Al-Quds Dari Kaca Mata Geo-Strategi Barat - Wan Fayhsal London

LONDON, 9 Januari - Saya tertarik dengan surat jemputan daripada Shaykh Al-Azhar Shaykh Ahmad Tayyib yang disampaikan kepada SS Mufti Wilayah Dr.  Zulkifli Mohamad al-Bakri berhubung Muktamar Antarabangsa Ulama’ dan Pemikir Islam dalam Menyelamatkan Al-Quds.

Jelas, Shaykh Ahmad Tayyib telah meletakkan tasawwur yang jelas berhubung masalah berhubung nasib Al-Quds (Jerusalem) dengan  menyatakan semula secara tepat kefahaman yang dipegang oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Zionis, bahawa Al-Quds itu bagi mereka adalah sebuah “‘asīmah abādiyyah” (the eternal capital).

Sesungguhnya apa yang dibangkitkan oleh Trump dan Netanyehu bukanlah sekadar “figure of speech”; tamsilan dan permainan kata tetapi hakikatnya merujuk kepada kesinambungan akan kesedaran yang sebati dalam sanubari para pemimpin Barat berhubung sifat geo-strategi Al-Quds itu sendiri.

Dalam artikel terbaru saya ini, saya mengulas secara ringkas permasalahan akar konflik Al-Quds daripada sudut pandang lapangan ilmu geopolitik klasik atau nama lainnya “political geography” yang membawa wacana yang berbeda dengan apa yang banyak dan sering diperkatakan dalam media arus perdana iaitu Al-Quds dari kaca mata Hubungan Antarabangsa (International Relations).

Dalam mizan ilmu geopolitik seperti yang saya ulas dalam makalah ini, pemikir geopolitik Barat yang berpengaruh seperti Mackinder dan Gottman menjelaskan sifat “capital” (dalam terjemahan Bahasa Melayu “ibu kota” tidak dapat tangkap makna yang lebih dalam berhubung “capital” dan عاصمة ) dalam peradaban Barat itu punya konotasi yang amat strategik. Bila mereka kata Jerusalem itu sebuah “capital” yang abadi, itu bukan mainan bahasa. Mereka benar-benar bermaksud akannya.

Hal ini berlaku dan timbul kerana pengalaman lampau yang mereka warisi daripada pelbagai episod duka dan luka yang telah dialami oleh moyang mereka dalam pergelutan mempertahankan wilayah-wilayah strategik peradaban Barat yang diancam oleh kekuatan dan hegemoni peradaban Islam seperti ulas sejarawan ulung Henri Pirenne.

Sifat geo-strategik Al-Quds ini melangkaui sentimen silam antara Salahuddin al-Ayyubi dan King Richard The Lionheart yang sering diungkit untuk membangkitkan citra Al-Quds melalui keperwiraan keagamaan.

Hal ini kerana sifat geografi Al-Quds bagi tamaddun Barat itu turut sama diwarnai dan dimaknai oleh pengalaman geopolitik serantau khusus di Laut Mediterranean. Ketika mana Peradaban Islam menjadikan Mediterranean sebagai “tasik kaum Muslimin” dari zaman Umayyah lagi, ianya telah menghantui dan berbekas dalam jiwa dan semangat para pemimpin peradaban Barat. Al-Quds sebagai sebuah ibu kota yang berdekatan dengan Mediterranean sering menjadi saksi akan pertembungan antara Barat dan Islam.

Maka tidak hairanlah dari dulu sampai sekarang di abad ke-21 ini, zaman di mana pengaruh agama Judeo-Kristian semakin melemah, rupa wajah dan citra yang ditayang Al-Quds dalam kaca mata Barat itu sudah silih berganti daripada sifat keagamaan kepada hal-hal yang bersifat sekular seperti geo-strategiknya Al-Quds sebagai paksi peradaban Barat di pinggiran Mediterranean.

Melihat situasi ini, saya harap penyataan semula beberapa sudut pandang lama geopolitik Barat berkenaan Al-Quds dapat membuka ruang percambahan idea dikalangan ulama’ dan fuqaha’ bahawasanya sudah tiba masanya mereka mengusulkan Fiqh al-Tamkīn sebagai satu bentuk disiplin ilmu yang khusus bicara hal-hal seperti geografi politik mengikut acuan dan skema ilmu-ilmu Shar’i - sama seperti sistematiknya Fiqh al-Tahawwulat.

Kenapa? Sebab hal ini dibingkaikan oleh Trump dan Israel sebagai permasalahan peradaban, bukan sekadar hal tanah dan ruang yang dirampas. Sebab itu Syria, Yemen, Libya, Iraq dan kini Iran melemah kerana kekuatan mereka bersangkutan dengan kekuatan “pemilikan” peradaban Islam terhadap Al-Quds.

Untuk berdepan dan berdialog dengan mereka yakni peradaban Barat dalam hal Al-Quds ini, kita harus punya kebijaksanaan untuk memahami semula segala bentuk “tamkīn” yang ada dalam Qur’an dan Ahadith agar kalau pun kita kalah di medan perundangan dan politik antarabangsa yang berat sebelah, sekurang-kurangnya batu asas yang bersifat ilmiah telah dibincang oleh para ulama’ sebagai persiapan merangka strategi mendapatkan semula Al-Quds di masa mendatang setelah umat Islam khususnya Arab, telah benar-benar bersedia bersatu dan pertahankan kepentingan Peradaban Islam secara berjemaah (collective).

Saya harap ada pihak yang sudi sampaikan artikel saya ini kepada SS Mufti Wilayah (elok diterjemahkan) agar nanti di Muktamar, usul sebegini dapat difikirkan bersama oleh para ulama’ khususnya fuqaha’ yang hadir.

Fiqh al-Tamkīn adalah tafsiran geopolitik/“political geography” sebagai sunanullah mengikut mizan Shari’ah. The science of mastering strategic spaces from the viewpoint of Shari’ah.

Muktamar akan datang ini saya jangka tak berupaya menatijahkan solusi politik tetapi saya yakin kewibawaan ulama’ yang ada kini mampu persiapkan “blueprint” untuk Al-Quds ala TN50. Fiqh al-Tamkīn adalah gerbangnya.

Wallahua’lam.

- Wan Fayhsal, pelajar geopolitik King's College London -

Untuk Lanjut Baca: http://www.atimes.com/weekend-needs-pic-trumps-jerusalem-play-steeped-longue-duree-history/

Top