Peha Bukan Aurat: Kontroversi Meraih Populariti

KUALA LUMPUR - 24 Julai, Baru-baru ni tersebar satu video penceramah kontroversi yang dikenali sebagai Dr. Rozaimi telah mendakwa peha lelaki bukan aurat.

2) Kita sedia maklum, bahawa penceramah ini sudah disekat daripada berceramah di beberapa negeri, dek kerana sikapnya yang suka sebarkan pendapat 'special' (*asal lain daripada orang).

3) Sejak kes, penceramah ini menyatakan Qadha' solat tidak wajib jika tinggal secara sengaja, yang jelas terkeluar daripada ijmak ulama. Seterusnya, pengbohongannya tentang selawat antara terawih hanya ada di Malaysia. Kami melihat, penceramah ini seringkali menimbulkan kontroversi dengan sesiapa atau apa jua keadaan.

4) Isu terbaharu yang timbul ialah dia telah menyebarkan pendapat yang mengatakan peha lelaki bukan aurat. Tanpa segan silu menyatakan itu adalah riwayat yang kuat dan menolak alasan mazhab Syafie bahawa peha adalah aurat.

5) Pada umumnya, kita perlu ketahui empat mazhab berpandangan seperti berikut:

i) Mazhab Syafie:
Aurat lelaki ialah antara pusat dan lutut maka untuk menutup dengan sempurna perlu juga menutup sebahagian pusat dan lutut.

ii) Mazhab Hanafi:
Aurat lelaki ialah antara pusat dan lutut. Lutut adalah aurat dan pusat bukan aurat.

iii) Mazhab Hanbali:
Aurat ialah antara pusat dan lutut. Manakala, aurat dan pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat.

iv) Mazhab Maliki:
Aurat ialah kemaluan qubul dan dubur.

[Rujuk: Al-Fiqh Ala Al-Mazahib Al-Arbaah, jil.1, ms.153]

6) Kita dapat melihat bahawa tiga mazhab menyatakan peha adalah aurat, manakala mazhab Maliki berpandangan peha bukan aurat. Anehnya, kenapa penceramah ini lebih memilih untuk tarjih pendapat mazhab Maliki?

7) Ada beberapa perkara aneh yang timbul:

i) Kenapa perlu sebarkan pandangan mazhab lain?
ii) Kenapa perlu sebarkan pandangan yang bersalahan dengan jumhur?
iii) Dalam isu doa Qunut, penceramah ini mendakwa Imam Syafie bersalahan dengan tiga mazhab lain, tetapi kenapa dalam bab ini dia perjuangkan?

8) Antara dalil mazhab yang menyatakan peha bukan aurat adalah berdasarkan dua hadis:

Hadis pertama:

عن أنس بن مالك أن النبي صلى الله عليه وسلم يوم خيبر حسر الإزار عن فخذه حتى إني لأنظر الى بياض فخذه
"Baginda Nabi s.a.w pada hari Khaibar membuka kain dari pahanya sehingga saya lihat putih peha Baginda" (HR. Al-Bukhari, no.364)

Hadis kedua:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان جالسا كاشفا عن فخذه فاستأذن أبو بكر فأذن له وهو على حاله...
"Baginda Rasulullah s.a.w duduk dalam keadaan terdedah peha baginda. Kemudian datang Sayyidina Abu Bakar meminta izin untuk masuk maka diizinkannya manakala Baginda dalam keadaan begitu (terdedah peha)...." (Nail Al-Awthor, no.519)

9) Penjelasan ulama yang berpendapat peha adalah aurat adalah seperti berikut:

Penjelasan kepada hadis pertama:

i) Ulama mensyarahkan lafaz حسر itu dengan makna انحسر (terbuka) dengan tidak sengaja.
ii) Ulama menyatakan hadis tersebut adalah sekadar memberitakan kelakuan Nabi s.a.w bukanlah dalil wahyu.
iii) Menurut Imam Asy-Syaukani, hadis ini tidak boleh dijadikan dalil peha bukan aurat kerana:

غاية ما فى هذه الواقعة أن يكون ذلك خاصا بالنبي صلى الله عليه وسلم لأنه لم يظهر فيها دليل يدل على التأسي به فى مثل ذلك فالواجب التمسك بتلك الأقوال الناصة على أن الفخذ عورة
"Kesudahan pada peristiwa ini ialah bahawa adalah khas untuk Nabi s.a.w kerana bahawasanya tidak zahir pada peristiwa ini oleh satu dalil pun yang ianya menunjukan atas berpegang dengan dalil tersebut pada seumpama demikian itu, maka wajib berpegang dengan segala pendapat yang mengnaskan bahawa peha itu ialah aurat" [Rujuk: Nail Al-Awthor, Kitab As-Solah, Bab Menutup Aurat]

Penjelasan kepada hadis kedua:

i) Ada hadis sahih yang sama, namun menunjukkan bahawa ketidakpastian samada yang terdedah itu peha atau betis seperti hadis berikut:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم مضطجعا في بيتي كاشفا عن فخذيه أو ساقيه
"Baginda Rasulullah s.a.w berbaring di rumahku dalam keadaan terdedah peha atau betis Baginda s.a.w" (HR Muslim)

ii) Maka para ulama mengatakan bahawa, telah ijmak betis bukan aurat. Maka, sesuai difahami hadis ini dengan maksud yang terdedah adalah betis bukannya aurat.

iii) Ulama juga menerangkan bahawa, kejadian tersebut bukanlah dalil kepada keharusan untuk mendedahkan peha kerana ada beberapa hadis menyatakan secara jelas bahawa peha adalah aurat seperti yang termaktub dalam Musnad Ahmad dan Sunan Tirmidzi.

10) Dakwaan penceramah ini pula ialah Imam Ibnu Jarir juga berpendapat peha bukan aurat. Namun, kami berpendirian kenyataan ini tidak tepat kerana komen Imam Ibnu Hajar bahawa Ibn Jarir membangkang terhadap golongan yang menyatakan peha bukan aurat

11) 'Ala kulli hal, isu ini adalah khilaf mazhab. Kami tidak pula mahu menuduh golongan yang berpendapat peha bukan aurat sebagai Wahhabi kerana itu adalah qaul mazhab Maliki.

- Namun, apa yang kami pasti Wahhabi adalah golongan yang sengaja menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dengan mendatangkan hal-hal sedemikian. Mereka tidak konsisten dalam pendirian samada mahu mengikut jumhur, atau ikut ijmak, atau ikut mazhab. Mereka lebih gemar beraksi gaya bebas sehingga mereka kelihatan lebih alim daripada yang lain.

12)  Sedikit teguran kepada pentaksub penceramah ini. Ketika isu debat antara Syeikh Nuruddin dan Dr. Rozaimi semakin panas, ada di kalangan pentaksub menggelarkan Syeikh Nurudddin sebagai Syeikh Murtabak dan lain-lain penghinaan dek kerana Syeikhuna membuat analogi sedemikian. Kami tidak hairan pentaksub bersikap demikian kerana penceramah itu sendiri menggelarkan Syeikh Serban kepada Tuan Guru Syeikh Nuruddin.

- Namun, jika kita ikutkan nafsu amarah masing-masing adakah kalian sudi kami menggelarkan Dr.Rozaimi dengan Dr. Spender atau diberi gelaran Dr. Rozaimi Al-Peha dek kerana tarjihannya kepada pendapat yang menyatakan wajib tutup qubul dan dubur sahaja?

- Natijahnya, kita bakal kembali kepada zaman sekolah rendah di mana pihak lawan saling menggelar dengan gelaran yang dibenci untuk menyakitkan hati pihak lawan. Saya kira, inilah tahap IQ kita sekarang.

Oleh: Hafiz Al Za'farani (HAZA)

Sumber: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1550611108344750&id=100001876275514

Top