Pemikiran Liberalisme Dalam Wacana Agama Dan Ancamannya Di Malaysia

Oleh: Muhammad Rashidi Wahab (UniSZA)

Pengenalan

Strategi Barat dalam memesongkan akidah umat Islam melalui serangan pemikiran telah diperjelaskan oleh ramai sarjana Islam, antaranya yang terkini ialah Basim Khafaji yang mendedahkan tentang agenda licik Barat terhadap umat Islam berdasarkan laporan RAND Corporation (2007) dari Amerika Syarikat. Laporan ini menyatakan bahawa serangan pemikiran Barat ke atas umat Islam adalah lebih utama berbanding peperangan melibatkan ketenteraan. Bagi melaksanakan perancangan tersebut, Barat hanya perlu menyediakan tapak dan gelanggang permainannya sahaja untuk diberikan latihan yang secukupnya, manakala pelaksanaannya diserahkan kepada umat Islam itu sendiri berdasarkan cita rasa dan kawalan dari Barat. Salah satu serangan pemikiran moden yang menjadi senjata Barat untuk menghancurkan umat Islam ialah penyebaran ideologi Liberalisme, antaranya dengan mempromosi Muslim Moderat menurut naratif Barat.

Lebih awal daripada laporan ini, Protokol Zionis yang dipercayai dibentuk sebelum tahun 1900-an lagi (tetapi ditemui pada awal tahun 1900-an), antaranya menyatakan bahawa Yahudi perlu mengenengahkan dan membawa masuk idea kebebasan, iaitu Liberalisme, ke dalam negara-negara bukan Yahudi supaya dapat menggugat kestabilan agama dan politik (yang berasaskan demokrasi liberal) dalam sesebuah negara itu. Pilihanraya perlu diatur supaya boleh memberikan kemenangan kepada para pemimpin yang dapat bertugas sebagai agen Yahudi dalam melaksanakan rancangan Yahudi. Malah Liberalisme perlu diberikan pengertian dan huraian baru agar kebebasan itu membawa maksud sebagai mengamalkan apa-apa yang diperkenalkan atau dibenarkan oleh undang-undang (sekular) sahaja.

Selain itu, Protokol Zionis juga menyebutkan bahawa Yahudi akan menjadikan negara bukan Yahudi sebagai gelanggang pertelagahan sesama manusia yang boleh membawa huru-hara, seterusnya menyebabkan kemerosotan ekonomi. Maka Yahudi akan berlagak sebagai penyelamat dengan mempelawa mereka masuk ‘ke dalam pasukan kita’ yang menyediakan ideologi seperti sosialisme, komunisme dan lain-lain ideologi yang dapat memberi ruang kepada Yahudi untuk menguasai bangsa bukan Yahudi. Pelbagai bantuan yang diberikan oleh Yahudi melalui agen Yahudi akan memperkuatkan kaum Yahudi yang akan memerintah negara atau bangsa lain seperti bangsa itu memerintah negaranya sendiri. Namun tanpa disedari sebenarnya mereka telah berada di dalam genggaman Yahudi.

Justeru, melihat bahaya dan ancaman ideologi moden yang direncanakan oleh musuh-musuh Islam kepada umat Islam, artikel ini akan memfokuskan perbincangan mengenai pemikiran Liberalisme dalam wacana agama Islam meliputi definisi dan ciri-ciri Liberalisme (Islam Liberal). Selain itu, artikel turut mengenengahkan perbahasan berkaitan peringkat serangan pemikiran Barat, sejarah kemunculan Liberalisme di Barat serta kemasukkan dalam dunia Islam, dan seterusnya penelitian berkaitan ancaman Liberalisme di Malaysia sehingga kini. Sebagai permulaan, artikel ini terlebih dahulu akan menjelaskan tentang sorotan ekstremisme agama dalam kalangan umat Islam bertujuan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang permasalahan yang sedang diperbincangkan ini.

 

SOROTAN EKSTREMISME AGAMA UMAT ISLAM

Ekstremisme secara umumnya bermaksud sebuah fahaman atau ideologi yang membawa kepada tindakan bersifat ekstrem, radikal atau melampau. Dalam sejarah umat Islam, ekstremisme atau radikalisme telah wujud semenjak zaman awal Islam lagi, dengan perbuatan bermudah-mudahan mengkafirkan orang Islam lain (takfir) oleh golongan Syi’ah dan Khawarij merupakan antara permulaan ekstremisme agama. Kedua-dua aliran ini awal kemunculannya dilihat sebagai sebuah parti politik dan kemudian berkembang menjadi sebahagian aliran dalam mazhab akidah. Malah pengikut kedua-dua aliran ini pada asalnya merupakan pendukung kuat ‘Ali RA, namun selepas itu (Majlis Tahkim) Khawarij bertindak meninggalkan dan menentang ‘Ali RA yang didukung oleh Syi’ah. Namun, sama ada Syi’ah atau Khawarij, keduadua aliran ini pada akhirnya akan menghalalkan darah manusia yang dianggap kafir oleh mereka.

Sikap bermudah-mudahan menghukum bidaah, sesat, syirik atau kafir turut dilakukan oleh golongan Wahabi/Salafi. Aliran yang didukung oleh pemerintah Ibn Saud ini mengembangkan pengaruhnya melalui peperangan (termasuk berperang dengan kerajaan ‘Uthmaniyyah) dengan alasan untuk memerangi bidaah dan menegakkan sunnah. Mereka banyak membahaskan isu-isu khilafiyyah seperti membaca Yassin pada malam Jumaat, mengadakan majlis tahlil, wirid secara berjamaah selepas solat, membaca qunut solat Subuh, melakukan tawasul dan lainlain. Dengan menggunakan metod Tauhid Tiga (Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma wal Sifat), bagi Wahabi/Salafi, perkara khilafiyyah seumpama ini dianggap sebagai bidaah serta sesat sehingga boleh membawa kepada syirik dan kafir. Disebabkan itu, sebahagian ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah (ASWJ) menyatakan bahawa Wahabi/Salafi adalah Khawarij Moden.

Selain itu, Jama’ah al-Takfir wa al-Hijrah (atau Jama’ah al-Muslimin) antara kumpulan takfir yang muncul sekitar tahun 1960-an hingga 1970-an, dikatakan mempunyai banyak persamaan dengan pemikiran Khawarij. Mereka menggunakan metode tauhid Hakimiyyah (kesinambungan daripada Tauhid Tiga) untuk mengkafirkan semua umat Islam yang tidak bersama-sama dengan perjuangan mereka, termasuklah pemimpin, ulama dan rakyat kebanyakan. Mereka juga mengkafirkan pihak pemerintah umat Islam kerana tidak melaksanakan hukum-hakam Islam sepenuhnya sebagaimana yang mereka kehendaki. Akhirnya, mereka menghalalkan darah sesiapa sahaja yang keluar daripada kumpulan mereka, tidak sependapat serta tidak menyokong mereka, kerana beranggapan orang tersebut telah murtad dan terkeluar dari Islam.

Dalam konteks dunia Islam hari ini, metode takfir dan menghalalkan darah ini didokong oleh pelbagai kumpulan pengganas atau militan seperti Ansar al-Din (Algeria), Boko Haram (Nigeria), Shabaab (Somalia), al-Qaeda (Afganistan), Jemaah Islamiyah (Indonesia), Abu Sayyaf (Filipina) dan lain-lain. Terkini, kemunculan kumpulan Islamic State of Iraq and Sham (ISIS) atau dikenali juga sebagai Daesh (alDawlah al-Islamiyyah Lil ‘Iraq wa al-Sham), terus meningkatkan lagi fenomena ekstremisme agama dengan menyalahgunakan nama Islam untuk melakukan aktiviti keganasan. ISIS/Daesh dipercayai memperjuangkan penubuhan Negara Islam serta Khalifah menurut acuan mereka sendiri melalui peperangan atau pembunuhan yang didakwa oleh mereka sebagai suatu jihad suci.

Malah penggunaan istilah Islamic State (Negara Islam) oleh ISIS/Daesh seolah-olah menggambarkan bahawa Islam adalah agama keganasan, sedangkan Negara Islam yang sebenar bertujuan untuk menegakkan keadilan, menjaga keamanan dan melaksanakan syariat Islam. Mereka mengkafirkan para pemerintah Islam kerana beranggapan Negara Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam sepenuhnya dan mengamalkan sistem demokrasi adalah sebuah Negara Sekular (kafir serta toghut) yang boleh diperangi. Ini kerana, golongan ISIS/Daesh memahami nas-nas al-Quran dan hadis dengan makna literal dan tafsiran yang salah mengenai isu takfir serta konsep jihad. Maka mana-mana orang yang tidak sependapat dengan mereka akan dihukum sebagai murtad atau kafir dan dihalalkan darah.

Selain ekstremisme dari aspek perbuatan, ekstremisme agama juga berlaku dari aspek pemikiran. Sejarah pemikiran Islam menunjukkan bahawa Mu’tazilah merupakan aliran terawal melakukan aktiviti ekstremisme pemikiran. Masalah ini berpunca daripada metodologi Mu’tazilah serta ahli falsafah yang terpengaruh dengan falsafah Greek, termasuklah falsafah Sufasta’iyyah (Sofisme), yang meletakkan akal sebagai sumber pendalilan paling utama. Sebaliknya, walaupun ASWJ (khususnya Asha’irah dan Maturidiyyah) menerima kedudukan akal, tetapi peranannya tidak boleh mengatasi pendalilan daripada al-Quran dan hadis yang diiktiraf sebagai sumber paling utama dalam Islam. Kaedah Mu’tazilah ini menyebabkan berlaku pelbagai tafsiran dan pentakwilan yang menyeleweng sehingga bercanggah dengan al-Quran dan hadis.

