Kedutaan Turki Di Baitulmuqaddis Timur

ISTANBUL, 21 Disember - Turki bercadang untuk membuka kedutaan di Baitulmuqaddis Timur, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan yang mengetuai gesaan agar dunia mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin.

Sidang kemuncak bersama pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan pada minggu lalu di Istanbul merupakan tindak balas dan penentangan terhadap pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Menurut Erdagon dalam ucapannya kepada anggota Parti Keadilan di wilayah selatan Karaman berkata pesuruhjaya tinggi Turki di Baitulmaqdis ketika ini sudah diwakili seorang diplomat bertaraf duta.

“InsyaAllah, hari tersebut hampir tiba dan kita akan secara rasminya membuka kedutaan kita di sana,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Reuters.

Melalui persidangan yang telah dihadiri lebih daripada 50 negara Islam itu, mereka menganggap pengisytiharan haram Trump terhadap Baitulmuqaddis menunjukkan Washington telah menarik diri daripada peranannya sebagai “penaja keamanan” di Timur Tengah.

Jerusalem atau Baitulmuqaddis adalah kota yang dianggap suci oleh tiga agama dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi di mana ia merupakan kota suci ke-3 bagi umat Islam dan telah berada dalam konflik Israel-Palestin selama berdekad lamanya.

Source: www.menara.my/kedutaan-turki-di-baitulmuqaddis-timur/

Top