RAḤMATAN LI’L-‘ᾹLAMῙN Konsep Dan Epistemologi

وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ

Di dalam al-Qur'ān al-Karīm, Sūrah al-Anbiyā’, ayat 107, terdapat sepotong ayat berbunyi: وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ yang terjemahannya: Dan tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muḥammad), melainkan untuk menjadi Raḥmat bagi sekalian ‘alam .

Entah apa gerangannya, dewasa ini, ayat yang mulia ini menjadi isu popular. Ia dibicarakan oleh pelbagai kelompok masyarakat seperti kelompok politik Sekular, kelompok dakwah Islām yang terpengaruh dengan fahaman Liberalisme Agama, sebahagian penceramah agama, melarat hingga kepada individu-individu yang kurang dikenali. Huraian dan penerangan mereka itu, wajar diberi respons dari suluhan ajaran Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah berdasarkan kepada teks-teks yang muktabar di dalam persuratan Islām terutamanya pencerahan dari para Mufassirīn dalam kitab-kitab Tafsīr mereka dan juga dari perspektif hukum-hakam Fiqah serta prinsip kenegaraan. Tulisan ini merupakan suatu respons ringkas.

Dari segi sejarah turunnya Sūrah ini, ia berlaku di Makkah, justeru dikategori sebagai Ayat Makkiyyah. Risālah al-Khālidah yang baru ini, yang dibawa oleh Rasūl Terakhir, Muḥammad bin ‘Abdullāh itu, adalah Risālah Raḥmat seperti ayat 107 Sūrah al-Anbiyā’ di atas. Kedatangan Rasūl Terakhir ini disebut sebagai Utusan Raḥmat adalah kerana Baginda membawa dua Raḥmat besar iaitu Waḥyū dalam bentuk al-Qur'ān dan juga Sunnah Baginda sendiri. Ini adalah kerana kedua-dua perkara tersebut merupakan Risālah Pencerahan yang menyuluh kegelapan konsep, doktrin dan sistem ‘Aqīdah, sosial, politik, akhlāq, budaya, persuratan, bahkan mengenai kosmologi diri manusia juga. Risālah Baru yang ditawarkan kepada masyarakat dewasa itu, adalah juga merupakan suatu Risālah Kesempurnaan dan Risālah koreksi yang membetulkan pemikiran dan persepsi mereka dalam semua perkara berkaitan kehidupan sebagai makhluk sosial dan juga makhluk Agama. Rumusannya ialah bahawa, Risālah Baru yang bersifat Raḥmat ini, berpaksikan kepada Tawḥīd yang Khāliṣ dan Asli dalam ontologi dan epistemologi Qur'ānik dan juga Nabawiyyah. Inilah yang membingungkan manusia Jazīrah ‘Arab dan kawasan sekitarnya yang terdiri dari kalangan Kuffār, komuniti Jāhiliyyah, golongan sesat (ضَلَالٌ) Majūsī penyembah api, penyembah ‘alam dan cakerawala serta jin. Bahkan ia juga membingungkan orang-orang yang memiliki agama dan Kitab seperti penganut Ṣābi'īn, Yahūdī dan Naṣrānī atau yang disebut sebagai Ahli Kitāb.

Dalam ‘Aqīdah, Baginda menegaskan bahawa Tuhan Semesta ‘Alam ialah Allāh dan Rasūl terakhir yang diutus oleh Allāh ialah dirinya sendiri, Muḥammad bin ‘Abdullāh . Manusia disuruh berῙmān kepada kedua-duanya dan berῙmān kepada apa yang disampaikan oleh Utusan-Nya itu iaitu Waḥyū yang disebut sebagai al-Qur'ān yang menjadi teks Petunjuk dalam melaksanakan kehidupan. Allāh yang disembah itu ialah Tuhan yang tidak diperanakkan dan tidak pula memiliki keluarga seperti isteri dan anak-pinak. Dia berbeza dari segala makhluk dan tidak dijadikan bahkan semua makhluk itu adalah ciptaan-Nya. Ajaran berkaitan dengan konsep sosial pula ialah kehidupan dan dasar sosial ditentukan oleh al-Qur'ān dan al-Sunnah Baginda . Dalam susunan hierarki sosial yang paling tinggi sekali ialah Baginda sendiri kerana Baginda merupakan Utusan Allāh dan memiliki kualiti yang paling sempurna dalam semua perkara. Diajarkan juga bahawa manusia adalah sama di sisi Allāh, namun yang paling mulia ialah yang paling taqwā. Kaitan dengan kehidupan sosial ini ialah konsep politik. Secara ringkas, Nabi menerangkan bahawa, politik kekuasaan dalam pemerintahan, adalah berdasarkan hukum al-Qur'ān dan al-Sunnah Baginda . Ia merupakan dasar dalam bingkai besarnya. Selama ini konsep dan dasar pemerintah bukan bersumberkan dari Ketuhanan ‘Alam Tinggi tetapi berdasarkan kepada norma-norma dan budaya masyarakat sedia ada sahaja. Dari kedua-dua tonggak atau tiang inilah para ‘Ulamā’ kemudiannya, membuat cerakinan dan pendetilan. Dalam Akhlāq pula, Nabi membawa dan mengajar konsep Akhlāq al-Karīmah yang di dalamnya terdapat doktrin Spiritualiti atau Kerūḥāniyyan yang serba baru. Baginda juga meletakkan asas dan mengajar cara-cara dan kaedah untuk merealisasikan konsep dan doktrin Akhlāq tersebut. Mengenai kosmologi diri manusia, Baginda mengajarkan bahawa manusia dan segala makhluk pada Semesta ‘Alam ini adalah dijadikan oleh Allāh . Justeru, kepada-Nyalah sahaja manusia bersyukur dan menyembah dalam totaliti perlakuan keta‘atan. Inilah bingkai besar Raḥmat yang perlu diketahui kerana di luarnya tidak ada Raḥmat secara ontologis dan epistemologis sama sekali.

Risālah Raḥmat ini, pada hakikatnya, adalah Risālah Keselamatan dan Risālah Kebahagiaan atau Risālah al-Sa‘ādah. Ia mencakupi dua wilayah iaitu dunia dan Ākhirat. Sekiranya ‘Alam ini mengikut dan berῙmān dengan Risālah yang dibawa oleh Utusan Allāh Terakhir ini, maka akan terjamin Keselamatan dan Kebahagiaan mereka di dua wilayah tersebut. Dunia akan menjadi tempat Selamat dalam ertikata aman damai, sejahtera dan bahagia dan di Ākhirat pula, mereka Selamat memasuki Syurga dan Selamat dari siksaan Neraka. Maka perbincangan dan huraian berkaitan dengan ungkapan rangkai kata atau kalimat Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn, mesti berdasarkan kepada doktrin kedua-dua perkara ini. Dalam perbincangan dan huraian tersebut, mestilah diterangkan mengenai doktrin dan sistem yang terkandung di dalam Risālah Keselamatan dan Risālah Kebahagiaan atau Risālah al-Sa‘ādah itu. Perkara ini merangkumi kegiatan sosio-ekonomi-politik dan juga Agama dalam kehidupan manusia. Risālah Keselamatan dan Risālah Kebahagiaan ini, adalah puncak dalam kehidupan seseorang manusia sebagai individu dan juga secara kolektif dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara bahkan sebagai suatu komuniti besar dunia.

Mufassir Syaykh ‘Alā’ al-Dīn al-Khāzin di dalam kitab Tafsīrnya ketika menerangkan ayat 107 ini berkata - terjemahan: Adapun manusia Ahli Kufr, Jāhiliyyah, Golongan Sesat dan Ahli Kitābayn, mereka itu hairan kebingungan daripada suruhan Agama mereka yang panjang masa itu dan terputus tawāturnya [rantaian] dan terjatuh kepada ikhtilaf (yang mendatangkan keburukan) dalam kitab mereka, maka dibangkitkan oleh Allāh, Muḥammad ketika mereka tidak mendapat Jalan Kebenaran kepada mencapai Kemenangan dan Thawāb [ganjaran pahala], maka didakwahkanlah [oleh Nabi ] mereka itu kepada Jalan Yang Benar [ṣawāb] dan diSyara‘kan kepada mereka hukum-hakam dan diterangkan yang halal dan yang haram… Jelas dari huraian Syaykh ‘Alā’ al-Dīn al-Khāzin ini menunjukkan bahawa, ayat Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn ini ialah ayat yang mengajak manusia memeluk Agama Islām.

Beliau memetik huraian dari Ibn ‘Abbās bahawa konsep Raḥmat itu adalah bersifat ‘am yakni sifat Raḥmat Allāh itu meliputi atau ditujukan kepada orang yang berῙmān dan juga orang yang tidak berῙmān. Adapun orang yang berῙmān, sifat Raḥmat Allāh itu akan dapat dinikmati oleh mereka semasa di dunia ini dan juga di Ākhirat kelak. Akan tetapi kepada orang yang tidak berῙmān, Raḥmat Allāh itu berlaku juga kepada mereka, cuma setakat di dunia ini sahaja. Mereka tetap akan di‘azab kerana kekufuran mereka, cuma ‘azab itu ditangguh atau dikemudiankan di Ākhirat kelak. Sebagai tambahan, di dalam Tafsīr Ibn Kathīr, terdapat riwayat dari Ibn ‘Abbās yang lain, bahawa Raḥmat itu akan dinikmati oleh sesiapa yang berῙmān kepada Allāh dan mengikut Risālah Baginda , maka dia akan mendapat Raḥmat di dunia dan di Ākhirat; dan kepada yang tidak mengikut Risālah tersebut - atas Raḥmat Allāh - maka dita’khīrkan ‘azab kepada mereka di dunia ini kepada Ākhirat. Inilah Raḥmat Allāh yang dianugerahkan kepada manusia Pasca Risālah Nabi ‘Ῑsā berbanding dengan Umat Nabi-nabi terdahulu yang Syirik dan menderhaka kepada Allāh dan Rasūl-Nya seperti yang disebut oleh Imām al-Qurṭubī dalam kitab Tafsīrnya, al-Aḥkām, ...barangsiapa yang tidak berῙmān kepada-Nya, maka tidak akan mengalami penenggelaman [yakni tidak disiksa segera] sebagaimana yang pernah menimpa umat-umat sebelum mereka.

Kesimpulannya, seperti yang dikatakan oleh Syaykh ‘Alā’ al-Dīn al-Khāzin itu, pada hakikatnya, Raḥmat yang dibawa oleh Nabi itu hanyalah ditujukan kepada orang-orang Mu’minīn. Merekalah yang berhak dan yang akan mendapat Raḥmat Allāh dalam makna atau epistemologinya yang haqiqi. Mereka akan mendapat Keselamatan daripada bakaran api Neraka dan akan mendapat Kebahagiaan memasuki Syurga Allāh berbanding orang-orang bukan Islām yang tidak Selamat dari bakaran Neraka dan akan sengsara dimasukkan ke dalamnya dan kekal di situ selama-lamanya.