Dalam zaman moden ini, pemikiran seumpama Mu’tazilah ditonjolkan dalam bentuk berlainan yang lebih melampau dan ekstrem melalui pelbagai ideologi moden seperti Liberalisme yang asalnya dicetuskan oleh Barat yang kemudiannya disambut oleh sebilangan umat Islam, iaitu (pelampau) Islam Liberal atau Muslim Liberal. Liberalisme secara umumnya dilihat sebagai sebuah fahaman atau pemikiran yang membawa kebebasan individu secara mutlak tanpa terikat dengan sebarang ketetapan atau kepercayaan tertentu. Tanpa menafikan ekstremisme dalam perbuatan turut bermula dengan pemikiran, namun penulis melihat, kebanyakkan masyarakat di Malaysia pada hari ini lebih memberikan tumpuan kepada esktremisme perbuatan sahaja berbanding ekstremisme pemikiran. Sedangkan, menurut al-Azhar, ekstremisme pemikiran seperti ancaman ideologi sekular dan liberal adalah lebih berbahaya daripada esktremisme perbuatan.

 

PERINGKAT SERANGAN PEMIKIRAN BARAT

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa serangan terhadap umat Islam masa kini telah didatangkan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui kaedah tersurat atau tersirat, dalaman atau luaran, baik dari aspek ekonomi, pendidikan, kebudayaan, ketenteraan mahupun pemikiran atau keagamaan. Dalam hal ini, jika diteliti secara mendalam perkembangan aliran pemikiran semasa yang berteraskan ideologi pascamoden, kekacauan pemikiran umat Islam secara umumnya berada dalam keadaan sangat kritikal. Pelbagai ideologi Barat seperti sekularisme, Liberalisme, Pluralisme Agama, humanisme, feminisme, materialisme dan sebagainya lagi telah berjaya meresap masuk sedikit demi sedikit ke dalam pemikiran umat Islam. Lebih membimbangkan, mereka ini bukan sahaja terpengaruh dengan pemikiran songsang tersebut, bahkan mereka bersungguh-sungguh mempertahankan dan menyebarkan pula kepada orang lain.

Sejarah membuktikan, ketika masyarakat Kristian-Barat masih dibelenggu cengkaman gereja pada zaman kegelapan, Islam terlebih dahulu membina ketamadunan tersendiri di negara-negara jajahan mereka seperti Sepanyol, Baghdad, Turki dan lain-lain. Eropah melihat tamadun Islam ini sebagai contoh terbaik penyuntik semangat membebaskan diri daripada zaman kegelapan dan kemunduran menuju zaman kemajuan. Dalam masa sama, perkembangan ilmu pengetahuan daripada ketamadunan umat Islam terus tersebar meluas di Barat sehingga ia memberikan manfaat besar kepada masyarakat Eropah. Keadaan ini menyebabkan sebahagian pengkaji Barat menyatakan umat Islam dianggap sebagai guru kepada masyarakat Eropah, kerana ilmu pengetahuan daripada sarjana Islam telah berjaya membebaskan Barat daripada zaman kegelapan. Maka kekuasaan gereja terhadap masyarakat Barat terus terhakis sedikit demi sedikit sehingga terbentuknya pemikiran sekularisme dalam kalangan penganut agama Kristian.

Setelah Barat berjaya membangunkan tamadun tersendiri dengan memisahkan kehidupan duniawi daripada keagamaan, Islam pula mengalami zaman kemunduran disebabkan beberapa faktor, antaranya kehilangan roh Islam pada diri penganutnya dan kelemahan umat Islam dalam menguasai ilmu pengetahuan. Semenjak itu, Barat berusaha menguasai peradaban dunia dengan menyebarkan pemikiran sekularisme kepada seluruh manusia khususnya umat Islam, kononnya pemikiran Barat mampu memberikan kemajuan kepada ketamadunan dunia. Dalam hal ini, menurut Hasan Muhammad Hasan dalam bukunya Wasa’il Muqawamah al-Ghazw al-Fikri Lil’alam al-Islami, serangan pemikiran Barat terhadap dunia Islam mempunyai tiga peringkat iaitu:-

1. Peringkat Perang Salib : Perang Salib merupakan peringkat terawal untuk menentukan pendirian Barat terhadap dunia Islam beberapa abad lamanya dan mungkin sehingga hari ini. Kekalahan Barat dalam peperangan tersebut semasa zaman baru Eropah telah meninggalkan kesan mendalam dan berterusan kepada seluruh masyarakat Barat. Ini kerana sebelum Perang Salib, Eropah telah berpecah-belah daripada pelbagai puak dan bangsa, maka melalui peperangan tersebut mereka kembali bersatu hati untuk menyediakan pertahanan bagi menghadapi tentangan Islam. Disebabkan hal itu, Islam terpaksa menghadapi serangan Barat termasuklah ancaman kebudayaan dan pemikiran Barat bertujuan mencemarkan ajaran Islam. Perasaan kebencian dan permusuhan terhadap Islam terus-menerus berkembang seiring peredaran zaman, iaitu Barat sedaya-upaya akan melancarkan serangan terhadap Islam sama ada secara tersurat atau tersirat. Hal ini membuktikan Perang Salib tidak berakhir sepenuhnya, namun ia bergerak dengan lebih bijaksana melalui pelancaran serangan gaya moden. 

2. Peringkat Penjajahan : Pada peringkat penjajahan, serangan terhadap dunia Islam berlaku dalam dua keadaan, iaitu dengan mengepung dan membahagikan dunia Islam. Barat berusaha mengepung dunia Islam dengan melakukan monopoli perniagaan serta pelaburan, memutuskan hubungan kenegaraan, mengganggu aliran perdagangan dan sebagainya lagi. Malah kedatangan penjajah daripada England, Belanda dan Sepanyol di seluruh Asia Tenggara termasuklah Malaysia telah membuka ruang untuk mereka menyebarkan pemikiran Barat secara tidak langsung kepada umat Islam. Maka membahagikan dunia Islam menjadi negara-negara kecil dengan meletakkan pemerintahan boneka berasingan merupakan perancangan licik Barat bagi memudahkan mereka menjajah satu persatu negara Islam. Hal ini disebabkan negaranegara Islam tersebut bersikap mementingkan kuasa dan negara sendiri (nasionalisme) tanpa mempedulikan negara Islam lain. Dalam masa sama, negaranegara kecil itu menjadi semakin lemah dan tidak lagi berupaya menangkis serangan pemikiran daripada Barat sehingga kini.

3. Peringkat Gerakan Kristianisasi : Kemunculan peringkat gerakan Kristianisasi ini mempunyai hubungan erat dengan peringkat penjajahan (pascakolonialisme) kerana salah satu matlamat penjajahan Barat ialah menyebarkan agama Kristian kepada penduduk negara-negara jajahan mereka. Misi tersebut mendapat sokongan kuat daripada pihak pemerintahan Barat bertujuan memesongkan agama Islam, menghapuskan jati diri, menyerang pemikiran masyarakat, memadamkan sejarah kegemilangan, menyebarkan kebudayaan Barat dan sebagainya lagi. Walaupun penjajahan peperangan Barat ke atas dunia Islam dikatakan telah berakhir, namun realitinya gerakan Kristianisasi terus berjalan dalam pelbagai bentuk antaranya; a) Paderi menyeru secara langsung supaya memeluk agama Kristian, b) Mereka membina kemudahan seperti hospital, universiti, sekolah, mewujudkan pertubuhan sosial dan persatuan kebudayaan, c) Melalui penyebaran media massa elektronik atau bercetak, d) Menyebarkan ideologi aliran-aliran pemikiran di atas nama agama dan kebenaran.

Serangan pemikiran Barat terhadap dunia Islam terus berlangsung dalam zaman kontemporari ini dengan bantuan daripada orang Islam sendiri. Kebanyakan orang Islam yang terpengaruh dengan ideologi moden ini terdiri daripada mereka yang mendapat pendidikan Barat atau menjadikan Barat sebagai rujukan utama dalam setiap lapangan kehidupan, termasuk juga mereka yang terpengaruh dengan orientalisme. Dalam hal ini, sebahagian mereka telah menjadi pendakwah atau jurucakap bagi Barat untuk mengajak umat Islam lain menerima pemikiran Barat, manakala sebahagian lagi menyokong ideologi tersebut tanpa mereka sedari bahawa fahaman itu mempunyai kaitan dengan pemikiran Barat. Keadaan tersebut secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada Barat dalam meluaskan penyebaran pemikiran Barat dengan lebih cepat dan berkesan.

