Jangan Jadikan Kes Adib Retorik Politik Kepartian

KUALA LUMPUR, 9 OKTOBER 2020 - Semalam Rabu, 7 Oktober 2020, saya berkesempatan menghadiri majlis Pelancaran Buku Fotobiografi Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, seorang penjawat awam anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang parah diserang oleh perusuh kuil Hindu pada 27 November 2018 sehingga membawa kepada kematian beliau.

2. Berita utama melaporkan, Adib ketika kejadian sedang menjalankan tugas di kawasan para perusuh majoriti kaum India yang sedang mengganas beramai-ramai berkumpul di sekitar kuil Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya. Insiden ini menyebabkan 17 kenderaan terbakar yang mendorong pihak bomba terpaksa dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan api kebakaran.

3. Ekoran daripada peristiwa itu, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) MUAFAKAT yang berada di bawah gabungan PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM bersama dengan beberapa PIBK yang lain termasuk daripada PERTUBUHAN PEMBELA UMMAH telah bergabung dengan turun di jalanan menuntut keadilan buat Allahyarham Adib, ini termasuklah perhimpunan bersejarah penyerahan memorandum menuntut keadilan atas kematian Adib di Seri Perdana, Putrajaya.

4. Pada peringkat awal telah disahkan oleh pihak berkuasa bahawa Adib mati akibat dipukul oleh perusuh, tetapi dinafikan oleh pihak kuil dengan mengatakan beliau mati akibat kemalangan. Kenyataan ini mendorong pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menubuhkan jawatankuasa khas siasat kejadian. Dan keesokannya 29 November 2020, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tegaskan dakwaan pihak kuil tidak benar dan kenyataan ini disiarkan di akhbar Berita Harian.

5. Namun begitu hujah mati akibat kemalangan ini dijadikan pegangan oleh beberapa pemimpin negara yang ketika itu di bawah pengaruh kerajaan Pakatan Harapan (PH), hingga membabitkan Peguam Negara sendiri ketika itu – Tommy Thomas mengeluarkan kenyataan melanggar akta prosiding mahkamah dengan mengatakan Adib mati akibat kemalangan sedangkan perbicaraan masih sedang berlangsung.

6. Difahamkan semasa penyerahan memorandum dan beberapa lagi siri himpunan membabitkan Allahyarham Adib, pelbagai PIBK turun membantah kenyataan pihak yang berkepentingan dan dalam masa yang sama menuntut keadilan ditegakkan kerana kes ini melibatkan penjawat awam yang sedang bertugas mengawal api kebakaran, atau mudahnya boleh dikatakan sebagai kes membunuh kakitangan kerajaan.

7. Malangnya, semangat yang pada mulanya berkobar-kobar daripada pelbagai gabungan PIBK yang menuntut keadilan buat saudara sebangsa dan seagama ini, akhirnya jadi semakin kendur dan berkurangan sedikit demi sedikit terutamanya daripada mereka yang terkesima dengan habuan dunia setelah selesa berada dalam sektor kerajaan. Bak kata pepatah; “hangat-hangat tahi ayam”, itulah yang menimpa segelintir “pejuang-pejuang celup” yang dahulunya galak menjerit menuntut pembelaan terhadap Allahyarham Adib tetapi sesudah berada di bawah penghawa dingin yang nyaman, mulai menghilangkan diri.

8. Majlis pelancaran kelmarin agak mengecewakan, walaupun dengan kehadiran sahabat seperjuangan, Pengerusi UMMAH, Cikgu Zai yang dahulu bersama dengan ahli gabungan PEMBELA turut hadir bersama memberi sokongan kepada keluarga Allahyarham Adib. Bapa dan adik perempuannya yang banyak menyumbang memberi maklumat dalam menyiapkan buku fotografi Adib. Dan suasana beberapa kali pilu dengan kesedihan apabila ahli keluarga menceritakan kisah Adib.

9. Sehingga buku fotografi dilancarkan, perkembangan perbicaraan kes Allahyarham Adib masih belum selesai walaupun keputusan forensik telah mengesahkan Adib dibunuh. Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meletakkan harapan tinggi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan seterusnya menahan mereka yang bertanggungjawab atas kematian anggota bomba itu dua tahun yang lalu.

10. Sepatutnya perjuangan menuntut keadilan buat Allahyarham Adib harus berterusan sehingga tertegaknya keadilan dan pembunuh dihukum setimpalnya. Bagi PIBK PEMBELA, tiada noktah berhenti dalam sesuatu perjuangan sehingga matlamat tercapai. Ia bukannya perjuangan bermusim sebagaimana sesetengah PIBK terutamanya yang dinaungi oleh parti politik, bila mana hanya muncul apabila dekat PRU dan tenggelam semula selepas PRU. Bak kata seorang rakan wartawan; “Kita ini NGO bukannya NGOK.”

11. Paling mendukacitakan ada yang tergamak kata; “Justice for Adib dah selesai.” Tidakkah ada sedikit perasaan belas kasihan terhadap keluarga Allahyarham? Apakah PIBK-PIBK yang dibayangi parti politik ini tertakluk dengan naratif parti politik yang menaunginya? Satu persoalan yang hanya PIBK terbabit yang mampu menjawabnya, dan apapun itu terserah kepada mereka. Bagi PEMBELA perjuangan tidak akan selesai sehingga matlamat tercapai. Jika kita mula langkah pertama perjuangan maka pastikan kita terhenti dengan kejayaan pada noktah hentian yang terakhir.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Top