Wujudkan Akta Bendung Masalah Sosial

SHAH ALAM, 18 September - Kerajaan digesa supaya mewujudkan Akta Kawal Perlakuan Antisosial khusus dalam menangani masalah sosial dan gangsterisme di kalangan remaja di negara ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang - Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, kewujudan akta tersebut adalah penting supaya sebarang isu yang berkaitan dengan perlakuan anti sosial di kalangan remaja dapat dikenal pasti di peringkat awal sekali gus dibendung secara efektif.

“Sudah banyak kali kita didedahkan dengan isu yang melibatkan permasalahan yang dihadapi oleh golongan kanak-kanak dan remaja seperti masalah buli, masalah gangsterisme, masalah penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah dan lain-lain lagi.

“Sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah dan usaha yang lebih serius untuk mewujudkan akta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang merujuk kepada tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Beliau berkata, sekiranya masalah tersebut diabaikan, ia bakal menjejaskan masa depan lebih ramai golongan muda sekali gus menjejaskan masa depan negara.

“Jika akta tersebut dilaksanakan, tugas dan tanggungjawab beberapa pihak yang berkepentingan termasuk golongan ibu bapa dan penjaga untuk mengawal tingkah laku anak - anak mereka sendiri dapat dirangka dengan terperinci.

“Pelbagai langkah boleh diambil bagi mengatasi isu berkenaan seperti melalui proses pendidikan dan melahirkan kesedaran di kalangan golongan muda mengenai kepentingan untuk bersikap toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/wujudkan-akta-bendung-masalah-sosial-1.731933

Top