Sugarbook: Jangan Dekati Zina

KUALA LUMPUR, 14 FEBUARI 2021 - “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” – Surah Al-Isra’: ayat 32

Umat Islam beriman dengan ayat ini tanpa sebarang keraguan, dan memahami maksud “janganlah kamu menghampiri zina” atau dalam erti kata lain umat Islam dari awal lagi sudah dilarang agar jangan mendekati apa sahaja yang boleh menyebabkan berlakunya perzinaan.

2. Kembali kepada tajuk, isu ini mula-mula sekali bangkit pada 18 Disember 2019, di bawah pentadbiran kerajaan PH apabila terpapar di billboard poster iklan laman web Sugarbook di Bangsar dan di Mont Kiara yang mempromosi perkhidmatannya kepada golongan elit yang tinggal di sekitar kotaraya Kuala Lumpur khususnya berdekatan universiti dan kolej pendidikan.

3. Beberapa hari lalu, sekali lagi isu ini menjadi panas apabila media melaporkan kenyataan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif laman web Sugarbook, sebuah syarikat atas talian yang mempertemukan atau yang mengatur perjumpaan antara ‘Sugar Daddy‘ dan ‘Sugar Baby‘.

4. Beliau dengan bangganya mengesahkan mengenai senarai penglibatan bilangan para pelajar universiti di Malaysia yang menjadi Sugar Baby melalui aplikasinya iaitu telah mencapai bilangan lebih 14,000 orang, dan setiap hari semakin meningkat disebabkan desakan hidup di kalangan para pelajar universiti sejak penularan pandemik Covid-19. Pada bulan Januari 2021 sahaja bilangan pelajar universiti di Malaysia yang menjadi Sugar Baby meningkat sebanyak 40 peratus.

5. Selanjutnya beliau menyenaraikan bersama dalam laporannya itu carta kedudukan bilangan pelajar dari universiti mana yang menduduki 10 tangga teratas yang pelajarnya paling ramai menjadi Sugar Baby, iaitu:

(1) Sunway University: 3,105 pelajar

(2) INTI International University: 2,624 pelajar

(3) Taylor’s University: 1,696 pelajar

(4) TAR University College: 1,600 pelajar

(5) Universiti Malaya: 1,280 pelajar

(6) Monash University: 960 pelajar

(7) Lim Kok Wing University: 864 pelajar

(8) University of Nottingham: 832 pelajar

(9) Multimedia University: 768 pelajar

(10) Universiti Teknologi MARA: 704 pelajar

6. Mendukacitakan, nama-nama yang tersenarai di laman web Sugarbook terdapat begitu banyak nama-nama dan wajah-wajah gadis Melayu Islam yang masih muda belia tanpa segan silu mengiklankan hasrat mereka untuk menjadi ‘Sugar Babies‘ kepada ‘Sugar Daddies‘ dalam laman tersebut.

7. Mengimbas kembali ketika pertama kali munculnya poster iklan di dua billboard itu, terdapat beberapa individu dan juga pertubuhan Islam bukan kerajaan atau NGO yang tampil memberi komen dan membidas perkara ini yang pada masa itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah Dato’ Seri Dr. Wan Azizah, manakala Menteri Pendidikan pula, Dr. Maszlee Malik, yang sepatutnya bukan sekadar memastikan pelajar mengikuti pembelajaran bahkan bertanggungjawab juga mengawal pelajar universiti daripada terjebak ke dalam kancah pelacuran.

8. Malangnya, walaupun telah ditegur namun tiada sebarang tindakan dan reaksi positif dibuat oleh Kerajaan PH pada masa itu, malahan Menteri daripada parti AMANAH yang menyelar penularan berita aktiviti tidak bermoral Sugarbook dengan alasan memberi publisiti percuma kepada syarikat itu. Sepatutnya beliau turut bersuara membantah dan mencegah kemungkaran yang berlaku supaya dapat dihapuskan.

9. Alasan yang selalu digunakan oleh kerajaan PH masa itu ialah kerajaan mengamalkan kebebasan termasuk dalam soal hak asasi dan demi untuk menjaga prinsip parti, dan ini termasuk kebebasan untuk membuat dosa, khususnya dosa peribadi seperti yang pernah dijadikan seperti prinsip oleh Kementerian Agama Islam.

10. Diharap selepas tersiarnya bantahan ini dan mengambil serius penularan maksiat pelacuran di kalangan pelajar universiti, pihak berwajib harus segera mengambil tindakan. Jangan asyik sibuk menjaga kerusi dan memandang isu ini remeh sedangkan ia menimbulkan kerisauan di kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke universiti dengan harapan yang besar.

Haji Rashidi Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Top