Mungkin Tun Mahathir Akan Berpuas Hati Jika Pendidikan Agama Dihapuskan Terus?

KUALA LUMPUR, 12 FEBUARI 2021 - Jangan salahkan pertambahan masa pembelajaran subjek agama Islam, tetapi salahkan diri sendiri kerana tidak membangunkan dan memperkasakan sekolah agama itu.

Tun Mahathir sepatutnya berasa malu terhadap kenyataannya yang menyalahkan peruntukan masa pembelajaran subjek agama Islam yang kononnya menjadi punca kepada orang bukan Islam tidak mahu ke sekolah kebangsaan. Tuduhan ini juga seperti mahu menunjukkan seolah-olah polisi sekolah hari ini masih lagi tidak berorientasi bagi mempersiapkan anak-anak mendepani masa hadapan mereka, khususnya dalam bidang teknologi sehingga menyebabkan orang bukan muslim memilih ke sekolah vernakular atau sekolah antarabangsa.

2. Tun juga menyatakan belajar agama tidak melayakkan seseorang menjadi jurutera dan peguam. Kenyataan itu menggambarkan bahawa pembelajaran ilmu agama menjadi punca rakyat dan negara menjadi mundur disebabkan ilmu agama tidak mengajar teknologi moden mengikut peredaran zaman; ilmu agama adalah ilmu yang statik dan kaku kerana hanya mengajar menghafal Al-Quran, membaca hadis dan mengenal hukum halal haram sahaja.

3. “Melayu mudah lupa” slogan yang suatu ketika dulu gah dilaungkan bagi menghentam orang Melayu, kini tercalit ke muka sendiri. Soal kenapa sekolah kebangsaan kini tidak menjadi pilihan adalah kerana dasar yang tidak tetap atau ‘flip-flop‘ yang dimulai oleh Tun sendiri sewaktu memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ketidaktentuan polisi ini bukan sahaja mengurangkan kepercayaan ibu bapa malah guru-guru sendiri.

4. Sekali lagi Melayu mudah lupa. Tun juga sebelum ini pernah ditanya sama ada kerajaan patut memberi kebenaran memulihkan sekolah persendirian Cina di Kuantan dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu yang diterima di seluruh dunia tetapi tidak di Malaysia; jawapan Tun mengatakan bahawa terdapat pihak yang terus membangkitkan isu identiti etnik kerana mereka mahu kekal terpisah, atau dalam erti kata lain mahu kekal dengan sikap rasis.

5. Jadi, ini bukanlah tentang isu sekolah kebangsaan itu menjadi kurang menarik kepada bukan muslim disebabkan peruntukan masa pembelajaran agama atau pendidikan moral, tetapi ia adalah kerana ada pihak yang mahu bersikap perkauman dan kekal dengan sikap yang sedemikian. Mustahil Tun lupa polisi yang Tun buat sendiri atau apakah slogan “Melayu mudah lupa” itu dahulu Tun maksudkan untuk diri Tun sekarang ini?

6. Di dalam wawancara bersama FMT, Tun sepatutnya memperjuangkan semula aspirasi model sekolah wawasan yang menggabungkan sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular di bawah satu kompleks yang sama agar anak-anak berbilang bangsa daripada pelbagai suku kaum dapat melakukan akitiviti bersama; dan keadaan ini akan dapat menggalakkan sikap kenal-mengenali antara satu sama lain dan seterusnya menerapkan perpaduan sesama murid.

7. Daripada Tun asyik mahu menyalahkan orang Melayu Islam sahaja dan yang terbaru dengan alasan peruntukan masa subjek agama Islam. Tun sebagai “Bapa Pemodenan” sepatutnya menyalahkan diri sendiri apabila bercakap berkenaan kemunduran sains dan teknologi. Perkara ini sepatutnya dilihat dengan lebih holistik yang antara lain adalah dengan melihat prospek dan gaji yang diperolehi oleh pekerjaan melibatkan bidang sains dan teknologi.

