Sekat Kemasukan Penceramah Liberal - Muafakat

KUALA LUMPUR, 27 September - Kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan harus menyekat kemasukan penceramah-penceramah asing khasnya aliran liberalisme daripada memasuki negara dan tindakan tegas harus diambil terhadap badan-badan penganjur tempatan yang bersubahat menjemput mereka.

Pandangan itu dikongsikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Encik Yasin Baboo sewaktu mengulas penahanan penulis liberal berketurunan Turki, Mustafa Akyol oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Individu-individu luar pendokong liberalisme ini perlu dihalang daripada memasuki negara. Kehadiran mereka tidak diingini. Malah, tindakan juga perlu diambil ke atas pendokong fahaman sesat ini di dalam negara.”

“Dan kita lihat dalam kebanyakan program yang mereka (penganjur) adakan berbentuk monolog, yakni peserta hanya mendengar ‘point of view’ mereka sahaja. Hujah senget yang mereka utarakan kemudiannya akan dimuat naik oleh portal-portal berita dan media tertentu untuk dilontarkan dan ditularkan dalam masyarakat,” tegas beliau lagi.

Mustafa Akyol, seorang wartawan dan penulis dari Turki telah ditahan oleh pihak berkuasa pada hari Isnin kerana gagal menghadirkan diri ketika disaman oleh pihak JAWI kerana dikatakan telah memberi ceramah berkaitan Islam tanpa tauliah namun beliau telah dibebaskan pada petang keesokan harinya setelah JAWI berpuas hati dengan keterangan yang diberikan.

“Saya bagi pihak MUAFAKAT ingin merakamkan setinggi tahniah kepada JAWI khasnya dan pihak berwajib yang lain di atas tindakan tegas yang telah diambil.”

Sumber: https://www.menara.my/sekat-kemasukan-penceramah-liberal-muafakat/

Top