Perjanjian Damai: Mesir Buka Sempadan

KUALA LUMPUR, 20 November - Kerajaan Mesir membuka sempadannya dengan Gaza, kelmarin selepas perjanjian perdamaian dengan Hamas yang memberi kawalan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) buat pertama kalinya sejak 2007.

Pegawai Palestin di sempadan Rafah memberitahu, lintasan itu yang ditutup sejak Ogos lalu akan dibuka selama tiga hari bermula kelmarin.

"Lintasan sempadan itu dibuka untuk kes kemanusiaan berdaftar kementerian dalam negeri," katanya.

Difahamkan, sehingga 20,000 penduduk Gaza memohon memasuki Mesir dan 10 bas telah melintasi sempadan dalam tempoh empat jam sejak pembukaannya.   

Di bawah Perjanjian Damai Palestin dicapai bulan lalu, Hamas setuju serah kuasa sivil kepada PA bermula 1 Disember dan sebagai langkah pertama ia beri kawalan lintasan sempadan berkuatkuasa 1 November lalu.

Perjanjian ditaja Mesir itu, dijangka membawa kepada pembukaan lintasan Rafah secara lebih kerap.

Menteri Perumahan dan Kerja Awam Gaza, Mufeed al Husayneh berkata, langkah itu 'kerja pertama' kerajaan perpaduan nasional.

Kesemua puak Palestin dijadual bertemu di Kaherah minggu ini, membincangkan cara menggerakkan perjanjian perdamaian itu. - AFP

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/global/perjanjian-damai-mesir-buka-sempadan-1.759506

Top