Lucut Anugerah Gelaran Daripada Penderhaka

KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER 2020

1. Menyentuh soal politik negara, sidang Dewan Rakyat terakhir bagi tahun 2020 baru sahaja ditangguhkan dengan dua keputusan besar telah berjaya dicapai iaitu:

(i) Pembentangan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 sekalipun perjalanannya menimbulkan suasana tegang dan kritikal pada saat akhir namun ia berjaya berakhir dengan keseluruhannya Belanjawan 2021 diluluskan dan,

(ii) Pengabsahan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional bawah pimpinan TS Muhyiddin Yasin diperakukan oleh Dewan Rakyat sepenuhnya setelah melepasi 31 undian dan dimuktamadkan pada Bacaan Ketiga Belanjawan 15 Disember 2020 lalu.

2. Namun satu perkara yang lebih penting harus dilihat daripada keseluruhan pembentangan Belanjawan itu ialah perbuatan menderhaka politikus Pakatan Harapan yang terang-terangan telah melanggar Titah Perintah Tuanku Yang DiPertuan Agong selaku Ketua Negara sejak “Surat Istana” dikeluarkan sehingga tiba hari pembentangan Belanjawan. Kelihatannya seperti “menjunjung titah perintah YDPA” tetapi pada hakikatnya, mereka hanya berpura-pura.

3. Kendatipun demikian, jelas terserlah penderhakaannya yang diketuai Tun Dr. Mahathir yang menjadikan Tengku Razaleigh atau Ku Li sebagai kambing hitam. Tun Mahathir telah menyeru kepada semua Ahli Parlimen supaya menolak Belanjawan 2021, walhal semua pihak menyedari pada masa ini, negara amat memerlukan belanjawan tersebut diluluskan bagi memulihkan dan menjana semula ekonomi negara yang merudum akibat wabak Covid-19.

4. Penderhakaan dan sikap hipokrit mereka yang seolah-olah tidak pernah berputus asa dan rakus masih berebut kuasa, tanpa rasa bersalah sedikitpun, melanggar titah YDP Agong lantas telah memperlihatkan sikap biadap secara terang-terangan dengan mengundi untuk menggagalkan Belanjawan 2021. Rakyat wajib sedar bahawa setiap undian protes Ahli Parlimen Pakatan Harapan ke atas pembentangan belanjawan itu bermaksud mahu membatalkan belanjawan berkenaan.

5. Namun, setiap percubaan jahat mereka itu berakhir juga dengan kegagalan kerana disokong oleh Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional. Di mana letaknya retorik “Ahli Parlimen Pakatan Harapan ingin menyelamatkan Malaysia” serta “Pakatan Harapan mahu pertahan mandat rakyat yang mengundi mereka dalam PRU-14 dahulu” jika mereka terang-terangan menentang Belanjawan 2021 semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan yang sah dengan cara yang amat jijik?

6. Ekoran itu, Pakatan Harapan cepat-cepat membuat ‘damage control‘ kononnya beralasan “mereka sengaja membiarkan belanjawan berkenaan lulus” walhal ternyata betapa bercabangnya lidah mereka. Jika benar bagai dikata, mengapa Pakatan Harapan beriya-iya melawan sehingga 108 Ahli-ahli Parlimen yang membantah?

7. Sebab itulah ramai berpandangan sikap berdalih mereka itu hanya akan menampakkan “dendam kesumat politik” dan “sakit jiwa” pihak Pakatan Harapan ke atas kerajaan Perikatan Nasional. Harus diingatkan, Pakatan Harapan jangan sekali-kali cuba memperbodohkan rakyat dengan alasan dangkal setelah jatuh tersungkur di Dewan Rakyat yang mulia berkenaan.

8. Kini selepas pembentangan di Parlimen, rakyat mahu melihat prinsip “walk the talk” oleh pihak Perikatan Nasional dengan menyeru YAB Perdana Menteri bersama para Kabinetnya, memulakan azam dan tekad baru bagi memacu negara sehingga mencapai kejayaan ke tingkat yang lebih baik. Jelas sekali, Pakatan Harapan sudah hancur, tidak mampu berfungsi sebagai parti alternatif.

9. Anwar Ibrahim juga jelas telah gagal mengemukakan bilangan yang beliau dakwa amat meyakinkan sekian lama. Hendak sangat “undi percaya” maka majoriti AhliParlimen dan rakyat kini percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional!

10. Begitu juga kemunculan Tun Mahathir bersama Ku Li di sidang media pada saat akhir hari pembentangan, bersama dengan cadangan ‘desperado’nya juga kecundang. Malangnya tindakan terdesak Tun Mahathir itu penyudahnya telah memalukan dirinya sendiri sebab rakyat sudah serik bergantung harap kepada beliau.

11. Masa Tun Mahathir sudah berada di hujung hayat karier politiknya, tersirat agenda beliau tidak mahu menerima Anwar sebagai Ketua Pembangkang malah sanggup memperalat Ku Li, yang diulas oleh pemerhati politik sebagai “kuda tua yang tidak dapat ditunggangi lagi untuk ke garis penamat – game over”. Langkah terbaiknya disyorkan ditarik balik anugerah dan semua gelaran kerana menderhaka. Itu bukan sifat dan ciri ‘negarawan’ kerana seorang negarawan sebenar tidak akan sekali-kali berusaha untuk menghancurkan nasib dan masa depan rakyat dan negaranya!