 

SEKITAR KEMUNCULAN LIBERALISME

Cabaran ideologi moden bukan sahaja masalah yang dihadapi oleh Islam, sebaliknya ia adalah persoalan sejagat yang sedang dihadapi oleh agama-agama lain juga, termasuk Yahudi dan Kristian yang sedang mempertahankan tradisi agama mereka. Semua agama utama di dunia kelihatan berusaha keras dengan pelbagai cara untuk mengatasi tekanan yang diberikan oleh golongan pendukung ideologi moden ini yang berupaya menghakis keutuhan pegangan agama para penganutnya. Setiap agama harus memberikan jawapan serta sanggahan yang munasabah terhadap idea-idea yang dikemukakan, atau terpaksa mengikut telunjuk dan arus mereka. Keadaan ini sangat membimbangkan terutamanya bagi umat Islam yang tidak memiliki asas keilmuan yang kukuh berkaitan akidah dan aliran pemikiran. Mereka akan mudah terpengaruh dengan pelbagai ideologi moden yang menawarkan idea-idea menarik berteraskan logik akal semata-mata sehingga berjaya meruntuhkan kepercayaan agama sedikit demi sedikit.

Sejarah kemunculan ideologi moden khususnya sekularisme secara umumnya dikaitkan dengan pertembungan yang berlaku dalam masyarakat Barat pada ketika itu dengan sistem atau pihak berkuasa terutamanya gereja. Pada asalnya, gereja merupakan sebuah institusi keagamaan Kristian yang sangat dihormati dan disanjungi sebelum zaman Renaisans. Masyarakat Barat menjadikan gereja sebagai rujukan utama dalam pelbagai perkara sehingga gereja mudah menguasai seluruh kehidupan penganut Kristian. Kepercayaan tersebut telah berubah setelah gereja mahupun raja pemerintah didapati menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa menggunakan nama tuhan sehingga menjatuhkan maruah gereja di mata penganutnya. Antaranya penyelewengan gereja ialah memaksa masyarakat Barat tunduk dan menjadi orang suruhan gereja, Pope berkuasa mutlak dalam menafsirkan Bible, paderi berhak mengampunkan dosa sesiapa sahaja dan sebagainya lagi.

Dalam masa yang sama, masyarakat Barat dilihat mengalami zaman kegelapan atau kemunduran, sedangkan tamadun lain antaranya Islam telah mencapai kemajuan. Oleh itu, masyarakat Barat terpaksa memikirkan kaedah terbaik untuk melepaskan diri daripada penindasan dan cengkaman gereja. Maka gerakan reformasi dilancarkan pada zaman Renaisans bertujuan untuk menolak serta menghapuskan ketuanan dan kekuasaan agama (gereja) yang dikatakan telah mengongkong kehidupan mereka. Akhirnya mereka berjaya membebaskan diri serta kehidupan masyarakat Barat daripada nilai-nilai keagamaan Kristian (Katolik) tersebut dengan memberikan tumpuan kepada aspek kemajuan, kemewahan, kebendaan, kemodenan, kemegahan dan kewangan semata-mata. Keadaan ini merupakan faktor penting terbentuknya sekularisme dengan membawakan idea perlunya pemisahan atau pembebasan manusia daripada keagamaan dan metafizik yang mengatur kehidupan. Maka semangat ini turut membentuk Liberalisme seiring kemunculan dan perkembangan sekularisme tersebut yang mana antara tokohnya ialah Martin Luther (1483-1546), begitu juga Rene Descartes (1596-1650).

Perlu dicatatkan juga latar belakang sekularisme dikatakan berasal dari Aristotle yang menyatakan bahawa tuhan tidak mengetahui dan terpisah daripada kewujudan hidupan alam semesta. Pemikiran ini telah meresap masuk dalam agama Kristian melalui Bible setelah kitab suci Injil yang diselewengkan. Maka Kristian mengakui bahawa kehidupan mempunyai dua bahagian berasingan; pertama, kehidupan milik raja atau pemerintah, dan kedua, kehidupan milik tuhan. Tuhan yang dimaksudkan adalah tuhan berkonsepkan huraian Aristotle, iaitu tuhan yang tidak mengetahui sesuatu melainkan zatnya sahaja, tidak mengatur urusan keduniaan alam semesta, tidak berkemampuan menggerakkan sesuatu yang diam dan sebagainya lagi. Pendirian sebegini menyebabkan sebahagian penganut Kristian beranggapan bahawa tuhan itu lemah dengan mengumpamakan lemahnya raja Inggeris yang menjadi raja tetapi tidak memerintah. Akhirnya, gerakan dalam Kristian ini mencetuskan mazhab baru Protestan yang antara prinsipnya kebebasan dalam penafsiran Bible sebagai hak individu yang tidak terikat dengan tafsiran para paderi.

Pemikiran songsang tersebut terus dipercayai oleh penganut Kristian di Barat sehingga sampai di kemuncaknya pada zaman Renaisans. Walaupun idea Liberalisme telah lama wujud dan juga dikaitkan dengan mitos dewa Prometheus, namun istilah Liberalisme dikatakan mula digunakan dalam falsafah politik secara lebih serius di Eropah pada abad ke-18 Masihi. Antara ahli falsafah Barat yang mempelopori Liberalisme ialah John Locke (1634-1704), Immanuel Kant (1724-1804), Adam Smith (1723-1790), Thomas Paine (1737-1809), Benjamine Constant (1767-1830), James Madison (1751-1836), Jeremy Bentham (1748-1832) dan John Stuart Mill (1806-1873). Manakala ahli falsafah Liberalisme kontemporari selepas itu antaranya Isaiah Berlin (1909-1997) dan John Rawis (1921-2002). Pengaruh para ahli falsafah ini cukup besar dalam pemikiran dan tamadun Barat sehingga kini. Malah tidak keterlaluan menyatakan bahawa pemikiran Barat moden lebih bersandarkan kepada falsafah dan sains teknologi semata-mata, berbanding berpegang teguh dengan ajaran agama.

Selain itu, antara faktor terpenting lain kelahiran pelbagai ideologi moden seperti Liberalisme yang sering disembunyikan adalah peranan tersirat yang dimainkan oleh Yahudi. Mereka menyelinap masuk ke dalam kehidupan masyarakat Kristian dan mencetuskan pelbagai kekacauan pemikiran yang membingungkan. Malah mereka turut menggerakkan beberapa revolusi di Barat antaranya di England dan Perancis, juga di Jerman oleh Mosses Mende Isshon (1729-1786) yang menggunakan saluran pendidikan dan akademik. Hasil usaha tersebut diteruskan oleh pengikutnya seperti Steinheim (1790-1860), Holdhein (1806-1860), Abraham Gieger (1810-1874) dan lain-lain. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kebanyakkan masalah yang berlaku di dunia hari ini antaranya berpunca daripada konspirasi tangan-tangan ghaib yang dimainkan oleh golongan Yahudi.

Manakala gerakan Liberalisme dalam agama Yahudi dan Kristian pada abad 19 dan 20 kini sedang berusaha menyesuaikan dan memasukkan falsafah Liberalisme dengan dasar-dasar agama mereka. Contohnya, Yahudi Liberal sedaya-upaya menonjolkan pemikiran rasional dalam setiap perkara berdasarkan bukti-bukti saintifik, dan Kristian Liberal pula melakukan rekonstruksi keimanan dan hukum agama menggunakan metode sosio-historis agar sesuai dengan perkembangan masyarakat. Usaha sebegini menjadikan agama Yahudi dan Kristian terpaksa tunduk kepada tuntutan Liberalisme yang berhasrat membebaskan diri dari keterikatan beragama. Akhirnya, Liberalisme yang dahulunya hanya menjadi masalah dalam agama Yahudi dan Kristian, kini mulai diikuti oleh sekumpulan Muslim yang terpengaruh dengan falsafah Liberalisme yang ditawarkan oleh Barat itu. Mereka ini dinamakan sebagai golongan Islam Liberal (atau Muslim Liberal).

Di rantau Nusantara, projek Islam Liberal dikatakan bermula di Indonesia semenjak tahun 1970-an lagi melalui usaha Abdul Mukti Ali, Harun Nasution, Nurcholis Madjid, Ulil Absar dan lain-lain, sehingga pada tahun 2001 mereka menubuhkan Jaringan Islam Liberal (JIL). Dalam hal ini, Nurcholis Madjid contohnya, mengetengahkan tiga idea atau gagasan bertujuan menjalankan proses liberalisasi terhadap agama Islam iaitu melalui sekularisasi, kebebasan berfikir dan gagasan kemajuan. Sekularisasi yang merupakan tunjang utama idea ini dinyatakan sebagai suatu bentuk pembebasan terhadap pelbagai pandangan keagamaan yang dianggap keliru tetapi sudah kukuh disebabkan tradisi yang mendasari ajaran Islam. Namun idea sekularisasi ini telah dikritik hebat oleh HM Rasjidi dalam bukunya Koreksi Terhadap Drs Nurcholis Madjid Tentang Sekularisasi.

