Kenyataan Rasmi Muafakat Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia Yang Ke-60

Kenyataan Rasmi Muafakat Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia Yang Ke-60 (RISALAH SIRI KE-2)

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي سيدنا محمد وعلي آله وأصحابه وعلي أنصاره

Bersyukur kita ke Hadrat Allāh , dengan limpah kurnianya, menjelang 31 Ogos ini rakyat Malaysia sekali lagi akan meraikan Hari Kemerdekaan Negara. Kali ini yang ke-60. Angka 60 tahun itu sendiri kalau ditelitimenceritakan beratus makna dan implikasi. Ulang tahun ke-60 adalah Ulang Tahun Intan (Diamond Jubilee) yang seharusnya diraikan penuh kegembiraan. 60 tahun pada seorang insan memalitkan usia cukup matang. Usia yang telah penuh mengharungi pengalaman. Rata-rata pada usia ini insan mula menginsafi jangka hayat keduniaan, bersedia melangkah ke alam yang lain. Bagi yang masih menggila keremajaan pada usia ini, perbuatan itu jelek pada pandangan masyarakat umum.Hari Kemerdekaan kali ke-60 ini banyak membawa makna. Dengan kejayaan cemerlang menjadi juara keseluruhan Sukan SEA ke-29 semestinya akan menggandakan kegembiraan dan perayaan. Pun seharusnya pada detik ini marilah kita seperti selalu membuat satu review dan muhasabah tentang erti Kemerdekaan khasnya yang ke-60 ini dan apa sudah cukupkah pengisian Kemerdekaan yang kita telah lakukan. Setelah 60 tahun kolonialis dinyahkan, tapi apakah hari ini kita betul-betul bebas dari pengaruh dan pemikiran kolonialis atau neo-kolonialis. Penjajahan pemikiran dewasa ini sangat mudah dan sangat berkesan dihidangkan kepada rakyat Negara lebih-lebih lagi generasi muda melalui sosial media yang merangkumi hampir seluruh pelusuk negara. Malah saban hari kita digasak dengan pemikiran neo-kolonialis seperti atheisme yang baru-baru ini berani menzahirkan wajah dan pengaruhnya di kalangan masyarakat dalam negara kita yang jelas memaparkan kepercayaan kepada Tuhan sebagai Rukun Negara yang pertama.Individu dan kelompok tertentu menyerang bertubi-tubi dan mencabar kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan seperti terpahat dalam Perlembagaan melalui pemikiran neo-kolonialisme khasnya pemikiran Liberalisme Agama. Mengikut Dr. Amran Muhammad, Ketua Eksekutif Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI):

Kemunculan kelompok dan fenomena beragama Pascamodenisme dikalangan sebahagian kecil tetapi menjolok umat Islam semasa dimanifestasikan dengan sikap penolakan mereka terhadap peranan tradisi, otoriti dan rasionaliti dalam memahami dan menghayati agama Islam. Kekecewaan terhadap situasi politik, sosial dan ekonomi dunia umat Islam, kekaguman terhadap kebebasan berfikir dan kemajuan material di Barat, dan kejahilan terhadap tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam menjadi faktor utama yang menyebabkan penolakan mereka terhadap tradisi, otoriti dan rasionaliti beragama dalam Islam yang telah wujud sejak lebih 1000 tahun yang lalu. Atas nama Tajdid atau Pembaharuan, Islah atau Pembaikan, Reformasi dan seumpamanya, kelompok Pascamoden beragama ini menyangka pendekatan mereka bakal membawa perubahan, kemajuan serta mengeluarkan umat Islam dari belenggu kejumudan dan kemunduran.

Apa pilihan yang ada pada kita?

MUAFAKAT menyarankan kembali menegakkan metanaratif Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah ke tengah masyarakat secara berterusan dan berkesan.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berdasarkan kepada Hadis Jibril yang mashur menggabungkan sekaligus kesemua pokok-pokok ajaran Islam iaitu Iman-Islam-Ihsan yang kemudiannya dikembangkan oleh ribuan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam disiplin keilmuan khusus Usuluddin atau Ilmu kalam, Fekah dan Usul-Fekah, Tasawuf dan Tarikat merupakan formulasi Metanaratif Islam yang berstruktur lagi sistematik dan akhirnya menghasilkan kesinambungan tradisi, kewibawaan otoriti serta kehalusan rasionaliti yang sehingga kini tidak mampu ditandingi apatahlagi ditukarganti dengan naratif-naratif serpihan dan picisan yang diwar-warkan oleh para penggerak tajdid dan islah sejak 100-200 tahun yang lepas.

Seruan mengembalikan Metanaratif Arkitektonik Ahli Sunnah Wal Jamaah ini bukanlah bermaksud kita sekadar bernostalgia atau beretorik tetapi melihatkan kepada kegagalan naratif-naratif percubaan sebelum ini dan kekeliruan umat yang bakal mendatangkan kebosanan terhadap sifat, tabiat dan hakikat beragama (fenomena skeptisme, atheisme, hedonism dan lain-lain yang sedang meningkat dikalangan umat), maka usaha-usaha terancang dan tersusun kearah penjelasan malah penambahbaikan Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah sesuai bagi Abad ke 21 perlu dimulakan dari sekarang. Apatah lagi dunia global masakini yang semakin hari semakin berleluasa fenomena radikalisme, ekstremisme, terorisme, rasisme, anarkisme dan atheisme mendambakan satu formulasi agama yang komprehensif dan holistik dalam menangani isme-isme ini.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dimensi IMAN meliputi pemahaman akidah, usuluddin atau ilmu Kalam sewajarnya bersumber dari tradisi, otoriti dan rasionalisasi Imam Ash’ari, Imam Maturidi, Imam Baqillani, Imam Juwayni gurunya Imam Ghazali, Imam Razi, Imam Sanusi dan ramai lagi Imam-Imam Asha’irah-Maturidiyyah yang sehingga kehari ini ajaran akidah mereka dianuti lebih 80% umat Islam diseluruh dunia.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dimensi ISLAM yang berhubungan dengan perlaksanaan ibadat dan mumalat semestinya bersumberkan dari tradisi, otoriti dan rasionalisasi Imam Syafie’, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad juga Imam Juwayni, juga Imam Ghazali dan ramai lagi Imam-Imam Fekah dan Usul-Fekah Mazhab yang empat yang juga melibatkan lebih 80% umat Islam global.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dimensi IHSAN yang berkaitan dengan penyucian hati dan peningkatan akhlak yang mulia sudah tentu bersumberkan dari tradisi, otoriti dan rasionalisasi Imam Junayd dan guru beliau Imam Muhasibi yang diikuti oleh Imam Talib al-Makki juga Imam Ghazali, Imam Syazili, Imam Ibn Ataillah Sakandari, Imam Abu Madyan, Imam Ibnu Arabi, Imam Rabbani serta ramai lagi Imam-Imam muktabar dalam aliran tasawuf dan tariqah termasuklah Imam Abdul Samad Palembani di Nusantara ini.
Petikan dari Naratif Nusantara ISSI.

Bagi rakyat bukan Islam, jaminan kesejahteraan mereka di bawah metanaratif Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah terjamin, apatah lagi perkara tersebut turut jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seharusnya kita bersyukur atas nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dianugerahkan kepada bumi Malaysia yang berbilang agama dan bangsa ini.

Yasin bin BS Baboo
Setiausaha Agung
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Top