Tiga Genre (Kategori) Kitab Muktabar Kalam Asha'irah Untuk Pendekatan Akidah Orang Awam, Dasar / Ruang Awam Dan IPT Awam

PETALING JAYA, 26 Disember - Abad ke 20 menyaksikan majoriti umat Islam memahami dan menghayati akidah dan pemikiran Islam tanpa menggunakan sebarang kitab akidah muktabar yang khusus. Dengan berkembangnya pengaruh modenis dan salafis selepas tahun 1970an, kitab-kitab akidah yang masyhur dalam tradisi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Umm al-Barahin Imam Al-Sanusi, Jawharah al-Tawhid Imam Al-Laqqani, Sharh Aqaid al-Nasafiyyah Imam Al-Taftazani dan Al-Iqtisad fil ‘Itiqad Imam Al-Ghazali tidak langsung menjadi pembacaan dan pengajian akidah dan pemikiran Islam bagi sebahagian besar umat Islam. Akibatnya pembelajaran akidah dan pemikiran Islam menjadi sangat cetek dan simplistik tanpa keupayaan analitik dan sistematik seperti yang lazimnya terdapat pada metodologi kitab-kitab yang dinyatakan diatas. Justeru kelompongan pengisian akidah dan pemikiran Islam berasaskan kitab-kitab muktabar akidah ini telah mencetuskan pelbagai kekeliruan dan pertentangan akidah dan pemikiran Islam dikalangan pelbagai kelompok umat pada hari ini.
 
Sekiranya umat Islam hari ini berjiwa-besar, berhati terbuka dan bersedia belajar dari tradisi akidah dan pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya tradisi Kalam Asha’irah, mereka akan mendapati para Mutakallimun Asha’irah telah membina dan menyediakan satu manhaj atau pendekatan dalam beberapa bentuk Genre atau Metodologi Penyelidikan dan Penulisan tertentu untuk memahami dan menghayati akidah dan pemikiran Islam dan persoalan yang berkaitan dengannya. Bentuk-bentuk Genre yang berbeda ini diformulasi dengan kaedah ilmiah yang kompleks, kompetitif lagi komprehensif bagi menangani pelbagai persoalan akidah dan pemikiran meliputi zaman dan lingkungan semasa mereka. Berbekalkan pendekatan mengharmonikan naqal dan aqal – wahyu dan rasionaliti, kaedah analisis yang logikal dan rasional, sistemisasi dan sintesis ilmu agama, ilmu terdahulu dan ilmu terkini, para Mutakallimun Asha’irah telah mewariskan kepada umat Islam hari ini, Genre-Genre khusus kitab-kitab akidah yang berupaya untuk merungkai pelbagai persoalan yang melibatkan isu dan cabaran akidah dan pemikiran berdasarkan konteks dan aplikasi semasa kita pula sekiranya kita mahu dan tahu memanfaatkannya.
 
PERTAMA

Genre Syarah atas Matan Akidah Awam sebagai Kalam untuk Orang Awam (Kategori Kalam Publik dan Massa): Dalam konteks dunia globalisasi dan teknologi komunikasi hari ini, pemisahan antara orang awam dan orang khusus/khawwas (elit) hampir pupus berhubung dengan sebaran ilmu, akidah dan pemikiran. Pembentukan apa yang kita boleh namakan sebagai Kalam Publik atau Kalam Orang Awam sangat diperlukan sekarang ini bagi mendepani penularan dan penyebarluasan idea, ideologi, isme, akidah dan pemikiran yang boleh mengganggu-gugat pokok-pokok kefahaman akidah dan pemikiran umat. Apakah justifikasi kita untuk mengharamkan atau membidaahkan atau menyesatkan umat Islam yang menggunakan disiplin Ilmu Kalam bagi menolak bahaya atheisme, agnostisme, anarkisme, sekularisme, liberalisme, pascamodenisme dan seumpamanya yang sedang berleluasa mempengaruhi pegangan akidah dan pemikiran umat Islam? Justeru Kalam Publik atau Kalam Awam yang bersifat massa dan popular mestilah dikembangkan bagi membina semula kesedaran keimanan, ketuhanan dan keagamaan dalam kehidupan umat berdasarkan disiplin Ilmu Kalam.
 
Disinilah peranan Genre Syarah atas Matan Akidah Awam seperti kitab-kitab Umm al-Barahin Imam Al-Sanusi, Jawharah al-Tawhid Imam Al-Laqqani, Sharh Aqaid al-Nasafiyyah Imam Al-Taftazani dan Al-Iqtisad fil ‘Itiqad Imam Al-Ghazali sewajarnya diperkenalkan semula ke dalam kancah masyarakat umat Islam. Sehubungan dengan ini juga, Genre Syarah atas Matan Akidah Awam yang masyhur di Nusantara seperti Durr al-Thamin Shaykh Daud Al-Fathani, Aqidat al-Najin Tuan Minal,  Faridat al-Faraid Shaykh Ahmad Al-Fathani, Bakurat al-Amani Pak Da’el Al-Fathani dan pelbagai lagi kitab-kitab akidah Melayu Jawi perlu disebarluaskan dikalangan masyarakat awam menggunakan pendekatan massa dan popular semasa. Kewujudan pengajian dan wacana Kalam Publik ini berupaya memberikan ketahanan dan pemantapan akidah dan pemikiran umat dalam mendepani pelbagai ancaman dan syubhat idea, isme dan ideologi yang mendatang.
 