Rentetan itu, pemikiran Islam Liberal turut mamasuki Malaysia dengan kemunculan pelbagai kumpulan penggerak dan isu yang dibangkit sehingga mencabar kewibawaan agama Islam. Menyedari bahaya pemikiran Islam Liberal ini terhadap umat Islam, Majlis Ulama Indonesia (MUI) pada tahun 2005 telah menfatwakan bahawa sekularisme, Liberalisme dan Pluralisme Agama adalah sesat dan haram diamalkan oleh umat Islam. Begitu juga Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada tahun 2006 telah memutuskan bahawa aliran pemikiran liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam. Manakala Majlis Fatwa Selangor pada tahun 2014 turut menfatwakan Sisters in Islam (SIS) yang membawa fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

 

PENGERTIAN LIBERALISME DAN CIRI-CIRINYA

Liberalisme merupakan istilah yang sukar diberikan definisi secara tepat memandangkan wujudnya perbezaan definisi yang dikemukakan mengikut sudut pandangan tokoh, aliran atau bidang masing-masing. Menyedari hal ini, penulis hanya akan mengetengahkan definisi yang dianggap paling sesuai dengan falsafah Liberalisme, agar maksud Islam Liberal yang ingin dijelaskan lebih tepat dan mudah difahami semua orang. Perkataan liberal dikatakan berasal daripada perkataan Latin iaitu liber yang bermaksud bebas atau bukan hamba, manakala liberty dalam bahasa Inggeris ialah kebebasan. Sedangkan liberal menurut Kamus Dewan ialah bersifat, berfahaman atau berpandangan terbuka dan bebas. Namun semua pengertian literal ini tidak dapat memberikan maksud Liberalisme secara menyeluruh, melainkan ianya mesti dirujuk kepada definisi etimologi tentang Liberalisme itu sendiri.

Umumnya, Liberalisme ialah suatu ideologi yang mendukung kebebasan individu sebagai prinsip tertinggi dan memperjuangkan kesamarataan individu dalam masyarakat. Secara bahasa, liberal bermakna bebas, bertoleransi, berfikiran luas, terbuka, pemurah, tidak ketat atau tepat dan tidak harfiah. Menurut John Schwarzmantel dalam bukunya The Age of Ideology, sebagai suatu konsep, teras kepada idea Liberalisme ialah keprihatinan dalam melindungi dan menggalakkan kebebasan dan autonomi individu, dalam konteks penentangan terhadap pihak lain sama ada negara, masyarakat atau individu lain yang mengganggu kebebasan dan autonomi dalam segala aspek ini. Menurut Encyclopaedia Brittanica, Liberalisme merupakan suatu kepercayaan (keimanan), falsafah hidup dan gerakan yang meletakkan idea kebebasan sebagai prinsip tertinggi dan dominan dalam usaha untuk membebaskan manusia daripada sebarang kawalan moral dan menggantikan peranan agama dalam mengatur kehidupan individu dan masyarakat.

Dalam hal ini, Edmund Fawcett melalui bukunya Liberalism: The Life of an Idea, sebagaimana juga dijelaskan oleh Khalif Muammar A. Harris dalam artikelnya Islam dan Liberalisme, menyatakan bahawa sekurang-kurangnya terdapat empat ciri Liberalisme bagi membezakannya dengan ideologi-idelogi yang lain, iaitu:

1. Golongan liberal percaya bahawa sesiapa sahaja perlu menghormati tujuan hidup, pandangan dan kepercayaan seseorang individu dan tidak memaksakan tujuan dan cita-cita yang datang daripada bukan dirinya sendiri, termasuklah tujuan hidup dan aturan moral yang ditentukan oleh agama.

2. Golongan liberal melihat kuasa manusia sebagai sesuatu yang kejam ke atas manusia lain, kecuali jika ianya dilawan dan dihalang. Perlawanan memerlukan keengganan untuk tunduk menyerah daripada penguasaan dalam segala aspek.

3. Golongan liberal percaya bahawa konflik yang berterusan dalam perkara kepentingan dan kepercayaan tidak dapat dielakkan. Maka keharmonian sosial tidak mungkin dicapai dan usaha ke arah memperoleh keharmonian adalah kebodohan.
 
4. Golongan liberal melihat sifat manusia dan masyarakat adalah dinamik, maka perlu kepada batasan moral bagi mengawal negara mengatur rakyatnya. Pemerintah diwajibkan menghormati masyarakat, tidak boleh menghalang mereka melaksanakan aktiviti dan kepercayaan masing-masing.

Berdasarkan definisi tersebut, Liberalisme bukan hanya ideologi politik atau ekonomi sahaja sebagaimana dakwaan sesetengah pihak, bahkan ianya merupakan suatu kepercayaan dan cara hidup yang mengatur kehidupan masyarakat. Dalam hal ini, idea kebebasan Liberalisme klasik yang diketengahkan oleh John Locke (the father of liberalism) pada mulanya adalah respon kepada sistem dalam politik dan pemerintahan yang tidak toleransi dan bersifat mencengkam. Tetapi pada zaman Pencerahan sekitar abad ke-18, Liberalisme mengalami perubahan besar dengan membawakan idea antitesis atau anti-autoriti kepada agama serta menjadi simbol perlawanan antara manusia di Barat terhadap institusi agama khususnya gereja. Maka kebebasan mutlak dari apa-apa kongkongan termasuklah berkaitan keagamaan merupakan antara agenda terpenting dalam perjuangan Liberalisme masa kini.
 
Oleh itu, kemunculan idea dan golongan Islam Liberal (atau Muslim Liberal) dalam wacana pemikiran Islam mempunyai kaitan secara langsung dengan falsafah Liberalisme di Barat. Istilah Islam Liberal dikatakan pertama kali ditonjolkan oleh Charles Kuzman (dicadangkan oleh Asaf Ali Ashgar Fyzee) dalam bukunya Liberal Islam: A Source Book (1988), dan diteruskan oleh Leonard Binder dalam bukunya Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies (1998). Walaupun istilah Islam Liberal ini baru sahaja diperkenalkan, namun idea Liberalisme telah didokong lebih awal oleh sekumpulan umat Islam. Sebahagian pengkaji menyatakan bahawa Islam Liberal muncul di saat kerajaan Turki Uthmaniyyah berada di ambang kejatuhan. Kumpulan ini berhasrat mengajak umat Islam kepada gerakan modenisme bagi memperjuangkan pembaharuan. Kesinambungan usaha ini diteruskan oleh golongan Islam Liberal secara lebih radikal melalui tokoh-tokoh seperti Ali Abdul Raziq, Mohammed Arkoun, Nasr Hamid Abu Zayd, Hasan Hanafi, Harun Nasution, Aminah Wadud dan sebagainya lagi

Charles Kuzman dalam menjelaskan maksud Islam Liberal, beliau menyebutkan enam gagasan pemikiran Islam Liberal, iaitu: a) Melawan teokrasi, iaitu idea dalam mendirikan Negara Islam, b) Mendukung gagasan demokrasi, c) Membela hak-hak perempuan, d) Membela hak-hak non-Muslim, e) Memperjuangkan kebebasan berfikir, d) Membela gagasan kemajuan. JIL pula mendefinisikan Islam Liberal sebagaimana berikut: “Nama ‘Islam Liberal’ menggambarkan prinsip-prinsip yang kami anut, yaitu Islam yang menekankan kebebasan pribadi dan pembebasan dari struktur sosial-politik yang menindas. ‘Liberal’ di sini bermakna dua: kebebasan dan pembebasan. Kami percaya bahwa Islam selalu dilekati kata sifat, sebab pada kenyataannya Islam ditafsirkan secara berbeda-beda sesuai dengan kebutuhan penafsirnya. Kami memilih satu jenis tafsir, dan dengan demikian satu kata sifat terhadap Islam, yaitu ‘liberal’. Untuk mewujudkan Islam Liberal, kami membentuk Jaringan Islam Liberal (JIL).”

Selanjutnya, JIL menjelaskan bahawa penafsiran mereka terhadap Islam Liberal berdasarkan landasan berikut:
 
1. “Membuka pintu ijtihad pada semua dimensi Islam: Islam Liberal percaya bahwa ijtihad atau penalaran rasional atas teks-teks keislaman adalah prinsip utama yang memungkinkan Islam terus bisa bertahan dalam segala cuaca. Penutupan pintu ijtihad, baik secara terbatas atau secara keseluruhan, adalah ancaman atas Islam itu sendiri, sebab dengan demikian Islam akan mengalami pembusukan. Islam Liberal percaya bahwa ijtihad bisa diselenggarakan dalam semua segi, baik segi muamalat (interaksi sosial), ubudiyyat (ritual), dan ilahiyyat (teologi).”
 
2. “Mengutamakan semangat religio etik, bukan makna literal teks: Ijtihad yang dikembangkan oleh Islam Liberal adalah upaya menafsirkan Islam berdasarkan semangat religio-etik Qur’an dan Sunnah Nabi, bukan menafsirkan Islam semata-mata berdasarkan makna literal sebuah teks. Penafsiran yang literal hanya akan melumpuhkan Islam. Dengan penafsiran yang berdasarkan semangat religio-etik, Islam akan hidup dan berkembang secara kreatif menjadi bagian dari peradaban kemanusiaan universal.”
 
3. “Mempercayai kebenaran yang relatif, terbuka dan plural: Islam Liberal mendasarkan diri pada gagasan tentang kebenaran (dalam penafsiran keagamaan) sebagai sesuatu yang relatif, sebab sebuah penafsiran adalah kegiatan manusiawi yang terkungkung oleh konteks tertentu; terbuka, sebab setiap bentuk penafsiran mengandung kemungkinan salah, selain kemungkinan benar; plural, sebab penafsiran keagamaan, dalam satu dan lain cara, adalah cerminan dari kebutuhan seorang penafsir di suatu masa dan ruang yang terus berubah-ubah.”
 
