Penguatkuasaan Undang-Undang Tanpa Pilih Kasih Mampu Selesai Masalah Negara

KUALA LUMPUR, 18 JANUARI 2021 - Undang-undang diwujudkan untuk mendidik dan mengawal individu dalam sesebuah negara agar tidak melampau-lampau kelakuannya sehingga menimbulkan rasa tidak harmoni bersama; ia juga bukan hanya untuk mengatur kehidupan manusia tetapi juga demi mengurus sesebuah negara.

Sebagaimana firman Allah Taala:

“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”. (Surah Al-Maaidah: ayat 48)

2. Tanpa undang-undang manusia tidak dapat disusun atur dan didisiplinkan, kerana undang-undang itu bertujuan untuk membataskan manusia itu supaya berada dalam sifat-sifat keinsanannya dan tidak tergelincir ke dalam sifat-sifat kebinatangan.

3. Misalnya, mustahil jalan yang biasa sibuk tiba-tiba menjadi lengang begitu sahaja melainkan kerana ada larangan keluar mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan seperti PKP ini. Dan dikategorikan sesetengah kawasan itu sebagai “zon merah” yang bermakna berisiko tinggi dijangkiti disebabkan jumlah positif yang ramai dan sesetengah kawasan itu sebagai “zon hijau” yang bermakna selamat dan tidak berisiko tinggi.

4. Jadi, dengan adanya undang-undang dan di dalamnya ada larangan maka dengannya manusia itu akan berasa takut jika ia melanggar undang-undang; ia boleh ditangkap dan dikenakan denda atau dipenjarakan. Justeru, undang-undang itu wajib ada, bukan setakat mengatur kehidupan manusia tetapi juga bagi menyelesaikan masalah manusia itu sendiri.

5. Ini jelas terbukti jika penguatkuasa benar-benar tegas dalam melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang sedia termaktub, dengannya manusia dapat dikawal. Kawal pada segala yang baik dan buruk, untuk manusia itu mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Al-Quran dan hadis, serta sempadan hukum-hakam yang para ulama muktabar telah gariskan. Dan hal sangat jelas sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”. (Surah Al-Maaidah: ayat 47)

6. Oleh itu, keadaan yang semakin kalut dengan kecelaruan politik negara pada hari ini, seharusnya kerajaan kena mula berani mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada ke atas mana-mana rakyat termasuk individu, perkumpulan dan pemimpin politik yang melanggar Perlembagaan negara dan undang-undang negara bagi mengembalikan keamanan dan ketenteraman dalam negara.

7. Tidak ada maknanya kita gubal perundangan untuk rakyat, tetapi orang lain seperti pemimpin politik senang-senang melanggarnya dan seolah-olah mereka adalah golongan yang ‘dikecualikan’ atau ‘the untouchables‘ padahal golongan politikus itu sendiri sering melaungkan slogan tiada seorangpun “above the law”.

8. Jangan memilih dalam menghukum. Pihak yang diberi kuasa harus berlaku adil kepada semua, terutama sekali bahagian penguatkuasaan dan pendakwaan. Mereka adalah kumpulan warganegara yang istimewa yang tidak seharusnya terikat dengan mana-mana sentimen atau arahan parti politik. Mereka harus bebas sepenuhnya.

9. Rakyat akan menyokong mana-mana pemimpin yang betul dan benar dalam perjuangannya, kerana rakyat mahukan jaminan pentadbiran yang adil, saksama dan telus. Bukan pemimpin yang apabila menang akan melakukan diskriminasi kepada pihak lawan. Keadaan seperti ini boleh mendorong rakyat itu menjadi fanatik terhadap kumpulan tertentu atau parti pilihannya.

10. Rakyat mengundi wakil rakyat supaya mereka memegang amanah besar, iaitu memikul tanggungjawab untuk melaksanakan keadilan dan mentadbir negara dengan penuh integriti, selain menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat yang memilihnya. Undang-undang itu perlu dikuatkuasakan demi menjaga maslahah negara agar menjadi aman dan tenteram. Sebagaimana aturannya disebut dalam Al Qur’an:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah An-Nisaa: ayat 58)

11. Kelalaian dan kealpaan serta sikap acuh tidak acuh dalam melaksanakan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang akan mengundang malapetaka apabila rakyat semakin berani dan bersikap biadab setelah hilang sikap hormat yang tidak lagi menjadi amalan masyarakat bertamadun dengan kebudayaan yang tinggi lagi disegani. Negara Malaysia harus dikembalikan kepada landasan yang sebenarnya sebagaimana terdapat dalam prinsip Rukun Negara.

Al-Quran mengingatkan akan perkara ini dalam Surah An-Nisaa ayat 59 dengan firman:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Top