Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah Manhaj Terbesar Dunia Islam

Oleh: Abu Akif

AHLU AL-SUNNAH WA AL-JAMĀ‘AH MANHAJ TERBESAR DUNIA ISLAM

Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah membawa maksud mereka yang berpegang dengan pegangan Nabi ﷺ atau jalan hidup Nabi ﷺ yang mulia, manakala al-Jamā‘ah ialah para Sahabat, terutama sekali para Khulafā’ al-Rāsyidīn dan semua umat Islam (majoriti umat Islam).

Manhaj Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah merangkumi ajaran-ajaran Islam iaitu Akidah, Syariah dan Akhlak seperti yang dibawa dan dijelaskan oleh Junjungan Besar Nabi ﷺ, kemudian disambung penyebarannya oleh para Sahabat, kemudian disusun secara bersistematik dan teratur oleh dua tokoh yang hebat iaitu Imam Abū al-Ḥasan al-Asy‘arī dan Imam Abū Mansūr al-Māturīdī.


DUNIA ISLAM

Kemudian penyebaran sebegini diteruskan oleh para ilmuwan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah seperti al-Hafiz Abū Bakar al-Ismā‘īlī, al-Ḥāfiẓ al-Bayhaqī, al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī, seorang mujaddid pada kurun keempat Imam Abū Ṭayyib al-Bahilī, Imam Abū Bakar bin Fūrak, Imam Abū Bakar al-Bāqillānī, Imam Abū Ishaq al-Asfarāyīnī, al-Ḥāfiẓ al-Aṣfahānī, Imam al-Ḥaramayn al-Juwaynī, al-Ḥāfiẓ al-Syīrāzī, al-Ḥāfiẓ al-Khāṭib al-Baghdādī, al-Ḥāfiẓ al-Subkī, al-Ḥāfiẓ Ibn al-Jawzī (bukan Ibn Qayyim al-Jawziyyah), Imam al-Murtaḍā al-Zabīdī, Syaykh Aḥmad Zaynī Dahlan mufti Mazhab Syāfi'ī di Makkah, Syaykh al-Azhar ‘Abdullāh al-Syarqawī, Syaykh al-Sanūsī, Syaykh al-‘Alawī bin Tāhir al-Ḥaddād, al-Ḥāfiẓ ‘Abdullāh al-Ghummārī, al-Ḥāfiẓ Sayyid ‘Alawī al-Mālikī al-Makkī, al-Marḥūm al-Muḥaddith Syaykh ‘Abdullāh al-Hararī dan ramai lagi.


DUNIA NUSANTARA

Dalam kalangan ulama Nusantara pula ialah Syaykh Ibrāhīm al-Banjārī, Syaykh Nawawī al-Bentanī, Syaykh Dāwūd al-Faṭānī, Syaykh ‘Abd al-Ṣamad al-Falambānī, Syaykh al-Muḥaddith Yāsīn al-Fādānī dan ramai lagi. Kesemua mereka ini telah berpegang dengan kaedah al-Asy'ariyyah atau al-Māturīdiyyah dalam menjelaskan Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. Oleh itu telah berkata seorang ulama al-Ḥāfiẓ Murtaḍā al-Zabīdī (W. 1205 H):

"Apabila disebut Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah maka yang dimaksudkan dengan mereka ialah al-Asyā'irah dan al-Māturīdiyyah". (Rujuk Kitab Itḥāf Sādat al-Muttaqīn, 2, h. 6)


TERPELIHARA SEBAGAI PEGANGAN MAJORITI DUNIA ISLAM

Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah adalah pegangan majoriti umat Islam dunia dan ianya masih terpelihara sehingga ke hari ini. Bermula daripada kalangan para Sahabat dan juga orang yang mengikut pegangan dan manhajnya dalam enam perkara yang telah disebut dalam Hadis Nabi ﷺ, iaitu:

"Iman adalah beriman dengan Allah, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, Hari Akhirat dan beriman dengan Qadar baik dan buruknya." (Riwayat Imam Muslim)

Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah ialah golongan yang terselamat daripada kesesatan. Antara golongan yang bercanggah dengan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah ialah Mu'tazilah, Khawārij, Syī‘ah, Ahmadiyyah Qadyaniyyah, Musyabbihah, Wahhābiyyah, Hizbut Tahrir (Pengasasnya dari Palestin yang bernama Taqiyyudin Al-Nabhani W.1400), Tarekat yang sesat dan lain-lain.

_______________________________________________________________________
Rujukan: Kitab Syarah Akidah Mursyidah, h. 14. Oleh. Ahmad Faidzurrahim


PENGENALAN ULAMA DI DALAM MANHAJ AHLU AL-SUNNAH WA AL-JAMĀ‘AH

Diriwayatkan dalam sebuah hadis:



Berdasarkan Hadis ini, jelas bahawa Nabi ﷺ mengiktiraf umatnya terutama yang hidup pada tiga kurun terawal. Hal ini dapat disimpulkan, Nabi ﷺ mengakui ijtihad para ulama yang hidup dalam tiga kurun yang bermula sejak kurun Baginda ﷺ masih hidup. Mereka merupakan golongan digelar Sahabat, Tabi'in dan Tabi' Tabi'in. Gelaran ini dihimpunkan dengan panggilan Salaf al-Soleh atau golongan Salaf. Kemudian ulama yang mengikuti selepas tiga kurun itu digelar dengan panggilan golongan Khalaf.