4. “Memihak pada yang minoritas dan tertindas: Islam Liberal berpijak pada penafsiran Islam yang memihak kepada kaum minoritas yang tertindas dan dipinggirkan. Setiap struktur sosial-politik yang mengawetkan praktek ketidakadilan atas yang minoritas adalah berlawanan dengan semangat Islam. Minoritas di sini dipahami dalam maknanya yang luas, mencakup minoritas agama, etnik, ras, jender, budaya, politik, dan ekonomi.”
 
5. “Meyakini kebebasan beragama: Islam Liberal meyakini bahwa urusan beragama dan tidak beragama adalah hak perorangan yang harus dihargai dan dilindungi. Islam Liberal tidak membenarkan penganiayaan (persekusi) atas dasar suatu pendapat atau kepercayaan.”
 
6. “Memisahkan otoritas duniawi dan ukhrawi, otoritas keagamaan dan politik: Islam Liberal yakin bahwa kekuasaan keagamaan dan politik harus dipisahkan. Islam Liberal menentang negara agama (teokrasi). Islam Liberal yakin bahwa bentuk negara yang sehat bagi kehidupan agama dan politik adalah negara yang memisahkan kedua wewenang tersebut. Agama adalah sumber inspirasi yang dapat mempengaruhi kebijakan publik, tetapi agama tidak punya hak suci untuk menentukan segala bentuk kebijakan publik. Agama berada di ruang privat, dan urusan publik harus diselenggarakan melalui proses konsensus.”

Selain itu, Khalif Muammar A. Harris dalam bukunya Atas Nama Kebenaran turut menyenaraikan ciri-ciri Islam Liberal sebagaimana berikut: a) Membawa idea sekularisme, b) Dualisme dan dikotomi, c) Kebebasan berijtihad dan menolak autoriti  agama, d) Mempromosi konsep Pluralisme Agama, e) Penolakan terhadap syariah Islam, f) Menyokong wacana keserataan gender. Melihat hal ini, pemikiran liberal yang dibawa masuk ke dalam Islam, walaupun masih berasaskan idea Liberalisme Barat, tetapi ia cuba disesuaikan dengan agama Islam agar umat Islam dapat menerima idea liberal tersebut. Golongan pelampau Islam Liberal tidak menolak agama Islam secara mutlak, tetapi mereka juga tidak menerima secara mutlak, iaitu dengan membuat penafsiran atau perubahan serta memasukkan elemen-elemen yang boleh merosakkan tradisi agama Islam.

Bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh, berikut penulis senaraikan ciri-ciri utama Liberalisme yang dibawa oleh golongan pelampau Islam Liberal (Muslim Liberal):

1. Memperjuangkan Ideologi Sekularisme  
 
Sekularisme merupakan dasar terpenting bagi setiap ideologi atau pemikiran moden daripada Barat, termasuklah Liberalisme. Malah pendedahan tentang sekularisme dianggap telah menyentuh keseluruhan aspek asas dalam pascamodenisme, yang mana sekularisme merujuk kepada fasa terawal dan terbesar, iaitu dengan membuat serangan ke atas unsur-unsur fundamentalisme agama, terutamanya agama Islam. Ideologi ini membuat serangan hebat ke atas semua bentuk keyakinan (pegangan keagamaan atau keimanan) dengan menyatakan bahawa tiada suatupun kebenaran yang bersifat mutlak (relativisme kebenaran), sama ada kebenaran tersebut diasaskan melalui wahyu apatah lagi berdasarkan usaha akal rasional kemanusiaan. Serangan ideologi pascamoden ini didapati berjaya menggugat keyakinan ramai orang yang tidak memiliki ilmu serta iman yang kukuh.

Dalam wacana sekularisme, jika ditanya kepada umat Islam khususnya di Malaysia, rata-rata mengenali sekularisme dari aspek politik sahaja, iaitu terdapat pemisahan antara agama dengan politik. Kefahaman sebegini kurang bertepatan dengan falsafah dan gerakan sekularisme itu sendiri, dan juga tidak bersifat menyeluruh. Dalam hal ini, menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dan Sekularisme, sekularisme bermaksud pembebasan manusia daripada kongkongan keagamaan dan metafizik yang mengatur kehidupan. Definisi ini dilihat bertepatan dengan kemuncak sekularisme ekstrem yang menunjukkan, sebagaimana yang disebutkan oleh Friedrich Nietzsche, bahawa tuhan itu telah mati (the God is dead), dan kehidupan dunia hendaklah diisytiharkan bebas daripada kongkongan ketuhanan serta keagamaan.  
 
 Berasaskan idea tersebut, kemunculan agama baru berasaskan sekularisme perlu diwujudkan di atas runtuhan tersebut bagi menggantikan agama tradisional seperti Islam dan sebagainya lagi. Hal ini selari dengan salah satu Protokol Zionis yang bertujuan untuk menghapuskan segala bentuk kepercayaan agama serta mengikis daripada hati orang bukan Yahudi prinsip-prinsip ketuhanan, dan menggantikannya dengan perkiraan ilmu hisab serta lain-lain kesibukan dengan menekankan keperluan kebendaan duniawi semata-mata (materialisme). Oleh itu, sekularisme secara mudahnya difahami sebagai sebuah fahaman yang memisahkan dan menolak peranan agama dalam urusan duniawi dengan membataskan agama kepada perkara-perkara ritual dan kerohanian sahaja. Bertitik tolak dari sekularisme inilah, kemudiannya muncul pelbagai ideologi lain yang memperjuangkan gagasan kebebasan.

Dalam konteks Islam Liberal, idea sekularisme boleh didapati dalam beberapa bentuk dan keadaan iaitu:

a) Memperjuangkan Negara Sekular Dan Demokrasi Liberal:
 
Negara Sekular terbangun di atas doktrin bahawa agama harus dipisahkan daripada urusan politik dan pentadbiran kenegaraan, atau Negara Sekular ialah sesebuah negara atau kerajaan yang bebas (tidak terikat) daripada sebarang pengaruh agama (termasuk Islam). Ini bermakna sebuah kerajaan sekular tidak boleh sesekali menggunakan kemudahan atau dana negara untuk sebarang program, polisi mahupun dasar yang memberikan kelebihan kepada mana-mana agama. Perkara ini selari dengan perjuangan awal sekularisme di Barat yang menolak serta memisahkan campur tangan gereja (agama Kristian) dalam kerajaan dan kehidupan peribadi manusia. Disebabkan itu, golongan Islam Liberal turut menolak sistem politik Islam (Negara Islam) yang antara lainnya memberikan peranan agama dalam negara dan kerajaan. Dalam masa yang sama, Negara Sekular ini dilihat sebagai reaksi mereka terhadap idea kerajaan Teokrasi di beberapa negara Islam.  
 
 Lantaran itu, bagi melaksanakan idea Negara Sekular ini, golongan Islam Liberal mempromosi sistem demokrasi liberal, iaitu sistem politik yang memberikan kebebasan individu kepada rakyat negaranya, termasuklah dalam persoalan agama. Demokrasi liberal dahulunya berkembang melalui sistem ekonomi kapitalisme yang memberikan kebebasan sepenuhnya kepada setiap orang untuk melaksanakan kegiatan ekomoni mereka. Dalam sistem politik ini, selain kebebasan bersuara diiktiraf sebagai salah satu daripada hak asasi manusia, keputusan majoriti terhadap sesuatu perkara perlu dipersetujui, walaupun bertentangan dengan prinsip agama dan moral. Ini bermaksud pemimpin tersebut perlu tunduk kepada kehendak atau tuntutan rakyat kerana parti politik yang mencapai kemenangan dalam pilihan raya adalah undi daripada rakyat, sekali gus menolak autoriti ilmu dan kebenaran.
 
b) Memperjuangkan kebebasan individu:
 
Hakikatnya, kebebasan individu adalah kesinambungan daripada kebebasan daripada tuhan dan agama, yang merupakan kemuncak kepada sekularisme. Kebebasan individu dalam semua perkara (mutlak) merupakan teras paling utama dalam setiap ciri-ciri Liberalisme, sehingga membawa kepada perjuangan hak asasi manusia. Oleh itu, sebarang persoalan agama adalah urusan peribadi individu tersebut, dengan menghadkan agama dalam ruang lingkup ritual dan spiritual semata-mata. Kerajaan atau masyarakat atau sesiapa sahaja tidak boleh campur tangan dalam sebarang urusan individu, termasuklah urusan agama. Maka agama yang mencampuri urusan awam, sebagaimana prinsip Negara Sekular, antaranya melibatkan kerajaan sama ada melalui institusi agama Islam atau polis moral, adalah satu bentuk kongkongan yang perlu dihapuskan. Kebebasan individu juga akan mengakibatkan ketidakadilan dalam masyarakat dan melahirkan individu yang hanya pentingkan diri sendiri (individualisme).
 
c) Mempercayai relativisme kebenaran:
 
Golongan Islam Liberal mempercayai bahawa relativisme ialah apa yang dikatakan benar atau salah, baik atau buruk, adalah tidak bersifat mutlak, tetapi ia sentiasa boleh
 
berubah-ubah dan bersifat relatif atau nisbi, bergantung kepada individu, lingkungan mahupun kondisi sosial. Justeru, mereka mendukung relativisme terhadap nilai-nilai moral dengan menyatakan bahawa semua nilai dibentuk oleh budaya setempat. Nilainilai moral ini sentiasa berubah-ubah atau boleh dirombak dan ditafsirkan semula, sekalipun ia telah ditetapkan oleh Islam atau bertentangan dengan Islam. Ini bermaksud, perkara yang dahulunya dianggap haram, tercela dan buruk seperti seks bebas atau minum arak, maka kini boleh dianggap perkara yang normal dan tidak salah, kerana nilai-nilai moral adalah relatif dan boleh berubah-ubah mengikut penerimaan dan penolakan budaya masyarakat setempat pada waktu itu. Dalam erti kata lain, agama tidak ditolak sepenuhnya, tetapi agama harus mengikut kehendak masyarakat.

