Haram Buku Sesat Fahaman Liberal Mustafa Akyol Wajar - Muhammad Rashidi Wahab (UNiSZA)

KUALA TERENGGANU - 4 Oktober, Mustafa Akyol berasal dari Turki dan merupakan graduan dalam bidang Sains Politik dan Sejarah dari Universiti Bogazici di Istanbul, Turki. Beliau bekerja sebagai wartawan, dalam masa yang sama sebagai kolumnis untuk akhbar Hurriyet Daily News (akhbar berbahasa Inggeris) dan Star (akhbar berbahasa Turki). Sebahagian artikel beliau lagi disiarkan dalam portal berita terkenal seperti New York Times, Foreign Affairs, Financial Times, Washington Post dan Wall Street Journal. Mustafa Akyol juga pernah dijemput menjadi pensyarah di universiti di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Maklumat lanjut mengenai Mustafa Akyol boleh dirujuk dalam portal beliau iaitu: www.mustafaakyol.org dan thewhitepath.com.

2. Mustafa Akyol yang merupakan “seorang liberal yang komited”, sebagaimana yang diakui oleh Kris Alan Mauren (Executive Director, Acton Institute for The Study of Religion and Liberty) dalam buku Islam Without Extremes, telah beberapa kali dijemput datang ke Malaysia untuk menyebarkan pemikirannya. Kemungkinan seawal Mei 2009 lagi beliau telah menerima jemputan ke Malaysia oleh Malaysia Think Tank (sebuah institusi pemikir liberal) (Halaman 310). Terbaru, beliau dijemput oleh IRF untuk melancarkan buku Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin (Terjemahan daripada: The Closing of the Muslim Mind) tulisan Robert R. Reilly pada 23 September 2017. Malah beberapa program susulan turut diatur untuk beliau oleh beberapa pertubuhan liberal di Malaysia.

3. Pelancaran buku Mustafa Akyol bertajuk Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan (Terjemahan daripada: Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty) telah diadakan pada 23 Januari 2016 yang dianjurkan oleh IRF, G25 dan Penang Institute. Buku ini kemudiannya didiskusi oleh penterjemahnya iaitu Nur Ashraff Mohd Noor sebanyak 2 kali iaitu pada 21 Februari 2016 (Bahagian 1) dan 28 Februari 2016 (Bahagian 2). Dalam buku tersebut, Mustafa Akyol juga disifatkan oleh Nidhal Guessoum (Irtiqa) sebagai “tidak gentar untuk menangani isu-isu kompleks yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin orang Islam hari ini, i.e. kebebasan untuk murtad dan kebebasan untuk enggan beragama”.

4. Penelitian sepintas lalu terhadap buku Islam Tanpa Keekstreman (Islam Without Extremes) menunjukkan bahawa terdapat ciri-ciri liberalisme yang dikemukakan oleh Mustafa Akyol. Contohnya, buku tersebut menyeru kepada Negara Sekular, sistem politik liberal (demokrasi liberal) dan memburukkan politik Islam atau Negara Islam. “Masyarakat Madinah yang diasaskan oleh Muhammad adalah sebenarnya berbentuk sekular. Pluralisme agama dalam piagam itu mungkin hasil daripada adat dan bukan inovasi oleh Nabi. Walau bagaimanapun, jika misi politik Nabi akan dilihat sebagai normatif bagi umat Islam, sifat yang pluralis dan sekular dalam piagam tidak boleh diabaikan.” (Halaman 77).

5. Buku ini juga menggambarkan ajaran Islam atau undang-undang Syariah membawa kekerasan, kekejaman dan penindasan. “Semakin saya mendalami teks-teks Islam dan masyarakat Islam, semakin banyak saya dapati contoh-contoh pemikiran yang menindas.” (Halaman 41-42). “Sesungguhnya hukuman rejam, yang tiada asas dalam al-Quran, kemungkinan datang daripada ajaran Yahudi.” (Halaman 98). “Suatu kenyataan bahawa umat Islam telah hampir sebulat suara, mengakui bahawa zaman telah berubah. Malah, beberapa undang-undang telah dianggap tidak relevan ... Ia tidak dapat dielakkan bahawa konteks moden akan menggerakkan perubahan yang lebih besar dalam Syari’ah.” (Halaman 334).

6. Antara isu besar yang lain, buku ini telah menyeru kepada kebebasan memilih agama atau kebebesan untuk murtad. “Daripada satu ayat al-Quran: Tidak ada paksaan dalam agama. Kesimpulannya, semua orang berhak mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan beragama.” (Halaman 126). “Apa yang umat Islam benar-benar perlukan daripada negara, dalam erti kata lain, bukan agama, tetapi kebebasan beragama.” (Halaman 339). “Terdapat ayat-ayat al-Quran yang tampak mencadangkan bahawa menolak Islam adalah suatu pilihan yang bebas.” (Halaman 358).

7. Saya yakin, jika dikaji dan diteliti lagi buku Mustafa Akyol ini secara lebih terperinci, sudah tentu lebih banyak penyelewengan dan keraguan lain akan ditemui, seperti meninggikan kedudukan akal melebihi al-Quran dan hadis, menyeleweng fakta tradisi keilmuan dan sebagainya lagi. Boleh juga merujuk penulisan/mendedahkan daripada pelbagai pihak tentang pemikiran liberal Mustafa Akyol bagi mendapatkan maklumat tambahan. Justeru, penjelasan ringkas ini membuktikan bahawa Mustafa Akyol serta bukunya Islam Tanpa Keekstreman (Islam Without Extremes) mempunyai ciri-ciri fahaman liberal, dan pengharaman buku tersebut oleh pihak KDN dan JAKIM adalah suatu tindakan yang wajar, dan salah satu cara untuk menyekat pemikiran liberal di Malaysia. Tahniah!

Oleh: Muhammad Rashidi Wahab
Ilmuan Muafakat,
Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin

Sumber: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1446114818757489&id=100000769545810

Top