Perisytiharan Darurat Tepat Pada Masanya

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI 2021 - MUAFAKAT pernah mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan apabila mendapati majoriti politikus terutamanya di pihak pembangkang semakin kalut asyik menekan dan menimbulkan pelbagai persepsi negatif apabila sering menimbulkan pelbagai perkara kontroversi sehingga meresahkan rakyat dan seperti sengaja mahu terencatkan ekonomi negara sejak sebelum pembentangan belanjawan 2021 lagi.

Rujuk pautan:

https://www.editormalaysia.com/15522/

2. Begitu juga dengan sikap beberapa politikus yang sering berubah-ubah pendirian, ada yang bertukar parti, ada yang terpalit dengan akhlak yang buruk seperti kes rogol, rasuah melibatkan jutaan ringgit, membela gerakan pengganas antarabangsa Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) atau Pembebasan Harimau Tamil Eelam, menyokong himpunan alumni Parti Komunis Malaya (PKM) julung kali diadakan di Kajang. Boleh dikatakan wakil rakyat yang mewakili rakyat hari ini sudah tiada prinsip dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

3. Keadaan negara menjadi semakin bercelaru hingga memberi kesan kepada ekonomi negara apabila rakyat dikelirukan oleh Ahli Parlimen yang tanpa segan silu mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang hanya dengan mendakwa mempunyai majoriti sokongan daripada Ahli Parlimen semasa sidang media pada 23 September 2020, yang disiarkan ‘live‘ atau secara langsung kepada seluruh rakyat. Pengumuman sedemikian jelas tidak beretika kerana tidak mengikut lunas-lunas Perlembagaan negara apabila wakil rakyat biasa mengumumkan kerajaan telah tumbang.

4. Selanjutnya mengheret pihak Istana terlibat dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan apabila mengumumkan telah mendapat perkenan mengadap Yang Di-Pertuan Agong pada 13 Oktober 2020, bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya supaya beliau boleh mengambil alih kerajaan ketika itu. Tindakan jelek ini amat memalukan bukan hanya menampakkan kebodohan dirinya sendiri tetapi melibatkan institusi Raja-Raja Melayu dalam konflik kepartian.

Rujuk pautan:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/739787/anwar-dakwa-dapat-perkenan-menghadap-agong-selasa-depan

5. Kekecohan ini mendorong pihak Istana mengeluarkan surat pencerahan dan baginda Tuanku Agong bertitah supaya rakyat berikan segala tumpuan kepada masalah wabak COVID-19 dan memberi sokongan kepada Belanjawan Negara 2021 yang dibentangkan pada 6 November 2020, kerana negara memerlukan peruntukan bagi menangani pandemik COVID-19. Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang dibentangkan di sidang Parlimen amat penting kepada rakyat dalam usaha menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Rujuk pautan:

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiada-keperluan-isytihar-darurat-istana-negara-265234

6. Mungkin ramai tidak perasan pada perenggan kelima Surat Istana menyatakan: “Al-Sultan Abdullah berpendapat TIADA KEPERLUAN BUAT MASA INI untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.” Kenyataan sopan lagi berlapik ini mempunyai maksud tersirat namun mudah difahami iaitu BAGINDA MERASAKAN DI SAAT DAN KETIKA CADANGAN YANG DIKEMUKAKAN, NEGARA BELUM BENAR-BENAR MEMERLUKAN DARURAT. Dan tidak mustahil jika selepas belanjawan, jika wabak lebih mengancam dan jika YDP Agong mahukan supaya segera wabak ini terkawal, maka baginda dengan budi bicaranya sekali lagi boleh memberi perkenan darurat dilaksanakan.

Rujuk pautan:

https://www.editormalaysia.com/18558/

7. Malangnya keadaan tidak pulih seperti diharapkan, sementara itu masih ada pihak tertentu yang cuba juga berusaha mahu menjatuhkan kerajaan yang telah mendapat perkenan YDP Agong ini dengan berbagai helah; sedangkan kes COVID-19 kini sudah mencecah angka ribuan orang yang dijangkiti dalam satu masa, manakala wakil rakyat masih tidak selesai bertelagah, dan bercakap pasal mahu menumbangkan kerajaan hingga mendesak kerajaan supaya diadakan PRU-15 dalam keadaan kes sedang semakin naik mendadak, padahal pihak Istana sudah berulang kali menegur sikap buruk Ahli Parlimen yang asyik bertelagah pasal politik.

8. Dengan perisytiharan DARURAT oleh pihak Istana, setelah memperhalusi penjelasan YAB Perdana Menteri, maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

9. Oleh itu, dari kesempatan ini MUAFAKAT mencadangkan supaya pakar bidang mengambil alih kerajaan sementara bawah kawalan darurat supaya dapat melakukan sesuatu yang terbaik bagi menyelamatkan keadaan negara, baik daripada sudut ekonomi yang khabarnya merudum jatuh, kes wabak semakin meningkat, dan masalah pendidikan yang terbantut – pelajar terpaksa belajar melalui online manakala kemudahan internet tidak merangkumi seluruh negara menyebabkan sebilangan pelajar tercicir dan masalah bencana banjir yang menyebabkan ramai rakyat menanggung derita kesusahan.

10. Semua ini memerlukan belanja besar dan mereka yang pakar bidang yang benar-benar mempunyai semangat patriotik membela negara sahaja mampu mengalas tanggungjawab besar ini; bukannya diberi kepada politikus tamak yang hanya mementingkan kuasa dan harta.

Negara ketika ini memerlukan golongan profesional yang serius mahu menyelamatkan negara bukan politikus yang mahu menyelamatkan diri dan harta sebagaimana pesan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah agar rakyat jangan menyerahkan amanah atau tanggungjawab kepada golongan yang bermoral rendah, terpalit rasuah, salah guna kuasa, tidak amanah dan tidak ikhlas.

Rujuk pautan:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/775391/jangan-serah-amanah-kepada-golongan-bermoral-rendah-sultan-nazrin

11. Sedar atau tidak, realitinya negara memerlukan perubahan, atau dalam kata lain negara perlu kepada ‘reset‘ daripada segala ‘kekaratan’ yang dilakukan oleh golongan politikus yang telah sekian lama berkuasa dan melakukan berbagai kerosakan ke atas negara tercinta ini. Sejujurnya, rakyat mahu hidup aman damai, negara harus berada dalam keadaan harmoni dan persekitaran mesti berada dalam suasana selamat.

Tiada jalan terbaik melainkan negara perlu direset sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia.

Rujuk pautan:

https://www.sinarharian.com.my/article/114549/KOLUMNIS/Reset-Malaysia.

12. Akhir kalam, MUAFAKAT menjunjung tinggi titah perintah perisytiharan darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, bagi seluruh Persekutuan berkuatkuasa mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Rujuk pautan:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/775260/teks-ucapan-pengumuman-khas-darurat-oleh-pm

MUAFAKAT berharap negara akan dapat “direset semula” dan moga-moga keadaan akan lebih baik selepas 1 Ogos 2021, In sha Allah.

“DAULAT TUANKU…”

Haji Rashidi Haris

Ketua Media MUAFAKAT

 

Top