2. Berpegang dengan Pluralisme Agama

Hubungan antara Liberalisme dan Pluralisme Agama dengan sekularisme merupakan perkaitan yang tidak dapat dipisahkan lagi, dengan ideologi Pluralsime Agama merupakan salah satu ciri terpenting dalam Liberalisme. Kemunculan Pluralisme Agama ini dikaitkan dengan idea W.C. Smith yang berslogankan ‘universal theology of religion’, kemudian dikembangkan lagi oleh tokoh-tokoh lain yang berfahaman Liberalisme seperti John Hick, Hans Kung dan lain-lain. Pluralisme dari sudut bahasa ialah banyak atau ramai atau lebih daripada satu, iaitu lawan kepada perkataan singular yang bermaksud satu. Pluralisme Agama pula ialah sebuah fahaman berasaskan falsafah perennial yang menyatakan bahawa semua agama adalah benar dan sama setaraf, maka semua agama itu akan membawa kepada kebenaran.  
 
Oleh itu, setiap penganut agama tidak boleh mendakwa bahawa hanya agamanya sahaja yang benar atau menyatakan agama lain adalah salah dan tidak benar. Golongan Islam Liberal menolak kebenaran mutlak agama Islam dengan mempercayai relativisme kebenaran dan menyamaratakan semua agama. Menurut kepercayaan mereka, semua agama muncul dari Tuhan dan Sumber Yang Satu, cumanya jalan dan caranya sahaja yang berbeza-beza. Sesiapa yang hendak keluarmasuk agama Islam (murtad) hendaklah dibenarkan tanpa dikenakan apa-apa tindakan. Mereka menganggap bahawa orang Islam yang mempercayai kebenaran mutlak itu adalah agama Islam sebagai golongan ekstremisme dan eksklusivisme (lawan kepada inklusivisme). Hal ini sudah tentu bertentangan dengan firman Allah SWT yang menyatakan bahawa agama yang benar dan diredai oleh Allah SWT hanyalah Islam sahaja (Surah ali-‘Imran (3): Ayat 19).

3. Berpegang dengan rasionalisme

Rasionalisme sekular adalah salah satu ideologi terpenting dalam ciri sekularisme dan Liberalisme. Rasionalisme asalnya merupakan sebuah fahaman yang menyatakan bahawa akal adalah sumber ilmu yang tertinggi dan penentu kebenaran dengan menolak peranan wahyu (al-Quran dan Hadis). Fahaman ini terlalu mendewakan akal fikiran, bahkan sehingga menempatkan akal lebih tinggi daripada wahyu. Dalam konteks Islam Liberal, mereka sedaya-upaya untuk menundukkan al-Quran dan Hadis dengan penafsiran mengikut kefahaman logik akal mereka semata-mata, sehingga berlaku pertentangan dengan maksud sebenar al-Quran dan Hadis. Malah agama atau wahyu dianggap bertentangan dengan sains dan akal sehingga manusia tidak perlu tunduk kepada aturan agama. Mereka juga menganggap bahawa para ulama Islam sebagai golongan anti akal dan konservatif atau jumud, sedangkan mereka dikatakan sebagai golongan yang progresif dan moderat. Strategi ini digunakan untuk mempromosi dan mengangkat golongan lain (yang bukan ASWJ) yang boleh bersama mereka, dengan memburuk-burukkan ASWJ.

4. Memperjuangkan hak asasi manusia  
 
Hak asasi manusia merupakan perkara yang diiktiraf dalam Islam selagimana ia tidak bertentangan dengan dasar-dasar agama Islam. Namun bezanya dengan golongan Islam Liberal ialah mereka memperjuangkan hak asasi manusia (human rightisme) berasaskan acuan Barat yang dibina mengikut kerangka sekularisme dan Liberalisme, sehingga berlaku pertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu, mereka menganggap bahawa hak asasi manusia dalam Islam tidak selari dengan hak asasi manusia sejagat, terutamanya yang dipersetujui oleh PBB (UDHR). Mereka juga menuduh Islam dan para ulamanya tidak menghormati hak asasi manusia kerana melakukan penindasan kepada golongan minoriti yang bukan ASWJ (the other Muslims). Disebabkan itu, mereka menyokong penyebaran ajaran sesat, antiagama, seks bebas dan lain-lain untuk diamal dan disebarluaskan. Bahkan mereka turut menyokong orang Islam yang ingin murtad, kerana menurut mereka, ia adalah kebebasan individu dan hak asasi setiap manusia yang perlu dihormati.

5. Menggunakan tafsir hermeneutika terhadap al-Quran
 
Golongan Islam Liberal berupaya menyeleweng makna al-Quran dan menimbulkan keraguan terhadapnya, dengan menekankan penafsiran al-Quran berasaskan kepada subjektivisme dan relativisme, mengikut perspektif pentafsir. Mereka percaya bahawa al-Quran adalah produk budaya Arab, yang diturunkan sesuai dengan tempat dan masa tersebut sahaja. Maka al-Quran kini dianggap tidak suci dan pentafsirannya sentiasa boleh berubah-ubah mengikut tujuan dan konteks, bersesuaian dengan tempat dan zaman masing-masing. Oleh itu, mereka telah memperkenalkan kaedah baru dalam mentafsirkan al-Quran, iaitu tafsir hermeneutika, sebagaimana kaedah penafsiran Yahudi dan Kristian yang bersumberkan akal, sehingga berlaku percanggahan makna al-Quran tidak sebagaimana tafsiran para ulama Islam.
 
6. Menolak Hadis sebagai sumber hukum
 
Selain al-Quran, Hadis juga diiktiraf sebagai salah satu sumber hukum dalam Islam. Namun golongan Islam Liberal didapati menolak autoriti Hadis secara halus dengan merendah-rendahkan kedudukan peribadi Nabi Muhammad SAW sebagai manusia biasa yang tidak memiliki sebarang kelebihan, atau membuat takwilan yang menyeleweng terhadap sesuatu Hadis. Maka para nabi juga boleh dipertikaikan (atau ditolak) apabila ucapan dan perbuatan mereka tidak bertepatan dengan wahyu tuhan. Para nabi tidak lagi boleh dianggap sebagai pihak suci yang tidak boleh dipertikaikan langsung. Namun kaedah Islam Liberal ini sedikit berbeza (walaupun tujuannya sama) dengan golongan Anti-Hadis yang menolak Hadis secara terang-terangan, iaitu dengan melakukan kritikan dan mendatangkan keraguan kepada disiplin ilmu Hadis terutamanya berkaitan sanad dan perawi Hadis.   

7. Mempertikai syariah Islam untuk bebas berijtihad
 
Golongan Islam Liberal menganggap bahawa syariah Islam adalah ciptaan para ulama, maka ia boleh dirombak (rekonstruksi) sewenang-wenangnya. Oleh itu, mereka mempromosikan kebebasan berijtihad yang kononnya untuk menolak slogan pintu ijtihad telah ditutup pada masa kini. Bagi meraka, berijtihad suatu perkara yang mudah, cukup dengan menggunakan akal fikiran sahaja, walaupun tanpa sebarang kelayakan untuk berijtihad. Mereka juga beranggapan bahawa syariah Islam yang dikemukakan oleh para ulama adalah kejam dan ketinggalan zaman. Oleh itu, mereka mempertikaikan perkara-perkara asas dalam Islam (al-ma‘lūm min al-dīn bi alḍarūrah) supaya ‘ijtihad’ mereka diterima dengan mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum. Mereka juga menyelewengkan dan menyalahgunakan beberapa istilah dalam disiplin ilmu Islam seperti istilah maqasid al-syari’ah, wasatiyyah, maslahah dan yang terkini istilah rahmatan lil ‘alamin, untuk menjustifikasikan bahawa ideaidea liberal (moderat) mereka adalah benar.

8. Menolak autoriti ulama dan institusi Islam
 
Antara autoriti dalam agama Islam ialah autoriti ulama sebagai pewaris para nabi yang bertanggungjawab memegang dan menjaga amanah ilmu. Bagi merosakkan pegangan umat Islam, golongan Islam Liberal terpaksa menyerang para ulama ASWJ agar umat Islam dijauhkan daripada para ulama. Mereka mempertikaikan dan memburuk-burukkan ulama yang dianggap cuba mengawal dan mencampuri kebebasan individu. Selain itu, mereka juga menyerang institusi Islam dengan membuat dakwaan yang tidak berasas untuk menjatuhkan kredibiliti dan kepercayaan umat Islam terhadap institusi Islam. Hal ini selari dengan agenda sekularisme yang tidak memberikan sebarang peranan agama dalam negara atau kerajaan, termasuklah agama Islam tidak boleh diinstitusikan. Malah mereka turut menolak fatwa yang dikeluarkan oleh pihak autoriti agama seperti mufti, antaranya dengan mencabar fatwa tersebut di Mahkamah Sivil.
 
