Jangan Derhaka Dengan Perkenan Lantikan Sultan

KUALA LUMPUR, 15 DISEMBER 2020 - Menyentuh soal politik negara, Tanah Melayu yang kemudiannya melahirkan negara Malaysia (dengan kemasukan Sabah dan Sarawak), amat berkait rapat dengan susur galur peradaban yang berpasakkan tiga tiang seri utama yang saling berkait: Melayu-Islam-Raja.

Ketiga-tiga tiang seri inilah yang sehingga ke hari ini terus mengekalkan keharmonian dan keamanan negara, ketiadaan salah satu daripadanya akan membuahkan kecelaruan khususnya dalam perkara urus tadbir negara.

2. Ramai pengkaji dan sarjana termasuk dari luar negara bersetuju Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah berasaskan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 1 Februari 1948 yang juga diambil asas-asasnya daripada Perjanjian Negeri-Negeri Melayu yang ditandatangani pada 21 Januari 1948. Dalam konteks ini, kita perlu diperingatkan bahawa negara Malaysia bukan bermula dari ‘vakum’ apabila negara ini mencapai kemerdekaannya dalam tahun 1957. Ia terbentuk dari Persekutuan Tanah Melayu merupakan 9 buah kerajaan Melayu yang berdaulat dan telah bersetuju untuk bergabung menjadi sebuah persekutuan dalam tahun 1948.

3. Kerajaan-kerajaan ini berusia beratus-ratus tahun dan pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Melayu Melaka yang dibangunkan dalam abad ke-13. Kerajaan-kerajaan yang berdaulat ini mewarisi ciri, jati diri atau sifat daripada warisan Kesultanan Melayu Melaka sehingga ke hari ini.

4. Teras, jati diri atau ciri utama Kesultanan Melaka adalah Islam yang dizahirkan dalam bentuk perundangan Kanun Melayu Melaka, manakala kerajaan-kerajaan Melayu yang merupakan bahagian daripada jajahan Kesultanan Melaka mengambil prinsip daripada Kanun Melaka menjadi asas perundangan bagi negeri masing-masing sehingga berlaku sejarah pemersatuan negeri-negeri Melayu ini pada tahun 1948, dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Ikatan warisan ini tidak pernah terlupus sehingga negara ini merdeka dalam tahun 1957 yang menjadikan agama Islam sebagai asas dan teras perundangan negara, hatta lahirnya Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan 1957 yang mengabsahkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

5. Oleh sebab Raja-Raja Melayu sudah mentadbir Negeri-Negeri Melayu sekian lama sejak sebelum era merdeka atas asas Hukum Syariat dan Hukum Adat (adat yang patuh syariah), daripada ajaran alim ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah melalui cerminan kearifan lokal, maka kesultanan-kesultanan Islam berkenaan terus berkesinambungan sehingga membawa kepada perkenan DYMM Raja-Raja Melayu untuk melahirkan “Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu” bermula pada 5 Ogos 1957 dan berakhir pada 31 Ogos 1957, dengan pelantikan seorang YDP Agong dari kalangan sembilan Raja-Raja Melayu bergilir setiap lima tahun.

6. Kebelenturan daripada kearifan lokal (local wisdom) yang mengambil kira perubahan zaman dan keadaan inilah yang telah mampu melestarikan Institusi DiRaja kita, manakala sebahagian daripada sistem politik negara diadaptasi kepada bentuk moden bercirikan demokrasi berparlimen ala Westminster dengan seorang Perdana Menteri selaku Ketua Pentadbir bagi Kerajaan Yang DiPertuan Agong, yang dilantik di kalangan Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen dan diperkenankan oleh YDP Agong selaku Ketua Utama Negara.

7. Keperkasaan Institusi di-Raja warisan Tanah Melayu inilah juga yang telah berjaya menyelamatkan negara dan warga daripada sebuah political impasse pada 24 Februari 2020 apabila PM ke-7 meletakkan jawatan diikuti seluruh barisan kabinetnya di mana politikus gagal mencari penyelesaian sesama mereka walau negara sudah diserah tadbir oleh Raja-Raja Melayu sejak merdeka.

8. Seluruh dunia menjadi saksi betapa YDP Agong berjaya menjalankan fungsi Raja Berperlembagaan, Baginda yang cukup teliti di mana melalui prerogatif daripada peruntukan Perlembagaan Baginda telah;

(i) Memanggil dan bertemu Ketua-Ketua Parti Politik (ada yang beberapa kali) yang menang dalam PRU-14,

(ii) Mengambil Akuan Bersumpah (SD) kesemua 222 Ahli Dewan Rakyat sebagai beban bukti sokongan majoriti Perdana Menteri cadangan,

(iii) Merujuk kepada Pejabat Peguam Negara, Ketua Hakim, pakar Perlembagaan dan Ketua-Ketua Perkhidmatan Awam, Panglima Angkatan Tentera serta Ketua Polis Negara sebelum akhirnya merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu,

(iv) Dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai proses yang cukup rumit tetapi menepati prinsip Rule of Law dalam memuktamadkan pelantikan TS Muhyiddin Yasin sebagai PM ke-8 yang sah dan berperlembagaan. Dalam erti kata pelantikan Perdana Menteri ke-8 tidak bercanggah dengan ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan.

9. Jika sedemikian panjang susur galur dan jerit payah yang diredah sendiri oleh seorang Raja dalam amanah sebagai Ketua Utama yang amat sayangkan negaranya, maka barang pastilah jawatan Ketua Pentadbir Kerajaan Yang di-Pertuan Agong yang baru yang kuat didendangkan oleh mana-mana Ahli Dewan tidak semudah hanya dengan berkata “I have the numbers” atau dengan hanya membawa sejumlah SD disembah maklum kepada ke bawah Duli yang DiPertuan Agong untuk mendapat perkenan sebagai Perdana Menteri ke-9 yang baru.

10. Sedarlah dan ikutilah proses sahih yang sedia termaktub dalam konvension yang diamalkan di negara ini – ini bukan sinetron kanak-kanak memohon gula-gula daripada orang tua, diberi gula, disuruh main jauh-jauh.

Sesungguhnya, kita sudah mewarisi lebih 1000 tahun peradaban berkerajaan, hikmah, kebijaksaan, kematangan serta pengalaman dalam bersiasah, apatah lagi mengenangkan bahawa asas dan dasar itu sudah terpasak sebagai siasah berteraskan syariah dan adat atau konvension Melayu yang mengadunkan kearifan lokal berpaksikan wahana Melayu-Islam-Raja berkenaan.

11. In sha Allah, kita ingat dan tidak mudah lupa kali ini! Walaupun dahulunya berkali-kali kita dihina, malah ada yang apologetik mengatakan kata-kata sedemikian sebagai pemetik semangat apabila ucapan ini sering dilantun; Melayu mudah lupa!

Yang merakus dan terus alpa hanyalah politikus yang semakin ditinggalkan, bakal ditelan sejarah – jejaknya kini semakin hilang ditelan ombak di pantai zaman! Untuk sekian kali ini, rakyat khususnya Melayu Islam perlu berani menolak dan membuang politikus-politikus korupsi ini daripada pentas politik negara kita yang akan datang.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top