Ustaz Ismail Mina Difitnah Media – Aktivis CLJ

KUALA LUMPUR, 16 Januari - Kenyataan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Ustaz Ismail Mina Ahmad ini telah diputar belit oleh sesetengah media bertujuan untuk memburukkan beliau, apatah lagi apabila sesetengah portal menokok tambah apa yang diucapkan oleh Ustaz Ismail Mina dengan memasukkan perkataan “hanya”, maka kenyataan beliau tersebut telah diputar di luar konteks yang dimaksudkan sehingga menimbulkan kecelaruan dan kekeliruan, tegas aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Saudara Aidil Khalid.

Beliau berkata, sesungguhnya ini adalah suatu kezaliman terhadap Ustaz Ismail Mina dan terhadap Konvensyen Kebangkitan Ummah yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini dan dihadiri kira-kira 1,000 orang yang rata-ratanya mewakili 300 NGO yang berada di bawah UMMAH.

Menurut Aidil Khalid, apa yang difahami niatnya (Ustaz Ismail Mina) tiada lain melainkan untuk mengangkat perjuangan kebangsaan Melayu Islam tanpa menafikan atau menyisihkan kaum-kaum lain di negara ini tetapi secara tidak bertanggungjawab telah diputar belitkan oleh pihak media.

Ditanya adakah benar Ustaz Ismail Mina membuat kenyataan bahawa umat Islam sahaja yang menentang penjajah Aidil Khalid berkata, “Saya hadir dalam konvensyen tersebut, dan seingat saya, apa yang dinyatakan dalam ucapan Ustaz Ismail Mina ialah bahawa orang-orang Melayu, sejak daripada zaman penjajahan Portugis, membawa kepada penjajahan-penjajahan selepas itu, termasuk Jepun, Bintang Tiga, dan sebagainya, telah berjuang menentang penjajahan tersebut, dan mempertahankan Raja-Raja Melayu.”

“Jika apa yang saya ingat tepat, beliau langsung tidak menyebut bahawa “hanya” orang-orang Melayu sahaja yang berjuang, atau menafikan sumbangan tentera atau polis bukan berbangsa Melayu selepas kemerdekaan dalam memerangi komunis,” katanya.

Persoalannya, apakah konteks kenyataan Ustaz Ismail Mina sebenarnya, Aidil menjelaskan, “Konteks sebenar yang dibawakan oleh Ustaz Ismail Mina, sefaham saya, ialah untuk mengingatkan kembali orang-orang Melayu terhadap pengorbanan dan perjuangan orang-orang Melayu dahulu, jerih payah tok nenek kita dalam memerangi penjajah.”

“Sebab itu dibangkitkan tentang orang-orang Melayu yang berjuang menentang Bintang Tiga,” katanya.

Ujarnya, “Ini adalah satu episod sejarah yang amat pedih dalam memori kolektif orang-orang Melayu, justeru tak wajar dilupakan oleh generasi pada hari ini.”

Tegas Aidil, atas dasar ini, Ustaz Ismail Mina mengajak agar orang-orang Melayu Islam untuk bangkit bersatu sebagai sebuah ummah untuk menuntut hak-hak yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berteraskan kearifan lokal, yakni berkait dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang-orang Melayu, ketinggian Islam sebagai agama bagi Persekutuan. 

Sumber: https://www.menara.my/ustaz-ismail-mina-difitnah-media-aktivis-clj/

Top