12. Sudah sampai masanya juga untuk YAB Perdana Menteri dan para menteri serta agensi kerajaan menyemak semula semua kes-kes yang telah disalah urus ketika zaman Pakatan Harapan dan juga 22 tahun Tun Mahathir, termasuk yang digugurkan tanpa perbicaraan, kes-kes yang boleh dianggap ‘wrong judgement‘ oleh Peguam Negara dan Badan Kehakiman. Semua ini perlu diadili dengan penuh ketelusan. Kes-kes berat ini perlu ditangani segera kerana kejayaannya akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menakhodai Kabinetnya.

13. Persoalan mengenai kes-kes mahkamah ini juga merangkumi kes berprofil tinggi seperti “pembelian banglo dan terowong Pulau Pinang” yang melibatkan Lim Guan Eng, kes-kes hasutan dan penghinaan ke atas YDP Agong serta Raja-raja Melayu, pembelaan kes berprofil tinggi seperti pembunuhan arwah Adib dan semakan semula ke atas tindakan pentadbiran mantan menteri-menteri Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang lalu yang telah menghancurkan sekian banyak agensi, GLC serta syarikat berkepentingan Melayu-Islam seperti Khazanah, Tabung Haji, LTAT, Felda, FGV, Petronas dan lainnya. Syarikat-syarikat dan agensi-agensi ini semua menjadi mangsa korban semata-mata sebagaimana yang diwar-warkan hebat dalam media sosial sebagai “dendam kesumat pihak tertentu terhadap kejayaan orang Melayu-Islam”.

14. Selain itu, kerajaan juga harus memikirkan mekanisme terbaik bagi menangani isu harta dan aset berkepentingan Melayu-Islam. Kerajaan perlu kembalikan hak agensi-agensi tertentu, beserta pegawai kontrak yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka kononnya atas alasan “fungsi agensi tidak relevan lagi sebab negara bakal berhutang RM1 trilion” dan sebagainya, iaitu dengan menilai semula kepentingan strategiknya di samping menawarkan semula jawatan selayaknya sekurang-kurangnya dalam tempoh pandemik yang amat mencabar ini.

15. Pihak KSN, SPRM, PDRM dan Ketua Audit Negara, wajib memulakan siasatan terperinci bagaimana kerajaan PH boleh meluluskan 30 perjawatan lantikan khas mantan Menteri Kewangan PH yang khabarnya telah menjarah semua kepentingan strategik negara. Media ada melaporkan gaji dan elaun pegawai lantikan berkenaan telah dibayar atas emolumen kerajaan atas wang pembayar cukai malah dikatakan menyewa khas ruang pejabat di luar bangunan kerajaan.

Rujuk: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/25/tony-pua-operasi-kerajaan-akan-lumpuh-jika-kurangkan-penjawat-awam/

16. Semua ini adalah sebahagian daripada episod dan strategi rompakan paling dahsyat hasil-mahsul negara. Inilah yang dikatakan oleh kebanyakan pemerhati, sarjana dan orang awam sebagai “tindakan sesetengah pihak bertujuan mahu memusnahkan dan melumpuhkan sendi-sendi utama ekonomi Melayu-Islam secara senyap tetapi berkesan” dengan berselindungkan di sebalik pelbagai ‘projek baru’. Begitu juga pembatalan dasar lama dalam tempoh 22 bulan Pakatan Harapan bermaharajalela kononnya “ingin menghumban bekas Perdana Menteri ke-6 serta Menteri BN dan menghukum kerajaan lama”.

Rujuk: https://utusanborneo.com.my/2018/10/26/tindakan-ph-batal-banyak-projek-disifatkan-mendiskriminasi-hak-pembangunan-rakyat

17. Mulai sekarang, kerajaan perlu serius dalam memperjuangkan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan kerana inilah yang diperjuangkan oleh NGO daripada kalangan rakyat marhaen, antaranya bangkit mengajak rakyat menolak ICERD, himpunan yang mencatatkan rekod perhimpunan jalanan terbesar dalam sejarah negara. Rakyat melalui suara-suara NGO inginkan hak rakyat yang mengundi dikembalikan, nasib mereka dibela, keistimewaan mereka dipertahankan, darah, air mata dan keringat pejuang-perjuang terdahulu yang menitis dihargai semula dan paling penting, keadilan ditegakkan pada tempat dan masanya.

18. Episod khianat Pakatan Harapan dalam Dewan Parlimen sudah terburai lingkup, kini retak menanti belah dan “the blame game will start very soon”. Peralihan rakyat kini adalah difokuskan kepada kerajaan PN yang diharap dapat terus memberikan khidmat bakti terbaik berbakikan kuasa pemerintahan yang sah lagi direstui rakyat dan mendapat perkenan YDP Agong selaku Ketua Negara sehinggalah mandat politik baru diberikan rakyat pada PRU-15 kelak.

Kepada Allah SWT jua kita berdoa dan bermunajat diberi taufik dan hidayah.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Top