Memperkasakan Dewan Negara Ke Arah Profesionalisme, Bebas Daripada Pengaruh Politik Kepartian

KUALA LUMPUR, 8 FEBUARI 2021 - Pada asasnya Ahli Dewan Negara (bergelar “YB Senator”) adalah badan pemutus kepada peruntukan undang-undang baru yang dipersetujui Ahli Dewan Rakyat, bukannya “tukang angguk” apatah lagi jadi ‘macai’ kepada Ahli Parlimen.

2. Oleh itu, ia sepatutnya berperanan sebagai pengimbang kuasa antara keperluan kerajaan dengan keperluan sebenar rakyat dan kepentingan negara bukannya kepentingan atas hujah kerajaan semata-mata ketika membentangkan usul di Parlimen kerana kekuatan kerajaan bergantung pada suara majoriti Ahli Parlimen yang biasanya terikat dengan disiplin kepartian.

3. Keseimbangan ini amat penting kerana jika dahulunya perlu dibawa kepada perkenan Yang Di-Pertuan Agong sebelum menjadi undang-undang tetapi telah dipinda pada tahun 1993 yang pernah menggegarkan Parlimen ketika itu yang memperlihatkan kuasa Raja-Raja ‘diturunkan’ atau ‘dikurangkan’.

4. Walaupun Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri (termasuk pembangkang) boleh mencadangkan nama masing-masing seseorang calon sebagai Ahli Dewan Negara (Senator), namun ia juga berperanan sebagai pengimbang tara kepada suara Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

5. Peranan ini hampir menyamai sistem Dewan House of Lords di United Kingdom (UK) atau House of Senate di Amerika Syarikat (USA) yang menilai semula usul yang dibawa oleh House of Commons (UK) atau House of Representatives (US).

6. Menarik juga kita ‘belajar’ daripada US dalam isu impeachment Donald Trump di akhir dua minggu sebelum penyerahan kuasa Presiden yang mana Ahli Parlimen di House of Representatives mendapat sokongan seramai 17 ahli daripada Parti Republican yang menyebabkan usul impeachment berjaya diluluskan dan dibolehkan untuk melepasi keperluan dibawa ke Dewan Senat yang selalunya dianggap “Upper House” dan pemutus kata dalam sebarang usul penting negara.

7. Atas sebab kepentingan peranan itulah biasanya Senator dilantik daripada kalangan bekas ahli politik yang berpengalaman atau profesional (pakar bidang) atau ahli akademik atau “respectable decorated public figure” iaitu individu terhormat negara atau bekas penjawat awam yang berpengalaman untuk menjadi ahli yang mampu berhujah dalam Parlimen berkaitan sesuatu Rang Undang-undang (RUU) baru yang diluluskan untuk diterima pakai sebagai undang-undang yang sah.

8. Sistem “Upper and Lower House” yang juga diamalkan oleh Malaysia ini sangat baik kerana penglibatan mereka dari kalangan ahli politik terlantik sebagai Ahli Parlimen akan menyebabkan sesuatu keputusan yang bakal diputuskan di Parlimen itu terikat dan dipengaruhi oleh agenda kepartian, misalnya kecenderungan kepada dasar atau manifesto parti yang boleh jadi juga bercanggah dengan kepentingan sebenar rakyat dan negara malah kadangkala boleh dilihat sebagai bercanggah dengan Perlembagaan itu sendirinya.

9. Dalam sesi perdebatan dalam Dewan Parlimen, sering kali juga berlaku alasan-alasan retorik semata-mata, memang sedap didengar tetapi ada kalanya bertentangan dengan prinsip kemanusiaan itu sendiri. Malah melampaunya sehingga mengembalikan ciri manusiawi itu kembali kepada jahiliah.

10. Sebagai contoh, atas nama “kebebasan bersuara” lantas menggalakkan masyarakat kepada budaya memanipulasi fakta, memaki hamun dan mencerca; ataupun atas tiket “hak asasi” yang kemudiannya menjerumus insan kepada sifat kebinatangan dalam kancah kemaksiatan dan seks sejenis.

11. Malah kehinaan manusia itu kekadang jauh lebih teruk daripada sifat kebinatangan itu sendiri dan Allah Taala beri amaran-NYA sebagaimana disebut dalam Al-Quran, Surah Al-An’am: ayat 6. Terjemahan maksud: “Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?”

12. Hari ini, faham ‘keadilan’ dan ‘demokrasi’ pada neraca dan naratif Barat sudah tidak dapat bertahan, gagal oleh tindakan rakus dan khianat mereka sendiri. Ia seolah memperlihatkan kepada dunia bahawa amalan demokrasi kuasa besar dunia mulai runtuh satu persatu sebagaimana dahsyatnya bangunan Capitol Hill (menyerupai Parlimen di Malaysia) di Washington DC dicerobohi dan diserang oleh rakyat tempatan yang menolak keputusan pemilihan presiden baru angkara hasutan Presiden US itu sendiri!

13. Syukur Alhamdulillah bagi kita, atas kejujuran penggubal Perlembagaan Persekutuan kita dahulu yang, setelah meneliti model Kanun Melayu Melaka dan memahami sejarah Kesultanan Melayu Lama serta meneliti susur galur tiga pasak utama: (i) Agama Islam (ii) Bangsa Melayu dan (iii) Raja Melayu, telah mengekalkannya dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 dengan memperuntukkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dalam kerangka demokrasi berparlimen.

14. Namun, sayang sekali, kini sudah jelas kelihatan, percubaan demi percubaan, termasuk di kalangan Ahli Parlimen terlantik dan usaha terkini oleh bekas Peguam Negara mahu mempersoalkan sistem perundangan negara dan kedaulatan Intitusi DiRaja.

15. Tidak syak lagi, semua usaha ini terangkum dalam grand design jangka panjang ke arah menghapuskannya menerusi kemenangan kuasa dalam pilihan raya Parlimen. Mereka sebenarnya gila kemaruk kuasa walhal, absolute power, corrupts absolutely.

16. Justeru memahami trend yang berbahaya ini, kerajaan hari ini harus melaksanakan beberapa perubahan drastik menambahbaik sendi-sendi utama pentadbiran negara yang masih lompong terutamanya berkaitan komposisi dan keahlian Dewan Negara dengan ‘reset’ semula menerusi tapisan yang lebih teliti dengan meletakkan mereka yang mahir dan benar-benar pakar bidang bagi memperkasakan semula Parlimen menjadi lebih berwibawa, berintegriti dan profesional.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Top