Menurut huraian Imām al-Māwardī dalam kitab Tafsīrnya, al-Nukat wa al-‘Uyūn, ayat ini memberi makna bahawa Raḥmat itu ialah Petunjuk atau Hidāyah kepada Ṭā‘at terhadap Allāh dan berhak mendapat thawāb atau ganjaran pahala, justeru, diangkat dari mereka ‘azab Allāh yakni bagi yang Mu’min. Oleh yang demikian, mereka tidak terkena ‘azab di dalam Neraka, kecuali akan dihukum berdasarkan kadar kesalahan mereka sahaja. Mereka tidak akan kekal di dalam Neraka. Manakala yang tidak berῙmān pula, akan terlepas ‘azab di dunia ini seperti yang terdahulu disebut, tetapi tetap akan di‘azab di dalam Neraka disebabkan Kekufuran dan Kesyirikan mereka. Semua Risālah Rasūl-rasūl Allāh adalah bersifat Hudā, pemberi Petunjuk dan Raḥmat – hudan wa raḥmah. Ringkasnya, Risālah Raḥmat ini adalah Risālah Petunjuk ke Syurga dan menghindari Neraka dengan memeluk Agama Islām secara kāffah.

Pembicaraan dan huraian berkaitan dengan ayat 107 Sūrah al-Anbiyā’ ini, perlu dilihat dalam konteks sibāq dan siyāq ayat ini. Tanpa mengaitkan dengan sibāq dan siyāq ayat ini, justeru gambaran mengenai konsep dan epistemologi Raḥmat tidak lengkap bahkan mengelirukan orang bukan Islām dan juga orang Islām sendiri dalam bentuk misconceptions mengenai doktrin ini. Ia akan memberi kecacatan konsep dan makna yang tidak cocok dengan ontologi dan epistemologi Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn. Ini merupakan suatu kesilapan dasar yang besar lagi serius, yang perlu diberi koreksi dan pencerahan dari perspektif ajaran Islām Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’ Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ahlah yang paling berautoriti dan banyak menafsirkan ayat-ayat al-Qur'ān dan mensyarahkan al-Sunnah atau al-Ḥadīth. Sebahagian mereka adalah murid langsung para Ṣaḥābat yang merupakan pentafsir agung Ummat yang kemudian diikuti oleh murid-murid mereka dari kalangan Mufassirīn Tābi‘īn dan dari generasi ke generasi.

Mari kita cuba memahami sibāq dan siyāq ayat 107 ini supaya kita dapat memahami dengan tepat, jelas dan benar akan keseluruhan konsep, ontologi dan epistemologi serta aksiologi Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn ini.

Sesuatu yang amat jelas diketahui oleh penuntut ‘ilmu, bahawa dalam berinteraksi dan untuk mempelajari serta memahami al-Qur'ān, seseorang itu memerlukan metodologi atau kaedah yang dibina oleh para ‘Ulamā ‘Ulūm al-Qur'ān. Ada ketikanya ayat al-Qur'ān itu tidak boleh dibaca secara bersendirian tanpa dikait dengan sibāq dan siyāq ayat seperti dalam kes ayat al-Anbiyā’ 107 ini, demi mendapat konsep dan epistemologi yang sebenar seperti yang telah disebut. Ayat 107 ini wajar dibaca bersekali dengan ayat 106 hingga kepada ayat terakhir Sūrah ini iaitu ayat 112. Ayat-ayat tersebut telah membina suatu totaliti weltanschauung atau pandangan ‘alam serta kefahaman yang lengkap dan sempurna berkaitan dengan ontologi dan epistemologi bahkan aksiologi Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn. Justeru, melalui pencerahan konsep dan epistemologi yang benar ini, maka ia membina suatu manhaj yang amat fundamental bagi kehidupan kesemestaan ‘alam dan manusia, terutama berkaitan dengan kehidupan religio-sosio-politik dan budaya tinggi yang sakral, yang merangkumi di dalamnya perlakuan dan perlaksanaan hukum-hakam pada segmen dan paras-paras kehidupan yang pelbagai. Terlepas daripada mengait dan menghubungkan dengan sibāq dan siyāq ayat, maka pembinaan kehidupan religio-sosio-politik dan budaya serta hukum, akan menyimpang jauh bahkan akan jatuh ke gaung dekonstruksionisme Agama serta keruntuhan tamadun dan peradaban. Penyimpangan ini sedang dilakukan oleh golongan Liberalis, Sekularis dan penganut aliran Islam Demokrat serta golongan Deviasionis yang masih mengaku sebagai seorang penganut Islām yang baik, ketika mereka menghuraikan konsep Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn kepada masyarakat.

Pandangan ‘alam atau weltanschauung yang baru ini, dilihat aneh oleh manusia ketika Risālah Muḥammadiyyah itu diturunkan. Penyakit ini terkena terutamanya kepada komuniti yang mengaku beragama dengan Risālah Nabi Ibrāhīm seperti Yahūdī dan juga yang mengaku berῙmān kepada Risālah Nabi ‘Ῑsā seperti Naṣrānī. Risālah Muḥammadiyyah yang baru ini, kelihatan pelik dan aneh, adalah kerana seperti yang disebut oleh Imām al-Khāzin itu, bahawa jurang yang amat besar di antara realiti kehidupan mereka dalam beragama dengan apa yang dibawa oleh Nabi itu. Realiti hidup beragama di kalangan mereka terutama Yahūdī dan Naṣrānī itu menyalahi ajaran Kitab mereka sendiri. Demikian juga ia bercanggah dengan realiti kehidupan beragama dan akhlāq masyarakat Makkah yang rata-rata menyembah berhala atau menganut Paganisme. Justeru, kedatangan Nabi adalah suatu misi membawa Raḥmat. Baginda , mengajak mereka keluar daripada kegelapan Kesyirikan kepada Kecerahan Cahaya Tawḥīdullāh dengan membetulkan semula konsep dan epistemologi ‘Aqīdah, Akhlāq dan Rūḥāniy mereka yang sudah terhakis dan menyimpang itu bahkan rosak dan batil. Nampaknya, pandangan hidup atau weltanschauung Jāhiliyyah abad ketujuh Masihi itu, dibawa terus hingga kini oleh golongan Sekularis, Deviasionis dan Liberalis agama dalam wacana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn mereka.

Dalam misi dakwahnya, Nabi menerangkan konsep dan epistemologi Raḥmat secara ontologikal, epistemologikal bahkan aksiologikal yang lengkap dan sempurna kepada masyarakat yang mendustakan dan memperolok-olokkan Kebenaran, Kemurnian serta Kebenaran Risālah yang dibawa Baginda itu, yang darinyalah sumber Raḥmat tersebut yang sebenarnya datang iaitu dari Allāh, Rabb, Tuhan Semesta ‘Alam. Oleh yang demikian, mereka wajar menyahut panggilan Tuhan mereka [T huruf besar] – bukan sahaja Tuhan Muḥammad – agar tidak menyengutukan Tuhan tersebut dengan tuhan-tuhan palsu yang dibuat oleh tangan-tangan dan khayalan mereka sendiri. Perkara ini amat jelas di dalam ayat seterusnya iaitu ayat 108 yang terjemahannya berbunyi: Katakanlah [wahai Muḥammad], sesungguhnya yang diWaḥyūkan kepada saya [mengenai Ketuhanan ialah] bahawa Tuhan anda hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah anda mahu menurut apa yang diWaḥyūkan kepada saya. Ternyata, ayat ini adalah ayat perintah yang menyeru dan mengajak seluruh Semesta ‘Alam ini dalam misi Risālah tersebut, menuju ke wilayah Raḥmat yakni kepada menTawḥīdkan Tuhan dalam ontologi dan epistemologi Risālah Muḥammadiyyah. Ia sebenarnya merupakan Risālah yang menegaskan semula Tawḥīd Musāwiyyah dan ‘Ῑsāwiyyah yang mereka telah ubah atau lupa itu.

Inilah unsur murni dan paling pokok yang merupakan dasar Raḥmat yang dapat menghubungkan Semesta ‘Alam ini dengan Sumber Raḥmat yang sebenar iaitu Allāh dan Risālah Ilāhiyyah dan Nabawiyyah. Sebab itulah dalam ayat 108 itu terdapat pertanyaan yang bersifat suruhan iaitu ...maka adakah anda mahu tunduk kepada apa yang diWaḥyūkan kepada saya? Ajakan supaya tunduk dan berTuhankan kepada Allāh itu bukan hanya Tuhan Muḥammad sahaja akan tetapi Tuhan kepada anda juga bahkan Tuhan Semesta ‘Alam ini. Dan inilah Risālah semua Rasūl dan Nabi terdahulu seperti yang termaktub di dalam ayat 25 Sūrah al-Anbiyā’ ini iaitu: Dan Kami [Allāh] tidak mengutus sebelum anda [wahai Muḥammad] seseorang Rasūl pun melainkan diWaḥyūkan kepadanya: bahawa sesungguhnya tiada Tuhan [yang berhak disembah dengan sebenarnya] melainkan Aku [Allāh], oleh itu beribadatlah anda kepada-Ku [Allāh].

Maka ayat 108 adalah suatu kaedah yang merupakan satu-satunya Saluran dan Jalan Benar untuk mendapat Raḥmat Ilāhi. Syaratnya ialah mereka wajib mengikut Saluran dan Jalan yang dibawa oleh Rasūl terakhir ini iaitu dengan menyembah dan ber‘ibādat semata-mata dan seikhlasnya kepada Tuhan Yang Maha Esa itu yakni Allāh . Dengan mengikut Saluran dan Jalan ini, justeru akan sampai kepada wilayah Raḥmat yang berterusan dan berkekalan. Ajaran dari Risālah ini amat serasi pada ‘aqal dan jiwa serta fitrah, kerana sejarah generasi sebelum mereka pernah mengalaminya bahkan termaktub di dalam Kitab-kitab yang dibawa oleh Rasūl-rasūl dan Nabi-nabi mereka bahkan sebahagian mereka membacanya ketika Risālah Rasūl Terakhir ini datang ditengah-tengah mereka. Maka, sekiranya peringatan dan ajakan kepada wilayah Raḥmat tersebut tidak diendahkan dan ditolak, maka dalam ayat 109, Allāh memerintahkan kepada Nabi supaya memberitahu kepada mereka bahawa …saya [yakni Nabi ] telah menyampaikan kepada anda sekalian [ajaran] yang sama [antara kita]... Jika mereka tetap berdegil dan menolak ajaran tersebut, yang pasti, lambat-laun, mereka tetap akan di‘azab yakni di Ākhirat nanti. Akan tetapi kerana Raḥmat Allāh Yang Maha Pemberi Raḥmat dan juga dengan akhlāq Nabi yang sifatnya seperti sabda Baginda dalam Ḥadīth Muslim nombor 2599 yang berbunyi: إِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً - terjemahan: Sesungguhnya saya tidak diutus untuk melaknat akan tetapi saya diutus sebagai Raḥmat, dan juga Ḥadīth riwayat al-Ḥākim dalam al-Mustadrak, sabda Baginda yang lain: إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ - terjemahan: Sesungguhnya saya adalah saluran Raḥmat, justeru ‘azab di dunia ini ditangguh kepada mereka, tidak seperti ummat Nabi Luṭ, Nabi Mūsā, Nabi Ṣāliḥ, Nabi Nūḥ dsb di‘azab serta merta sejak di dunia ini lagi. Ini adalah anugerah Allāh kepada jagadraya atau Semesta ‘Alam dalam bentuk Raḥmat yang luas kepada orang-orang yang tidak mahu berῙmān itu.

