Liberalisme: Kebebasan Melampau Bersifat Kebinatangan

KUALA LUMPUR, 22 SEPTEMBER 2020 - Negara kita hari ini berdepan dengan ideologi liberalisme, apabila tanpa segan silu tampil seorang dengan bangga berkata; “Aku seorang liberal” dan terbaru ada seorang telah mempromosi perjuangannya iaitu “Aktivis Memperjuangkan Kebebasan Berhijab”. Fahaman sesat ini berasaskan kebebasan – bebas dalam erti kata tidak dikongkong langsung oleh agama. Ideologi ini pula dilihat berangkaian dengan beberapa ideologi lain yang saling berkait antara satu sama lain – antaranya, feminisme, sekularisme dan lain-lain. Semuanya bertunjangkan kebebasan.

2. Perundangan dalam negara kita menetapkan sesiapa sahaja yang berhujah atas nama kebebasan dan hak asasi sekalipun, jika jelas melanggar norma kehidupan manusia dan peruntukan undang-undang, dia tetap dikira bersalah dan layak dikenakan hukuman. Itulah dasarnya. Tidak ada istilah mengatakan undang-undang itu mengongkong sehingga Perlembagaan perlu digubal supaya bersesuaian dengan kebebasan sebagaimana yang difahami oleh golongan liberal.

3. Orang awam perlu sedar bahawa laungan kebebasan oleh puak-puak liberal adalah retorik semata-mata, ini kerana mereka bermuka-muka dalam perjuangan mengarut mereka itu. Sebagai contoh, mereka bercakap tentang memperjuangkan kebebasan wanita berpakaian, tetapi mereka menyindir wanita yang bertudung labuh. Ertinya mereka menuntut hak untuk berbogel tetapi hak kepada yang mahu menutup aurat mereka perlekehkan.

4. Dalam bab berfesyen (berpakaian) termasuk menutup aurat bahagian kepala, Islam telah menetapkan sebagaimana dalam Al-Quran menyebut:

“Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuan-mu serta wanita-wanita yang beriman, agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya; yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
(Surah Al-Ahzab: ayat 59)

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepada mereka”.
(Surah An-Nur: ayat 31)

5. Hujah oleh puak liberalis yang mengatakan bahawa tiada ayat di dalam Al-Quran yang menyatakan bahawa KEPALA dan RAMBUT WANITA adalah sebahagian dari aurat wanita adalah satu hujah yang tidak tepat. Pada Surah An-Nur, ayat 31 di atas tadi merupakan sandaran utamanya dan antara salah satu sebab mengapa sebahagian golongan tergelincir dalam memahami ayat ini adalah kerana perkataan ‘khimar’ atau ‘khumur’ memiliki lebih daripada satu makna dalam bahasa Arab. Salah satu makna perkataan khimar adalah penutup manakala makna yang kedua adalah penutup kepala. Tidak dapat dinafikan bahawa penguasaan bahasa Arab yang baik adalah penting dalam mentafsirkan Al-Quran, tetapi, berpegang dengan bahasa Arab semata-mata dalam mentafsirkan Al-Quran dan mengabaikan kaedah-kaedah tafsir yang lain boleh mengakibatkan seseorang tergelincir dan melakukan kesilapan dalam pentafsiran.

6. Untuk menentukan makna khimar dalam ayat di atas, perlulah merujuk kepada hadis-hadis yang relevan dengan ayat ini. Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan dari A’isyah R.A. yang berkata, “Semoga Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin generasi awal, ketika turun ayat, “Dan hendaklah mereka menutupkan khimar ke dada mereka,” mereka merobek kain-kain dan menutup kepala mereka.” [Tafsir Ibn Katsir]. Ketika mensyarahkan hadis ini, Al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata bahawa khimar itu digunakan di atas kepala. [Fath Al-Bari]. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa para Sahabat dari kalangan wanita Muhajirin memahami perkataan khimar di dalam ayat di atas sebagai penutup kepala. Ini menunjukkan bahawa KEPALA dan juga RAMBUT itu wajib ditutup.

7. Begitu juga mereka bercakap tentang kebebasan hubungan seksual, tetapi mereka menolak poligami. Menuntut kebebasan bersuara, tetapi mereka menentang Islam berdakwah mengajar umat untuk beramal dengan agamanya. Mereka dakwa mereka tidak hipokrit. Mereka kata mereka ada hak untuk golongan LGBT, dalam masa yang sama mereka langgar hak komuniti masyarakat yang normal. Mereka hanya kira hak mereka sahaja, tidak kira hak orang lain. Mereka mahu melihat masyarakat songsang mendapat kebebasan, dan benci dengan masyarakat normal yang patuh kepada agama.

