Risalah Untuk Aktivis Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي سيدنا محمد وعلي آله وأصحابه وعلي أنصاره

Bersyukur kita ke Hadrat Allāh SwT, dengan limpah kurnianya, menjelang 09 November 2017 nanti, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia atau yang dikenali sebagai MUAFAKAT, akan berumur 12 tahun. Ia yang ditubuhkan pada 09 November 2005M, telah mengharungi pelbagai cabaran, dan al-Ḥamdulillāh, atas ‘ināyah Allāh SwT, para aktivis MUAFAKAT gigih bekerja demi menjayakan agenda yang dipersetujui bersama, justeru dapat terus bergerak hingga kini.

Memandang kepada baru sahaja kita selesai menjalani ‘ibadat Ramaḍān dan masih di dalam bulan Syawwāl, maka elok sangat kita membuat sedikit renungan ke dalam organisasi yang kita sayangi ini. Moga-moga renungan ke dalam oleh setiap aktivis akan membuat MUAFAKAT lebih kukuh, bertenaga dan berperanan di dalam arena dakwah yang amat mencabar sekarang ini.

Sejak tertubuhnya MUAFAKAT ini, dengan limpah kurnia Allāh SwT jua dan dengan berkat permuafakatan para aktivis MUAFAKAT, ia dapat melaksanakan amanah dengan lancar. Pelbagai aktiviti atau program dakwah telah dibuat. Wacana yang dilestarikan oleh MUAFAKAT itu telah menjadi pencetus baru dan pencerahan semula pemikiran Ummat di era pergelutan mereka mendepani agitasi pemikiran Pascamoden dari luar dan serangan pemikiran Najdiyyūn iaitu suatu aliran ajaran yang bukan arus perdana Islam, dari dalam.

Kemudian, atas kesedaran mahu melestarikan perundangan Islam atau Syari‘at di Malaysia berdasarkan kepada Perlembagaan, yang menjadi hasrat seluruh Ummat Islam, MUAFAKAT melebarkan lagi aktivitinya dengan menubuhkan Sekretariat Mendaulatkan Islam Agama Negara atau ringkasnya SEMAIAN, pada 30hb Januari 2013, di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Tujuan penubuhan SEMAIAN ini adalah bertujuan untuk meneliti ulang perundangan dan peraturan sedia ada, yang boleh ditambah nilai untuk dimajukan lagi kepada pihak berkuasa supaya dilaksanakan agar selari dengan kehendak Syari‘at Islam. Jawatankuasa ini diterajui oleh peribadi yang kompetan, berpengalaman luas dalam bidang berkenaan dan mempunyai integriti yang tinggi pula. SEMAIAN sedang menyusun beberapa program yang In Syā’ Allāh akan dimaklumkan kepada saudara-saudara aktivis sekalian.

Pada 01 Mac 2015 pula, apabila terdapat gerakan pemurtadan yang agresif oleh aktivis Kristian, MUAFAKAT, sekali lagi dengan pertolongan Allāh SwT juga, telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa yang diberi nama Missiologi. Tujuan utama MUAFAKAT mengujudkan Jawatankuasa ini ialah untuk mendepani apa yang disebut sebagai gerakan penyebaran diayah kaum Kristian atau gerakan Kristianisasi atau Evangelism, Evangelicals atau Evangelicalism. Seterusnya pada 20hb November 2015, MUAKAFAT telah menubuhkan pula suatu Jawatankuasa khusus untuk melestarikan program kepada orang-orang muda, yang dinamakan sebagai Kelab Peripatetic.