Penangguhan ‘azab kepada orang-orang yang tidak mahu berῙmān kepada Risālah Muḥammadiyyah tersebut, mempunyai Ḥikmah yang amat tinggi di sisi-Nya yang tiada siapa pun tahu secara persis. Ia mungkin merupakan suatu ḥikmah dalam berdakwah. Diharapkan, melalui penangguhan ‘azab tersebut, mereka yang mengecapi pelbagai nikmat Allāh itu, mempunyai kesempatan berfikir secara mendalam akan kebaikan dan nikmat Allāh kepada mereka, sementara menunggu ‘azab yang maha dahsyat nanti. Dengan merasai dan menghirup nikmat Allāh tersebut, justeru, moga-moga mereka mendapat hidāyah yang merupakan suatu Raḥmat Allāh. Walaupun begitu, dari satu sisi yang lain, dalam ayat 111, Allāh memberi tahu - terjemahan: ….mungkin hal itu sebagai ujian [fitnah] kepada anda [dan di samping itu Ia memberi kepada anda] kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tertentu] . Maka Raḥmat dalam konteks ayat ini ialah seseorang Muslim tidak akan terpedaya dengan kesenangan hidup kebendaan dan keselesaan ekonomi yang dianugerah oleh Allāh kepada mereka yang merupakan suatu ujian kehidupan - apakah mereka akan bersyukur atau mereka kufur dengan nikmat tersebut.

Apa yang jelas, Nabi telah sampaikan Risālah Raḥmat tersebut kepada manusia dan Semesta ‘Alam. Akan tetapi, ada sebahagian manusia ingkar dengan membuat pelbagai tuduhan, fitnah bahkan menghina Risālah yang mulia yang datangnya dari sisi Allāh Tuhan Semesta ‘Alam ini. Justeru, Nabi di dalam ayat seterusnya iaitu ayat 112, Baginda memohon supaya Allāh memberi keputusan yang firman-Nya berbunyi – terjemahan [dari ustaz ‘Uthmān el-Muḥammady]: Katakanlah [wahai Muḥammad], wahai Tuhanku, hukumlah [di antara kami dengan mereka itu] dengan Kebenaran. Dan Tuhan kami ialah Tuhan Yang Melimpah-limpah Raḥmat-Nya yang patut dipohonkan Pertolongan-Nya dalam menghadapi perkara-perkara Kufur yang kamu katakan itu. Teramat jelas, setelah Rasūlullāh berdakwah dengan gigih dan mengundang pelbagai risiko paras tinggi, menerangkan Risālah Baru dan mengajak mereka masuk ke dalamnya, Baginda menyerahkan dirinya kepada Kehendak Tuhannya dan bahkan Tuhan Semesta ‘Alam ini dalam urusan hukuman setimpal yang patut dikenakan kepada orang-orang yang memusuhi dan menolak ajakan Baginda , para pendusta dan penista kepada Agama Islām itu.

Ayat-ayat yang dibicarakan ini, paling tidak, terdapat tiga perkara yang menjadi fokus kita. Pertama, Risālah Muḥammadiyyah ini, adalah Risālah Raḥmat kepada Semesta ‘Alam. Kedua, namun, di dalam konsep Raḥmat tersebut terdapat konsep ancaman. Al-Qur'ān memberitahu, di samping adanya anugerah Raḥmat, terdapat juga pasangannya iaitu doktrin nadzīr atau khabar amaran dan ancaman. Banyak ayat yang menceritakan hal ini yang antaranya dalam Sūrah Baqarah ayat 119 – إِنَّا أَرْسَلْنٰكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا – terjemahan: Sesungguhnya Kami [Allāh] telah mengutus anda [wahai Muḥammad] dengan Kebenaran [serta] sebagai pembawa khabar gembira [basyīr – kepada orang-orang berῙmān] dan pembawa amaran [nadzīr – kepada orang-orang yang ingkar]… Sebab itu di dalam al-Qur'ān, didapati perkataan basyīr dan nadzīr bergandingan. Kalimat-kalimat ancaman siksaan seperti ‘adzāb al-alīm, ‘adzāb al-syadīd dan ‘adzāb al-‘aẓīm ditujukan kepada orang-orang Kāfir dan Ahli al-Kitāb yang menolak Risālah yang dibawa oleh Nabi . Inilah ḥikmah dalam dakwah Nabi dalam totaliti konsep dan epistemologi Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn. Dan yang ketiga ialah Nabi secara terus-terang mengajak orang-orang bukan Islām itu masuk ke dalam wilayah Raḥmat Allāh dengan cara memeluk Agama Islām yang dibawa oleh Baginda itu, seperti yang tersebut di dalam sebuah Ḥadīth Bukhārī no 2941 berbunyi: أَسْلِمْ تَسْلَمْ، يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ، فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَإِنَّ عَلَيْكَ إِثْمَ الْأَرِيسِيِّينَ - terjemahan: Islāmlah anda pasti anda akan Selamat dan jika anda memeluk Islām, Allāh akan menganugerahkan ganjaran dua kali ganda dan jika anda berpaling [ingkar], maka di atas anda dosa paling besar. Baginda bukan hanya menghuraikan mengenai Risālah Raḥmat tanpa mengajak mereka masuk ke dalam wilayah Raḥmat itu seperti perlakuan kaum Liberalis dan Literalis serta Deviasionis zaman sekarang. Wilayah Raḥmat ialah wilayah di mana Tawḥīdullāh ditegakkan dan Pesuruh-Nya di ta‘ati serta al-Qur'ān dihayati. Ini bererti, wilayah Raḥmat ialah wilayah Agama Islām yang merupakan Dīn al-Ḥaqq, [al-Tawbah: 33], iaitu satu-satunya Agama yang Benar sekarang ini, yang datang dari Tuhan Semesta ‘Alam iaitu Allāh .

Baginda menganyam dan mengadun sifat-sifat Ṣidq, Amānah dan Tablīgh serta kebijaksanaan atau Faṭānah Baginda , sebagai kesatuan tenaga, menyeru dakwah yang lengkap dan syumul, dalam misi Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn Baginda iaitu basyīran wa nadzīran yakni berita gembira dan berita ancaman. Baginda tidak bersifat Kitmān iaitu menyembunyikan sebahagian daripada Kebenaran dan bersifat khiyānat yakni tidak menyampaikan keseluruhan konsep dan epistemologi Risālah Raḥmat yang dibawanya itu. Ini merupakan sifat seorang dā‘ī ilallāh yang memiliki himmah dan integriti yang tinggi, mendepani komuniti agama yang pelbagai. Kepelbagaian agama, suku bangsa dan budaya atau puraliti - bukan pluralisme - tidak menyebabkan Baginda dan orang-orang yang mengikut Baginda bersikap Kitmān, bersifat tidak amānah, khiyānat dan apologetik.

Ajakan ke dalam wilayah Raḥmat adalah juga bersekali dengan ajakan kepada Tawḥīdkan Tuhan atau Tawḥīdullāh dan ajakan supaya berῙmān kepada Pesuruh yang diutus oleh Allāh itu dan sekaligus menerima Risālah yang dibawa Baginda itu. Tawḥīd kepada Allāh atau Tawḥīdullāh, adalah syarat paling asas untuk mendapat Raḥmat Allāh. Hal ini dapat diperhatikan bentuk dan konten dalam misi diplomatik antarabangsa Nabi kepada ketua-ketua kerajaan negara jiran Madīnah melalui nota-nota diplomatik tersebut. Imām al-Bukhārī [Ḥadīth no. 2941] dan Imām Muslim [Ḥadīth no. 1773], merekodkan suatu naratif yang cukup panjang dan amat menarik iaitu surat Baginda kepada Heraclius, raja Rumawi Timur yang berpusat di Damsyiq. Baginda mengajak Heraclius masuk ke wilayah Raḥmat dengan cara berpegang atau berῙmān kepada Kalimat Yang Satu iaitu menyembah Tuhan Yang Satu iaitu Allāh . Dalam nota diplomatik tersebut, selepas mengajak Heraclius memeluk Agama Islām seperti dinyatakan terdahulu, Baginda menukilkan bersama firman Allāh , Sūrah Ᾱli ‘Imrān: 64 yang dibaca oleh utusan Baginda - terjemahan: Katakanlah [wahai Muḥammad], Hai Ahli Kitāb, marilah [berpegang] kepada satu Kalimat [Ketetapan] yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allāh dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak [pula] sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allāh. Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang Muslimūn [yang berserah diri kepada Allāh]. Perhatikan bahawa Baginda dengan penuh ‘izzah mengajak mereka masuk ke wilayah Raḥmat dengan cara memeluk Agama Islām!

Risālah Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn adalah Risālah untuk meRaḥmatkan dunia dan segala isinya dengan niẓām atau sistem Islāmī yang kāffah atau sempurna dan lengkap. Tanpa niẓām Islāmī, tidak akan ada Raḥmat. Maka pembinaan tamadun dan peradaban manusia, mestilah berdasarkan kepada intellectual foundations Raḥmat yang didasari oleh doktrin أَسْلِمْ تَسْلَمْ di dalam bingkai Syahādatayn dengan segala implikasinya. Segala sistem yang menyangkut kehidupan politik, ekonomi, pemikiran, falsafah, sosial, pendidikan, keilmuan, budaya, hukum-hakam, kepimpinan dsb perlu dibina di atas dasar dan di dalam bingkai ini. Inilah sahaja dan satu-satunya Saluran dan Jalan mencapai Raḥmat bagi segala makhluk di Semesta ‘Alam ini. Perkara inilah yang difirman oleh Allāh dalam Sūrah al-Baqarah, ayat 185 - terjemahan - Bulan Ramaḍan ialah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Qur'ān sebagai Hudā [Petunjuk] bagi manusia dan penjelasan-penjelasan [mengenai Petunjuk itu] dan sebagai Furqān [Pembeza antara yang haq dan batil]… Melalui Saluran dan Jalan inilah sahaja manusia dapat berinteraksi dengan Khāliq atau Penciptanya yang menjadi sumber Raḥmat itu. Melalui Saluran dan Jalan ini jugalah mereka dapat berinteraksi pula dengan sesama makhluk secara sosiologikal dengan penuh harmoni dan seimbang melalui peraturan-peraturan dan nilai-nilai serta etika yang datang dari sisi-Nya dan dari Utusan-Nya. Maka pada titik inilah mereka mendapat al-sa‘ādah atau Kebahagiaan sebagai individu, kelompok masyarakat dan ahli warga sesebuah negara dan tamadun di dalam limpahan Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn.

Perlu diberi suatu nota penting, bahawa, orang-orang bukan Islām akan mendapat Raḥmat di dunia ini, seperti yang dihurai oleh para Mufassirīn itu. Syarat utamanya ialah jika mereka turut patuh dan menghayati niẓām atau peraturan-peraturan Islām yang dikenakan kepada mereka oleh dikri negara. Ini bukan bermakna mereka dipaksa memeluk Agama Islām kerana ajaran Islām melarang berbuat demikian. Akan tetapi sebagai menyangkut Maqāṣid Syara‘ dalam prinsip Memelihara Keselamatan Masyarakat dan Keselamatan Negara, mereka sewajarnya menerima peraturan-peraturan ‘am negara. Selama ini pun, mereka bukan mengikut peraturan agama mereka tetapi mengikut peraturan yang dicipta oleh manusia dalam bentuk ideologi dan sistem Sekular. Akan tetapi dalam wacana kaum Sekular-Liberal zaman sekarang, mereka tidak menekankan kewajipan orang bukan Islām mematuhi peraturan Islām dalam wilayah yang mereka duduki, tetapi memfitnah dan menuduh serta menyalahkan orang Islām kerana dikatakan tidak meraikan dan menghormati mereka yang bukan Islām itu.

