Adakah Kini Fahaman Komunisme Bukan Lagi Ancaman Kepada Negara?

KUALA LUMPUR, 3 JANUARI 2021 - ”Komunisme jelas bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia merupakan fahaman yang menolak kewujudan Tuhan”

Telah tular di media sosial kelmarin mengenai dua buah premis makanan tersohor di Pulau Pinang yang menjadikan “Revolusi Kebudayaan China” atau Cultural Revolution of China sebagai tema restorannya dengan menghiasi dinding premis tersebut dengan gambar pemimpin agung revolusi China; Mao Zedong atau Mao Tse Tung (1893 – 1976), di mana perkara ini telah mengundang kegelisahan di kalangan rakyat terutamanya mereka yang pernah hidup di zaman Bintang Tiga sempat memerintah negara selama 14 hari pada tahun 1945 selepas tentera Jepun menyerah kalah.

2. Restoran tersebut ialah Xiang Ge Li La – Hunan Cuisine on Moulmien Road, Pulau Tikus, Pulau Pinang dibuka pada tahun 2016, manakala sebuah lagi restoran Xiang Ge Li La Zheng Zhong Hu Nan Cai Guan, beralamat No. 30, Ground & Mezzanine, Jalan Icon City, Icon City, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang dibuka pada 2019. Kedua-dua pemilik restoran ini telah memilih tema berkonsep ideologi komunisme sebagai tema latar belakang restoran mereka.

Apa itu Revolusi Kebudayaan China?

3. Revolusi Kebudayaan di Tanah Besar China antara tahun 1966 dan 1976 adalah merupakan salah satu momentum terpenting pada masa kejayaan pemimpin agung Parti Komunis China, era Mao Zedong menguasai seluruh negara China dan seterusnya melaksanakan pemerintahan kuku besi menzalimi rakyatnya sendiri dengan alasan mahu membersihkan negara daripada unsur-unsur “bourgeois bebas” tetapi sebenarnya niat Mao Zedong adalah mahu menangkis ancaman dari pesaingnya iaitu Liu Shaoqi dan Deng Xiaoping.

4. Revolusi yang dikategorikan sebagai salah satu yang terbesar di dunia itu ditandai dengan dibentuknya Pasukan Merah atau Red Bridge iaitu kumpulan mahasiswa pendukung Mao beserta ajaran-ajaran fahaman komunisme mengikut cara Mao sekalipun asasnya berpaksikan kepada ideologi Marxis nukilan Karl Marx dan konsepnya lebih bercorak kekerasan sama seperti Bolshevik oleh Vladimir Lenin.

5. Di sebalik nama sebagai Revolusi Kebudayaan, pergerakan tidak hanya dilakukan sebatas kebudayaan sahaja, tetapi juga meliputi sejumlah aspek penting lainnya termasuk pada lembaga kemasyarakatan. Zaman ini iaitu zaman Revolusi Kebudayaan merupakan zaman pemutihan bagi menerapkan ke atas semua rakyat negara China mentaati fahaman komunisme atau sebenarnya menerap fahaman Maoisme Mao Zedong seorang sahaja. Slogan seperti demi rakyat, untuk rakyat adalah retorik bagi menyebar luaskan fahaman komunisme dengan menolak sistem kerajaan beraja.

6. Persoalannya sekarang; adakah negara kita sudah selamat dari ancaman fahaman komunisme ini? Adakah hari ini kita sudah boleh berlapang dada bahawa fahaman yang suatu ketika pernah menzalimi rakyat negara kita, kini sudah boleh diterima dan tidak bercanggah dengan sistem pentadbiran negara yang mengamalkan Raja Berperlembagaan?Sudah berulang kali perkara ini dibangkitkan namun kelihatannya rakyat tidak ambil peduli, seolah-olah kebebasan bersuara dalam piagam hak asasi membenarkan semua perkara ini.

7. Bagi MUAFAKAT, perkara ini sangat merbahaya dan boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara, sebagai umat Islam yang bertauhidkan Allah SWT, kita tidak boleh menerima masuk fahaman sesat ini ke dalam negara kita. Kenyataan MCA Penang jelas melanggar prinsip negara yang sudah jelas bahawa dasar kita; “matlamat tidak menghalalkan cara” yang salah tetap salah, dan yang benar tetap benar.

8. Sama ada kita mahu sedar atau tidak, semua ini bagaikan taktik jarum halus ke arah pembentukan negara republik dan seperti yang berulang kali MUAFAKAT telah berpesan, gerombolan komunis tidak lagi diam di dalam hutan tetapi kini sudah berada di bandar dan agendanya tidak pernah luput iaitu mahu menghapuskan sistem beraja negara dan membina negara republik berkonsepkan ideologi komunisme.

9. Slogan hak asasi manusia hanyalah retorik politik bagi mengaburi mata orang ramai dengan laungan, “demi rakyat, untuk rakyat, dan bersama rakyat”. Ideologi yang berakarkan kepada komunisme jika tidak dibendung akan berakhir dengan kemunculan anasir baru yang menolak kewujudan Tuhan, sekaligus menolak amalan keagamaan dan keadaan ini sedang berlaku di Xinjiang sekarang, apabila umat Islam Uighur disembelih dan dipaksa meninggalkan agama Islam.

10. Adakah kita mahu keadaan yang sama seperti di Xinjiang berlaku di negara kita? Jika bukan sekarang tetapi dalam masa 5 atau 10 tahun akan datang, akibat dari sikap ketidakpedulian kita untuk mahu ambil peduli dengan kemelut politik yang sedang berlaku di dalam negara kita hari ini. Kecelaruan pendapat dan ideologi parti juga dilihat semakin teruk dan dinamik, lebih berbahaya lagi kepada masyarakat majmuk, yang kini berusaha bertahan supaya negara kekal aman dan harmoni.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Top