Apa Lagi Kerenah Anwar Selepas Bajet?

KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER 2020

1. Menyentuh soal politik negara, semalam berakhir sudah pembentangan dan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021, terbukti Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan berturut-turut dalam setiap pengundian tanpa menang sekalipun dalam pengiraan sokongan terhadap Bajet 2021 sejak dari Bacaan Pertama, Kedua serta semakan Jawatankuasa dan akhir sekali pada Bacaan Ketiga, kekalahan ini merupakan aras petanda paling jelas bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) berada pada kedudukan kukuh sekalipun dengan segala asakan, bujukan dan putar belit percaturan politik dalaman negara.

2. Dengan matinya teriakan “convincing and formidable figures” di meja belah bahagi petang 15 Disember 2020 yang lalu, ia menjadi bukti jelas bukan sahaja setakat mengenai kelulusan RUU Perbekalan Tahun 2021, tetapi isyarat jelas bahawa kerajaan PN sudah lulus ujian “undi percaya” yang hebat dihimpit dengan gegak gempita seribu tohmahan.

3. Dengan mengungkit kembali ucapan yang pernah dilontarkan oleh Tun Mahathir suatu ketika dulu: “Satu undi lebih adalah satu kemenangan”, maka sedar atau tidak, diperakui atau tidak, Perikatan Nasional sudah perolehi “tiga kemenangan”. Sekalipun propaganda pendengki mencanang dengan hebat kerajaan PN sebagai lemah dan Bajet 2021 adalah yang paling teruk dalam sejarah negara.

4. Ternyata segala strategi Pakatan Harapan semuanya tidak menjadi, ini termasuk langkah terakhir dengan nekad ‘kamikaze’ apabila ‘otai’ politik negara bergabung, Tun Mahathir dan Ku Li cuba membawa naratif “apapun MP perlu tolak Bajet 2021 tanpa mengira parti tetapi utamakan kepentingan rakyat” – kononnya bajet tidak meletakkan langsung kepentingan rakyat, tetapi segalanya mengenai kroni dan ketamakan, padahal perkara yang sedemikian adalah sebaliknya iaitu sewaktu era mereka berdua.

5. Sepanjang tempoh pembentangan dan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021, terserlah hakikat sebenar bahawa pakatan pembangkang dilihat saling bercakaran sesama sendiri, antara parti sering tidak sependapat hingga memberi alasan tidak faham isyarat, bertelagah hendak ikut arahan dari ketua yang mana satu? Masing-masing terpinga-pinga gagal bersetuju untuk meletakkan seorang Ketua yang boleh dihormati oleh semua parti dan yang paling penting – tiada visi dan content sebuah bajet alternatif untuk menarik minat semua Ahli-ahli Parlimen termasuk mereka daripada Perikatan Nasional.

6. Naratif lapuk kononnya Ahli Parlimen perlu tolak amalan kleptokrat, rasuah dan tuduhan ‘pencuri’ dan ‘merompak’ wang negara cuba dimainkan tetapi peliknya terhadap DS Najib bukannya terhadap TS Muhyiddin dan ia tiada kena mengena dengan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, disertakan dengan pelbagai lagi propaganda palsu namun semuanya tidak berupaya melekat di hati Ahli Parlimen.

Lebih-lebih lagi apabila terbongkar sudah nafsu serakah dan berahi politik Tun Mahathir apabila semasa sidang media tergamak menawar diri sekali lagi sebagai Perdana Menteri. Dengan alasan jika berjaya menjatuhkan kerajaan PN tetapi tersungkur gagal di meja undian, strategi licik yang tidak licik dengan memperalatkan Ku Li.

7. Begitulah ‘backfired’ unjuran Pakatan Harapan, sekaligus pimpinan mereka terpaksa menanggung malu besar ‘dilondehkan’ oleh tangan-tangan mereka sendiri di hadapan 32 juta rakyat menonton secara ‘live‘ tingkah laku ahli pembangkang yang jelas kelihatan mereka sesama sendiripun tidak sebulu.

8. Justeru, jika dalam perlawanan bolasepak antarabangsa dengan kemenangan 3 – 0 penuh bergaya ini, Perikatan Nasional sudah boleh terus mengorak langkah penuh bergaya melaksanakan segala dasar dan strategi bajet yang sudah digariskan tanpa perlu ambil peduli sebarang bentuk sabotaj atau tindakan liar Pakatan Harapan yang pastinya masih belum boleh menerima hakikat rakyat sudah kenal dan menolak lakonan murahan mereka.

9. Namun, tidak dinafikan juga dengan pengalaman yang diperolehi oleh sebahagian daripada ahli Perikatan Nasional semasa bersama Pakatan Harapan, ini harus juga bersiap sedia bahawa mereka tetap akan kembali berusaha merampas kembali kuasa walau dengan apa cara sekalipun. Kalau dahulu dengan teori dan persepsi serta formula-formula yang merapu, mungkin kali ini dengan propaganda memfitnah seada yang boleh.

10. PH SUDAH GAGAL, pemimpinnya sudah tidak relevan lagi dan rakyat hanya menanti untuk ‘checkmate’ PH dalam PRU-15 kelak. Sebagai rakyat kita harus sedar, bahawa kita bukannya mempertahankan kerajaan pilihan rakyat, tetapi mempertahan kerajaan perkenan Yang Di-Pertuan Agong selepas Perdana Menteri dari kerajaan PH itu sendiri yang meletak jawatan, dan sekarang khabarnya terhegeh-hegeh tanpa malu segan mahu menagih semula jawatan yang dilepaskannya dengan begitu sahaja.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Top