Perbincangan mengenai Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn harus terbuka luas. Bukan ditumpu kepada hubungan dengan warga agama dan penganut bukan Islām semata-mata dan itu pun amat bersifat apologetik. Wacana kaum Liberalis itu amat naif dan penuh prejudis kepada Ummat Islām. Mereka memberi gambaran yang menampakkan seolah-olah orang-orang Islām hodoh dan ajaran Islām tidak bersikap toleren kepada penganut bukan Islām. Sebab itu kelihatan yang dipersalahkan ialah orang-orang Islām yang dituduh tidak toleren dan menindas penganut bukan Islām. Di banyak negara Ummat Islām, didapati orang-orang- bukan Islām mengambil peluang menghina Agama Islām dan Ummatnya kerana slogan-slogan golongan Munāfiqūn dan Liberalis yang masih mengaku berAgama Islām yang memfitnah Ummat dengan pelbagai tuduhan palsu seperti yang telah disebut. Maka, konsep Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn mestilah bersifat timbal-balik yakni orang bukan Islām wajib mematuhi peraturan-peraturan serta menghormati ajaran Agama dan Ummat Islām serta dikri negara, jika mereka mahu berada di dalam ruangan Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn secara sosiologikal dan hukum. Jika mereka gagal berbuat demikian, Ummat Islām berkewajiban mempertahankan maruah mereka sejajar dengan ajaran Islām dan dasar Maqāṣid Syara‘ iaitu membela dan Memelihara Agama mereka atas prinsip حِفْظُ الدِّينِ dan mempertahankan serta menjaga maruah dan harga diri mereka sebagai orang berAgama atas prinsip Memelihara Maruah atau حِفْظُ الْمُرُوءَةِ. Perkara ini tidak diwacana dengan benar dan terbuka secara epistemologikal oleh pengusung Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn, yang sepatutnya mereka berbuat demikian. Wacana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn sewajibnya memahamkan kepada orang bukan Islām bahawa mereka berkewajipan menahan nafsu mereka dari menyerang ajaran dan Ummat Islām dan cuba memahami ajaran Islām, jika tidak mahu respons keras Ummat.

Dalam konteks Malaysia, orang-orang bukan Islām telah diberi kebenaran oleh penguasa Islām, membina rumah-rumah sembahan mereka walaupun di kawasan yang tiada penganut agama mereka. Mereka juga diberi kebebasan mendirikan organisasi yang pelbagai atas nama agama masing-masing. Bahkan mereka diberi jawatan penting dan strategik dalam pemerintahan. Di manakah logiknya saranan golongan Sekularis dan Liberalis yang mengaku sebagai Islām, meminta supaya orang Islām Malaysia bersikap toleren? Toleransi tingkat mana yang harus dilakukan? Mereka yang bukan Islām terutamanya golongan Kristian Evangelis senantiasa membuat provokasi terhadap Ummat Islām, pada hal undang-undang Malaysia melarang mereka berbuat demikian. Tiada respons keras dari Ummat Islām terhadap segala macam provokasi mereka, tetapi masih dituduh sebagai tiada toleren. Wacana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn kaum Sekularis-Liberalis Melayu, sewajibnya mengajar dan memberi kefahaman kepada orang-orang bukan Islām supaya mereka lebih beradab, tegas mematuhi peraturan sedia ada dan menghormati kaum Muslimīn yang berjasa besar kepada mereka kerana memberi keselesaan hidup di negara ini.

Niẓām Islām adalah satu-satunya niẓām atau peraturan yang paling sesuai dengan fitrah manusia dan amat bersifat kemanusiaan. Maka para penyeru dan aktivis yang bercakap kepada audiens bukan Islām dengan menggunakan ayat Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn ini, perlu menunjukkan bahawa tidak ada Raḥmat dalam niẓām dan sistem selain Islām. Maka di sini tidak timbul kedaulatan rakyat dalam menentukan sesuatu perkara berkaitan peraturan dan hukum negara. Apakah rakyat akan berdaulat, jika yang dituntut mereka ialah untuk menghalalkan perbuatan maksiyat seperti menghalalkan perzinaan; menghalalkan perlakuan homoseksual; tidak membantah bahkan mewajarkan perbuatan murtad; membela peminum arak; membenarkan perkahwinan sejenis; menerima konsep keadilan Karl Marx, Friederich Engels, Hegel, John Rawls dan JS Mill; memperjuangkan falsafah Humanisme Barat dsb. Tuntutan seperti ini bukan sebagai mahu mendaulatkan rakyat dalam konsep dan epistemologi Raḥmat Allāh, akan tetapi menuntut dan mengundang kepada kemurkaan dan ‘azab Allāh. Inilah yang sedang dilakukan oleh sekelompok orang yang mengaku berAgama Islām atas slogan Hak Asasi, kemanusiaan dan kebebasan.

Atas hujah ini, maka kedaulatan rakyat tidak ada apa-apa erti bahkan akan ditimpa musibah Allāh, jika rakyat itu mahu memilih mendaulatkan niẓām selain al-Qur'ān, al-Sunnah dan Ḥikmah Ilāhiyyah serta bercanggah dengan falsafah siyāsah Nabawiyyah. Rakyat tidak akan berdaulat dalam maksud tidak akan mulia dan tidak akan bermaruah, jika yang didaulatkan dalam diri mereka dan yang diperjuangkan oleh mereka itu adalah sesuatu yang bercanggah dengan al-Qur'ān, al-Sunnah, al-Ijmā‘ dan bertentangan dengan ajaran Islām seluruhnya. Tidak kira mereka itu beragama Islām atau bukan Islām. Jika ini berlaku demikian, mereka sebenarnya menolak Raḥmat dari Allāh Yang Maha Pemberi Raḥmat dan mengundang kemurkaan dan ‘azab Allāh. Raḥmat Allāh hanya ada di dalam kepatuhan kepada niẓām bersifat Islāmī dengan segala peraturan yang dibina atas Ijtihād oleh Ahl Dzikr yang rāsikh.Yang ada hanyalah kedaulatan Islām ke atas manusia. Manusia menjadi berdaulat dan mulia, apabila mereka menghayati niẓām Islām secara kāffah dalam wacana taqwā, jika tidak, mereka persis binatang, seperti ungkapan al-Qur'ān. Bagaimana mereka menjadi berdaulat, jika tidak mendaulatkan Allāh, Penciptanya sendiri. Mereka boleh menjadi berdaulat, jika melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar terutamanya dalam diri terlebih dahulu. Mungkar terbesar ialah syirik kepada Allāh dalam pelbagai bentuk dan manifestasi, baik yang bersifat pemikiran dan falsafah mahupun bersifat ucapan dan perbuatan badaniyah. Justeru, setiap orang Islām perlu memiliki keupayaan intelektual dan kekuatan rūḥāniyyah serta keberanian moral untuk menyatakan kepada dunia bahawa manusia akan lebih kemanusiaannya atau lebih manusiawi dan lebih mulia, jika mereka membenteras syirik dalam semua perspektif dan paras serta menerima Kalimat Pemersatu dan Pengikat iaitu Lafẓ al-Jalālah seperti yang dilakukan oleh Nabi dalam misi dakwah dan juga ekspedisi ketenteraannya.

Inilah yang dilakukan oleh generasi Madīnah yang awal, apabila ayat 110 Sūrah Ᾱli ‘Imrān turun berkaitan dengan konsep khayr al-ummah. Para Ṣahābat tidak tangguh-tangguh, terus mengajak manusia menTawḥīdkan Allāh kerana mereka menjadi mulia dan terbaik serta mendapat limpahan Raḥmat Allāh, jika mereka melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Amar makruf dalam konteks ayat yang mulia ini ialah menyeru kepada menTawḥīdkan Allāh. Sementara nahi mungkar pula ialah membasmi kesyirikan [lihat huraian lebih terperinci di dalam kitab-kitab Tafsīr]. Para dā‘ī generasi awal itu tidak membiarkan orang-orang di sekeliling mereka terus berada di dalam keadaan dizalimi kerana dirantai oleh pemikiran dan budaya Jāhiliyyah dan dibungkus kesyirikan dalam agama mereka. Inilah yang sepatutnya dibuat oleh para pengusung dan penyeru kepada Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn zaman sekarang ini. Mereka perlu mengajak orang-orang bukan Islām supaya keluar daripada kegelapan Jāhiliyyah dan kesyirikan menuju Cahaya Raḥmat dengan memeluk Agama Islām. Jangan membiarkan mereka terus dizalimi oleh kesyirikan dan kukuh berada di dalam kegelapan kesyirikan tersebut.

Sesetengah penyeru kepada Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn membatasi diri mereka kepada retorik kebebasan, hak asasi, hak sama rata bagi semua warga dan bangsa serta mengajak orang Islām menghormati agama selain Islām. Adalah suatu yang ironi ketika mereka menyeru kepada Raḥmat dengan slogan Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn yang diungkap dari al-Qur'ān itu, tetapi dalam masa yang sama, mereka menyeru kepada doktrin dan falsafah kontra Raḥmat dengan menyogokkan fahaman dan falsafah Sekularisme-Liberalisme dalam semua perspektif. Dalam politik pemerintahan, mereka menolak perlaksanaan Syarī‘at dan perlaksanaan hukum-hakam Islām secara sempurna. Sebagai ganti, mereka mahu melaksanakan konsep dan falsafah Sekular-demokrasi liberal yang dianggap sebagai sumber Raḥmat. Dalam akhlāq pula, mereka tidak menjadikan pembinaan akhlāq al-karīmah pada paras individu dan masyarakat sebagai agenda utama, malah mengutarakan konsep relativisme akhlāq. Bagaimana akan mendapat Raḥmat Allāh, kerana dengan menolak hukum-hakam Islām, paling tidak, mereka dikira sebagai orang-orang zalim. Dan bagaimana pula akan mendapat Raḥmat, jika manusia dibiar menentukan konsep dan perjalanan akhlāq masing-masing, pada hal Nabi diutus sebagai pembawa doktrin dan menanam ajaran akhlāq yang mulia serta menyuluh mereka keluar dari kegelapan akhlāq Jāhiliyyah – dan zaman sekarang akhlāq Liberal. Akhlāq bukan perkara subjektif dan relatif di dalam ajaran Islām. Justeru, dari dua perspektif ini, maka menyeru kepada kedaulatan rakyat sebagai sumber kekuatan negara dalam wacana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn kaum Liberalis dan Deviasionis itu adalah batil lagi mungkar.

Inilah paradoks pemikiran dan krisis intelektual yang melanda mereka. Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn mesti difahami di dalam rangka sirah Nabawiyyah, sejarah Khulafā’ al-Rāsyidah dan sudah tentu di dalam epistemologi al-Qur'ān, al-Sunnah dan Ijtihād para Fuqahā’ termasuk hikmah politik di dalam ‘uruf dan ruang budaya setempat atas pertimbangan maṣlaḥaḥ umum sepertimana yang ternyata sepanjang sejarah dan tamadun Ummat ini. Ia bukan wacana politik jalanan atau politik memancing atau politik Libertarianisme atau politik Egalitarianisme dalam rangka Sekularisme agama, Sekularisasi dan penghakisan hukum serta deontologi dan liberalisasi akhlāq.