KEDUA

Genre Al-Mihal wal-Nihal / Al-Farq Bayna Al-Firaq sebagai Kalam untuk Dasar dan Ruang Awam (Kategori Kalam Strategik dan Politik): Dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara hari ini, umat berdepan dengan pelbagai aliran berfikir sesama muslim dan juga dikalangan bukan muslim. Misalnya terdapat kelompok masyarakat yang digelar liberal sedang bertentangan dengan kelompok masyarakat yang dilabel literal. Terdapat juga kelompok-kelompok agama yang pelbagai yang perlu berinteraksi atau bermuamalah secara aman-damai dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Keupayaan untuk memahami, menyantuni serta melestari kepelbagaian pemikiran ini memerlukan satu pembentukan Kalam Strategik atau Politik bagi mengurus kepelbagaian yang ada serta membina permufakatan dan konsensus nasional yang lebih harmoni dan saling memahami.
 
Pembentukan Kalam Strategik atau Politik ini boleh diasaskan dari Genre Al-Mihal wal-Nihal / Al-Farq Bayna Firaq yang telah dihasilkan oleh para Mutakallimun Asha’irah yang sangat berguna dalam menerang dan menjelaskan kepelbagaian bentuk pemikiran dikalangan umat Islam juga bukan Islam bagi mendapat pendedahan terhadap orientasi, asal-usul, kaedah berfikir serta hujah-hujah golongan pelbagai idea, isme dan ideologi ini.  Termasuk Genre Al-Mihal wal-Nihal / Al-Farq Bayna Firaq ini ialah kitab Maqalat Islamiyyin Imam Al-Asha’ri itu sendiri, Al-Farq Baina Al-Firaq Imam Abu Mansur Abdul Qahir al-Baghdadi dan Al-Mihal wal-Nihal Imam Al-Shahrastani juga Al-Fashl fi Al-Mihal wal Nihal Imam Ibn Hazm dan seumpamanya. Genre Al-Mihal wal-Nihal / Al-Farq Bayna Firaq sangat berpotensi diperkembangkan dalam Kalam Strategik dan Politik kerana ia memperlihatkan objektiviti dan keterbukaan para Mutakallimun dalam menilai kepelbagaian pemikiran sesama Islam, pemikiran falsafah dan juga agama-agama lain.
 
KETIGA

Genre Syarah, Hasyiah dan Ta’liqat atas Syarah (Supercommentary) sebagai Kalam untuk IPT Awam (Kategori Kalam Akademik dan Analitik): Pada peringkat ilmiah tertingi pula, sangat perlu diusahakan pembentukan Kalam Analitik atau Kalam Akademik bagi menyumbang penghasilan ilmu-ilmu baru berdasarkan pendekatan Genre Syarah, Hasyiah dan Ta’liqat atas Syarah (Supercommentary) seperti yang dilakukan oleh Imam Fakharuddin Al-Razi dalam Muhassal, Imam Al-Taftazani dalam Maqasid dan Imam Abdul Rahman Al-Iji dalam Mawaqif juga Imam Al-Jurjani dalam Sharh Mawaqif. Pendekatan yang menjurus kepada penghuraian epistemologi dan ontologi dan juga aksiologi yang dilakukan oleh Imam Fakharuddin Al-Razi, Imam Al-Taftazani, Imam Abduk Rahman Al-Iji dan Imam Al-Jurjani sangat relevan dalam konteks perbahasan ilmu-ilmu sains dan falsafah moden semasa seperti faham atomisme, fizik kuantum, occasionalisme, biologi organisasi, kesedaran (consciousness), psikologi, etika, sains kognitif dan seumpamanya.
 
Genre Syarah, Hasyiah dan Ta’liqat atas Syarah (Supercommentary) ini membuktikan betapa para Mutakallimun bukan sahaja menjelaskan persoalan akidah dan pemikiran dalam konteks memahami agama semata-mata malah mereka menunjukkan bagaimana akidah dan pemikiran ini juga berguna untuk membina kefahaman terhadap alam semesta, psikologi manusia dan penghasilan ilmu-ilmu baru. IPT Awam khususnya para ahli akademik dan mahasiswa perlu memainkan peranan penting membina dan menghidupkan projek dan program Kalam Analitik atau Kalam Akademik yang akhirnya menuju kearah pembentukan ilmu dan sains Tawhidik bagi manfaat umat Islam dan umat manusia umumnya.
 
Pembentukan tiga inisiatif Kalam Publik, Kalam Strategik dan Kalam Analitik berdasarkan kepada tiga genre kitab-kitab muktabar Ilmu Kalam; 1) Genre Syarah atas Matan Akidah Awam, 2) Genre Al-Mihal wal-Nihal / Al-Farq Bayna Firaq dan 3) Genre Syarah, Hasyiah dan Ta’liqat atas Syarah (Supercommentary) adalah pembuktian bahawa tradisi Kalam Asha’irah adalah tradisi keilmuan akidah dan pemikiran yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Umat Islam Abad ke 21 perlulah menerima hakikat bahawa Ihya Ilmu Kalam atau Tajdid Kalam / Kalam Jadid adalah peluang keemasan mereka bagi memperkukuhkan akidah dan pemikiran Islam mereka dalam menghadapi krisis dan konflik akidah, pemikiran dan peradaban semasa. Dengan menjadikan kitab-kitab muktabar Ilmu Kalam ini benar-benar relevan dan sentral dalam kehidupan dengan segala bentuk penambahbaikan terhadap tradisi dan kandungannya yang telah berusia lebih 1000 tahun ini, peluang umat Islam Abad ke 21 untuk memaknai kehidupan dan peradaban kemanusiaan akan lebih meyakinkan.

Tulisan Naratif Nusantara Ke-33

Oleh : Dr Amran Muhammad
Ilmuan MUAFAKAT,
Pengerusi ISSI

Nota: NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

Top