Al-Ḥamdulillāh, agenda pendedahan berkaitan dengan kebatilan pemikiran dan falsafah Pascamoden terutamanya aliran Liberalisme dan Pluralisme Agama telah disambut oleh pelbagai agensi dan NGO Islam dan mereka menjadikan sebagai agenda mereka juga. Demikian juga pendedahan yang dimulai oleh MUAFAKAT berkaitan dengan gerakan pendiayahan kaum Kristian atau Evangelism, Evangelicals atau Evangelicalism beberapa tahun dahulu itu, terus disambut oleh beberapa NGO, institusi pengajian dan juga institusi-institusi tajaan kerajaan. Nampaknya, usaha mendepani gerakan Evangelism, Evangelicals atau Evangelicalism ini menjadi agenda utama mereka dan semacam sinonim pula dengan mereka. Adalah diharapkan terdapat idea-idea baru yang bernas berupa menambaik nilai dalam mendepani agenda Kristianisasi ini, agar usaha ini lebih bersifat dinamik dan strategik. Begitu juga dengan pendedahan terbuka oleh MUAFAKAT berkaitan dengan gerakan tajdid dan islah palsu serta gerakan penyebaran pemikiran dan fahaman Najdiyyūn yang menyalahi arus perdana Islam di Malaysia, telah disambut hangat oleh aktivis-aktivis Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah yang lain dan terus diwacanakan di serata ceruk tanah air. MUAFAKAT sekali lagi syukur ke Hadrat Allāh.

Semua cetusan pemikiran yang diusahakan oleh MUAFAKAT beberapa tahun dahulu dan disambut pula oleh NGO dan institusi-institusi lain itu, sebenarnya membantu MUAFAKAT dalam merealisakan aspirasi dan agendanya bahkan agenda Ummat Islam juga. Al-Ḥamdulillāh.

Sesungguhnya, dewasa ini, MUAFAKAT melihat ada beratus-ratus isu pokok atau fundamental di Malaysia, yang perlu diurus secara mendalam, penuh amanah dan dengan pemikiran serta susunan kerja sinergistik dan strategik. Perlu difahami benar-benar oleh aktivis MUAFAKAT, bahawa pendirian MUAFAKAT ialah ia tidak akan membuat program yang sudah dibuat oleh NGO atau orang lain, kecuali dengan tujuan pendetilan. MUAFAKAT percaya kepada kebolehan dan kemampuan diri sendiri dalam berfikir dan melaksanakan program-programnya. Ini tiada menafikan keperluan kepada jaringan dan kerjasama sinergistik dan strategik dengan rakan-rakan NGO dan institusi-institusi Islam, demi menjayakan agenda dan kepentingan dakwah Islamiyyah.

Oleh kerana MUAFAKAT percaya kepada kebolehan dan kemampuan diri sendiri yang ditunjangi oleh para aktivisnya, maka dalam melestarikan agenda MUAFAKAT sebagai NGO Islam yang penuh amanah dan integriti, saya sangat-sangat mengharapkan saudara-saudara seluruh aktivis pada semua posisi dan kedudukan, dapat membantu MUAFAKAT dengan memberi buah fikiran dan komitmen yang tinggi kepada MUAFAKAT, demi untuk memajukan lagi MUAFAKAT. Janganlah ada di antara kita yang mencalarkan imej dan integriti MUAFAKAT dengan perlakuan-perlakuan yang tidak selari dengan kehendak MUAFAKAT. Apa yang diputuskan oleh MUAFAKAT, seharusnya secara organisasional, kita patuhi dan hormati dengan jujur. Ini adalah budaya, adab-adab dan cara kita di dalam berorganisasi. Sikap begini menjadi tiang seri kepada keutuhan dan kelestarian organisasi. Selain dari itu, ia juga menjadikan kita dilihat sebagai organisasi yang berdisiplin dan penuh dengan ketertiban serta kelihatan permuafakatan yang tinggi. Justeru, sekali gus kita dapat melihara maruah dan integriti organisasi yang kita sayangi ini. Harus kita insafi bahawa keruntuhan sesebuah organisasi dan institusi dalam melaksanakan usaha dakwah ialah apabila tidak ada persefahaman dan permuafakatan yang kental serta tidak ada disiplin yang tinggi di kalangan para aktivisnya pada semua lapisan dan peringkat.

Mengakhiri risalah ringkas ini, perlu saya tegaskan bahawa, MUAFAKAT tidak ada pilihan, melainkan meneruskan agendanya dalam apa keadaan sekali pun!

Kita memohon ke Hadrat Allāh SwT supaya kita mendapat pertolongan-Nya dalam melestarikan agenda kita ini.

Sekian, والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
Ismail Mina Ahmad,
Presiden,
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), 2015-2018M.

Tarikh: 13hb Julai 2017M bersamaan 19 Syawwal 1438H.

Top