Berikut adalah suatu gambaran kehidupan para ulama:




Garis Masa 3 Kurun Selepas Kewafatan Baginda Nabi Muhammad ﷺ.
(Seperti yang diriwayatkan dalam Hadis dari Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa'i dan Abu Daud)


DARI SEGI AKIDAH

Gambaran ini menjelaskan dengan terang bahawa Imam Abū al-Ḥasan al-Asy‘arī dan Imam Abū Mansūr al-Māturīdī berada dalam tiga kurun yang diakui dan diiktiraf Nabi Muhammad ﷺ. Secara tidak langsung, Hadis yang umum tersebut menolak segala tohmahan mereka yang mempertikai kedua-dua Imam ini.

Mengenai Imam Ṭaḥāwī, kami tidak membincangkannya di sini kerana telah diketahui umum bahawa kitabnya Aqidah Thahawiyyah telah diterima baik oleh semua golongan.  Hal ini dapat dibuktikan melalui kitab syarah bagi Aqidah Thahawiyyah yang terdapat di dalamnya versi al-Asy‘arī.

Berdasarkan Hadis di atas jelas menunjukkan dua Imam ini (Imam al-Asy‘arī & Imam al-Māturīdī) diiktiraf oleh Nabi ﷺ dan begitu juga pada riwayat yang berikutnya.

PENGIKTIRAFAN IMAM ABŪ AL-ḤASAN AL-ASY‘ARĪ

Al-Hafiz Ibn Asakir di dalam Tabyin Kazib al-Muftariy dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak menjelaskan bahawa tatkala turunnya ayat ini (Surah al-Maidah: 54), Rasulullah ﷺ berkata: Mereka itulah kaummu wahai Abu Musa al-Asy’ari. Intaha.

Berkata al-Hakim: “Hadis ini sahih berdasarkan syarat-syarat Muslim”, dan diriwayatkan oleh Imam al-Thabari di dalam Tafsirnya. Begitu juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim, Ibn Sa’d di dalam Tabaqatnya dan al-Tabrani di dalam Mu’jam al-Kabir dan berkata al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid: “Rijalnya merupakan rijal yang sahih”.

Berkata al-Qusyairi: “Maka pengikut Abū al-Ḥasan al-Asy‘arī adalah kaumnya kerana setiap maudi’ yang disandarkan padanya kaum kepada Nabi ﷺ maka yang dikehendaki daripadanya adalah pengikutnya”. Dinukilkan oleh al-Qurtubi di dalam Tafsirnya.


PENGIKTIRAFAN IMAM ABŪ MANSŪR AL-MĀTURĪDĪ

Hal ini berdasarkan Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Bazzar, al-Tabrani dan al-Hakim dengan sanad yang sahih:

Ertinya: “Kota Konstantinopel akan dibuka dan sebaik-sebaik pemerintahan ialah pemerintahnya dan sebaik-baik tentera ialah tentera itu.”

Setelah 900 tahun berlalu, Kota Konstantinopel telah dibuka oleh Sultan Muhammad al-Fateh al-Māturīdī, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Beliau merupakan seorang Sunni, beriktikad bahawa Allah wujud tanpa tempat. Beliau juga mencintai ahli sufi yang benar dan bertawassul dengan Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ telah mempersaksikan bahawa Sultan Muhammad al-Fateh telah bersama beliau dalam kebaikan. Begitu juga keseluruhan pemerintahan Uthmaniyyah yang mempertahankan Akidah golongan orang Islam dan menitikberatkan hal agama untuk beberapa kurun yang panjang di atas Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah.

Manakala bagi menguatkan dalil bagi keduanya (al-Asy‘arī dan al-Māturīdī), diriwayatkan di dalam al-Mu’jam al-Kabir dengan lafaz:

Ertinya: “Dan umat ini telah terpecah kepada 73 golongan. 72 daripadanya masuk ke dalam neraka, dan satu golongan masuk ke dalam syurga.” Kemudian kami berkata kepada Baginda: “Ceritakanlah kepada kami ciri-ciri mereka, lalu Baginda menjawab: “Golongan majoriti (al-Sawād al-A‘ẓam)”. Al-Tirmidzi meriwayatkan dengan lafaz: Mereka bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah, lalu Baginda ﷺ menjawab: “Mereka yang menelusuri manhajku dan manhaj Sahabatku (ma ana ‘alaihi wa ashabi).

Dan juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah:

Ertinya: “Sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan umatku kepada kesesatan. Maka apabila kamu melihat perselisihan, maka atas kamu (bersamalah) dengan golongan majoriti (al-Sawād al-A‘ẓam).

Maka yang dimaksudkan dengan golongan al-Sawād al-A‘ẓam adalah merupakan golongan majoriti. Oleh itu, marilah kita lihat golongan ulama yang berpegang dengan Akidah yang disusun Imam al-Asy‘arī dan Imam al-Māturīdī yang merupakan golongan majoriti daripada kalangan ulama setiap zaman.

_______________________________________________________________________
Rujukan: Kitab Kamu Serang Kami Terang Oleh. Hahiz al-Za'farani (HAZA)
Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah

Top