9. Memperjuangkan kesamarataan gender dan feminisme
 
Golongan Islam Liberal beranggapan bahawa hukum-hakam dalam Islam yang berkaitan dengan wanita adalah produk budaya patriarki, iaitu sebuah sistem sosial yang meletakkan lelaki lebih berkuasa dan mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding wanita. Oleh itu, syariah Islam dianggap bias gender (memihak kepada kaum lelaki sahaja) dan menindas atau mendiskriminasi kaum wanita, antaranya dalam isu lelaki/suami adalah ketua dalam keluarga, lelaki sebagai imam solat, lelaki menerima lebih banyak dalam pembahagian pusaka, berpoligami serta talak di tangan lelaki/suami dan sebagainya lagi, yang semuanya bersifat eksklusif kepada kaum lelaki sahaja. Maka fahaman feminisme yang mempercayai bahawa lelaki dan wanita memiliki hak yang sama, diperlukan untuk mengangkat kedudukan kaum wanita agar setanding atau lebih tinggi daripada kaum lelaki.
 
10. Memperjuangkan seks bebas
 
Memperjuangkan seks bebas merupakan sebahagaian daripada agenda kebebasan hak asasi manusia yang diketengahkan oleh golongan Islam Liberal. Oleh itu, mereka menyokong segala bentuk aktiviti seks bebas dan seks songsang termasuklah LGBTQI (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Queer, Inter-Sex) dan beranggapan bahawa perbuatan tersebut sebagai kebebasan individu dan dosa peribadi yang tidak boleh diganggu oleh sesiapa pun. Mereka juga menghalalkan dan memperjuangkan hak homoseksualiti, perkahwinan sesama jenis dan pornografi (filem lucah). Selain menyalahtafsir al-Quran dan Hadis bagi membenarkan perbuatan tersebut, mereka turut mendakwa bahawa perbuatan seks bebas ini merupakan sebuah bentuk kelainan naluri atau masalah psikologi dan sosial yang perlu diberikan hak dan pengiktirafan yang sama seperti orang lain juga. Golongan ini tidak sepatutnya didiskriminasi.

Berdasarkan ciri-ciri utama Liberalisme (Islam Liberal) yang dinyatakan di atas, kebebasan mutlak individu dalam berfikir, sehingga melahirkan tindakan yang terkeluar daripada ajaran agama dan norma-norma tabi’i, merupakan antara idea terpenting bagi gagasan pemikiran Islam Liberal. Hal ini bertepatan dengan konsep asas Liberalisme yang menekankan life, liberty and property (kehidupan, kebebasan dan hak milik). Hakikatnya, walaupun Islam mengiktiraf kebebasan dan akal, namun Islam telah menetapkan sempadan tertentu dalam persoalan ini. Imam al-Syafi’i contohnya telah mengingatkan bahawa: “Sesungguhnya akal fikiran manusia adalah terbatas jangkauannya, sebagaimana terbatasnya pancaindera penglihatan mata terhadap sesuatu perkara.” Malah keterbatasan dan kelemahan akal turut diakui oleh Socrates sendiri dan beberapa tokoh Phytagores.

 

PERMULAAN AGENDA LIBERALISME DI MALAYSIA

Sejarah awal sebelum tertubuhnya suruhanjaya Penubuhan InterFaith Commission (IFC) di Malaysia atau asalnya ialah Inter Religious Council (IRC), adalah melalui slogan ‘dialog antara agama’, dengan agenda ini telah dipelopori oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS) yang ditubuhkan pada tahun 1983 dan Christian Federation of Malaysia (CFM) ditubuhkan pada tahun 1985. Malah Institut Kajian Dasar (IKD) turut ditubuhkan pada tahun 1985 yang bertujuan untuk melahirkan kebangkitan kebudayaan, pembentukan masyarakat madani dan mempromosi interaksi antara negara-negara Asia Tenggara dan di luarnya. Manakala Sisters in Islam (SIS) pula ditubuhkan pada tahun 1988 (didaftarkan pada 1993) bagi memperjuangkan isu-isu wanita Islam.
 
 Diringkaskan, pada bulan Ogos 2001, Majlis Peguam telah menerima satu memorandum daripada MCCBCHS mencadangkan penubuhan IRC seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesuatu agama akibat desakan penganut agama lain. Menurut cadangan tersebut, badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama termasuk aduan orang bukan Islam terhadap agama Islam dan orang Islam. Berikut merupakan kandungan memorandum IFC yang dibentangkan pada bulan Januari 2005, iaitu:

a) Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah. Ini adalah hak yang diberi Artikel 11 Perlembagaan. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.
 
b) Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
 
c) Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

d) Tidak perlu dicatatkan dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa dia beragama Islam.
 
e) Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa dikenakan apaapa tindakan undang-undang.
 
f) Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.
 
g) Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya. h) Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.
 
i) Orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
 
j) Bible dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
 
k) Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
 
l) Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.
 
m) Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan untuk keperluan orang-orang bukan Islam.
 
n) Sepatutnya Islam tidak tersebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Kandungan memorandun IFC ini adalah contoh terbaik bagi menjelaskan ancaman serta campur tangan orang bukan Islam dalam urusan umat Islam di Malaysia, dengan dibantu oleh golongan Islam Liberal antaranya SIS dan ditaja oleh penaja luar seperti Konrad Adenauer Foundation (KAF) dan Malaysian Interfaith Network (MIN). Kesan langsung atau tidak langsung daripada memorandum ini boleh dilihat dalam beberapa isu, contohnya dalam kes Lina Joy (1997-2007), Kumpulan Artikel 11 (2004), Katrika (2009) dan lain-lain. Walaupun IFC dikatakan telah dimansuhkan, namun agendanya terus berjalan sehingga kini, cumanya ia didatangkan dalam pelbagai bentuk dan wajah yang berbeza, tetapi matlamatnya masih sama, seperti penubuhan Majlis Perundingan Agama (MPI). Terkini, penubuhan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) juga perlu diberikan perhatian.

Selain itu, agenda ini diteruskan lagi oleh COMANGO (Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process) ialah sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang mengemukakan laporan hak asasi manusia ke proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia di bawah PBB pada 24 Oktober 2013 di Geneva. Gabungan ini disertai oleh 54 NGO Malaysia, termasuk juga beberapa NGO liberal seperti SIS, dan hanya 12 NGO sahaja berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Proses ini bertujuan mengkaji dan meneliti perkembangan serta prestasi isu-isu yang melibatkan hak asasi manusia sejak tahun 2009 terhadap 193 buah negara-negara anggota PBB antaranya Malaysia. Antara tuntutan yang dibuat oleh COMANGO ialah:

a) Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi the rights of religious freedom (kebebasan beragama). Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti.

b) Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Implikasi perkara ini akan mengheret kepada isu perkauman dan mencabar status quo yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia dan semangat kontrak sosial.
 
c) Malaysia digesa untuk mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Implikasi perkara ini akan membawa kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.

Agenda Liberalisme di Malaysia didapati bermula dengan gugatan awal datangnya daripada orang bukan Islam. Arus ini kemudiannya ditumpang oleh golongan Islam Liberal memandangkan kebanyakkan tuntutan yang dikemukakan oleh orang bukan Islam adalah menyamai dengan agenda Liberalisme. Dari sudut lain, orang bukan Islam boleh mengambil manfaat dari golongan Islam Liberal, seolah-olah tuntutan mereka turut disokong oleh orang Islam sendiri, dengan menonjolkan sokongan daripada golongan Islam Liberal. Desakan ini walaupun pada awalnya nampak kecil, namun lama-kelamaan ia menjadi semakin besar dan membarah. Jika dahulu jumlah mereka adalah sangat kecil dan sedikit, terkini mereka bergerak dalam jumlah dan kumpulan yang besar.

 

ANCAMAN LIBERALISME DI MALAYSIA
 
Dalam konteks Malaysia, gerakan pelampau Islam Liberal (atau Muslim Liberal) kelihatan berkembang melalui pelbagai jalan dan saluran, antaranya melalui jaringan internet (globalisasi) dan kemasukkan buku-buku berkaitan Liberalisme dari luar negara, serta dipelopori oleh individu dan kumpulan tertentu yang berfahaman liberal. Namun perkembangan terkini menunjukkan bahawa fahaman Islam Liberal juga berkembang melalui politik yang tidak cenderung kepada agenda Islam. Dalam masa yang sama, sebagaimana dijelaskan di atas, Islam Liberal turut didokong oleh orang bukan Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini menjadikan ancaman Liberalisme di Malaysia semakin rumit untuk ditangani oleh pihak berkuasa agama. Di sini penulis akan menyenaraikan beberapa ancaman serta agenda utama Liberalisme di Malaysia pada masa kini, iaitu:

1. Golongan Islam Liberal berusaha menghapuskan kedaulatan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, iaitu dengan menafikan kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama bagi Persekutuan (Agama Negara). Mereka sengaja menafsirkan Islam dalam Perlembagaan (Perkara 3(1)) adalah sekadar agama rasmi sahaja. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Sekular yang tidak terikat langsung dengan peranan agama Islam. Maka sebarang perkara yang berkaitan dengan agama Islam perlu dihalang.
 
