Sidang Media Anwar: Provokasi Melanggar Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2020 - Kenyataan Anwar Ibrahim pada sidang media tengah hari Rabu, 23 September 2020 sangat berbahaya dan boleh mengundang ketidakstabilan negara apabila terang-terangan perbuatan beliau itu melanggar Perlembagaan Perkara 43 (4) apabila secara terbuka beliau menyebut: “Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.”

2. Dari sudut amalan dan etika politik, selagi dia tidak benar-benar mendapat sokongan dan persetujuan daripada DYMM Tuanku YDP Agong (YDPA), sepatutnya dia sama sekali TIDAK BOLEH membuat sebarang sidang media sedemikian rupa menyatakan kononnya “sebuah kerajaan yang baru sahaja dapat pekenan YDPA tiba-tiba hari ini telah jatuh”. Kenyataan seperti ini sangat berbahaya kerana hanya YDPA yang boleh mengisytiharkan pertukaran atau jatuhnya sesebuah kerajaan.

3. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43 Jemaah Menteri, perkara 4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

4. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan di atas ini amat jelas bahawa yang layak membuat pengumuman mengenai jatuh dan tukarnya sesebuah kerajaan itu ialah Yang Di-Pertuan Agong bukannya wakil rakyat. Siapa Anwar Ibrahim sehingga begitu berani beliau melanggar perlembagaan demi matlamatnya mahu menjadi Perdana Menteri? Apakah beliau merasakan ketokohan dirinya melangkau Perlembagaan, walhal beliau hanya seorang Ahli Parlimen biasa, menteripun tidak.

5. Mengenali Anwar Ibrahim sejak beliau dalam ABIM lagi dengan lidah berbelitnya, ini adalah strategi beliau untuk memberi tekanan kepada pihak tertentu yang didapati mengancam matlamatnya untuk menjadi Perdana Menteri, terutamanya didapati ada agenda mahu menolak beliau dan mengangkat Shafie Apdal menggantikan beliau sebagai bakal Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan.

6. Atau mungkin juga ini percubaan beliau untuk mengalih perhatian mengenai isu kelmarin apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan menolak permohonan untuk mengetepikan saman seorang peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan saman untuk mencabar nasihat Lembaga Pengampunan terhadap Yang DiPertuan Agong berkaitan kes liwat Presiden PKR Anwar Ibrahim. Kesan kepada isu ini beliau boleh kehilangan kerusi Parlimen Port Dickson dan tidak boleh bertanding PRU-15 nanti.

7. Dalam masa yang sama, sidang media itu juga seolah-olah mahu memberi tekanan kepada musuh-musuh politiknya tetapi termasuk juga YDPA supaya turut sama merasa tertekan dan terpaksa menyokong Anwar dengan cara Anwar membuat pengumuman mendahului YDPA. Dengan alasan beliau telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong kelmarin, pada Selasa 21 September jam 11 pagi, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Baginda kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

8. Anehnya, sebaik selesai sidang media Anwar Ibrahim, pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, GPS masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Begitu juga beberapa Ahli Majlis Tertinggi PAS (18 MP) dan UMNO (39 MP) menafikan akan melompat parti atau menyokong beliau.

9. Dalam pada itu, adalah menyalahi Perlembagaan dan amalan politik Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang menjadi teras pemerintahan negara sekian lama. Tindakan ‘desperado’ Anwar Ibrahim ini juga merupakan langkah kotor beliau untuk menganggu dan cuba mempengaruhi PRN Sabah agar pengundi ‘swing‘ mengundi pihak yang bersama beliau.

10. Mungkin juga beliau berani buat pengumuman itu kerana telah dapat dana yang cukup besar daripada sumber-sumber sekutunya dari luar untuk mendapat sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen yang bersedia untuk “melompat lagi” atau yang “akan melompat” sebagaimana dakwaan beliau dengan penuh keyakinan menyokongnya.

11. Pengumuman Anwar Ibrahim pada sidang media tersebut boleh menimbulkan keresahan ramai dan ketidakstabilan politik negara serta ekonomi. Anwar Ibrahim perlulah bermuhasabah diri agar tidak berterusan menyusahkan rakyat dan negara ini.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Top