqdatul Jawahir.

Selain mengarang dua kitab dalam bahasa Melayu untuk peringkat ini, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menekankan supaya kanak-kanak digalakkan menghafal akidah berbentuk dalam bahasa Arab.

Hal ini disedari beliau kerana untuk pengiktirafan menjadi seorang ulama peringkat antarabangsa adalah dimestikan menguasai bahasa Arab dalam pelbagai bentuk keilmuannya.

Ada empat karya Sheikh Ahmad al-Fathani untuk peringkat ini, iaitu dua dalam bahasa Arab dan dua dalam bahasa Melayu.

Judul kitab dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid dan Munjiatul ‘Awam. Kedua-duanya ditulis di Mesir dan telah diuji oleh pengarangnya mengajar kedua-dua kitab itu di Masjid Jamek Azhar, Mesir kepada orang-orang yang bukan berasal dari Dunia Melayu.

Dua karya Sheikh Ahmad al-Fathani untuk Peringkat Awal dalam bahasa Melayu pula ialah An Nurul Mubin dan ‘Aqidah Ushuluddin Pendek.

Dalam kedua-dua kitab kecil tersebut, beliau menyimpulkan seluruh akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah untuk kanak-kanak dan orang awam adalah meliputi beberapa perkara berikut, antaranya: tentang rukun Islam, rukun iman, Sifat Kamalat yang wajib bagi Allah ada 13 sifat, demikian juga lawannya, kemudian ditambah lagi tujuh sifat yang dinamakan Sifat Ma’awiyah dan sebagainya yang banyak tidak dapat dimuatkan keseluruhannya di sini.

Dua karya yang beliau tulis dalam bahasa Arab yang berbentuk syair pula. Kandungannya jauh lebih lengkap daripada yang ditulis dalam bahasa Melayu. Hal ini dapat dimaklumi kerana kedua-dua kitab bahasa Arab itu adalah untuk diajar di pondok-pondok yang bercorak pengkaderan bukan untuk orang awam.

Dari segi akidah jelas mencerminkan suatu ajaran yang dapat dipertanggungjawabkan. Ditinjau dari segi bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani nampaknya berusaha supaya dari peringkat kanak-kanak lagi perlu diajar bahasa Arab yang begitu tinggi hingga sampai kepada gaya bahasa sasteranya.

Ditinjau dari segi kelengkapan kandungan, sebagai contoh seperti tertulis dalam Jumanatut Tauhid pada bait pertama (tidak dapat dipaparkan contoh dalam bahasa Arab) iaitu, maksudnya, bahawa wajib memelihara kulliyat lima atau enam perkara, iaitu: agama Islam, diri, harta, nasab, kehormatan, dan akal.

Pada bait yang lain antaranya ditinjau dari sudut politik, bahawa untuk memelihara yang tersebut itu adalah menghendaki kepada pentadbiran yang baik pula.
Politik yang baik dan pentadbiran yang baik menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya yang lain ialah menurut yang telah diperintahkan Allah kepada para RasulNya.

Diakui atau tidak ketokohan ulama kita ini mengkaderkan tokoh-tokoh politik di Dunia Melayu melalui akidah Islamiah yang berkesinambungan memerlukan analisis, pengkajian dan pandangan secara jujur secara saksama dan mendalam.

Sebagai bukti, sehingga tertulis dalam buku Kurikulum Bersepadu Seolah Menengah Sejarah Tingkatan 2 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 1989, halaman 182 sebagai yang berikut: Di Tanah Melayu pada masa itu, telah ada tokoh yang menganjurkan agar negeri Kelantan dan Patani membentuk sebuah negara Islam. Tokoh tersebut ialah seorang ulama terkenal di Mekah. Beliau ialah Sheikh Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Muhammad Zain yang berasal dari Patani. Beliau menganjurkan agar negeri Kelantan dan Patani bersatu untuk menentang Siam dan membentuk sebuah kerajaan Islam yang akan dilindungi oleh Empayar Turki.

Di bahagian akhir kitab Jumanatut Tauhid diperlengkapkan dengan beberapa bait pengertian akidah yang bersangkut paut dengan tasauf. Untuk melengkapi akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah di peringkat awal sebagai pengkaderan di pengajian pondok tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani menulis di dalam Munjiyatul ‘Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam dengan beberapa bait tentang tanda-tanda kiamat.
 
Penutup
Seterusnya untuk dua peringkat yang tidak dibicarakan lagi iaitu peringkat Menengah/atas dan peringkat perbahasan/ penyelidikan dalam sukatan ilmu tauhid tradisonal di Alam Melayu ini akan disambung perbicaraannya pada ruangan yang sama pada minggu hadapan.
Untuk bahagian pertama ini, dapat disimpulkan bahawa ulama-ulama silam Dunia Melayu yang dapat dipercayai dan dipertanggungjawabkan ilmunya di bidang akidah Islamiah telah berhasil mengarang ilmu tersebut dalam banyak judul kitab, sama ada dalam bahasa Melayu mahupun dalam bahasa Arab.
Malahan terdapat beberapa judul kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Arab dapat diajarkan di luar Dunia Melayu, termasuk orang-orang Arab sendiri menggunakan karya ulama Melayu tersebut.

Tulisan Naratif Nusantara Ke-36

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

Top