2. Golongan Islam Liberal berusaha menghapuskan Mahkamah Syariah atau Undangundang Syariah dengan dakwaan bahawa Undang-undang Syariah adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, atau dengan dakwaan lain seperti Undang-undang Syariah tidak adil. Bahkan mereka cuba memperkecilkan peranan dan kedudukan Mahkamah Syariah, antaranya dengan membantah perluasan bidang kuasa serta mencabar keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di Mahkamah Sivil. Maka sebarang usaha pemerkasaan terhadap Makhamah Syariah dan Undang-undang Syariah perlu dihalang, antaranya yang terkini RUU 355.
 
3. Golongan Islam Liberal berusaha memperjuangkan kebebasan berfikir dan bersuara secara mutlak terutamanya melalui jalan hak asasi manusia seperti seks bebas atau LGBT, walaupun berlaku percanggahan dengan ajaran agama Islam. Oleh itu, mereka sedaya-upaya menyatakan bahawa kedudukan kebebasan dan hak asasi manusia dalam Perlembagaan Persekutuan adalah lebih tinggi atau lebih utama berbanding kedudukan agama Islam. Maka sebarang perkara yang dilihat bertentangan dengan tuntutan Liberalisme dianggap sebagai menolak hak asasi manusia.
 
4. Golongan Islam Liberal berusaha memberikan imej buruk terhadap institusi Islam supaya institusi Islam di Malaysia dapat dihapuskan, ataupun sekurang-kurangnya dapat menghakis kepercayaan umat Islam sendiri terhadap institusi Islam. Mereka sedaya-upaya mengkritik dan menyerang institusi Islam dengan pelbagai dakwaan dan kenyataan yang tidak berasas seperti desakan G25 supaya kerajaan menghapuskan JAKIM dan sebagainya lagi. Antara tujuan lain mereka menyerang autoriti agama Islam adalah supaya pemikiran songsang mereka dapat disebarkan tanpa mampu dihalang lagi.
 
5. Golongan Islam Liberal juga berusaha meruntuhkan autoriti ilmu dan para ulama dengan memberikan pelbagai persepsi buruk kepada agamawan dan ulama silam ASWJ. Hal ini bertujuan agar mereka dapat memberikan tafsiran baru yang bebas serta menyeleweng terhadap ajaran agama Islam tanpa terikat dengan autoriti ilmu dan ulama. Pendekatan ini turut disokong oleh kelompok tajdid dan anti-mazhab, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
 
6. Golongan Islam Liberal berusaha menyamatarafkan semua agama (Pluralisme Agama) agar kedudukan agama Islam sebagai agama yang paling benar dan diredai oleh Allah SWT dapat dilenyapkan. Melalui jalan toleransi antara agama, secara tidak langung kedudukan agama Islam di Malaysia dapat direndahkan setaraf dengan agama-agama lain sehingga boleh mengundang gejala murtad. Malah perkataan suci umat Islam seperti isu penggunakan kalimah Allah oleh Kristian adalah perlu dibenarkan. 
 
7. Golongan Islam Liberal berusaha mengadakan jaringan bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan agenda Liberalisme di Malaysia. Dengan memperoleh tajaan sumber kewangan yang banyak, pelbagai program disusun oleh kumpulan mereka seperti penganjuran seminar atau wacana, penulisan buku atau artikel dan sebagainya lagi. Namun program-program yang diadakan itu telah menyalahgunakan jenama atau istilah dalam Islam, sehingga sebilangan individu atau kumpulan Islamik juga turut terpedaya dengan luaran mereka.
 
8. Golongan Islam Liberal berusaha menyebarkan idea Liberalisme kepada golongan berpendidikan tinggi dan golongan atasan yang memegang jawatan atau kedudukan penting dalam kerajaan. Melalui golongan ini, agenda Liberalisme dapat dijayakan dengan lebih cepat dan berkesan. Selain itu, mereka juga berusaha menggunakan dan mengeksploitasi golongan muda bagi mengembangkan Liberalisme, antaranya melalui gerakan buku indie dan penganjuran program jalanan dengan menyemai pemikiran berpaksikan kebebasan tanpa sempadan.
 
9. Golongan Islam Liberal berusaha menggunakan kuasa media secara besar-besaran, khususnya media online, bagi menyebarkan agenda Liberalisme di Malaysia. Beberapa portal berita online kelihatan telah dikuasai oleh mereka dengan bantuan pelbagai pihak, sehingga menyebabkan fahaman Liberalisme dapat berkembang dengan pesat sekali. Ini bermaksud, idea Liberalisme telah berjaya mempengaruhi pemikiran sebilangan umat Islam secara tidak sedar, apatah lagi rakyat Malaysia antara pengguna internet tertinggi di dunia.
 
10. Penulis melihat, matlamat terakhir golongan Islam Liberal adalah untuk melemahkan serta menghapuskan institusi kesultanan yang mengetuai agama Islam di negeri-negeri seluruh Malaysia. Jika institusi kesultanan dapat dihapuskan, atau mereka berjaya menjadikan sultan/raja sekadar simbolik semata-mata, maka agenda Liberalisme dapat dilaksanakan di Malaysia tanpa mampu dihalang lagi oleh pihak kerajaan atau pihak berkuasa agama. Namun kini mereka menumpukan kepada perkara lain terlebih dahulu sebagaimana yang dinyatakan di atas.

Berdasarkan pemerhatian penulis terhadap perkembangan semasa Liberalisme di Malaysia, sama ada ia disebarkan melalui individu atau kumpulan tertentu, didapati golongan Islam Liberal di Malaysia tidak benar-benar memahami gagasan, ideologi atau falsafah Liberalisme itu sendiri. Hal ini berbeza dengan golongan liberal di negara jiran iaitu Indonesia, kelihatan mempunyai matlamat dan ciri-ciri yang lebih jelas dalam memperjuangkan agenda Liberalisme mereka, apatah lagi dengan kemunculan beberapa orang tokoh Liberalisme terkenal. Namun di Malaysia, penyebaran fahaman liberal kebanyakkannya berkembang melalui isu-isu tertentu, yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berkepentingan dari semasa ke semasa. Melaluinya, mereka turut memanfaatkan sesiapa sahaja untuk menjayakan agenda Liberalisme. Walaupun dibangkitkan melalui isu-isu tertentu, agenda Liberalisme di Malaysia tetap mempunyai persamaan dengan beberapa ciri utama Liberalisme dan tuntutan orang bukan Islam. 

 

FATWA LIBERALISME DI MALAYSIA

Melihat kepada bahaya ancaman Liberalisme terhadap umat Islam, beberapa fatwa telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam di Malaysia. Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 telah membincangkan tentang Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah sepertimana berikut:

1. Dari Aspek Akidah:

a) Berpegang Kepada Konsep Pluralisme: Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme Agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
 
b) Akal Manusia Adalah Wahyu: Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah alQuran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.
 
c) Meragui Ketulenan al-Quran: Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

2. Dari Aspek Syariah:

a) Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran al-Quran dan al-Hadith: Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau metodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari Akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.
 
b) Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat: Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
 
c) Mempertikaikan Kriteria dan Akhlak Kenabian: Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah SAW dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut Baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

d) Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam: Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-Tafsir, Usul alFiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara ijmak diterima sebagai metode dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’i dan hukum yang tidak qat’i menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.
 
e) Sikap Terhadap Hukum: Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam. Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Selangor yang bersidang pada 17 Julai 2014 telah mengharamkan fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama termasuklah kumpulan Sisters in Islam (SIS) sepertimana berikut:

1. SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
 
2. Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
 
3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.
 
4. Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

 

KESIMPULAN

Kesan ekstremisme pemikiran menyebabkan umat Islam yang tidak memiliki ilmu yang mantap akan mudah terpengaruh dengan logik akal yang dikemukakan oleh golongan Liberalisme. Idea kebebasan mutlak boleh menjadikan mereka menentang al-Quran dan Hadis, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan dakwaan bahawa al-Quran dan Hadis tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman kini dan memerlukan penafsiran semula yang lebih moderat (liberal). Propaganda ini bertujuan untuk merosakkan keutuhan ajaran Islam yang telah meletakkan kebenaran dan autoriti ilmu sebagai asas utama kepada akidah, syariah dan akhlak. Ini bermaksud, fahaman Islam Liberal akan menjauhkan dan memesongkan pemikiran umat Islam dari ajaran Islam yang sebenar.  
 
 Perkembangan semasa Liberalisme di Malaysia menunjukkan bahawa pemikiran liberal terus disebarkan secara meluas dalam kalangan umat Islam walaupun fatwa pengharamannya telah dikeluarkan. Jika tidak ditangani segera, tidak mustahil fahaman liberal ini akan terus berkembang di Malaysia sebagaimana yang berlaku di beberapa negara lain. Pihak kerajaan melalui pihak berkuasa agama perlu bertindak secara lebih agresif dan sistematik dalam mendepani ancaman Liberalisme. Dalam masa yang sama, umat Islam perlu diberikan pendidikan Islam yang menyeluruh berasaskan epistemologi yang digariskan oleh ulama ASWJ. Dalam erti kata lain, umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, antaranya bersifat wasatiyyah, bagi menghadapi cabaran dunia akhir zaman ini.
 
Wallahu’alam. 

________________________________________
 
Penulis: Muhammad Rashidi Wahab.  Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu.  E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

 

Download : PDF Format

Top