Macau Scam: Sindiket Orang Besar

KUALA LUMPUR, 12 OKTOBER 2020 - Utusan Malaysia hari ini 12 Oktober 2020 melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Datuk Addy Kanna bersama isteri beliau, Datin Alya Suhaila, serta dua bergelar Datuk Seri dan Datuk serta 8 anggota polis ditahan masing-masing berpangkat Asisten Komisioner, Superintenden, Deputi Superintenden, Inspektor, Sarjan dan Koperal dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang dipercayai terlibat melindungi sindiket penipuan siber bergelar Macau Scammer. Pihak SPRM juga telah menemui wang tunai sejumlah RM100,000 di rumah salah seorang pegawai polis yang ditahan dan telah membekukan 736 akaun bank bernilai RM101 juta manakala wang tunai RM5 juta disita, berkemungkinan besar hasil dari aktiviti pengubahan wang haram yang juga membabitkan beberapa selebriti. Kegiatan mereka ini umpama merompak dari orang miskin dan berparti sakan sesama mereka orang kaya. Berlainan daripada konsep Robin Hood yang merompak dari orang kaya lalu diagihkannya kepada orang miskin.

2. Walaupun Datuk Addy Kanna dan Geng Macau Scammer sudah ditangkap dan ditahan SPRM tetapi operasi dan aktiviti scammer masih terus berjalan, dan ini dibuktikan melalui satu durasi rakaman perbualan lebih kurang 14 minit antara seorang tidak dikenali dengan scammer dan satu lagi video seorang anggota polis wanita dengan scammer yang sedang cuba menipu. Mungkin melalui tularan rakaman suara dan video ini ke seluruh negara dapat menyelamatkan orang ramai dari menjadi mangsa scammer dan sekaligus menumpas terus sindikit haram ini.

3. Antara butir perbualan yang boleh dikutip dan menjadi persoalan ialah: Bagaimana informasi peribadi seperti kad pengenalan, nombor telefon, dan dari mana segala informasi yang bersifat peribadi ini diketahui scammer yang kemudiannya digunakan untuk memperdayakan orang ramai? Adakah ada penyelewengan pihak-pihak tertentu, berdasarkan maklumat, sasaran mereka adalah pesara yang baru memiliki wang KWSP, adalah KWSP terlibat, beri data kepada scammer?

4. Modus operandi ‘Macau Scam’ ini adalah dengan menyewa talian VOIP atau Voice Over Internet Protocol, yang merupakan servis perkhidmatan telefon menerusi internet dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Scammer akan menelefon mangsa dengan menyamar sebagai pegawai kastam, pihak polis, dan panggilan dari mahkamah dan apabila mangsa menjawab panggilan telefon, si mangsa akan mendapat satu arahan dari mesin operator yang kemudiannya disambungkan kepada talian telefon scammer dan dari situ bermulanya usaha scammer menipu mangsa sehingga mangsa menyerahkan sejumlah wang.

5. Dari butiran di atas boleh dirangkumi terdapat empat kaedah operandi penipuan talian yang dijalankan, pertamanya operasi menang lucky draw, iaitu mangsa dikatakan telah memenangi cabutan bertuah (lucky draw) bernilai jutaan dollar dari syarikat Hong Kong serta Macau dan untuk mendapatnya mangsa diminta membayar cukai kastam dan insurans barangan yang mereka menangi. Operandi kedua ialah ‘spoofing’ sebagai pegawai PDRM atau agensi kerajaan, ketiganya spoofing sebagai pegawai Bank Negara atau bank komersil (kad kredit) dan yang keempat tipu culik dan tuntut wang tebusan.

6. Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telahpun mengisytihar perang ke atas Macau Scam, tetapi sejauh mana kemampuan yang hanya Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) menangani kegiatan ini, sedangkan agensi kerajaan sehebat PDRM pun gagal membenteras aktiviti haram ini dengan segera dan berkesan. Hanya setelah penjenayah menonjolkan dirinya barulah mereka dikesan oleh SPRM. Bagaimana jika mereka senyap dan terus menerus beroperasi dengan dipayungi oleh pegawai besar dari agensi kerajaan sebagaimana yang berlaku dari pihak PDRM?

7. Musykil bagaimana scammer boleh dapat nombor telefon dengan begitu mudah. Lazimnya modus operandi mereka dengan scammer akan menelefon mangsa kemudian apabila dijawab, operator minta tekan butang 0 untuk bercakap dengan pegawai. Kemudian baru bermula babak scamming. Sindiket Macau Scam ini juga menjalankan judi online namun akhirnya berjaya dibongkar oleh pihak SPRM dan kejayaan ini telah memberi tamparan hebat kepada PDRM dan telah menjatuhkan imejnya. PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Dan Bahagian JSJK yang sewajarnya membenteras sindiket ini tetapi sebaliknya terlibat melindungi dan bersekongkol dengan pihak sindiket. Menjadi tanda tanya sejauh mana penglibatan ramai pegawai kanan polis yang memegang jawatan command post seperti Ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah, Ketua Bahagian, Pegawai Risikan Operasi (D7) yang melibatkan penerimaan rasuah jutaan ringgit dari Macau Scammer ini?

8. Mungkin dasar mobiliti 5 tahun tidak sepatutnya dikenakan terhadap Ketua Polis Balai (KPB). Ianya sewajarnya dipanjangkan kepada mereka yang berkuasa membuka premis-premis perjudian yang terletak bawah OCPD, KBSJD dan RO D7 yang diberi lampu hijau oleh OCCI dan KP Negeri. Sepatutnya mereka ini turut dihadkan tempoh jawatan di pos-pos berkenaan. Begitu juga pos-pos di Bahagian penjawatan sama ada di peringkat IPK dan Bukit Aman. Boleh jadi kerana inilah munculnya polis korup menjual jawatan-jawatan penting yang boleh buat duit dengan harga yang tinggi kepada siapa yang sanggup memberi harga yang lebih tinggi maka merekalah yang berjaya menjawat jawatan tersebut dan akhirnya menjadi polis korup.

9. Betulkah bagi meneruskan kesinambungan polis korup ini dalam PDRM untuk terus berkuasa, pegawai-pegawai yang berkebolehan dicampak ke pos yang tidak mendatangkan hasil kepada mereka? Peluang kenaikan pangkat terus diabaikan. Yang naik semua dari kumpulan polis korup yang sentiasa ada recommendation dari kepala-kepala yang korup juga. Hakikatnya PDRM sekarang ini sudah dan sedang tenat dengan kanser tahap akhir. Kalau diubati sekalipun agak sukar untuk sembuh, melainkan satu cara sahaja iaitu buang semua polis-polis korup dalam PDRM. Pihak JIPS perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti. Jangan ada lagi istilah ‘kasihan’… lalu melepaskan anggota yang terbabit. Harap perkara seumpama ini tidak berlaku bagi menjaga kredibiliti pasukan keselamatan PDRM.

10. Saya ingin memetik kata-kata seorang Pegawai Kanan Polis berhubung isu ini: “It is indeed a shame when this happened. But there is also a different culture in the police now. Officers who can spend are accorded good post and promotions whereas officers who can’t are put into ‘cold storage’ positions. For as long as these practice exists, our beloved police force will never excel”. Untuk ini, MUAFAKAT mendesak pihak atasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu serius dalam menangani kes besar ini sebelum ia memalukan kementerian dan negara.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Top