Sebagai tambahan, dewasa ini hampir semua yang berbicara berkaitan dengan Maqāṣid Syara‘ menggunakan pendekatan Liberalisme dan pendekatan Sekularisme serta bersifat apologetik. Mereka membuat manipulasi kepada prinsip-prinsip Maqāṣid Syara‘ dan memaksakan pemikiran Liberal dan Sekular itu ke dalam bingkai Maqāṣid Syara‘, padahal dari awal lagi, mereka sudah mengisytiharkan bahawa sistem yang paling baik adalah sistem Sekular yang dalam bahasa lembut mereka ialah Demokrasi Liberal. Mereka tidak mahu melaksanakan Syarī‘at Islām yang kāffah atau jika mereka mahu pun, mereka akan bina Syarī‘at Islām dalam bentuk dan rupa yang sudah diSekular dan diLiberalkan. Dari satu sisi, Maqāṣid Syara‘ bukanlah Syarī‘at dan bukan pula sesuatu hukum dari Fiqah tetapi ia hanya sebagai suatu ḥikmah untuk kemaslahatan manusia yang sifatnya berubah-ubah. Untuk berbicara mengenai Maqāṣid Syara‘ seseorang mesti memiliki kualiti kefahaman Syara‘ yang tinggi dan memahami hukum-hakam Fiqah yang luas dan dalam serta memiliki ḥikmah yang halus. Maka peribadi atau kelompok yang memperjuangkan tertegaknya Sekularisme, Liberalisme dan Demokrasi Liberal, tidak layak bercakap mengenai Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn kerana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn adalah suatu konsep dan epistemologi quddūs yang bersifat Qur'ānik bukan serpihan dari wacana Sekularisme, Pascamodenisme atau Pascaislamisme.

Kelihatan konsep Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn yang diwacanakan sekarang tertumpu hanya kepada usaha ke arah menyikapi orang-orang bukan Islām sahaja. Wacana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn wajib menumpukan kepada orang Islām juga kerana jika Raḥmat Ilāhiyyah yang tujuan Nabi diutus tidak dihayati, maka akan terjadilah diri peribadi individu Muslim itu kosong dan kering-kontang serta keras bagai batu. Ini adalah kerana Raḥmat Allāh memiliki beberapa wilayah, lapisan, masa dan ketika serta fasa-fasa, bergantung kepada keperihalan masing-masing individu. Di kalangan orang-orang yang sudah berAgama Islām, mereka sudah melepasi fasa pertama, yang merupakan suatu Raḥmat dan nikmat amat besar berbanding manusia lain yang masih Syirik, menyembah berhala-berhala dalam pelbagai bentuk dan manifestasi dan tidak berAgama Islām. Lapisan dan fasa pertama sudah mereka berjaya. Namun, fasa seterusnya ialah fasa mengisi dan mencernakan ajaran Islām supaya mereka tidak terjatuh ke dalam golongan Munāfiqūn, Mujrimūn, Ẓālimūn, Fāsiqūn dsb. Jika mereka tergolong ke dalam salah satu daripada golongan ini, mereka sebenarnya tidak mendapat Raḥmat Allāh kerana ingkar dan gagal melaksanakan Kehendak dan Suruhan Allāh dan Rasūl-Nya secara kāffah dan sempurna. Mereka tidak termasuk dalam wilayah Raḥmat, kerana pada satu sisi, Raḥmat Allāh cuma akan turun hanya kepada golongan yang ta‘at kepada Allāh dan Rasūl-Nya sahaja. Maka wacana ini adalah wacana muḥāsabah yakni menilai kualiti Ῑmān dan ‘amal soleh dalam konteks dan epistemologi Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn; dan juga wacana Mujāhadah yakni perjuangan Rūḥāniyyah untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti Īmān dan ‘amal soleh tersebut.

Wacana muḥāsabah ini adalah suatu doktrin asasi dalam al-Qur'ān dan al-Sunnah [al-Isrā’: 14]. Ia wajib melalui mekanisme pembersihan ‘aqal dan hati. Tujuannya ialah supaya ‘aqalnya bebas dari pengaruh diabolisme pemikiran dan hatinya tidak dihinggapi penyakit syirik, kufur dan nifāq. ‘Aqal seseorang mesti dididik supaya berfikir dalam kerangka al-Qur'ān dan al-Sunnah, justeru ia akan mendapat limpahan Raḥmat. ‘Aqalnya perlu diisi dengan Kebenaran-kebenaran mutlaq dan tertinggi serta menghilangkan kepalsuan-kepalsuan diabolik. Oleh yang demikian, ‘aqal ini akan memiliki kekuatan naẓariyyah yang dapat berfikir secara Tawḥīdik, justeru dapat mengenali hakikat segala fenomena di ‘alam ini, yang menatijahkan Ma‘rifah Allāh atau مَعْرِفَةُ اللهِ. Inilah Raḥmat besar. Perkara ini amat bertepatan dengan salah satu dasar dalam wacana Maqāṣid Syara‘ iaitu memelihara ‘aqal atau حِفْظُ الْعَقْلِ. ‘Aqal dalam makna grey matter adalah suatu Raḥmat anugerah Allāh berbanding makhluk lain yang tidak ada ‘aqal. Namun, ber‘Aqal yakni dalam erti memelihara ‘aqal supaya tidak jatuh ke dalam gaung diabolisme pemikiran, tidak dirasuki oleh anasir-anasir perosak Agama dan tidak dimakan oleh virus sapere aude - maka dengan itu ia memiliki ‘aqal al-mustaqīm - adalah suatu nikmat dari Raḥmat yang lebih besar pula. Ramai manusia miliki ‘aqal tetapi tidak ber‘aqal. Justeru ‘aqal itu membawa mereka masuk ke dalam Neraka seperti firman Allāh di dalam Sūrah al-Mulk ayat 10 – terjemahan: Dan mereka [yang Kāfir itu] berkata, sekiranya kami mendengar atau memikirkan [peringatan itu] niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni Neraka Sa‘īr. Perhatikan perkataan نَعْقِلُ dalam ayat tersebut memberi makna: jika mereka berfikir menggunakan ‘aqal dengan cara yang benar, pasti mereka tidak akan dimasukkan ke dalam Neraka. Oleh yang demikian, setiap manusia diwajibkan memelihara ‘aqal, supaya ia dapat berfikir secara benar dan berfungsi secara ontologikal. Akibat dari perkara ini, justeru dapat mengenali Kebenaran-kebenaran serta kebatilan-kebatilan hakiki, yang akan menjadi asbāb mendapat Raḥmat Allāh. Dalam konteks ini, mereka terhindar dari bakaran Neraka serta mendapat Sa‘ādah atau Kebahagiaan yakni memasuki Syurga Allāh. Demikian juga Raḥmat Allāh kepada orang-orang yang tidak ber‘aqal di kalangan orang dewasa yang sejak kecil tiada ber‘aqal kerana sebab-sebab tertentu dan juga kanak-kanak yang mati sebelum ber‘aqal dan bāligh - baik Muslim atau bukan - tiada taklif Syara‘ dan tiada hukuman serta ‘azab ke atas mereka.

Pasangan kepada ‘aqal ini ialah Hati atau Rūḥ atau Qalb. Hati atau Rūḥ atau Qalb ini wajib digilap dengan dihiasi sifat-sifat yang baik atau Maḥmūdah dan dibuang segala kotoran yang bersifat negatif, destruktif dan yang tidak baik iaitu sifat-sifat Madzmūmah. Melalui mekanisme ini, seseorang akan berjaya hidup di dalam aktiviti Kontemplatif atau Kesedaran Ketuhanan yang amat tinggi dan mendalam dan akan berada di dalam keadaan Syuhūd atau penyaksian matahati terhadap Tuhannya yang diistilah oleh Nabi sebagai كَأَنَّكَ تَرَاهُ – seolah-olah anda melihat-Nya. Ini adalah suatu Raḥmat yang diingini setiap Muslim kerana natijahnya akan mendapat suatu Raḥmat lagi yang lebih besar iaitu dapat Ma‘rifah Allāh atau Ma‘rifatullāh melalui Tawḥīdullāh dalam pengalaman Syuhūd dan Fanā’ itu, yakni hilangnya segala sesuatu selain Allāh di dalam pengalaman batin atau rūḥāniy mereka. Inilah wacana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn seperti yang diajar oleh al-Qur'ān dan al-Sunnah dalam huraian ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’ sepanjang sejarah tamadun Ummat ini. Ia bukannya wacana kering-kontang yang menumpukan kepada fenomena sosial dan politik sempit semasa serta kepentingan bersifat diabolik.

Dalam konteks kesempurnaan ‘aqal dan hati itu, adalah mustahil ‘aqal dan hati dapat berfungsi secara benar tanpa adanya Utusan Allāh yang membawa dan mengajar Jalan dan kaedah untuk mencapai Pencerahan dalam perjalanan memasuki wilayah Raḥmat. Nabi yang Raḥmat itu, mengajak manusia keluar dari wilayah kegelapan ‘Aqīdah, ‘aqliyyyah dan rūḥāniyyah masuk ke dalam wilayah Raḥmat melalui Kecerahan Nūr al-Qur'ān dan al-Sunnahnya, seperti yang terungkap di dalam al-Qur'ān – مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَي النُّورِ, yakni dari kegelapan syirik kepada Cahaya atau Nūr Tawḥīd; dari kegelapan budaya Jāhiliyyah kepada keArifan dan Cahaya Sunnah Nabawiyyah; dan dari petaka sosial kepada ketertiban, kesaksamaan dan kemuliaan. Maka adalah suatu Raḥmat besar, apabila Allāh mengutus Nabi dengan membawa ajaran atau doktrin bersekali dengan cara untuk mencapainya. Melalui Baginda , manhaj hidup yang sempurna akan dapat dibina. Ini adalah kerana al-Qur'ān dan al-Sunnah Baginda merupakan Petunjuk yang sempurna dan Raḥmat yang meliputi lagi bersifat quddūs atau sakral.

Demikian juga wacana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn ialah wacana memetakan kehidupan manusia dalam bingkai Metanaratif dan teleologi Qur'ānik dan Nabawiy seperti yang dihurai secara sempurna oleh ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’ Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn yang diutarakan ke tengah masyarakat itu perlu meletakkan suatu lebuhraya dengan rincian batu tanda dan destinasi akhir seperti yang dijelaskan di dalam literatur turāth. Metanaratif dan teleologi ini, akan membina aktiviti hidup manusia dengan segala panduan yang jelas memasuki wilayah Raḥmat yang penghujung destinasinya ialah menjadi hampir kepada Allāh bahkan dikasihi-Nya sebagai hamba-Nya yang telah melaksanakan segala yang ma‘rūfāt dan meninggalkan segala munkarāt. Kejayaan melaksanakan hal ini adalah Raḥmat yang amat besar dalam konsep dan epistemologi Qur'ānik dan Nabawiy.