8. Ini juga antara faktor yang mencetuskan minat dan pemilihan subjek sains, bukannya faktor peruntukan masa subjek agama. Untuk pengetahuan Tun, dalam Islam, sudah berzaman ada pembelajaran matematik, sains, malah ada pembelajaran ilmu falak. Ilmu mengenai ‘adab’ sahaja, Islam sudah melangkaui semua agama yang di dalamnya terhimpun keberkatan yang amat banyak jika manusia dipersiapkan dengan ilmu-ilmu ini.

9. Difahamkan dua tahun lepas terdapat pendedahan berkenaan kadar gaji jurutera antara yang terendah di dunia. Kadar gaji jurutera tempatan tidak berubah sejak 20 tahun lalu, meskipun negara mencapai tahap kemajuan dan pembangunan yang membanggakan. Ketika itu graduan baharu kejuruteraan hanya menerima bayaran kurang RM2,500 sebulan.

10. Malah pada tahun 2017, kerajaan turut mendedahkan bahawa antara bidang yang mempunyai kadar kebolehpasaran yang rendah adalah bidang sains gunaan (applied science). Untuk mengatasi masalah lambakan ini, apa tindakan kerajaan Tun masa itu? Membangunkan negara itu bagus tetapi jangan mengabaikan mereka yang bekerja membangunkannya?

11. Sedar atau tidak, sebenarnya Tun mempunyai saham yang besar di dalam permasalahan ini. Ini kerana pekerjaan sekarang adalah ditentukan oleh jenis pelaburan, industri dan majikan yang dibawa masuk 30 tahun yang lepas ketika Tun menjadi Perdana Menteri pada masa itu. Tun adalah punca ketidakstabilan antara penbangunan dengan pendapatan rakyat hari ini.

12. Ternyata Tun telah membawa pelaburan langsung asing yang tidak sesuai dan lebih bersifat kapitalis serta hanya mahu mengambil untung daripada kos tenaga kerja yang murah dari negara-negara membangun. Keadaan ini yang menyebabkan kemerosotan bidang sains dan teknologi. Apalah gunanya jika peruntukan masa subjek sains ditingkatkan bagi menggantikan subjek agama sekiranya akhir sekali murid-murid tersebut tidak mendapat pekerjaan yang berpadanan apabila telah bergraduasi.

13. Walaubagaimanapun, adalah dipersetujui kenyataan Tun bahawa pelajar perlu diajar aspek agama yang betul. Kenyataan ini boleh dipersetujui kerana aspek agama yang salah menyebabkan seseorang menjadi seperti anak Tun sendiri yang terpalit dengan pemikiran liberalisme yang memperjuang nilai-nilai songsang yang berlawanan dengan agama seperti feminisme dan LGBT.

14. Malah pelajaran agama perlu diperkasakan lagi. Pelajaran agama bukan sahaja perlu dilihat secara mendatar bahkan secara vertikal. Dengan kata lain, tumpuan tidak hanya pada peruntukan masa subjek agama itu sendiri tetapi perlu juga penerapan teologi dan nilai Islam dalam subjek-subjek yang lain seperti sains. Barulah pemupukan minat terhadap bidang sains lebih berkesan dan menggalakkan kerana terdapat keselarasan pandangan alam di kalangan para pelajar.

15. Akhir sekali, sebelum Tun mahu melihat kelemahan pada tempat lain dan menyalahkan orang lain, Tun patut cermin diri sendiri dengan merenung kembali semua yang Tun telah lakukan dahulu. Adakah ia ikhlas mahu menjaga agama, bangsa dan tanahair atau kerana adanya agenda-agenda berkepentingan diri sendiri, keluarga dan kroni-kroni Tun yang telahpun buncit perut dengan mengaut milik rakyat? Betullah kesalahan itu pada ‘masa’, tetapi pada masa yang diperuntukkan kepada Tun sejak dahulu.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Top