Membolehkan Pengamalan Penganut Agama Lain Adalah Ajaran Islam

KUALA LUMPUR, 7 DISEMBER 2020

1. Bapa Sekular, Lim Kit Siang, mengkritik Perdana Menteri yang berucap memerangi sekularisme dan liberalisme. Ini dilaporkan oleh beberapa gerbang berita internet pada awal Disember 2020. Kritikan itu nampaknya atas alasan suatu pandangan dengan kaca mata berwarna sekular oleh Bapa Sekular ini terhadap Perlembagaan Persekutuan, perkara 3. (1) yang menyatakan bahawa, “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.” Kelihatannya, dalam sangkaan Bapa Sekular ini, apabila agama-agama selain Islam boleh diamalkan oleh penganut agama tersebut di Malaysia, maka Malaysia adalah negara sekular.

2. Di sini, Muafakat mengajak semua rakyat Malaysia untuk memahami bahawa apabila Perlembagaan Persekutuan membolehkan agama-agama selain Islam diamalkan oleh penganut agama tersebut di Malaysia, maka Malaysia tidak semestinya adalah negara sekular. Bahkan sebaliknya, Islam yang membolehkan agama-agama selain Islam diamalkan oleh penganut agama tersebut di sesebuah negara Islam. Di Alam Melayu, di Tanah Melayu, di Malaya dan di Malaysia, Islam yang mengajar para Sultan dan pemerintah yang berdaulat sejak sekian lama agar membolehkan agama-agama selain Islam diamalkan oleh penganut agama tersebut di wilayah ini.

3. Sumber ajaran Islam ini adalah wahyu Al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 256 yang terjemahannya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (terjemahan Syeikh Abdullah Basmeih)

4. Amat pelik, apabila ajaran Islam ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Bapa Sekular ini mengandaikan negara ini tiba-tiba berubah menjadi negara sekular.

4. Muafakat mengajak semua rakyat Malaysia untuk memahami bahawa muslim diharamkan oleh Islam daripada memaksa penganut agama lain untuk menganut Islam. Dalam pada itu, perlu juga difahami bahawa muslim juga diharamkan oleh Islam daripada keluar meninggalkan Islam, sama ada kemudiannya menganut agama lain atau menjadi ateis yang mengingkari kewujudan tuhan serta menolak agama. Dalam peristilahan Islam, perbuatan ini disebut murtad. Ia adalah haram. Pengharaman itu pula adalah sabit, tetap, putus, qat‘i yang tiada lagi perdebatan atau perbincangan mengenai kemungkinan lain seperti makruh sahaja dalam kalangan ulama dan sarjana Islam sejak zaman awal Islam 1400 tahun dahulu. Dalam undang-undang sedia ada di Malaysia, murtad keluar daripada Islam ini juga telah diharamkan.

6. Melihat kepada perihal Perlembagaan Persekutuan membolehkan agama-agama selain Islam diamalkan oleh penganut agama tersebut di Malaysia daripada perspektif sekularisme dan liberalisme, Muafakat mengajak semua rakyat Malaysia untuk memahami bahawa Bapa Sekular ini tidak bercakap soal kebolehan mengamalkan agama atau ketiadaan paksaan dalam menganut mana-mana agama. Sebaliknya, Bapa Sekular ini bercakap soal kebebasan beragama. Perbezaan frasa dan konsep ini perlu disedari, kerana kebebasan beragama merangkumi keharusan orang Muslim untuk murtad meninggalkan agama Islam. Inilah titik perbezaan antara perspektif sekularisme dan liberalisme terhadap Perlembagaan Persekutuan, perkara 3. (1) dengan kefahaman Islam terhadap perkara tersebut yang bersumberkan ajaran wahyu dan sejarah kedaulatan Sultan dan pemerintah Alam Melayu. Akibat sifat anti Islam dan kejahilan sejarah Alam Melayu, maka terbit alasan yang menyangka perkara 3. (1) tersebut secara tiba-tiba mengubah Malaysia menjadi negara sekular. Bahkan, tiada sepatah perkataan ‘sekular’ pun dalam Perlembagaan Persekutuan yang sudah dipersetujui itu sebaliknya yang dimaktubkan ialah “Islam ialah agama bagi Persekutuan.”

7. Mungkin para pengampu Bapa Sekular ini, termasuk kalangan yang muslim, akan menopangnya dengan dakwaan bahawa dia menerima bahagian “Islam ialah agama bagi Persekutuan” yang ada dalam perkara 3. (1) tersebut. Di sini, perlu disedari bahawa penerimaan tersebut juga berlaku dalam kerangka sekularisme dan liberalisme, iaitu hanya aspek ajaran Islam yang merujuk kepada ruang peribadi bukan meliputi aspek ruang awam, atau dengan kata lain sekadar bacaan doa dalam upacara rasmi kerajaan. Sebaliknya, Islam yang syumul, lengkap dan sempurna, tidak pernah diiktiraf oleh puak sekular dan liberal sebagai agama bagi Persekutuan ini.

8. Secara mudahnya, Muafakat mengajak semua rakyat Malaysia untuk menerima dan menyokong pendirian Perdana Menteri dan sesiapa sahaja yang memerangi sekularisme dan liberalisme, kerana ia adalah ideologi puak yang anti Islam iaitu agama bagi Persekutuan ini, dan kerana ia adalah pegangan puak yang jahil dengan sejarah wilayah ini.

Oleh Dr. Wan Adli bin Wan Ramli

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Top