Seperti yang dihurai oleh para ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’, denai-denai yang akan ditempuh dalam teleologi ini ialah perlaksanaan ‘ibādah dalam ontologi dan epistemologi yang tepat yang akan kelihatan aksiologinya. Ia perlu dilaksanakan secara yang amat intensif dengan kualiti yang amat tinggi sehingga ke paras ‘ubūdah seperti yang diajar dalam sistem pengibadatan Islām. Ia bukan bersifat Pluralisme atau percampuran segala macam jenis ‘ibādat dari pelbagai agama. Perlaksanaan ‘ibādah dengan kualiti yang tinggi ini, akan menjadikan seseorang itu dapat menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam maksiyat atau dalam bahasa yang lain, ‘ibādah tersebut akan dapat mencegah seseorang dari melakukan maksiyat dalam pelbagai paras, bentuk dan dimensi seperti yang disebut al-Qur'ān. Maka terbuka satu Saluran lagi untuk mendapat Raḥmat dari Allāh yakni melalui aktiviti-aktiviti ‘ibādah terutamanya yang bersifat farḍu dengan tambahan-tambahan yang bersifat faḍā'il. Seperti yang disebut, justeru bersamanya akan terhindar perbuatan maksiyat. Perbuatan maksiyat baik yang bersifat hakiki atau maknawi, akan menjadi penghalang dalam perjalanan memasuki wilayah Raḥmat. Maka dengan tercabutnya maksiyat tersebut, ia bermakna tercabutnya sekatan atau halangan dari mendapat Raḥmat Allāh dan Barakah, justeru terhindar dari murka Allāh.

Bagaimana akan mendapat Rāhmat, jika melecehkan ‘ibādat yang disifatkan sebagai mere practice? dan bagaimana akan mendapat Raḥmat, jika berterusan melakukan maksiyat dalam ertikata menganut pemikiran dan falsafah Pascamodern terutama Sekularisme dan Liberalisme dalam pelbagai aspek – dalam politik menganut fahaman Liberal Demokrasi; dalam falsafah menganut falsafah Kant, Nietzche, Marx dsb; dan di dalam akhlāq penganut New Morality atau deontologi etik; dalam hukum-hakam menerima sistem Westminster atau Komunisme atau Libertarianisme dan menolak perlaksaan Syarī‘at Islām; bahkan dalam beragama, menolak yang agama Islām sebagai satu-satunya agama yang diterima Allāh dan menerima semua agama adalah benar belaka dan menolak teras atau dasar agama seperti konsep Allāh dan Rasūl secara ontologikal dan epistemologikal?

Maka, Raḥmat akan turun hanya kepada individu atau kelompok masyarakat atau negeri jika mereka benar-benar berῙmān dan beramal soleh dengan Risālah yang dibawa oleh Utusan Allāh iaitu Nabi Muḥammad seperti firman Allāh dalam Sūrah al-A‘rāf: 96 - terjemahan: Jika ahli sesebuah negeri [kawasan, daerah, tamadun] berῙmān dan bertaqwā, Kami [Allāh] akan buka [beri] kepada mereka Barākah dari Langit dan bumi. Perlu diperhatikan bahawa berῙmān di sini bermakna berῙmān kepada Risālah yang dibawa oleh Nabi dan bukan berῙmān kepada selainnya; dan Taqwā dalam epistemologinya yang benar ialah menghindari maksiyat dan berlaku ta‘at kepada Allāh dan Rasūl-Nya. Dan perhatikan pula kisah kaum Sabā’ seperti yang terdapat dalam Sūrah Sabā’. Mereka mendapat segala nikmat dengan bermacam makanan dari kebun-kebun hasil anugerah Allāh hingga disebut sebagai negeri بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ, iaitu terjemahan: negara yang baik dan mendapat keampunan Allāh, akan tetapi segala Raḥmat Allāh yang mencurah-curah berupa kenikmatan rezeki dan kelazatan hidup itu, hancur musnah, apabila mereka berpaling dari Risālah yang dibawa Rasūl mereka dengan mendurhakai Allāh dan Rasūl-Nya. Allāh mencabut segala Raḥmat-Nya itu secara pukal dan kontan dengan menghantar banjir besar dan kemusnahan kebun-kebun kebanggaan mereka dalam sekelip mata sahaja. Inilah yang difirman Allāh di dalam Sūrah al-A‘rāf, ayat 56, إنَّ رَحْمَتَ اللهَ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ - terjemahan: Sesungguhnya Raḥmat Allāh dekat kepada golongan Muḥsinīn [yang berbuat baik dalam melaksanakan suruhan al-Qur'ān dan al-Sunnah]. Maka wacana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn adalah wacana menjana individu dan generasi Muḥsinīn.

Wacana Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn adalah bukan wacana setarakan ajaran dan hak antara orang Islām dan bukan Islām. Akan tetapi ia adalah wacana meratakan Raḥmat Allāh melalui peraturan atau Syarī‘at Islām kepada Semesta ‘Alam dengan segala isinya – termasuk binatang dan sumber-sumber ‘alam. Justeru, Islām sangat mengambil berat berkaitan eco system dan ‘alam sekitar supaya ia menjadi seimbang. Menyamatarakan ajaran dan orang Islām dengan yang bukan Islām atau menyamakan orang bukan Islām dengan orang Islām adalah bertentangan dengan doktrin al-Qur'ān. Al-Qur'ān menyatakan dalam Sūrah Fāṭir ayat 19 – terjemahan: dan tidaklah sama yang buta dengan yang celik dan tidak juga [sama] yang gelap [ẓulumāt] dengan yang cahaya [Nūr]. Dalam Sūrah al-Ḥasyr: 20, pula berbunyi, terjemahan: tidak sama ahli Neraka dan ahli Syurga; dan dalam Sūrah al-Qalam, ayat 35, berbunyi - terjemahan: Maka apakah patut Kami [Allāh] menjadikan orang-orang Islām itu sama dengan orang-orang Mujrimīn [Kāfirūn]. Mereka tidak sama dalam menerima hukuman di Ākhirat dan juga tidak sama dalam perlakuan hukum dan peraturan dalam Negara dan kehidupan sosial.

Oleh kerana tidak ada persamaan antara orang Islām dan yang bukan Islām, justeru, di dalam sejarah dan tamadun Islām, secara sosiologikal dan perlaksanaan peraturan, terdapat pembahagian orang bukan Islām kepada beberapa kategori seperti Kafir Ḥarbī, kafir Mu‘āhad, Musta’man atau Mu'amman dan kafir Dzimmī. Golongan ini mempunyai pelbagai peraturan yang berbeza-beza dikenakan kepada mereka. Tidak dipungkiri dalam wacana siyāsah atau politik kenegaraan terdapat beberapa hak orang bukan Islām yang perlu dipertahankan seperti hak mereka untuk mengamalkan ritual agama mereka, akan tetapi sudah tentu mempunyai beberapa syarat pula yang ditentukan oleh negara; hak mereka untuk mendapat peruntukan dari perbendaharaan negara dsb seperti yang dihurai dengan panjang lebar dalam teks-tek Fiqah dan politik Islām klasik; tuhan sembahan mereka tidak boleh dicerca atau dihina dan beberapa yang lain. Ini merupakan Raḥmat kepada mereka dalam hubungan secara sosiologikal dan sebagai warganegara. Sementara itu, negara bertanggungjawab menguruskan mereka dalam kepentingan kebajikan, keselamatan, nyawa dan kestabilan dalam masyarakat mereka.

Orang-orang bukan Islām akan mendapat Raḥmat dari peraturan-peraturan tersebut seperti terbukti berlaku sepanjang sejarah pemerintahan Islām. Mereka yang tidak mematuhi peraturan dan dikri Negara, akan diambil tindakan tegas seperti tindakan Nabi kepada qabilah-qabilah Yahūdī warga Madīnah dahulu.

Kesimpulannya ialah Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn adalah suatu konsep dan doktrin yang sinonim dengan usaha dakwah Islām. Mesej dalam misi pengutusan Nabi kepada Semesta ‘Alam ini adalah mesej dan misi Raḥmat. Misi ini adalah suatu misi yang mesej di dalamnya mengajak manusia dan bahkan juga jin, supaya menTawḥīdkan Tuhan dalam konsep dan epistemologi Tuhan Yang Aḥad iaitu Allāh dan menolak segala sesuatu sesembah selain dari-Nya. Bersekali dengannya itu, ia memberi koreksi kepada kekeliruan dan kesalahan dalam memahami konsep dan epistemologi Allāh , Risālah dan Kitab terdahulu, terutamanya di kalangan Ahli Kitāb. Demikian juga, misi ini adalah misi mengajak manusia supaya berῙmān kepada Baginda sebagai penerus Risālah Rasūl- rasūl terdahulu dalam bentuk Syarī‘at Baru sebagai penegasan semula Raḥmat Allāh dalam wilayah yang lebih luas yang mencakupi dunia dan juga Ākhirat.

Justeru, misi dan mesej dalam wacana Islām sebagai Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn ini ialah mengajak manusia ke dalam Agama Islām seperti yang dilakukan oleh Baginda melalui surat-surat Baginda seperti yang telah disebut. Demikian juga, Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn ini, adalah mesej ajakan supaya manusia di Semesta ‘Alam ini, berῙmān kepada al-Kitāb yakni al-Qur'ān secara kāffah atau seluruhnya dan bukan berῙmān sebahagiannya sahaja. Inilah perintah Allāh , sejak zaman Makkah lagi, menyuruh Pesuruh-Nya supaya menggunakan al-Qur'ān dalam dakwah Baginda sebagai senjata dalam Jihad Besar yang disebut al-Qur'ān sebagai Jihādan Kabīrā, melawan doktrin dan sistem Jāhiliyyah dan fahaman Paganisme yang kufur itu dalam semua dimensi dan perspektif. Hal ini jelas disebut di dalam Sūrah al-Furqān, ayat 52, yang berbunyi - terjemahan: Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang Kāfir dan berjihadlah terhadap mereka dengan jihad yang besar [iaitu menggunakan al-Qur'ān] .

Di antara tema besar al-Qur'ān ialah Tawḥīdullāh. Maka ajakan kepada Tawḥīdullāh adalah merupakan suatu Jihad Besar. Ini adalah kerana Baginda berdepan dengan sistem ketuhanan Paganistik yang terlalu kuat dan mendarah daging sejak beberapa kurun. Ia dianuti pelbagai lapis masyarakat Makkah – dari elit kekuasaan hinggalah orang awam. Maka, Baginda mengajak mereka supaya berteduh di dalam naungan al-Qur'ān Yang Mulia yang merupakan Maw‘iẓah atau Pelajaran dan peringatan; Hudā atau Petunjuk; Syifā’ atau Penawar dan Raḥmat seperti di dalam Sūrah Yūnus ayat 57, terjemahan: Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu maw‘iẓah [pelajaran] dari Tuhan kamu dan Syifā’ [penawar bagi penyakit rūḥāniy] yang berada di dalam dada [ṣudūr] dan Petunjuk serta Raḥmat bagi orang-orang yang berῙmān. Perhatikan bahawa al-Qur'ān adalah suatu anugerah Raḥmat kerana di dalamnya mengandungi pelajaran terus dari Allāh dan sebagai penawar yang dapat mengubati segala macam masalah-masalah manusia dan masyarakat dan merupakan Petunjuk kepada Keselamatan dan Kebahagiaan hakiki.

Inilah metodologi dakwah Nabi yang disampaikan melalui Ḥikmah Nabawiyyah dalam merata dan menzahirkan konsep Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn di tengah-tengah masyarakat Jāhiliyyah Paganistik dan Ahli Kitāb. Isi al-Qur'ān yang digunakan sebagai senjata dalam Jihad Besar itu, terkandung di dalamnya empat unsur penting iaitu Maw‘iẓah atau pelajaran; Hudā atau Petunjuk; Syifā’ atau Penawar dan Raḥmat, seperti yang terkandung di dalam ayat di atas. Masyarakat Jāhiliyyah Moden dan Pascamoden sekarang dan juga orang-orang bukan Islām perlu didepani dengan al-Qur'ān dalam ontologi dan epistemologinya yang asal, bukan melalui huraian diabolik, sikap apologetik dan Liberal.