8. Nabi ﷺ bersabda;

إنَّ لربِّكَ عليك حقًّا، وإنَّ لِنَفسكَ عليك حقًّا، ولأهلك عليك حقًّا، فأعْطِ كلَّ ذي حقٍّ حقَّهُ

Terjemahan maksud: “Sesungguhnya pada Rabb-mu ada hak yang harus kamu tunaikan, dan pada dirimu ada hak yang harus kamu tunaikan, dan pada diri keluargamu ada hak yang harus kamu tunaikan, maka berilah setiap bahagian akan haknya.”

Hadis ini menggambarkan bagaimana Baginda ﷺ berbicara tentang hak. Setiap bahagian ada haknya. Tidak logik seseorang itu boleh dakwa hak peribadi sehingga langgar hak orang lain.

9. Di zaman Nabi ﷺ ada seseorang yang memohon kepada Baginda ﷺ supaya diberi ‘hak’ kebebasan untuk berzina. Mungkin merasakan dia ada hak terhadap perbuatan itu. Diriwayatkan oleh Abu Umamah R.A, beliau berkata: “Sesungguhnya seorang pemuda bertemu Nabi ﷺ lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk berzina.” Orang-orang lain datang lalu melarangnya, mereka berkata: “Jangan, jangan.” Rasulullah ﷺ bersabda: “Mari sini”. Dia mendekat lalu duduk berhampiran, Rasulullah ﷺ bersabda: “Adakah kamu suka berzina dengan ibu kamu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, semoga Allah menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi ﷺ bersabda: “Orang-orang lain juga tidak menyukai kamu berzina dengan ibu-ibu mereka.” Rasulullah ﷺ bersabda lagi: “Apa kamu suka berzina dengan anak perempuan kamu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, semoga Allah menjadikanku sebagai penebus Tuan.” Nabi ﷺ bersabda: “Orang-orang lain juga tidak menyukai kamu berzina dengan anak-anak perempuan mereka.” Rasulullah ﷺ bersabda: “Apa kamu menyukai berzina dengan makcikmu dari sebelah ayah?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, semoga Allah menjadikanku sebagai penebus Tuan.” Nabi ﷺ bersabda: “Orang-orang lain juga tidak menyukai kamu berzina dengan makcik-makcik mereka.” Rasulullah ﷺ bersabda: “Apa kamu menyukai berzina dengan makcikmu dari sebelah ibu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, semoga Allah menjadikanku sebagai penebus Tuan.” Nabi ﷺ bersabda: “Orang-orang lain juga tidak menyukai kamu berzina dengan makcik-makcik mereka.” Kemudian Baginda ﷺ meletakkan tangan pada pemuda itu dan berdoa: “Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkan hatinya, jagalah kemaluannya.” Setelah itu pemuda itu tidak pernah meminta apa-apa.

10. Islam menegaskan mengenai wajibnya menghormati kebebasan individu, serta berkeyakinan tugas utama pemerintah ialah menjaga dan melindungi kebebasan rakyat seperti kebebasan berfikir, kebebasan menyampaikan pendapat, kebebasan hak peribadi dan juga kebebasan individu.

11. Dan pemikiran liberal ini bercanggah dengan prinsip Islam atas tiga asas iaitu: Pertamanya ialah kebebasan yang bermaksud setiap individu bebas untuk melakukan apa sahaja perbuatan yang ingin dilakukan. Pihak pemerintah atau kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan atau tegahan. Perbuatan yang dilakukan hanya mampu dibatasi atau disekat oleh undang-undang yang dibuat oleh individu itu dan tidak terikat dengan peraturan agama.

12. Keduanya ialah aspek individualisme ini mengandungi dua pengertian, iaitu pengertian mengenai sikap keakuan dan cinta terhadap diri sendiri. Pemahaman ini menguasai pemikiran orang Eropah sejak zaman kebangkitan Eropah sehingga abad ke-20.

13. Dan yang ketiganya ialah keutamaan menggunakan akal atau rasional dengan maksud penggunaan akal semata-mata dalam mencari dan mencapai sesuatu kepentingan dan manfaat kebendaan. Dan urusan pentadbiran negara dipisahkan daripada keyakinan agama, kerana mereka percaya, sesuatu perkara itu tidak dapat diperoleh melainkan dengan usaha melalui kekuatan fizikal dan kekuatan akal semata-mata.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Top