Zina Sudah Tidak Lagi Menyalahi Undang-undang Indonesia?

JAKARTA,19 Disember - Mahkamah Perlembagaan Indonesia telah menolak petisyen untuk menjenayahkan hubungan seks luar nikah yang dikemukakan oleh kumpulan konservatif di negara itu.

Lima daripada 9 hakim mengundi untuk menolak petisyen lalu memberi kemenangan buat aktivis hak asasi yang bimbang petisyen tersebut akan mencetuskan kawalan moral dan diskriminasi khususnya terhadap masyarakat homoseksual di Indonesia.

Ketua Hakim Mahkamah, Arief Hidayat berkata undang-undang mengenai perzinaan di Indonesia kini tidak bercanggah dengan perlembagaan, dan ianya bukan kuasa Mahkamah Perlembagaan untuk mencipta dasar baharu.

“Plaintif patut menyerahkan petisyen mereka kepada penggubal undang-undang dan ia patut menjadi input penting dalam semakan semula kanun jenayah yang sedang dilakukan,” katanya.

Memetik laporan yang disiarkan oleh FMT, permohonan mengharamkan seks luar nikah telah dikemukakan oleh Aliansi Cinta Keluarga (AILA), sebuah organisasi yang terdiri daripada ahli akademik dan aktivis konservatif.

Katanya, mereka mahu takrifan zina ini diguna pakai bukan sahaja kepada pasangan berkahwin tetapi sesiapa sahaja dalam atau luar perkahwinan, supaya menjadikan hubungan seks luar perkahwinan sebagai jenayah.

Dalam aduan mereka, AILA berkata perkara tertentu dalam kanun jenayah negara itu “mengancam daya tahan keluarga dan juga Indonesia”.

Sumber: www.menara.my/zina-ok-di-indonesia/

Top