Seperti yang ternyata di dalam ayat 107 Sūrah al-Anbiyā’ itu, Raḥmat Allāh meliputi Semesta ‘Alam yang pelbagai entiti. Ia sudah pasti termasuk di dalamnya manusia yang disebut sebagai ‘alam kecil atau microcosm. Dalam tubuh manusia atau ‘alam kecil atau microcosm ini, dengan limpahan Raḥmat Allāh, Dia menganugerahkan kepada manusia pelbagai fakulti yang di antaranya kebolehan berkata-kata berbanding dengan makhluk lain. Bersekali dengan Raḥmat kebolehan berkata-kata ini, Dia juga menganugerahkan kepada manusia suatu Semantik Qur'ānik dan Nabawiy yang bersifat quddūs yang kerananya Rasūl diutus dan mengajarkannya sekali. Melalui Semantik inilah manusia mendapat Raḥmat kerana dapat berhubung dengan Allāh secara mengulangi membacanya berulang kali, tadabbur, intensif dan tekun sebagai wirid sehingga melekat pada diri menjadi wārid. Kemampuan melaksanakan wirid dalam keadaan demikian adalah suatu Raḥmat.

Demikian juga, Raḥmat Allāh dalam mesej Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn yang dibawa Nabi itu ialah mengajar bagaimana seseorang itu dapat meneroka, mengenali dan menjumpai dirinya yang sebenar. Menurut Imām al-Ghazzālī di dalam Kimyā’ al-Sa‘ādahnya, mengenal diri adalah anak kunci untuk mengenal Allāh. Justeru, seseorang perlu membuang sifat-sifat kebinatangan dan keiblisan yang ada di dalam tubuh badan dan hati mereka supaya rupa mereka benar-benar berwajah manusia atau insān bukan sekadar basyar.

Seseorang yang tidak menjumpai dirinya yang sebenar seperti yang dihurai dalam epistemologi Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah, bermakna ia tidak mendapat Raḥmat Allāh. Ini adalah kerana dengan mengenali akan dirinya yang sebenar mengikut ontologi dan epistemologi Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah, maka ia akan dapat pula mengenali akan Rabbnya. Mengenali akan Rabbnya adalah suatu Raḥmat besar. Ramai manusia tidak dapat menjumpai dirinya yang sebenar, justeru ia dikatakan oleh al-Qur'ān sebagai binatang bahkan lebih sesat lagi. Mereka tidak mendapat Raḥmat, malah mendapat petaka. Menjumpai diri adalah suatu Raḥmat Kedamaian dan Kebahagiaan dalaman atau Rūḥāniyyah dan ‘menjumpai’ Allāh adalah suatu Kebahagiaan yang lebih tinggi pula.

Inilah juga tujuan kenapa Baginda Rasūl diutus. Ia bertujuan untuk menyingkap hakikat wujud manusia melalui cara yang Allāh tunjukkan iaitu melalui Pembukaan Rūḥāniyyah. Justeru, Allāh menekankan supaya melaksanakan ‘ibādah, dan inilah pun tujuan kejadian manusia dan jin seperti difirman oleh Allāh . Suruhan melaksanakan ‘ibādah adalah kerana – selain menunjukkan sikap ‘ubūdiyyah makhluk – juga, adalah - kerana melalui pintu ‘ibādah dalam epistemologinya yang benar, akan tersingkap segala tembok-tembok yang menyekat pandangan dan pengetahuan daripada mengenal hakikat diri yang justeru terhalang juga dari mengenal Rabbnya iaitu Allāh.

Dalam ‘ibādah ini, selain dari apa yang difahami umum, maka ia juga termasuk aktiviti Tafakkur atau Kontemplatif. Maka, melalui aktiviti Tafakkur atau Kontemplatif ini, seseorang akan dapat membaiki kualiti diri yang justeru dia akan dapat menikmati Raḥmat dalam maksud membuat koreksi diri atau muḥāsabah. Dan pada paras yang lebih tinggi, ia akan dapat mengenali Kebenaran-kebenaran Hakiki dan kebatilan-kebatilan hakiki juga, yang justeru akan dapat naik dari suatu tingkat kedudukan kepada suatu tingkat kedudukan yang lebih tinggi lagi sehingga ia Tenggelam di dalam Tawḥīdullāh dan hancur luluh di dalam kefanakan [fanā’] dan hidup di dalam nikmat ‘Penyaksian’ atau seolah-olah melihat-Nya: كَأَنَّكَ تَرَاهُ, yang merupakan Raḥmat Allāh. Maka satu lagi Raḥmat akan dikecapinya iaitu ia mendapat Ḥikmah Ilāhiyyah yang dengannya ia mendapat ‘ilmu yang dianugerah atau ‘ilm al-ladunnī atau ḥuḍūrī dan juga ilham Rabbāniy. Inilah tingkat ‘ilmu yang tertinggi kerana akan menTawḥīdkan Allāh di dalam pengalaman diri secara terus melalui ‘ilmu ini.

Di samping itu, melalui ‘ilmu ladunnī dan ilham Rabbāniy ini, ia juga akan dapat membaca dan memahami ayat-ayat kawniyyah yang tertulis pada ‘Alam Syahādah ini yang bersifat Kebenaran Tersembunyi yang merupakan suatu kelazatan ‘aqliyyah dan rūḥāniyyah baginya. Justeru, ia akan dapat menuju wilayah Raḥmat melalui tilikan ‘aqal Tawḥīdik tersebut. Ramai manusia dapat melihat ‘Alam Syahādah ini, akan tetapi kurang pula yang dapat membaca dan memahaminya serta dapat berjalan hingga sampai kepada Tawḥīdullāh. Hal ini adalah jelas di dalam al-Qur'ān bagaimana Allāh menyuruh manusia menggunakan ‘aqal sebagai mekanisme penelitian dan renungan, sehingga dapat sampai kepada titik tertinggi iaitu Tawḥīdullāh seperti kisah Nabi Ibrāhīm . Baginda dalam metodologi dakwahnya, mengajak kaum Baginda , merenungi ‘Alam Kawniyyah atau ‘Alam Kosmik ini dengan segala fenomena di dalamnya dalam konteks Tawḥīdullāh dan Ma‘rifatullāh. Inilah jalan Raḥmat yang diajar oleh Nabi melalui tema-tema al-Qur'ān dan al-Sunnah.

Adalah menjadi suatu Raḥmat apabila seseorang dapat mengenali akan dirinya melalui al-Qur'ān. Selain dapat mengenali dirinya, ia juga merupakan pintu dari salah satu pintu yang dapat mengenali Allāh . Melalui al-Qur'ān juga, ia dapat mengenali hakikat Dunia dan Ākhirat dalam ontologi dan epistemologi Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah yang antara lain seperti wacana Imām al-Ghazzālī dan ‘Abd al-Ṣamad al-Falimbānī, Syaykh Dāwūd al-Faṭānī dll - . Penting disebut di sini bahawa betapa ramai orang Islām yang tidak mengenal hakikat Dunia dalam ontologi dan epistemologinya menyebabkan mereka tenggelam ditelan Dunia itu. Jika ini berlaku, maka mereka telah tidak memasuki wilayah Raḥmat Allāh kerana ḥubb al-dunyā dalam epistemologinya yang benar, adalah punca dan kepala segala petaka yang menghalang dari turunnya Raḥmat. Demikian juga, jika mereka tidak mengenal akan hakikat Ākhirat dalam ontologi dan epistemologi Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah, maka mereka akan meremehkannya dan tidak menjadikannya sebagai agenda dan destinasi hidup. Raḥmat yang paling besar ialah apabila seseorang dapat masuk ke dalam Syurga Allāh di Ākhirat nanti dan terhindar daripada bakaran Neraka. Inilah mesej dakwah Nabi dalam misi Raḥmatnya, mengajak manusia ‘meninggalkan’ Dunia dalam wacana Cinta Ākhirat. Wacana kaum Sekularis dan Liberalis tidak mengendahkan Naratif Agung atau Metanaratif ini, padahal ia menjadi tema besar seawal zaman Makkah lagi.

Dalam perbincangan mengenai konsep Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn ini, kita tidak boleh terlepas dari mengaitkannya dengan ‘ilmu. Ini adalah kerana seperti sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imām al-Bukhārī berbunyi:مَن يُّرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ - terjemahan: Sesiapa yang dikehendaki oleh Allāh kebaikan baginya, maka dia difahamkan mengenai ‘ilmu Agama. Demikian juga Imām al-Syāfi‘ī berkata mengenai kaitan ‘ilmu dengan kebaikan dengan berkata - terjemahan - Barangsiapa yang menginginkan dunia, maka wajib atasnya menuntut ‘ilmu, dan barangsiapa menginginkan Ākhirat, maka wajib atasnya juga menuntut ‘ilmu…. Semuanya ini adalah bermuara daripada Waḥyū pertama yang menyuruh membaca dari jalur khabar ṣādiq iaitu al-Qur'ān dan al-Ḥadīth. Dari dua punca inilah ‘ilmu-‘ilmu berkembang. Seluruh kawasan yang dibuka oleh Ummat Islām dalam misi dakwah mereka, pasti di sana mereka mendirikan pusat-pusat ‘ilmu dan pendidikan. Melalui pusat-pusat ‘ilmu ini, mereka berjaya melebarkan Raḥmat Allāh dalam dua dimensi iaitu dalam tamadun yang bersifat material seperti kemajuan sains, teknologi, senibina, astronomi dsb dan juga tamadun yang bersifat non-material seperti ‘ilmu pengetahuan, ketinggian akhlāq, ketinggian intelektual dsb.

Dalam tradisi keilmuan dan intelektual Islām, maka ‘ilmu menjadi jambatan penghubung antara makhluk dengan Khāliq atau antara manusia dengan Tuhannya. Kaitan ‘ilmu dengan Raḥmat ialah melalui ‘ilmu, seseorang dapat mengenali Tuhannya yang sebenar dan mengenali segala Kebenaran dan kepalsuan yang hakiki. Inilah suatu Raḥmat berbanding orang-orang di luar Islām yang tidak dapat membezakan Kebenaran dari kebatilan serta kepalsuan hakiki secara ontologikal. Hal ini terkandung di dalam Waḥyū pertama yang menyuruh manusia membaca dalam maksud mendapatkan ‘ilmu-‘ilmu dari sumbernya yang sebenar iaitu al-Qur'ān. Suruhan ini adalah sebagai upaya untuk menyingkap kesedaran baru kepada masyarakat manusia, bahawa Rabb yang sebenarnya yang menjadikan manusia dan Semesta ‘Alam ini ialah Tuhan Yang Maha Pencipta iaitu Allāh al-Bārī’. Dan Dia mengajar sesuatu yang sebelumnya manusia tidak pernah ketahui kecuali segelintir yang teramat kecil. Sebab itulah dalam sejarah peradaban manusia, zaman pra Waḥyū atau pra al-Qur'ān disebut sebagai zaman Jāhiliyyah.

Zaman Jāhiliyyah ini bukan bermakna tiada kegiatan kreatif dan aktiviti intelektual. Sejarah membuktikan bahawa zaman ini telah menghasilkan karya-karya kesusasteraan bermutu, akan tetapi karya-karya tersebut tiada kaitan dengan ‘Alam Tinggi sehingga datang teguran dari ‘Alam Tinggi. Mereka diperingatkan bahawa segala kegiatan hidup dalam apa sahaja aktiviti, adalah datangnya dari ‘Alam Tinggi dan mesti dihubungkan dengan ‘Alam Tinggi tersebut. Perkara ini ternyata dalam ayat atau Waḥyū pertama lagi …atas nama Tuhan yang menciptakan [Sūrah al-‘Alaq: 1]. Bahkan Allāh menegur bahawa manusia jangan melihat kepandaian mereka sebagai hasil usaha mereka sendiri tanpa merujuk kepada Tuhan yang menciptakan mereka seperti ternyata di dalam ayat 6 dan 7 Sūrah al-‘Alaq - terjemahan: [6] Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas [7] kerana dia melihat dirinya serba cukup. Ini adalah suatu Raḥmat kerana Allāh menyedarkan manusia melalui Petunjuk-Nya serta memusnahkan ego dan sifat takabbur yang ada di dalam diri mereka serta mengeluarkan mereka dari perhambaan kepada diri, ego dan hawa nafsu kepada menghambakan diri kepada Pencipta mereka iaitu Allāh al-Bārī’. Inilah suatu Raḥmat dalam bentuk ‘ilmu yang paling awal dalam tamadun Muḥammadiyyah.

Perkara ini perlu diperhatikan dengan serius bahawa Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn adalah wacana menyebarkan kefahaman berkaitan dengan doktrin, konsep, metodologi, sistem dan punca ‘ilmu. Seperti saranan imām mujtahid Muḥammad ibn Sīrīn , bahawa seseorang perlu mengambil ‘ilmu dari puncanya yang benar kerana ia merupakan Agama.

Kemusnahan peribadi dan ‘alam dewasa ini - zaman Moden dan Pascamoden - adalah kerana manusia tidak mengambil ‘ilmu dari punca dan induknya yang sebenar iaitu al-Qur'ān dan al-Sunnah. Sistem pendidikan dan keilmuan sekarang terputus dari pusatnya yang benar justeru mengalami sekularisasi dan liberalisasi besar-besaran sehingga ‘ilmu ‘Aqīdah Islām pun mengalami hal ini. Akibat dari sistem jenis ini, manusia dan ‘alam tidak akan mendapat Raḥmat Allāh. Maka usaha perlu dilakukan supaya sistem pendidikan dan keilmuan kembali kepada dasar dan bingkai al-Qur'ān dan al-Sunnah yang disebut sebagai scientia sacra. Sistem seperti ini terbukti berjaya sepanjang sejarah tamadun manusia pasca Waḥyū dalam membina peradaban sepadu - material dan non material - sehingglah mereka meninggalkannya dan menolaknya dan mengambil sistem pendidikan sekular dan liberal.

Maka ‘ilmu pengetahuan jenis inilah iaitu scientia sacra, yang merupakan Saluran Raḥmat yang menyebabkan manusia dapat menjayakan ‘ubūdiyyah hingga ke paras ‘ubūdah, yang justeru dapat pula hampir dengan Rabbnya seperti ternyata di dalam ayat terakhir, ayat 19, Sūrah al-‘Alaq – وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ - terjemahan : Dan sujudlah dan hampirlah [diri anda kepada Tuhan]. Seperti ungkapan al-Qur'ān, ahli ‘ilmu yang diistilah sebagai al-‘ulamā’lah, yang paling takut kepada Tuhan mereka [al-Fāṭir: 28], justeru mereka adalah orang yang paling ta‘at dalam melaksanakan segala macam suruhan Agama dan menghindar dari melakukan penyelewengan, kemungkaran dan kedurhakaan.

Kesimpulannya ialah Raḥmatan li’l-‘Ᾱlamīn adalah tujuan sebenar Nabi diutus seperti yang dibincang terdahulu. Perlu difahami bahawa, pada hakikatnya, ia berkaitan dengan anugerah al-Qur'ān kepada Semesta ‘Alam, yang merupakan Mu‘jizat Terbesar yang sekaligus adalah Raḥmat paling Agung. Al-Qur'ān merupakan kitab Petunjuk dan Pemandu [al-Baqarah: 2]; Penawar [al-Isrā’: 82] ; dan Pencerahan atau Nūr [al-Mā'idah: 15], yang dihadiah Allāh kepada Semesta ‘Alam ini dalam segala perkara dan urusan. Doktrin al-Qur'ān dan al-Sunnah ialah mengajak manusia kepada Tawḥīdullāh dan berῙmān kepada keseluruhan Risālah serta beramal soleh secara sempurna dan intensif, seperti yang dibawa oleh Nabi di dalam ontologi dan epistemologi serta aksiologi seperti yang dihuraikan dalam wacana Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah. Perkara ini amat jelas seperti yang dihurai oleh ‘Ulamā’nya yang rāsikh dan Ḥukamā’nya yang faṣīḥ. Justeru, mereka akan mendapat Raḥmat Keselamatan dan Kebahagiaan di dua negeri - dārayn - iaitu negeri Dunia dan negeri Ākhirat - ḥasanah fī’d-dunyā dan ḥasanah fī’l- ākhirah.

Ummat Nusantara atau ‘Alam Melayu amat bertuah mendapat limpahan Raḥmat Allāh kerana menganut Agama Islām bahkan di dalam kumpulan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah pula. Kumpulan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah adalah satu-satunya kumpulan yang Selamat dan Berjaya atau disebut oleh Nabi sebagai al-Firqah al-Nājiyyah . Ummat Islām ‘Alam Melayu juga bertuah kerana mendapat Raḥmat Pencerahan dari ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’ serta intelektual mereka, berkaitan dengan konsep, doktrin, ontologi dan epistemologi atau weltanschauung ‘Aqīdah-Uṣūluddīn-Tawḥīd mengikut aliran, doktrin dan metodologi Imām Abū al-Ḥasan al-Asy‘arī atau al-Asyā‘irah dan Imām Abū Manṣūr al-Māturīdi atau al-Māturīdiyyah, di samping aliran Tafwīḍ. Mereka juga bertuah dalam Raḥmat Allāh kerana menganut aliran Imām Muḥammad Idrīs al-Syāfi‘ī dalam kerangka besar konsep, sistem dan metodologi pengithbatan berkaitan hukum-hakam, mu‘āmalah dan per‘ibādatan. Dan mereka juga bertuah dan mendapat Raḥmat dalam konsep dan doktrin Akhlāq aliran Imām al-Junayd al-Baghdādī dan Imām Abū Ḥāmid al-Ghazzālī . Ini adalah kerana Pencerahan mengenai konsep dan sistem Akhlāq bahkan metodologi untuk merealisasikan ajaran Akhlāq tersebut dapat dijayakan dengan sempurna dalam praktis hidup dan berbudaya. Malah yang mengkagumkan ialah ia diwacanakan dalam Bahasa Melayu dan juga bahasa-bahasa daerah yang pelbagai, di samping teks-teks turāth Bahasa ‘Arab. Wacana-wacana berkaitan dengan Pencerahan, penyebaran dan pengukuhan ‘ilmu-‘ilmu tersebut adalah melalui pusat pengajian yang disebut sebagai pondok dan pesantren.

Akhīru ’l-kalām, di atas kesedaran dan tanggungjawab dakwah serta kefahaman mendalam berkaitan keutamaan menuntut serta menyebarkan ‘ilmu, para ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’ ‘Alam Melayu telah mendirikan pusat-pusat pengajian yang dinamakan sebagai pondok-pondok atau pesantren di serata tempat termasuk kawasan terpencil di pedalaman. Mereka berkhidmat sepenuh masa tanpa upah khusus dan tanpa penat-lelah. Ini adalah suatu sikap dan sifat mulia dari limpahan Raḥmat Allāh yang diberi kepada mereka untuk mengeluarkan manusia di sekeliling mereka dari kegelapan kejahilan dan kebatilan berbudaya kepada Nūr atau Cahaya Pencerahan ‘ilmu, yang hingga sekarang kita mendapat nikmat dan Raḥmat darinya. Pengaliran Raḥmat tersebut benar-benar terasa apabila doktrin dan epistemologi Islām seperti yang diwacanakan oleh para ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’ serta intelektual ‘Alam Melayu ini dapat mendepani kepalsuan dan kebatilan pemikiran dan falsafah Pascamodernisme sekarang seperti yang dilakukan oleh ustaz Muḥammad ‘Uthmān el-Muḥammady dalam tulisan dan wacana beliau. Beliau menyanggah dan menolak pemikiran dan falsafah golongan Pascamodernis terutamanya aliran Liberalisme Agama, melalui Naratif Agung atau Metanaratif ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’ serta intelektual ‘Alam Melayu. Ini adalah suatu Raḥmat besar.

Ummat Islām ‘Alam Melayu atau Nusantara ini amat bertuah dalam limpahan Raḥmat Allāh Yang Maha Pengasih kerana para ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’nya telah mewarithi ‘ilmu secara tawātur dari generasi Ṣaḥābat lagi. Mereka telah berjaya melestarikan legasi semua ‘ilmu-‘ilmu tersebut dengan cara yang amat sistematik. Dengan cara demikian, mereka berjaya membina ‘Alam Melayu atau Nusantara ini menjadi pusat Peradaban utama, ketika kaum Kristian Eropah di abad ke-9 Masihi, masih dalam kegelapan intelektual, ‘aqliyyah dan rūḥāniyyah. Ini semua adalah kerana konsep dan sistem keilmuan serta dasar Peradaban yang diajar dan disebarkan oleh ‘Ulamā’, Ḥukamā’ dan intelektual Melayu itu, tidak putus dari puncanya yang sebenar iaitu al-Qurˈān, al-Sunnah serta huraian dari ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’ Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah terdahulu yakni sejak generasi Ṣaḥābat lagi yang secara tawātur sampai ke ‘Alam Melayu atau Nusantara ini. Di sisi lain, ‘Alam Melayu mendapat limpahan Raḥmat Allāh kerana wacana kelimuan dan dasar pembinaan Peradaban itu tidak melalui jalur kaum Mu‘tazilah atau Syī‘ah atau Mujassimah atau Murji'ah dsb. Ini adalah Raḥmat yang amat besar diterima oleh ‘Alam Melayu. Maka, ‘Alam Melayu wajib mempertahankan legasi Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah dalam semua perspektif, dari dirosakkan oleh konspirasi gerakan Illuminati-Zionis, melalui wacana tajdīd dan iṣlāḥ palsu, pemikiran kaum Pasca Modernis terutama aliran Liberalisme dan Pluralisme Agama yang mungkar, kaum Destruksionis dan Deviasionis agama yang batil.

Kesimpulannya ialah konsep, ontologi, epistemologi serta weltanschauung Raḥmatan li’l-‘Ālamīn ini adalah suatu wacana merahmatkan Semesta ‘Alam dengan segala isinya melalui perlaksanaan Waḥyū Allāh seperti yang termaktub di dalam al-Qur'ān dan Sunnah Nabawiyyah, sebagaimana yang dihuraikan oleh ‘Ulamā’ dan Ḥukamā’ Ahlu al-Sunnah wa al-Jamā‘ah dalam semua perspektif dan kosmologi hidup.

وَمَا تَوْفِيقِى إِلَّا بِاللهِ

Ismail Mina Ahmad
Presiden,
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Isnin,
16 Syawwal 1438 bersamaan 10 Julai 2107.

Top